Home Novel Cinta TUAH
Bab 6

Bab 6   HURM... MIMIPI

Bagai ada pemberat tergantung di kelopak mata biarpun bunyi bising berterusan menggegar cuping telinga . Semakin aku buat tak endah, semakin ia mengganggu tenteramku. Irama segar yang berkumandang terasa semakin lunak.

Blackpink?
Kill this love?

Serta merta bukaan kelopak mata aku luas. Aku tahu gegak suara itu datang dari alarm handphone. Berkali-kali aku kerdip mata dan memerhati sekeliling. Wallpaper 3D dengan motif abstrak lama memasuki ruang mata sebelum aku alih pandangan ke kiri dan ke kanan. Semua barang-barang dalam bilik aku kekal di tempat asal. Tiada yang berubah. Malah majalah Libur yang aku baca semalampun ada terselit di celah bantal.

Tangan mengurut-ngurut dada.
Huh! Mimpi rupanya, tapi real betul.

Mudahnya otak aku kena tipu dengan mainannya sendiri.

Matahari masih rendah di ufuk timur ketika handphone aku menyanyi semula.

"Beb! Majlis akad nikah Rin mula pukul 10. Aku ambil kau pukul 9 sikit lagi. Jangan lambat tau. Jangan lupa tema hari ini."

Aku baru nak buka mulut tetapi suara di corong handphone telah mati.

Memang payah nak berjumpa nokhtah kalau Si Shima ni buka mulut. Pertuturannya laju bukan main macam keretapi peluru Jepun.

Tema busana istana di Tanah Jawa...

Lebih 10 minit aku tatap pantulan imej sendiri di cermin. Baju kebaya lace pendek dengan fesyen duyung dah tersemat di tubuh. Warna merah darah yang aku pilih memang garang. Aku lembutkan penampilan dengan padanan kain batik jawa bertona hitam putih dan tudung beige.

Aku mencari perkataan 'anggun' pada imej di hadapan mata. Entah kenapa perkataan yang menjelma di kepala adalah 'silam'.

Mungkin kerana mimpi semalam masih berlegar dalam memori aku.
Mungkin kerana mimpi semalam tak langsung rasa macam mimpi.

Apa yang telah aku lihat dan rasa semuanya segar dan hidup. Jauh dari makna ilusi apatah mimpi.

Majlis pernikahan Rina berlangsung dengan meriah terutama semasa sesi fotoshoot pengantin perempuan dengan para pengapitnya. Oleh kerana Rina berjodohan dengan pemuda dari Surabaya, sempena meraikan keluarga sebelah pengantin lelaki, Rina memilih tema 'keraton' bagi baju akad nikahnya. Dah tentu semua pengapitnya terpaksa akur dan menurut dengan tema yang sama juga.

Di perjalanan pulang ke rumah petang itu, aku meminta Shima menurunkan aku di kedai buku berhampiran rumah. Tak pernah lagi aku habiskan duit untuk membeli buku sama banyak jumlahnya dengan aku berbelanja di kiosk kosmetik.

Apa yang telah merasuk aku agaknya?
Mimpi semalam?

Tirai malam telah lama berlabuh namun aku masih leka membelek buku-buku yang aku beli tadi. Kesemua buku berkaitan Kesultanan Melaka. Hanya satu dengan nama lelaki lagenda, Hikayat Hang Tuah.

Aku buka buku tebal tentang pensejarahan Melaka. Aku jangkakan tak lama buku ini mampu aku tatap sebelum tulisan-tulisan di dalamnya lunak mendodoikan mata. Oleh kerana itu aku terus menyelak ke halaman cerita yang aku cari. Kisah rombongan peminangan Sultan Mansur Syah ke Majapahit.

Di saat aku menjumpai perkataan "Hang Tuah", mata terpaku lama pada nama lagenda itu.

"Hang Tuah..."
Ada getaran aneh di dada semasa aku sebut nama itu. Nama itu bagai terkandung aura, menyemat kekuatan. Malang sekali mimpi aku terhenti sebelum aku sempat mengenal pemilik nama itu. Aku yakin orangnya memiliki keperibadian yang unggul sepadan dengan gah namanya.

Tak sangka banyak pula kisah Hang Tuah di bab yang sedang aku baca. Gatal sahaja tangan merakam bait-bait indah yang memuji Hang Tuah di dalam handphone.

Tak panjang kisah peminangan Puteri Galuh Cendera Kirana di dalam Sulalatus Salatin.
Aku buka buku kedua, Hikayat Hang Tuah.
Ambil Bak Ang! Panjang berjela. Tak sampai separuh kisah Hang Tuah ke Majapahit aku baca, mata mulai layu.

Aku hanya sedar dari lena apabila telinga diasak bunyi bising.

Kenapa lain benar bunyi alarm handphone? Bila pula suara Blackpink bertukar suara garau lelaki?

Terus aku beliakkan mata. Apabila benda pertama yang aku nampak adalah papan kayu, aku bingkas duduk.

Aduhai, mimpi ini lagi!
Sumpah seranah dalam hati dah berbunyi lirik Ragaman.
Biar betik!

Cepat-cepat aku tenangkan fikiran. Aku kaut kembali semua keberanian. Tarik nafas dalam-dalam dan...

Bum! Ada orang tolak daun pintu. Wajah Lekir manis menyapa.

Sah! Mimpi aku bersambung.

"Tuan hamba sudah bangun? Marilah keluar. Kita akan berangkat sebentar lagi."

"Nak pergi mana?"

"Ibukota Majapahit."

Maka terlopong luaslah mulut aku mendengar jawapan Lekir. Mesti aku tak sangka mulut aku ternganga lebih luas daripada itu ketika aku berada di dek tatkala menyelerakkan pandangan ke luar bahtera.

Beratus ceracak tiang lancaran memenuhi pinggir pelabuhan Tuban. Bahtera pelbagai saiz dan jenis bertaburan di pinggir pelabuhan. Menurut Lekir, pelabuhan itu antara pelabuhan yang sibuk di tanah Jawa selain Pelabuhan Gresik.

Pemandangan di hadapan mata aku laksana calitan cat air yang melakar imaginasi pelukis tentang kisah silam.

Tak perlu aku hentakkan tapak kaki untuk membuktikan realiti tempat aku berpijak kerana tubuh aku masih bergoyang-goyang dek bantera yang telah berlabuh.

Nun di bawah lautan sana berpuluh lancaran dengan kuasa pendayung dan satu atau dua tiang dengan layar tanja kaku bersusun menanti arahan untuk belayar.

Aku nampak di tangan Lekir ada beberapa helaian kertas bertulis memanjang ke bawah. Nampak macam senarai nama dan barang.

"Ada nama yang tertinggal, Lekir?" tanya seorang lelaki tinggi lampai.

Kedua kening Lekir bertaut sebelum dia menggeleng.
"Aku tak mengerti dari mana... " Hujung ayat Lekir tergantung.

Tangan lelaki tadi menepuk-nepuk kuat bahu Lekir. Mulutnya direndahkan ke telinga Lekir. Lelaki itu berkata, "Dekatilah temanmu tetapi dekati lebih rapat musuhmu."

Walau bicara dua lelaki itu perlahan, butir perkataan mereka masih mencecah gegendang telinga aku. Tak memahami hujung dan pangkal perbualan, aku buat-buat tak dengar sahaja melainkan setelah lelaki itu mengungkap pantun empat kerat.

"Kencana ungu di hujung padang
Ikat sanggul Si Kembang Cina
Jaga adabmu di tanah orang
Ingat pesanku Si Teruna Gila."

Memang aku terlajak sensitif ke atau memang pantun itu dijual untuk aku?

Sekali fikir macam pernah aku dengar kata nama khas si teruna gila itu
Dua kali fikir aku dah jumpa gerangannya. Nama jolokan itu aku tujukan buat lelaki mafia tempohari, yang berkemungkinan tuan kamar yang aku tumpang tidur.

Aku toleh ke sisi memerhati semula wajah lelaki itu. Patutlah aku tak perasan. Dah habis gondol segala jambang kena tebas.

"Aku pergi dahulu Lekir. Berwaspada selalu. Jangan leka."

Tanpa menoleh, lelaki tinggi lampai itu turun dari Genta Segara menaiki lancaran bertiang tiga. Di bahagian hadapan lancaran itu terpacak jujuran batang kayu yang mengibarkan panji-panji. Di atas dek pula berbaris kembangan payung iram-iram yang berjuntaian manik keemasan. Barangkali itu kenaikan bagi Sultan Melaka sebab dari jauh dah nampak meriah warna-warninya.

Lekir sempat melaung dan melambai.
"Kau pun sama Tuah. Berhati-hati."

Wajah Lekir jelas nampak cemas dan suram ketika aku bertanya, "Kau panggil dia, Tuah?"

Lekir mengangguk laju.
Entah bila agaknya aku jadi gagap kerana patah kata aku tersangkut-sangkut.

"It... itu Tu..Tuah? Hang Tu-ah?"

Sekali lagi Lekir mengangguk. Mesti dia tak tahu apa yang ada dalam hati aku.

Letusan lava!

Ya Tuhan! Tuah bukan jual pantun. Dia beli pantun aku.

Matilanak!! Dia dengar apa aku cakap malam tu... huaaa










Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.