Home Novel Cinta TUAH
Bab 8

Bab 8  AKU PANDANG DIA, MEREKA PANDANG AKU

Perarakan DiRaja, tak kira di ceruk dunia manapun tak lepas dari tiga perkara; istiadat, azmat dan gah. Dalam bahasa mata aku; supremacy, jom heboh dan sure gempak. Tiga penonjolan yang sengaja diwujudkan oleh manusia lalu diperakui dan dijunjung oleh species yang sama. Perkara yang membawa manusia kepada jurang diskriminasi yang menenggelamkan hakikat bahawa warna darah manusia tetap sama merahnya walau warna kuning yang menyaluti tubuh mereka.

Beberapa kelompok manusia tenang berdiri di depan aku. Biduanda yang lengkap dengan keris panjang dan pendua. Sebahagian mereka memegang panji-panji, payung iram kuning dan cogan alam. Perdaraan dan perawangan yang menatang dulang hantaran dan hadiah. Kumpulan nobat, hulubalang dan golongan bangsawan dan Raja-Raja.

Aku menyelitkan diri di celah geng bodyguard Sultan yang melepak di bawah teduhan Ketapang rendang. Seorang perempuan dikelilingi tujuh hulubalang yang gagah perkasa. Mahunya aku tak perasan diri bagaikan puteri.

Hahaha... Hanna, Hanna.

"Kita tunggu apa, Iskandar?" tanyaku setelah berdiri di tempat yang sama hampir setengah jam.

Marah dan geram dah habis luntur dalam hati. Sebaik sahaja tiba di daratan, Iskandar dan rakan-rakannya bertukar personaliti. Hilang terus seri manis di muka mereka berganti raut serius dan berjaga-jaga. Tak seorangpun yang bergurau-senda apatah lagi mengungkit peristiwa yang memalukan tadi.

"Wakil dari istana Majapahit akan datang ke sini menyambut Duli Tuanku."

"Itu ke?"

Aku muncungkan mulut ke hujung jalan. Sekumpulan penunggang kuda masih sayup kelihatan dari jauh namun hentakan kaki kuda mereka terasa telah menggegarkan lantai bumi. 

Iskandar tidak menyahut sebaliknya dia dan rakan-rakannya bergegas menyertai Tuah yang sedang berdiri di sisi Sultan Mansur Syah.

Seorang lelaki turun dari kudanya dan memberi tunduk hormat kepada Sultan Melaka. Kumpulan berkuda itu kemudiannya bergerak ke belakang rombongan Melaka, memberi laluan kepada kumpulan kedua yang hadir di belakang mereka. Turut menyertai mereka beberapa bilangan kuda dan gajah.

Hulubalang-hulubalang Melaka, para bangsawan dan Raja-Raja Melayu pantas naik ke belakang kuda, mengambil posisi di belakang Biduanda, meninggalkan Sultan Mansur Syah dan Tuah lapan sekawan yang masih berdiri di tempat yang sama.

Manusia, walau berbeza mana penampilan diri, aku tak hairan sangat.

Gajah?
Binatang darat paling besar di dunia, walau berdiri bodoh sudah cukup untuk menarik semua perhatian aku apatah lagi lengkap berhias. Jinak betul! Dia buat tak kisah dengan kebanjiran manusia di sekelilingnya.

Satu hal yang menarik perhatian aku adalah kehadiran seorang lelaki kurus di sisi gajah. Lelaki itu mewakili kenyataan bahawa saiz fizikal bukan penentu kekuatan sebenar makhluk.
Cayalah! Mamat tu lagi power dari gajah
Hanya satu isyarat tangan dari Serati Gajah sudah cukup untuk menundukkan binatang gergasi itu. Kepala Sang Gajah tunduk menyembah di hadapan Sultan Melaka sebelum duduk melipat kaki di tanah.

Dipanah terik mentari, kain sulaman benang emas yang menutupi kulit berkedut Si Gajah galak memancarkan kilau. Pendaran itu bagai menggamit-gamit aku agar merapati. Di luar kesedaran, kaki menapak keluar dari teduhan pohon Ketapang. Aku mencari sudut yang dapat mempertontonkan imej gajah dan seratinya dengan lebih jelas. Mata tak lepas memandang gajah yang rupanya dah macam binatang sarkas.

Amboi! Siap berdandan bagai, ye. Kelas kau gajah.

Asyik memerhati si empunya mata kuyu nan akur, aku tak sedarpun semua mata di sekitar aku sedang memusatkan pandangan ke arah aku.

Itu adalah impak daripada sepasang mata yang mendahului mereka memerhati aku.

Intuisi aku sering benar. Deria keenam atau extra-sensory perception memperdengarkan bisikan halus di telinga, "Ada sesuatu yang tak kena."

Di sebalik kepercayaan psikik itu, aku tahu bukan gerak hati yang memberikan amaran. Gabungan gelombang beta dan alpha minda meningkatkan kepekaan indera lantas memberitahu tubuh akan wujudnya keadaan yang janggal ketika itu.

Timbulnya hening dalam lebat kerumun.
Tebarnya wangian melewati lencun baju.
Hadirnya angin merintang batang tubuh manusia.

Dan aku hanya perlu pastikan ke semua hipnosis deria adalah benar dengan mengalih arah mata.

Sisi pandang yang aku pilih tepat menjurus ke satu lorong yang sengaja dikosongkan. Di hujung belahan dua deretan manusia, berdiri seorang lelaki yang aku kenal tanpa perkenalan.

Sah, inilah punca sepi dan senyap.
Lorong itulah yang menghantar angin dan menebarkan bau harum.

Jemari lelaki itu sedang melambai hala yang sama, isyarat agar ruang pandangnya tidak dihalang. Tatkala mata kami bertembung, lambaian berubah gamitan.

Aku dipanggil?
Aku? Orang lain kot.

Walaupun semua orang pandang aku, aku pusingkan badan ke kanan, ke kiri mencari kelibat orang lain walhal aku sedia maklum mana ada orang lain dekat aku.

Oh, memang aku.

Tapi apa kaitan aku dengan perarakan ini? Dari awal lagi aku tak bercadang untuk menjadi sebahagian daripada kejadian hari ini. Aku ingat nak lepak aje sambil memerhati dari jauh.

Apabila aku tidak memberi respon kepada bahasa bisu, Tuah cepat-cepat mengangkat sembah.

"Mohon ampun, Tuanku. Adapun gerangan si gadis bukanlah dari kalangan kita. Asalnya dari negeri yang jauh. Tidak tahu akan adat resam kita."

Mata Sultan Mansur Syah masih tertancap pada aku ketika dia bertanya, "Siapa namamu duhai gadis?"

Nak bergerakpun tak boleh, nak bersuara lagila mustahil. Nafas dah terasa semput di dada. Aku cuba hela nafas panjang tetapi lutut masih berlaga.
Giler gemuruh Weh!
Tak pernah-pernah aku terfikir akan hadir suatu hari di mana Sultan nak tahu nama aku.

Aku nampak Tuah angkat tangannya ke dahi lagi. Dia nak tolong jawab? Tuah tahu ke nama aku?
Sibuk beli pantun orang tapi nama tak nak tanya. Kenalkan diripun tidak.

Dalam hati mengomel, telahan aku tepat. Tuah tolong jawabkan bagi pihak aku.
"Gerangannya bernama Kasturi, Tuanku."

What? Kasturi?
Waaah, sesuka hati kau bagi nama aku ye Tuah...

Berkerut seribu muka aku tanda protes. Aku siap picing mata dekat Tuah walaupun tahu panahan mata langsung tak lut dekat Tuah. Mungkin anak panah betulpun tak lut juga. Hang Tuah terkenal dengan lagenda kekebalannya. Tapi... mana keris Taming Sari? Aku tak nampakpun.

"Mari ke mari, Kasturi."

Lontaran suara yang amat lembut dari Sultan Mansur Syah mengalih semula perhatian aku kepada lelaki itu, secara tak langsung menjemput kembali kesima. Kepala aku tengah memproses kejadian sebenarnya. Jadi, tiada arahan yang minda keluarkan untuk tubuh aku turuti. Kesannya, aku masih kaku dan membisu macam patung cendana. Kedutan di muka aku telah hilang. Tiada apa-apa perasaan yang terbias di wajah melainkan renungan mata aku yang semakin dalam dan likat. Minda masih tak berjumpa sebab musabab untuk menuruti arahan itu.

Tidak pula aku sangka keputusan sementara aku menghilangkan kesabaran Tuah. Langkah kaki Tuah laju dan panjang-panjang menghampiri aku. Wajah dia langsung tak teragak-agak ketika dia menyambar lengan lalu menarik aku agar mengikutinya. Dia hanya melepaskan aku setelah tiba di hadapan Sultan Mansur Syah.

Dari jarak jauh lagi aku dah kelu apatah rapat berhadap macam ini. Langsungla aku rasa macam sedia bisu sejak azali. Pun begitu tak pula aku tundukkan pandangan. Aku perhatikan dengan teliti raut Sultan yang paling glamour dari kalangan sembilan pemerintah kesultanan Melaka.

Wajah lelaki itu amat tenang walaupun jelas dia timbulkan keributan. Jika tadi, di mata aku lelaki itu tak ada bezanya dengan lelaki-lelaki lain. Sekarang di kala muka itu tepat berada di antara dua lensa mata, pandangan aku berubah.

Lelaki itu tak perlukan penampilan yang menarik untuk mendapatkan perhatian sebaliknya seluruh perhatian akan tertarik kepada lelaki itu dengan sendirinya. Menatap Sultan Mansur Syah terasa bagaikan seluruh anggota di wajah lelaki itu berbicara serentak. Raut lelaki itu terkandung aura yang hebat. Renung mata dan laras keningnya sahaja sudah cukup untuk memancarkan daulat tanpa perlu sebarang pengenalan tambahan di persekitarannya yang serba kekuningan

Walaupun bibir itu melukis senyum, minda masih mentafsir maksud bahasa wajah. Aku yakin, tak seorangpun mudah percaya dengan senyuman itu melainkan setiap garis bibir ada maksud yang tersembunyi.

Pemerintahan berkait rapat dengan politik. Politik pula mempunyai unsur tipu helah intelek. Itu bermakna zahir kata-kata dan perbuatan mungkin sahaja tak selari dengan makna. Akan senantiasa ada maksud kedua di dalam bayang makna. Garis sempadan di antara ikhlas dan bermuka-muka amat nipis.

Maka logiklah jikalau aku mempertikaikan senyuman itu, bukan?

Bagai memgetahui apa yang aku sedang fikirkan, bibir itu terbuka ketawa mengiringi senyuman tadi. Deraian suara itu berjaya mengendurkan kekejangan aku, ketegangan situasi serta kekekokan suasana walaupun tiada seorangpun yang berani menyambut ketawa itu untuk meraikan kegembiraan bersama-sama. Selain daripada aku, mereka yang memerhati nampak lebih bingung dengan kejadian di luar rencana.

Lebih mengejutkan lagi apabila Sultan Mansur Syah bergerak ke pinggir jalan mencari-cari sesuatu. Jantung aku memalu kuat tatkala mendapati di tangan tuanku tergenggam beberapa tangkai bunga putih kecil-kecil.

Bunga dihulur untuk aku. Atau paling jelasnya bunga itu sengaja dipetik untuk aku. Ada kata-kata yang mengiringi bunga tersebut.

"Melati liar mekar di dahan. Sedangkan semilir enggan menyembunyikan keharumannya."

Serta-merta reseptor hidung aku berjaya menangkap haruman bunga Melati tanpa menangkap maksud iringan kata-kata. Aku juga gagal menangkap raut wajah manis yang berubah pahit dari kalangan bangsawan Majapahit yang turut menyaksikan kejadian.

"Berjalanlah di sebelah Inang Tua. Ikut serta bersama-sama kita."

Titah Sultan Melaka aku patuhi. Titah itu juga secara rasminya mengumumkan aku adalah sebahagian daripada tetamu kehormat kerajaan Majapahit.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.