Home Novel Umum Mawar Putih Buatmu (Adaptasi dari tajuk asal "Mawar Irdina")
Mawar Putih Buatmu (Bab 4)

Hari minggu itu Rizman tidak ke klinik kerana dia ingin bersama keluarganya. Pagi hari minggu begini, biasanya Rizman suka bersiar-siar di halaman banglo itu, menghirup udara segar dan menyaksikan matahari terbit dari ufuk timur.

Rizman tidak lupa membelek mawar putihnya yang ditanam di dalam pasu. Seringkali mawar putih itu mengingatkan dia kepada wanita yang masih bertakhta di hatinya itu. Ya, dia masih mencintai wanita itu sungguhpun Sarah yang menjadi jodohnya hingga ke hari ini. Haryati, wanita yang dinikahi 17 tahun lalu kerana cinta. Sarah pula wanita pilihan ibunya. Kerana Haryati bukan di kalangan golongan berada, Datin Mariani menyisihkan Haryati dari hidupnya. Padahal cintanya buat Haryati begitu tebal. Selepas Haryati melahirkan anak mereka, Datin Mariani menyuruh dia menceraikan Haryati dan mengahwini Sarah. Tambahan pula anak mereka meninggal sewaktu lahir, jadi bertimpa-timpa penderitaan Haryati.

‘Haryati, abang masih mencintaimu. Maafkan abang. Jika masih ada jodoh dan pertemuan, abang masih nak teruskan hubungan kita yang terputus. Tapi, Haryati di mana? Ya ALLAH, berikan petunjuk agar aku bertemu Haryati.’

Namun setelah berkahwin dengan Sarah, mereka tidak dikurniakan zuriat. Datin Mariani mencadangkan mereka mengambil anak angkat saja. Indra Faris diambil menjadi anak angkat Rizman dan Sarah. Kini Indra Faris sudah berusia 17 tahun. Dia diasuh dan dididik bagai menatang minyak yang penuh. Sungguhpun begitu, awal-awal lagi Indra Faris telah dimaklumkan bahawa dia hanyalah anak angkat keluarga itu.

Rizman mencium mawar putih itu. Haryati suka benar dengan mawar putih. Bagi mengingati Haryati, Rizman mengabadikan pohon mawar putih itu sebagai ingatan buat Haryatinya. Sekuntum mawar putih dipetik. Segala kenangan silam terbungkus kemas di dalam hatinya. Kenangan silam itulah peneman kala rindunya pada Haryati bertandang. Namun dia pelik sendiri tatkala baru terperasan, ada batang-batang mawar putih yang telahpun dipotong separas satu jengkal.

‘Eh, siapa yang potong batang-batang mawar ni? Sarah? Tak ada pula Sarah cakap apa-apa.’

Persoalan itu akan ditanyakan pada Sarah nanti. Rizman masuk ke dalam rumah. Tersenyum dia melihat Indra Faris awal-awal pagi sudahpun tekun belajar di ruang tamu rumah. Faris memang rajin belajar. Tidak hairanlah dia antara pelajar cemerlang di sekolahnya.

“Is, macam mana persediaan SPM?” Rizman duduk di sebelah Faris.

“Insya-ALLAH papa, Is cuba buat yang terbaik dalam SPM nanti. Papa doakan Is ya,” ujar Faris.

Rizman memeluk bahu Faris. Kepala anak itu diusap penuh bangga.

“Abang, Is… Mari sarapan,” suara Sarah kedengaran memanggil dari dapur.

Rizman meletakkan sekuntum mawar putih yang dipetiknya tadi ke dalam aquarium mawar putih. Dibiarkan mawar itu terapung bersama mawar-mawar yang lain yang masih segar. Kebiasaannya bila Rizman memetik mawar putih, dia akan apungkan mawar itu di dalam aquarium itu.

Sarah meneliti tindak-tanduk suaminya. Faham sangat dia dengan kerinduan Rizman pada isteri pertamanya itu. Sarah tidak meningkah tindak-tanduk Rizman sungguhpun tingkah itu seringkali menerbitkan bibit-bibit cemburu di hatinya pada Haryati. Namun dia hormat, Haryati tetap menjadi cinta pertama Rizman. Itu kata Rizman sewaktu mereka diijabkabulkan. Bertambah rasa bersalahnya tatkala Rizman dipaksa menceraikan isterinya semata-mata dipaksa mengahwininya, kerana Datin Mariani tidak menyukai Haryati.

Namun tanpa pengetahun Datin Mariani, Rizman tidak menceraikan Haryati. Hingga kini Haryati masih isterinya. Malah Rizman masih memberi nafkah wang bulanan kepada Haryati menerusi akaun. Cuma permintaan Haryati yang mahu agar mereka tinggal berasingan kerana tidak mahu hubungan yang masih wujud itu dihidu Datin Mariani. Setelah beberapa lama berjauhan, Haryati sudah tidak dapat dihubungi. Rizman tak tahu bagaimana lagi mahu menjejaki Haryati. Namun hingga kini Rizman masih memberi nafkah wang bulanan kepada Haryati menerusi akaun.

“Is, kejap lagi kita nak pergi rumah nenek. Marilah sarapan dulu. Kemudian kita akan ke Pekan Kuah menjenguk nenek,” ujar Sarah lagi.

Faris mengemaskan buku-bukunya kemudian pergi ke meja makan untuk bersarapan.

“Papa, nenek masih sakit ke?” soal Faris setelah menghabiskan mee gorengnya.

Rizman dan Sarah saling memandang. Sudah lebih dua bulan Datin Mariani terlantar di rumahnya. Diserang strok yang menyebabkan sebahagian tubuhnya lumpuh.

“Nenek belum sihat. Puas Pak Long dan Pak Ngah berikhtiar menggunakan rawatan moden dan tradisional, namun tak sembuh juga. Malam tadi Pak Long call papa suruh papa ke sana. Katanya nenek asyik sebut nama papa aje,” ujar Rizman sambil menghirup kopinya.

“Papa, orang tua-tua kalau sakit teruk dalam masa yang lama, tu tandanya dia banyak dosa? Betul ke papa?” soal Faris yang sudah menghabiskan sarapannya.

Sekali lagi Rizman dan Sarah saling memandang.

“Hmm…itu di luar pengetahuan kita, manusia biasa. Kita pun tak tahu. Entah-entah kita yang sihat ni lagi banyak dosa. Jadi kita mesti sentiasa bertaubat dan beristighfar. Pengalaman papa bekerja sebagai doktor, setiap hari berdepan dengan kematian pesakit. Macam-macam. Namun, sakit tu juga kaffarah dosa kita. Jadi kita mesti selalu memohon keampunan pada ALLAH, agar terampun dosa-dosa kita. Kerana kita tak tahu bila ajal kita,” ujar Rizman lagi.

Faris menganggukkan kepala tanda faham kemudian berlalu ke bilik untuk mengemas barang-barang. Faris sudah menyiapkan semua kerja sekolah. Jadi dia tidak berbelah-bahagi untuk pergi menjenguk neneknya yang sakit. Surat Irdina juga sudah dibalas. Dia senang hati. Malah dia berazam nak kenal Irdina dengan lebih rapat lagi. Sekeping wajah itu terlayar di minda. Disebabkan mahu memohon maaf pada Irdina, dia terpaksa memotong sepuluh batang mawar putih papanya. Selesai berkemas barang untuk balik kampung, Faris duduk di meja makan semula.

“Sarah, Sarah ada potong batang mawar abang?”

Berderau darah Faris mendengar soalan Rizman itu. Nak aje dia bangun dari meja makan dan berlalu keluar, tapi kakinya seperti melekat di lantai pula.

‘Aduss…habislah aku kali ni.’

Sarah yang sedang menghabiskan jus oren mengangkat bahu. Mereka saling memandang sebelum pandangan itu dihalakan pada Faris. Faris cepat-cepat bangun.

“Faris, nanti dulu,” tegas suara Rizman buat Faris kecut perut.

“Err…ada apa papa?” Faris buat-buat tak faham.

“Hmm…apa yang Is dah buat dengan batang-batang mawar papa tu?” Serkap Rizman. Kalau dah bukan Sarah yang potong, dah tentulah Faris punya kerja.

Faris menggaru kepala.

“Err…Is… Hm…Is hadiahkan pada kawan, pa. Is minta maaf tak minta izin papa atau mama,” jawab Faris terkulat-kulat.

Wajah tegas Rizman tadi berubah menjadi senyuman.

“Kawan Is tu perempuan ke?” Rizman menyerkap lagi.

Perlahan Faris mengangguk. Pipinya dah merah.

“Kawan biasa aje papa,” jawab Faris lagi.

Rizman termenung.

“Mama Haryati kamu pun suka sangat dengan mawar putih tu. Dulu papa pikat Mama Haryati kamu dengan mawar putih tu la. Terus Mama Haryati kamu jatuh hati pada papa. Kami kahwin dan hidup bahagia, tapi nenek kamu tak sukakan Mama Haryati. Sebab tu Mama Haryati kamu meminggirkan diri dan akhirnya menghilangkan diri. Hingga sekarang papa tak tahu di mana Mama Haryati kamu,” ujar Rizman sebak.

Perlahan Sarah mengurut belakang badan suaminya. Setiap kali teringatkan Haryati, Rizman pasti menuturkan kata-kata seperti itu.

“Insya-ALLAH bang, kita tetap akan cari kak Yati. Kita banyak berdoa, semoga ALLAH permudahkan urusan kita ya bang,” pujuk Sarah lagi.

Rizman mengangguk. Wajahnya memendung. Faris turut termenung. Entah bilalah dia dapat melihat wajah papanya tersenyum? Hanya doa dipanjatkan, moga satu hari nanti Mama Haryatinya akan kembali ke pangkuan papanya.

Sejak malam tadi Datin Mariani asyik meracau sambil memanggil Rizman. Dia nak jumpa anak bongsunya itu. Dia nak minta maaf. Rizman sekeluarga baru aje tiba di luar rumah.

“Man, pergilah jenguk mama tu. Sejak malam tadi mama asyik tanyakan Man. Mungkin ada perkara yang dicakapkan dengan Man tu. Cakap baik-baik dengan mama. Apa pun salah dia, dia tetap ibu yang melahirkan kita,” kata abang longnya lagi.

“Baik abang long,” ujar Rizman terus masuk ke dalam rumah diikuti Sarah dan Faris.

Mereka bersalaman dengan Datin Mariani. Sampai giliran Rizman, Datin Mariani terus menangis dan meraung macam hysteria.

“Mann… Maafkan mamaa… Mann…badan mama dah tak boleh gerakkk… Man, maafkan mama. Mama menyesal. Mama bersalah memisahkan Man dan Yati. Yati baik. Mama yang jahat. Hukumlah mama Man… Mann…”

Mendengar pengakuan mamanya, Rizman beristighfar. Serentak itu air matanya mengalir laju. Wajah Haryati membesar di mindanya.

“Mama, Man pun nak minta maaf pada mama. Sebenarnya Man tak ceraikan Haryati. Haryati masih isteri Man, ma. Cuma kami tinggal berasingan. Namun setelah beberapa lama, Man dah tak dapat hubungi Haryati. Puas Man cari dia tapi tak tahu dia di mana,” ujar Rizman lirih.

Mendengar kata-kata Rizman, Datin Mariani meraung lagi.

“Man, mama yang upah orang untuk halau Yati. Mama tahu Man masih berhubung dengan Yati. Mama tak mahu Man terus mencintai Yati dan sia-siakan Sarah. Namun rupanya cinta Man begitu teguh pada Haryati. Mama minta maaf Man,” ujar Datin Mariani teresak-esak.

Mendengar kata-kata itu, Rizman menangis. Rata-rata keluarga abangnya turut beristighfar. Mereka kenal, Haryati baik orangnya sungguhpun dia hanyalah gadis kampung.

“Mama, kenapa mama kejam pada Yati? Apa dosa Yati pada mama? Tergamaknya mama halau Yati dari rumah dia sendiri,” ujar Rizman kesal.

Air mata Rizman mengalir lagi. Wajah Haryati semakin membesar dalam layar mindanya. Isterinya itu memang tidak pernah jauh dari hatinya.

“Yati tak berdosa pada mama. Tapi mama yang berdosa pada Yati, Man. Man, sebenarnya kau ada anak Man. Anak perempuan. Anak perempuan Man masih hidup,”ujar Datin Mariani dengan nafas tersekat-sekat.

Serta-merta Rizman merenung ke wajah Datin Mariani. Air matanya dikesat.

“Apa ma? Man ada anak? Bukankah anak Man mati ketika lahir?” soal Rizman lagi.

Datin Mariani menangis sambil menggelengkan kepala.

“Anak Man masih hidup. Mama yang buang dia. Mama tak nak dia warisi sesen pun harta keluarga kita. Mama bersalah Man. ALLAH bayar perbuatan mama dengan tak kurniakan zuriat pada Man dan Sarah. Mama bersalahh… Anak perempuan itu satu-satunya cucu mama, Man carilah dia. Mama ada pakaikan gelang emas yang terukir nama Mariani di gelang itu. Mama sengaja tinggalkan gelang tu dengan anak kamu. Cucuku, nenek minta maaf kerana buang kamu. Nenek menyesal cu… Maafkan nenek,” ujar Datin Mariani teresak-esak.

Rizman terdiam. Sebak di hatinya bercampur kesal. Tergamak mamanya buang cucu sendiri.

“Man, janjilah dengan mama. Man mesti cari Yati, mintakan maaf mama pada Yati. Mama turut upah nurse tu untuk palsukan kematian anak kamu. Kamu carilah maklumat tentang cucu mama tu di hospital, Man. Maafkan mama ya Man. Ah, sakitnya,” ujar Datin Mariani sambil menekan dadanya.

Rizman beristighfar. Dia tidak sangka mamanya sanggup buat apa saja demi memisahkan dia dan Haryati. Tak sangka mamanya sanggup pisahkan anak dari ibunya. Tergamak mamanya menipu mereka yang bayi mereka meninggal. Air matanya gugur. Dia masih tidak dapat menerima apa yang telah dilakukan mamanya.

Abang longnya terus memangku tubuh Datin Mariani. Anak mata Datin Mariani tiba-tiba kelihatan terbeliak dengan nafas tersekat. Orang ramai sudah mula membaca Yasin.

“Man, lepaskanlah derita mama dengan kemaafan kau buat mama. Kesian mama terseksa menjelang sakaratnya tu,” ucap abang ngahnya pula.

Rizman jatuh kasihan. Terus dia menggenggam jemari Datin Mariani.

“Mama, Man maafkan mama. Mama, mengucap maa… La ila ha illallahh…”

Beberapa kali Rizman mengajar mamanya mengucap dua kalimah syahadah itu. Beberapa minit kemudian, Datin Mariani pun menghembuskan nafasnya yang terakhir, meninggalkan jasadnya yang terbaring kaku dan lesu. Rizman menangis. Perasaannya bercampur baur kini. Sampai ke hujung dunia pun dia akan cari isteri dan anaknya itu.

Pagi itu, heboh satu sekolah apabila pengawas bertugas yang melakukan sportcheck menjumpai surat cinta di meja Hilda. Kecoh semua pelajar di sekolah memperkatakan hubungan cinta Faris dan Irdina. Faris dan Irdina dipanggil ke bilik guru disiplin. Hilda turut dipanggil namun sejak tadi dia hanya menundukkan wajah.

“Ustazah, bukan saya yang tulis surat-surat tu. Memang Faris ada beri saya surat, tapi saya dah buang surat tu ke dalam semak. Ustazah boleh tanya Hilda. Hilda ada dengan saya waktu saya buang surat tu ustazah.”

Bersungguh Irdina membela diri. Guru disiplin, ustaz Firdaus, cikgu Faridah dan ustazah Seri saling memandang. Faris sejak tadi hanya terdiam dan mematungkan diri.

“Faris, betulkah surat ni kamu yang tulis?” soal ustaz Firdaus.

Faris menganggukkan kepala. Anak mata ustaz Firdaus kini pada wajah Hilda pula.

“Hilda, betulkah surat ni Irdina yang tulis?” soal ustaz Firdaus lagi.

Hilda tidak mengangguk dan tidak juga menggeleng. Tidak berkedip ustazah Seri merenung wajah Hilda. Dia yang membela Irdina di hadapan guru disiplin itu apabila melihat tulisan di surat itu bukan tulisan Irdina. Tambahan pula Irdina seorang yang tekun dalam pelajaran. Dia yakin Irdina tidak akan terjebak dengan gejala cinta monyet itu.

“Baik kamu cakap betul-betul, siapa sebenarnya yang tulis surat tu?” soal cikgu Faridah, garang.

“Hmm…sebenarnya surat tu sa.. Saya yang tulis, cikgu,” ujar Hilda lagi.

Faris dan Irdina tersentak. Irdina tidak menyangka Hilda akan melakukan semua itu. Selama ini dia menganggap Hilda sudah seperti saudara kandung. Sanggup betul Hilda melakukan semua itu demi kepentingan dirinya. Faris mengetap bibir. Antara terkejut dan rasa kesal mula bercampur.

“Cikgu, kalau saya tahu bukan Irdina yang balas surat saya, saya takkan layan surat Hilda tu cikgu. Saya tulis surat pada Irdina hanya untuk berkenalan dan bertukar-tukar fikiran berkenaan pelajaran saja. Tak lebih dari itu.” Faris mula membela diri.

Hilda mengetap bibir berseli malu yang teramat sangat.

“Saya minta maaf cikgu. Saya tak buat lagi. Maafkan saya, cikgu.”

Hilda menangis teresak-esak.

“Faris, saya minta maaf. Sebenarnya Irdina tak nak surat awak dan dia dah buang surat awak tanpa membacanya. Saya kasihankan awak sebab tu saya pungut surat tu dan balas surat tu agar awak tak kecewa.”

Kata-kata itu membuatkan kesemua guru yang berada di situ tergelak. Kali ni wajah Irdina pula yang merona kemerahan. Sungguh dia tak sangka Hilda sanggup pungut surat yang dibuangnya tempoh hari. Malah Hilda sanggup membalas surat-surat itu menggunakan namanya.

“Kamu ni Hilda, mengaku aje la yang kamu syok kat si Faris ni kan?” usik ustaz Firdaus lagi tambah membuatkan Hilda malu.

Faris pula hanya tertunduk.

“Faris, Irdina dan Hilda, ustazah nak ingatkan kamu, surat, chatting, sms dan segala bentuk cara berhubung lelaki dan perempuan itu, semuanya itu jalan-jalan ke arah zina. Kamu tak takut terlanjur ke? Memanglah sekarang tidak lagi. Tapi bila dah bersurat-surat, dah kenal rapat, mulalah nak keluar berdua, kemudian berpegangan tangan dan akhirnya bunting sebelum nikah. Kamu ni muda lagi tau. SPM pun tak ambil lagi. Ustazah nak ingatkan kamu, jangan wujudkan percampuran lelaki dan perempuan. Lebih-lebih lagi pergaulan dan percampuran yang tidak terkawal. Jangan dilayan cinta monyet waktu remaja ni. Tumpukan perhatian pada pelajaran kamu. Itulah kewajipan kamu pada ibu dan bapa kamu. Mereka sangat mengharapkan kejayaan kamu,” ujar ustazah Seri panjang lebar.

Faris, Irdina dan Hilda sama-sama mengangguk. Setelah menerima kaunseling dari guru kaunseling dan guru disiplin, mereka dibenarkan kembali ke kelas. Mereka tidak didenda. Hanya diberikan kata amaran agar tidak mengulangi hal tersebut.

Keluar dari bilik kaunseling, Faris terus berlalu ke kelasnya. Melihat kelibat Faris sudah jauh, Irdina pantas mendepani Hilda.

“Ida, aku tak sangka kau sanggup buat semua tu. Kalau kau syok kat Faris, kenapa tak berterus-terang aje kat dia? Kenapa kau guna nama aku? Aku memang tak sangka. Aku ingat kaulah sahabat baik aku. Aku malu, tau tak,” ujar Irdina kesal.

Selesai berkata-kata, Irdina terus meninggalkan Hilda yang hanya membisu. Hilda terus ke tandas. Merasa malu dengan tindakannya, dia menangis semahu-mahunya di tandas. Seharian itu dia tidak masuk langsung ke dalam kelas.

Rupanya kes surat cinta itu memberi tamparan yang hebat pada Hilda. Disebabkan hal surat itu, Hilda kerap bersendirian. Dia sudah tidak berkawan dengan Irdina lagi. Beberapa kali Irdina cuba menegur Hilda, namun Hilda lebih suka mengelak dan melarikan diri. Jadi Irdina pun membawa diri. Nak ke mana-mana pun seorang diri. Nak mengulangkaji pelajaran pun seorang diri juga. Mujurlah Irdina rapat dengan guru-guru di sekolah. Guru-gurulah yang banyak membantu dan memberi motivasi pada Irdina menjelang peperiksaan SPM, lebih-lebih lagi ustazah Seri yang tidak jemu-jemu memberikan dorongan semangat pada Irdina. Selain Hilda, hanya ustazah Seri yang mengambil berat tentang apa yang dihadapi Irdina di rumah batu dua tingkat itu.


Note : Untuk makluman para pembaca yang budiman, novel Mawar Putih Buatmu akan terbit dan menemui pembaca pada bulan November 2014 ini.. Nantikan ya…

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.