Home Novel Umum Mawar Putih Buatmu (Adaptasi dari tajuk asal "Mawar Irdina")
Mawar Putih Buatmu (Bab 16)

Faris menghempas pintu. Mujur juga hanya biliknya saja yang berada di tingkat atas. Jadi hentakkan pintunya itu tidak didengar oleh sesiapa. Faris melonggarkan tali leher. Butang baju kemejanya dibuka. Kemeja putih jalur biru jenama Bentop itu dicampak ke dalam bakul pakaian. Lantas punggungnya dihenyakkan di katil. Tangannya segera diraup ke wajah beberapa kali. Geram. Panas hatinya.

‘Mawar, kita suami isteri yang sah. Haram hukumnya berdua-duaan dengan lelaki bukan muhrim tanpa izin suami. Bila kau akan buka pintu hati kau untuk aku, suamimu? Maaf jika selama hari ini terlalu lama aku berdiam diri membuatkan kau sepi. Tapi tak cukupkah isyarat kata yang aku berikan malam tadi. Aku sangat mencintaimu Mawar. Jangan paksa aku untuk berlaku kejam dengan kau. Jika tidak, cinta ini akan bertukar menjadi benci yang tidak mengenal rupa. Kau masih tak kenal. Aku ini seorang yang pencemburu!..

Ketukan di luar pintu mengejutkan Faris. Tombol pintu dipulas. Terpacul Mak Siti dengan senyuman.

“Ada apa Mak Siti datang ketuk pintu bilik saya ni?” soal Faris dengan nada bersahaja.

“Tuan Muda, kejap lagi Tuan Muda turunlah ke dapur. Ada cik Puan Sarah minta Mak Siti simpankan nasi lauk tengahari tadi. Puding jagung yang Cinderella buatkan pun ada disimpan untuk bahagian Tuan Muda. Lama kami tunggu Tuan Muda tadi. Rupanya Tuan Muda sibuk di pejabat,” ujar Mak Siti lagi.

“Ya la. Kejap lagi saya turun. Hmm… Mak Siti, boleh saya tanya sikit?” soal Faris.

Saat itu anak mata Faris tiba-tiba pula menangkap kelibat Irdina yang sedang berjalan ke luar ke halaman villa dengan raga kain di tangan. Pasti Irdina mahu mengangkat pakaian di ampaian. Mak Siti yang menyedari ekor mata Faris itu, segera tersenyum-senyum.

“Kalau pasal Cinderella, Tuan Muda nak tanya banyak-banyak pun insya-ALLAH Mak Siti boleh jawab apa yang patut,” ujar Mak Siti dengan senyum sumbing.

Kali ni betul pula Mak Siti menyebut sebutan nama Cinderella itu. Faris menyandarkan tubuhnya di daun pintu biliknya. Kedudukan begitu lebih buat dia selesa mahu berbual dengan Mak Siti walau dalam keadaan berdiri begitu.

“Mak Siti, Cinderella memang kenal ke dengan Haziq, anak angkat mama dan papa tu?” soal Faris.

Wajahnya saat itu memang memaparkan riak cemburu di hati. Mak Siti jungkit bahu.

“Oh, yang itu Mak Siti tak tahu. Yang Mak Siti tahu, Dr. Haziq tu pernah jumpa Cinderella di dalam feri di Langkawi. Berkenan sungguh dia pada Cinderella yang cantik lagi manis tu. Kalau Mak Siti ada anak lelaki yang kaya raya, dah tentulah Mak Siti pinangkan Cinderella tu buat menantu Mak Siti, hehe,”

Ketawa Mak Siti itu buat hati Faris bertambah sakit sebenarnya. Namun dipendam saja perasaan geram itu.

“Oh, Cinderella baik dan cantik, siapa yang tidak suka kan Mak Siti. Macam mana Mak Siti tau yang Haziq tu berkenan sangat dengan Cinderella?” soal Faris lagi.

“Rugi Tuan Muda tak ada waktu di meja makan tengahari tadi. Dr. Haziq tu berkenan dengan Cinderella hingga lauk dan puding yang dimasak Cinderella pun ditambah-tambah berulang kali. Tak lepas-lepas dia memuji masakan Cinderella sedap. Bukan itu aje Tuan Muda. Dia siap merisik tentang Cinderella pada Tuan Rizman dan Cik Puan Sarah lagi,” sengaja Mak Siti berintonasi, mahu menyedapkan ceritanya.

Wajah Faris makin mencuka. Dadanya bagaikan seperti dicurah-curah dengan minyak gas. Makin geram dia mendengar cerita Mak Siti, makin pula dia mahu tahu.

“Eh, dia merisik Cinderella pada mama dan papa? Maksudnya apa tu Mak Siti?” soal Faris semakin nak tahu.

“Dia merisik tentang Cinderella. Malah dia siap cakap lagi yang dia berkenan mahu meminang Cinderella, buat isteri jika Cinderella masih kosong. Kan Dr. Haziq dan keluarganya memang datang ke sini mahu merisik Tuan Muda,” ujar Mak Siti lagi.

“Apa? Merisik saya? Merisik saya apa pula ni Mak Siti? Aduh..Saya makin tak faham la Mak Siti,” ujar Faris bingung.

Serta-merta Faris duduk menyandar di pintu biliknya. Mak Siti pula duduk di kerusi kayu di depan bilik Faris. Bertambah semangat Mak Siti mahu menyambung cerita. Mak Siti kalau dah diberi peluang bercerita, memang nombor 1. Kalah drama TV.

“Rupanya mereka sekeluarga datang sini, selain menziarah Tuan Rizman dan Cik Puan Sarah, mereka pun datang sini untuk merisik Tuan Muda untuk anak perempuan mereka, adik pada Dr. Haziq. Apa namanya ya? Terlupa pula Mak Siti. Itulah Mak Siti asyik makan asam dan mempelam aje akhir-akhir ini, tu sebab selalu lupa, ish…” keluh Mak Siti lagi.

Sambil menggelengkan kepala, Mak Siti menggaru-garu kepalanya. Dibetulkan juga scarf di kepalanya yang hampir terlucut itu. Faris masih menunggu Mak Siti menghabiskan kalamnya.

“Kalau tak salah Mak Siti, Cik Puan cakap namanya Mimi cam gitulah bunyinya. Tapi Mak Siti dengar-dengar Mimi tu bakal doktor macam abangnya juga. Tu sebab mereka nak jodohkan Mimi tu dengan Tuan Muda. Bukankah Tuan Muda memang saling mengenal dengan Mimi tu sejak kecil kan?” soal Mak Siti pula.

Sekali lagi Faris meraup wajahnya dengan tangan kanannya. Dia tidak menjawab soalan Mak Siti itu. Kisah waktu kecil itu hanya kisah lama. Namun jauh di sudut hatinya, dia memang tidak pernah lupakan Mimi. Cuma dia tidak pasti apa sebenarnya status Mimi di hatinya kini. Lebih-lebih lagi setelah dia sudah beristeri. Dia bimbang jika Mimi berharap pula.

“Habis tu apa kata mama dan papa, Mak Siti?” soal Faris lagi.

“Hm… Cik puan berkenan dengan Mimi tu. Cik puan cakap Mimi tu cantik sungguh orangnya. Bakal doktor pulak tu, siapa yang tak nak kan. Tuan Rizman pula lebih senang hal tu jangan tergesa-gesa. Tuan Rizman nak hal tu dirujuk dulu dengan Tuan Muda,” ujar Mak Siti lagi.

Mendengar ayat terakhir Mak Siti itu, serta-merta Faris menarik nafas lega.

“Fuh… Nasiblah papa sangat memahami saya, Mak Siti. Kalau boleh waktu sekarang saya mahu tumpukan fokus saya pada hal-hal urusan kerja. Mawar Putih Resort perlukan perhatian saya,” ujar Faris lagi.

Mak Siti tersenyum meleret. Faris pandang pelik Mak Siti.

“Kenapa Mak Siti senyum-senyum ni?” soal Faris lagi.

“Betul ke Tuan Muda mahu fokus pada urusan resort? Bukan pasal Cinderella?” soal Mak Siti lagi.

Mendengar soalan itu, Faris terbungkam. Dia berdiri memeluk tubuh.

“Kenapa pula saya nak sibuk dengan urusan Cinderella? Kan dia dah dapat sesuaikan diri tinggal dan kerja kat sini? Mungkin dia pun dah dapat sesuaikan diri belajar di kampus juga. Pandai-pandailah dia jaga diri. Kalau dia perlukan apa-apa bantuan, Mak Siti pun boleh tolong dia kan Mak Siti,” ujar Faris lagi.

Sengaja dia tidak mahu Mak Siti dapat membaca ada sesuatu antara dirinya dan Irdina.

“Tuan Muda tak risau ke?” soal Mak Siti lagi.

Kali ni, Mak Siti pula yang bangun dari kerusi kayu di tepi bilik Faris itu. Sekali lagi Faris pandang wajah Mak Siti.

“Risau apa Mak Siti?” soal Faris, buat-buat tak faham.

“Tuan Muda tak risau ke kalau-kalau Cinderella tu dikebas orang?” soal Mak Siti lagi.

Faris gigit bibir. Sekali lagi tangan kanannya meraup wajah.

“Err… Entah la Mak Siti, saya…

Belum sempat Faris meneruskan kata-kata, tiba-tiba…

“Mak Siti… Oo Mak Siti…”

“Baik-baik cik Puan, Mak Siti datang,” sahut Mak Siti lagi.

“Tuan Muda, Mak Siti turun dulu ya. Entah apa pula yang cik Puan Sarah bising-bising panggil Mak Siti tu, ish..ishh ada-ada aje yang tak kena kalau mood Cik Puan tak baik.”

Sempat lagi Mak Siti bersungut. Tanpa bertangguh, cepat-cepat Mak Siti turun ke bawah menuju ke halaman luar rumah.

Irdina hanya menundukkan wajah. Sungguh dia memang tidak sengaja. Selesai mengangkat pakaian di jemuran, dia mengeluarkan hos getah air. Mahu menyiram pokok. Ketika dia menyiram mawar putih di taman, tanpa sedar hos getah air telah tersadung pada pasu bunga antic milik Sarah. Berkecai pasu itu jatuh ke lantai.

“Hey Cinderella, tengok apa yang kau dah buat ni? Habis pecah pasu kesayangan aku. Aduhh.. Kenapalah kau kat rumah ni asyik nak pecahkan barang-barang aku aje. Hari tu pecahkan pinggan kaca aku. Hari ini pecahkan pasu bunga aku. Esok-esok, cermin tingkap kereta aku pula yang kau pecahkan. Kalau kau dah tak reti nak buat kerja tu tak payahlah kau terus kerja kat sini. Aku pun dah tak kuasa tengok muka kau,” luah Sarah sepuas hati.

Puas hatinya bila habis semua sumpah seranahnya dihamburkan ke wajah Irdina. Irdina yang sejak tadi hanya menunduk mula mengesat air mata yang gugur setitik demi setitik. Dia merasa layanan Sarah pada dirinya tak ubah seperti layanan Rosmah pada dirinya dulu. Segera dia teringatkan wajah bengis Rosmah yang tidak sudah-sudah memarahi dan memaki hamun dirinya. Namun tiba-tiba pula wajah Sarah bertukar menjadi wajah Rosmah.

“Ampun mak cik. Sakit mak cikk… Sakitt…,” jerit Irdina sekuat hati tiba-tiba.

Terus Irdina terjelepuk ke lantai dengan mata terpejam. Peluh merenik kecil di dahinya. Mak Siti yang baru saja tiba di situ hanya mematungkan diri melihat Irdina sedang teresak menangis sambil menepis-nepis di lengan dan kakinya. Makin hairan Mak Siti bila melihat pasu bunga antic kesayangan Sarah pecah. Mendengar jeritan Irdina, Sarah terkejut bukan kepalang. Segera dia berlari ke belakang Mak Siti. Bahu Mak Siti dipegang.

“Mak Siti, kenapa dengan Cinderella tu? Saya tak ada buat apa-apa tadi. Saya hanya tegur dan marah dia kerana dia dah pecahkan pasu antic saya tu Mak Siti. Tiba-tiba saja dia memekik macam itu pula. Betul Mak Siti, saya tak ada pukul dia. Sentuh dia pun tidak. Sumpah!” ujar Sarah terketar-ketar.

Mak Siti segera memeluk Irdina erat-erat. Luluh hatinya melihat betapa derita Irdina menanggung segala yang pernah dia lalui di rumah ibu angkat dulu. Dapat dijangka, betapa azab layanan buruk yang diterima Irdina dulu.

“Cinderella, dengar sini nak. Cinderella ada Mak Siti. Cinderella ada dengan Mak Siti. Tak ada Mak Cik Rosmah kat sini, sayang. Kami kat sini semuanya sayangkan Cinderella. Tak ada siapa di sini yang sanggup pukul Cinderella. Mak Siti sayangkan Cinderella,” bisik Mak Siti.

Mendengar suara lembut Mak Siti, perlahan-lahan dia membuka mata. Seakan baru tersedar dari rasukan, Irdina sedikit terpinga-pinga kehairanan. Menyedari Mak Siti sedang memeluknya, meletus lagi tangisannya. Bersyukur sungguh dia setelah memastikan memang dia berada di dalam pelukan Mak Siti. Dia berada di Villa Mawar Putih. Bukan di rumah batu dua tingkat. Bukan berada di rumah Rosmah, Haron dan Iryani.

“Mak Siti, Dina takut dengan mak cik Ros. Mak cik Ros suka marah-marah dan pukul-pukul Dina. Mak Siti janji, jangan tinggalkan Dina. Jangan serahkan Dina pada mak cik Rosmah ya. Janji tau Mak Siti?” soal Irdina dengan air mata berlinang.

Makin luluh hati Mak Siti mendengar kata-kata Irdina itu. Dipeluk lagi tubuh kecil Irdina. Diusap-usap tubuh kecil itu bagaikan dia mengusap anaknya sendiri.

“Tak Cinderella. Mak Siti takkan serahkan Cinderella pada mak cik Rosmah yang zalim tu. Insya-ALLAH Cinderella selamat dengan Mak Siti. Cinderella selamat di sini, nak,” ujar Mak Siti lagi.

Mak Siti memapah tubuh Irdina bangun.

“Cik puan, saya rasa Cinderella mengalami trauma. Bila cik puan marah dia tadi, agaknya dia kembali teringatkan apa yang ibu angkatnya pernah lakukan padanya dulu. Cik puan, saya minta maaf bagi pihak Cinderella ya. Saya tahu dia pasti tak sengaja pecahkan pasu bunga antic cik puan tu,” ujar Mak Siti lagi.

Mendengar kata-kata Mak Siti, Sarah terdiam. Timbul pula rasa serba salahnya pada Irdina. Hal pasu pecah itu memang Irdina tidak sengaja terpecahkan pasu itu. Cuma dia yang sengaja membesarkan hal tu agar dia dapat mencari kesalahan Irdina. Lalu kesalahan itu dijadikan sebab untuk dia menghamburkan kemarahannya pada gadis itu.

“Hm… Ya la ya laa… Mak Siti bawalah dia ke bilik. Baru kena marah sikit dah hysteria. Hish…,” ujar Sarah lagi sambil menggelengkan kepala.

Note : Untuk makluman para pembaca yang budiman, novel Mawar Putih Buatmu akan terbit dan menemui pembaca pada bulan November 2014 ini.. Nantikan ya…

~ Annur Iman ~

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.