Home Novel Umum Mawar Putih Buatmu (Adaptasi dari tajuk asal "Mawar Irdina")
Mawar Putih Buatmu (Bab 12)

Selepas turun dari feri, Rosmah berjalan kaki. Seharian berjalan, Rosmah masih tidak pasti hala tujunya. Dihayunkan saja langkahnya sehingga terasa letih barulah dia rehat melepaskan lelah. Rambutnya yang kusut masai serta pakaiannya yang lusuh itu membuatkan sesiapa saja yang memandang merasa jijik padanya. Tak kurang juga yang menyumpah seranah dirinya.

“Ishh… Perempuan gila! Pergi jauh-jauh kau. Nanti semua pelanggan aku lari, lalat pula yang datang,” kata seorang mak cik pemilik warung di tepi jalan.

“Uweekk… Patutlah busuk. Rupanya ada longkang kat sini, jomlah blah pergi ke warung lain. Tak ada selera aku nak makan tengok muka perempuan gila tu,” ujar seorang pelanggan.

Dengan perasaan sayu, Rosmah mengheret langkah meneruskan perjalanannya. Air matanya tidak henti merembes. Kata-kata sumpah seranah itu lebih berbisa dari rasa sakit kakinya. Orang ramai yang berpapasan dengannya pantas mengelakkan diri dan melalui jalan lain. Malah ada yang menutup hidung menahan loya. Saat itu dia merasa dirinya lebih hina dari bangkai bernyawa.

Hari sudah menginjak ke petang. Rosmah masih meneruskan langkah. Dia memegang perut tatkala terasa lapar. Tidak jauh dari tempat itu kelihatan tong sampah besar di belakang deretan kedai makan. Dia menghampiri tong sampah itu. Dicarinya sisa makanan terbuang yang masih boleh dijamah untuk mengalas perut. Tiba-tiba betisnya digesel. Rupanya seekor anak kucing. Anak kucing itu menggeselkan tubuhnya pada betis Rosmah. Rosmah menunduk, lalu diusapnya kepala kucing itu sambil tersenyum.

Seketika kemudian, anak kucing itu berlari ke arah satu bungkusan nasi yang sedikit terbuka. Dia menguis bungkusan nasi itu memberikan isyarat kepada Rosmah agar mengambilnya. Rosmah terus memungut nasi bungkus itu beserta botol air mineral yang masih berbaki separuh botol. Dia mendukung anak kucing iut ke bawah bangsal di tepi longkang.

Ternyata nasi bungkus itu masih elok dan boleh dimakan. Dia menjamah sedikit nasi, selebihnya diberikan pada anak kucing itu. Dia meneguk air mineral secukupnya lalu mengusap kepala anak kucing itu.

‘Ada rezeki untukku hari ni walau sesuap nasi. Alhamdulillah, ALLAH kirimkan kau untuk temankan aku. Terima kasih ya ALLAH.’

Beberapa ekor lalat hijau yang berkeliaran di situ sesekali menghinggap di kaki kiri Rosmah yang sudah membiru, membusuk dan berair. Dia mengurut betis kakinya dan ditepis juga lalat-lalat itu dari terus menghurungi kakinya.

Sesudah cukup rehat Rosmah bingkas bangun menyambung perjalanan. Ketika berjalan, anak kucing tadi turut mengikutnya. Namun saat mereka mahu melintas jalan, tiba-tiba anak kucing itu berlari dan berhenti menunggunya di tengah jalan. Kebetulan pula sebuah kereta sedang meluru laju. Rosmah pantas berlari ke tengah jalan menyambar anak kucing itu ke dalam dakapannya. Namun malang sekali, tubuhnya turut tergesel dengan kereta yang laju itu. Dia terus terbaring tidak sedarkan diri bersama anak kucing itu.

Sedar dari pengsan, Rosmah sudah berada di hospital. Beberapa orang jururawat kelihatan sedang membuat pemeriksaan terhadap tubuhnya.

“Bagaimana saya ada di sini nurse?” soal Rosmah.

“Mak cik rehat ya. Mak cik kemalangan. Orang yang melanggar mak cik yang bawa mak cik ke sini. Malah dia turut membiayai bayaran perubatan dan pembedahan kaki mak cik,” ujar jururawat itu lagi.

Mendengar kata-kata nurse itu, kalut-kalut Rosmah bangun dari berbaring, terus tangannya meraba-raba pada kain cadar yang menutupi kakinya. Terkedu dia tatkala tangannya tidak menyentuh betis dan kakinya. Pantas dia menyelak kain cadar itu. Anak matanya terbuntang sayu menatap kakinya yang kudung hingga ke paras lutut.

“ALLAHHU AKBAR.. ALLAHHU AKBARR.. ALLAHH…Ya ALLAH….,”

Serentak itu Rosmah meraung. Air matanya membasahi pipi. Langsung dia tidak menyangka yang dia akan kehilangan kaki kirinya. Beberapa jururawat di situ segera memeluk dan menenangkannya. Kain cadar itu segera ditutup kembali.

“Sabar mak cik. Kami minta maaf. Pihak hospital terpaksa melakukan pembedahan segera, memandangkan mak cik mengidap penyakit kencing manis. Paras gula di dalam air kencing mak cik sudah berada di tahap merbahaya. Kalau tidak dibedah, kami bimbang akan melarat hingga ke lutut dan peha mak cik,” ujar jururawat yang berkaca mata.

“Mak cik bersabar ya. Segala pembiayaan pembedahan sudahpun dijelaskan oleh seseorang yang tidak mahu dikenali. Insya-Allah, mak cik selamat sekarang,” ujar jururawat yang lagi seorang.

Rosmah mengesat air matanya. Dia sedar dia kini sudah tidak berdaya mahu melangkah sekalipun. Nikmat sebelah kakinya sudah ditarik. Semuanya kerana kifarah dosa-dosanya.

“Assalamualaikum,”

Semua mata bertumpu pada empunya suara.

“Oh, Dr. Haziq. Mak cik Rosmah dah selamat menjalani pembedahan semalam, doctor,” ujar seorang jururawat yang berkaca mata.

Haziq tersenyum pada Rosmah.

“Apa khabar mak cik hari ni?” soal Haziq sambil menyelak kain cadar yang menutupi kaki Rosmah.

Rosmah mengesat air matanya. Dia menganggukkan kepala sambil melihat Haziq meneliti kakinya. Melihat keadaan Rosmah, timbul rasa kesal di hati Haziq. Jika bukan kerana kecuaiannya, pasti Rosmah tidak akan terlantar begini di sini. Memang dia sudah memaklumkan pada pihak hospital agar merahsiakan bahawa dia yang melanggar Rosmah. Ini kerana dia mahu membiayai pembedahan kaki Rosmah dan melunaskan kos rawatan Rosmah di sini.

Kaki Rosmah, jika tidak dibedah dan dipotong dengan segera, ia akan mengancam nyawa Rosmah. Bukan saja kerana ihsannya pada Rosmah, tetapi juga atas permintaan Irdina. Kebetulan sewaktu kemalangan, dia menumpangkan Irdina. Dia sendiri hairan melihat Irdina begitu sedih bila melihat keadaan Rosmah yang tidak terurus begitu. Sehingga ke hari ini dia masih memikirkan apa sebenarnya hubungan Irdina dengan Rosmah.

Beberapa ketika Haziq memeriksa tekanan darah Rosmah.

“Alhamdulillah, kesihatan mak cik sudah bertambah baik. Mak cik tinggal di mana? Mak cik masih ada saudara mara? Kemungkinan hujung minggu ini mak cik sudahpun boleh keluar dari wad ini,” ujar Haziq lagi.

Mendengar kata-kata Haziq membuatkan Rosmah termenung panjang. Haziq dan jururawat di situ saling memandang.

“Doktor, boleh tak hantarkan mak cik ke rumah kebajikan orang tua-tua? Mak cik dah tak ada sesiapa lagi. Suami mak cik dah tak pedulikan mak cik lagi. Dia dah ada bini muda dia,” ujar Rosmah sedih.

Haziq dan para jururawat di situ saling memandang dengan rasa belas.

“Anak-anak mak cik?” soal jururawat yang tidak berkaca mata.

Teringatkan Iryani, air matanya makin lebat.

“Mak cik tak tahu ke mana Iryani menghilang. Dia lari dari hospital. Mak cik keluar dari rumah kerana nak cari Iryani. Namun mak cik pun tak tahu nak pergi ke mana untuk mencari Iryani,” ujar Rosmah lagi.

Sekali lagi Haziq saling berpandangan dengan jururawat yang dua orang itu.

“Iryani yang keguguran itukah anak mak cik?” soal jururawat yang berkaca mata.

Rosmah mengangguk sambil memegang lengan jururawat itu.

Nurse tahu apa-apa pasal Iryanikah?” soal Rosmah.

“Bertenang mak cik. Kisah Iryani dan kegugurannya tu memang kami sedia maklum tapi kes itu bukan dalam hospital ni, tapi di hospital Langkawi. Dari yang kami dengar, memang dia yang melarikan diri. Sehingga sekarang masih belum ada berita lagi,” ujar jururawat itu lagi.

“Ya Allah, selamatkanlah anakku,” ujar Rosmah lagi.

“Mak cik banyakkan bersabar. Kita serahkan saja pada pihak berkuasa untuk selesaikannya. Insya-ALLAH kita doakan Iryani selamat walau di mana pun dia berada,” ujar Haziq lagi.

“Baiklah. Terima kasih doktor,” ujar Rosmah lagi.

“Mak cik, tentang kehendak mak cik mahu dihantar ke rumah kebajikan orang tua-tua tu, insya-ALLAH saya akan usahakan. Mak cik jangan risau. Mak cik banyakkan rehat ya,” ujar Haziq lagi.

“Terima kasih doktor, nurse. Hanya ALLAH yang mampu membalas jasa baik doktor dan nurse semua,” ujar Rosmah lagi.

“Oh, sebelum saya terlupa. Mak cik, ini gelang emas mak cik?.”

Haziq menyerahkan gelang emas itu kepada Rosmah.

“Terima kasih doctor. Mujurlah gelang emas ini tak hilang,” ujar Rosmah lagi.

Haziq menulis suatu catatan di buku rekod pesakit. Dia menurunkan tanda tangan dan menyerahkan buku rekod itu kepada jururawat bertugas.

“Baiklah. Saya minta diri dulu ya mak cik,” ujar Haziq lagi kemudian berlalu pergi.

Namun dari jauh dia sempat lagi memerhatikan Rosmah. Serentak dia menggelengkan kepala. Jatuh kasihan pula dia dengan nasib Rosmah.

‘Kasihan mak cik ni. Sudah la dihalau dari rumah, terlibat dengan kemalangan pula. Kemudian sebelah kakinya pula dipotong. Suami dan anaknya entah ke mana. Tapi apa hubungan Irdina dan mak cik Rosmah? Kenapa Irdina beriya benar mahu menolong mak cik Rosmah?’

Imbas kembali

Ketika Haziq mahu memandu keluar dari perkarangan Hospital Jitra itu, dia terpandangkan seseorang sedang menunggu bas di hentian bas berhampiran dengan hospital. Kebetulan waktu itu hanya gadis itu sendirian menunggu bas di hentian menunggu bas itu. Memang tak salah lagi. Memang dia orangnya. Walau waktu itu hujan lebat, dia masih mengecam pesona wajah gadis itu. Gadis yang telah mencuri hatinya sejak pertemuan pertama mereka di dalam feri tempoh hari. Irdina! Itulah sekeping nama milik gadis itu.

Haziq memberhentikan keretanya di tepi jalan. Dia membunyikan hon, mengisyaratkan agar Irdina menghampiri keretanya. Irdina berjalan ke tepi kereta itu dengan menutup kepalanya dengan beg sandang.

“Cik nak ke mana? Jomlah tumpang kereta saya. Hujan lebat ni. Bahaya cik tunggu bas sorang-sorang di sini. Marilah saya hantarkan ke stesyen bas tak jauh dari sini. Di sana nanti, cik lebih mudah nak dapat bas. Sini susah sikit nak dapat bas. Tambang teksinya pun mahal,” ujar Haziq panjang lebar.

Irdina serba salah. Dentuman guruh yang kuat beserta kilat yang sambar menyambar menyebabkan Haziq spontan menolak daun pintu keretanya. Serentak itu Irdina melangkah masuk ke dalam kereta. Bertambah segan kerana dia duduk di sit hadapan, bersebelahan dengan Haziq.

Kereta bergerak namun kedua mereka sama-sama masih membisu. Irdina ralit memerah air hujan yang membasahi lengan baju dan kain baju kurungnya. Sepantas itu Haziq mencapai tuala kecil di sit belakang. Tuala kecil itu memang diletakkan di dalam kereta untuk mengelap cermin hadapan sewaktu hujan lebat. Dia menghulurkan tuala kecil itu pada Irdina.

Segan-segan Irdina mengambilnya.

“Cik Irdina kan?”

Haziq ingin mengajaq Irdina berbual. Baginya inilah peluang yang ditunggu-tunggu. Bersyukur dia kerana dapat bertemu lagi dengan gadis berwajah mulus itu. Namun wajah Irdina tampak pucat pula.

‘Dia tak sihatkah?’

Perlahan Irdina mengangguk. Dia juga masih mengingati Haziq.

“Encik ni Encik Haziq kan? Terima kasih beri saya dua biji limau waktu dalam feri dulu.”

Tersenyum Haziq. Hatinya berbunga.

“Wah, tak sangka saya Irdina masih ingat saya. Irdina dari hospital? Tak sihat?” soal Haziq lagi.

“Err…ya. Saya datang ambil ubat untuk rumah majikan tiap-tiap bulan,” ujar Irdina terpaksa berdalih.

Walau apa pun sebab sebenar dia ke hospital pagi itu, itu adalah rahsia antara dirinya dan doctor yang merawat penyakitnya. Cuma apa yang baru saja diketahui, penyakitnya selama ini bukan sekadar lelah biasa.

“Oh, begitu. Hm.. Di mana rumah majikan Irdina? Marilah saya hantarkan.”

“Eh, tak payah encik. Dah cukup encik tumpangkan saya hingga ke stesyen bas. Nanti saya akan pulang sendiri ke rumah dengan bas. Terima kasih banyak, encik.”

“Kalau macam tu, tak apalah. Nanti saya turunkan Irdina di stesyen bas depan tu aje. Cuma Irdina janganlah berencik dengan saya. Panggil aje Haziq.”

Irdina tersenyum nipis lalu mendiamkan diri. Namun sedang Haziq khusyuk memandu, tiba-tiba ada seekor anak kucing melintas dan berhenti di tengah jalan. Kebetulan pula ada seorang tua berlari ke tengah jalan lalu menyambar anak kucing itu. Haziq hampir gagal mengawal stereng kereta. Kereta yang dipandunya turut bergesel dengan perempuan tua itu. Perempuan tua itu terbaring di tepi jalan.

“Ya Allah… Kita dah langgar orang, encik. Encik, cepat! Kita mesti selamatkan mak cik tu!” ujar Irdina tercungap-cungap.

Mereka mendapatkan mak cik itu. Sebaik saja melihat wajah mak cik itu, Irdina terus menangis.

“Encik, tolonglah selamatkan mak cik ni encik. Cepat bawa dia ke hospital!”

Haziq memeriksa nadi dengupan jantung mak cik itu. Dia turut meneliti kaki mak cik itu yang sudah kebiruan.

“Jangan risau. Mak cik ni selamat. Dia hanya pengsan. Tapi luka lama pada kaki mak cik ini nampak serius. Kaki mak cik ini memang perlukan rawatan segera.”

“Kenapa dengan kaki mak cik ni encik?” soal Irdina lagi.

“Saya rasa mak cik ni mengidap kencing manis. Mungkin kakinya perlu dibedah segera,” ujar Haziq lagi.

“Walau apa pun sakitnya, encik tolonglah selamatkan dia. Soal kos rawatannya, saya akan tanggung. Cuma saya minta, encik rahsiakan pertolongan saya ni ya,” rayu Irdina lagi.

“Baiklah. Tapi boleh saya tahu kenapa perlu rahsiakan hal tu? Irdina kenal ke mak cik ni?”

“Err… Tak! Saya tak kenal mak cik ni. Cuma bila saya tengok rupa mak cik ni, saya teringatkan mak saya. Sejak kecil saya dah kehilangan mak saya. Saya tak pernah kenal siapa mak saya. Samada mak saya masih hidup atau sudah tiada, moga segala amalan kebaikan menjadi sedekah kepadanya,” ujar Irdina sebak.

“Irdina, tolong saya angkatkan mak cik ni masuk ke kereta.”

Irdina mengangguk. Baru saja dia memapah tubuh Rosmah, seutas gelang emas terlepas dari pegangan Rosmah. Segera gelang itu dipungut.

“Encik, ini barang milik mak cik ni. Nanti encik pulangkan pada mak cik ni bila dia dah sembuh ya. Terima kasih encik.”

Irdina menyalami dan mengucup tangan Rosmah. Kemudian dia menutup pintu kereta dan terus berjalan ke stesyen bas berhampiran.

Saat kemalangan itu Haziq lihat, bersungguh benar Irdina mahu membantu mak cik Rosmah. Kesungguhan gadis itu begitu membuat jiwa lelakinya terharu. Haziq melihat jarum di tangan.

‘Anak-anak zaman sekarang tak hargai seorang ibu. Sebaliknya anak yang tak ada pertalian darah pula yang lebih menghargai seorang ibu.’

Haziq menggeleng lagi. Akhirnya diabaikan keluhan hatinya. Masih ada beberapa orang pesakit lagi yang perlu diperiksanya. Dia bergegas berlalu.

Note : Untuk makluman para pembaca yang budiman, novel Mawar Putih Buatmu akan terbit dan menemui pembaca pada bulan November 2014 ini.. Nantikan ya…

~ Annur Iman ~

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.