Home Novel Umum Mawar Putih Buatmu (Adaptasi dari tajuk asal "Mawar Irdina")
Mawar Putih Buatmu (Bab 9)

Sepeninggalan Irdina, Rosmah resah sendiri. Bimbang kalau-kalau Irdina membuat laporan polis terhadap apa yang telah mereka lakukan terhadap dirinya selama ini.

“Yani, betul ke Yani tak tahu ke mana Dina pergi?” soal Rosmah lagi.

“Betul ma. Yani memang tak tahu ke mana Dina pergi,” ujar Iryani lagi.

Tiba-tiba sebuah kereta Proton Waja mendarat di hadapan rumah batu dua tingkat itu. Haron menekan hon beberapa kali.

“Dah balik pun orang tua tu. Ingatkan dia duduk di rumah bini muda dia tu, dah tak ingat kat kita di sini,” ujar Rosmah lirih.

Rosmah menekan butang, pintu pagar pun terbuka. Kereta Proton Waja milik Encik Haron meluncur laju masuk ke halaman rumah.

“Maa…bukan papa sorang aje yang balik ma,” ujar Iryani kalut.

Rosmah menjenguk ke luar tingkap. Memang bukan Haron seorang diri pulang tetapi berempat.

“Kenapa pulak orang tua ni bawak perempuan tu dan anak-anak tirinya ke sini?” dengus Rosmah mula tak senang hati.

Namun Rosmah tetap memaniskan wajah menyambut kepulangan suaminya.

“Mariah, masuklah. Inilah rumah abang. Mari anak-anak papa. Mulai hari ini inilah kediaman kita,” ujar Haron dengan senyum lebar.

Mendengar kata-kata Haron, Rosmah dan Iryani saling memandang. Mariah menapak keluar dari kereta bersama dua orang anaknya, Adli dan Suzana. Adli berusia 15 tahun, manakala Suzana berusia 12 tahun.

“Wahh…besarnya rumah papa. Untung kita dapat papa kan abang?” ujar Suzana.

“Abang tak suka tinggal sini. Abang lagi suka tinggal di rumah lama kita. Rumah ni busuk, tak bersih. Buruk pula tu. Macam mana kita nak tinggal sini?” ujar Adli lagi sambil menutup hidung.

“Ya la.. Kenapa ada bau busuk dalam rumah ni, bang?” soal Mariah pula.

Mariah berjalan ala-ala mak datin sambil menjeling-jeling ke sekitar rumah itu tanpa mempedulikan Rosmah yang tercegat di ruang tamu. Tegur pun tidak. Bila sampai di dapur, Mariah terus cepat-cepat lari ke ruang tamu sambil menekan tekaknya.

“Uwekk… Uwekk… Kenapa dapur rumah ni kotor sangat. Banyak pinggan mangkuk yang tak cuci. Baju kotor pun bertimbun-timbun tak dibasuh. Patutlah busuk,” ujar Mariah sambil menutup hidung.

Haron mencerlung wajah ke arah Rosmah.

“Ros, kenapa tak kemaskan dapur? Mana Irdina?” soal Haron sambil anak matanya meliar mencari Irdina.

Telahannya pasti Irdina sudah pulang sejak menghilangkan diri malam tadi. Namun tidak kelihatan pula kelibat anak angkatnya itu.

“Irdina dah lari malam tadi pa,” ujar Iryani.

“Oh ya ke. Baguslah kalau dia dah berambus. Taklah aku menyampah tengok muka budak tu. Kalau macam tu awak dan Iryani aje yang bersihkan dapur. Cuci semua pinggan mangkuk dan basuh semua baju kotor tu. Takkan awak nak biarkan dapur ni berkulat dan berulat? Pandai-pandailah kemas. Untuk pengetahuan awak, mulai hari ni, Mariah, Adli dan Suzana akan tinggal di sini,” ujar Haron lagi.

Terbeliak mata Rosmah mendengar kata-kata Haron. Kelihatan Suzana berlari-lari anak menaiki anak tangga ke bilik Iryani. Pintu bilik Iryani ditolak.

“Waa…cantiknya bilik ni. Zana nak bilik ni, boleh ke papa?” soal Suzana girang.

“Eh, itu kan bilik Yani, papa,” ujar Iryani dengan mulut ternganga.

“Yani boleh tukar ke bilik bawah. Bilik Yani tu Zana akan duduk. Adli boleh duduk di bilik Irdina kat bawah tu ya,” ujar Haron lagi.

“Bilik kita mana bang?” soal Mariah dengan suara manja.

“Hm…Ros, Ros tukar ke bilik bawah tu dengan Yani ya. Mariah akan duduk di bilik atas,” ujar Haron lagi.

Kali ni Rosmah pula yang terbeliak. Dia mengetap bibir menahan geram. Iryani segera memeluk mamanya.

“Papa, kenapa mak cik Mariah duduk bilik mama pulak?” soal Iryani lagi.

“Yani, ikut cakap papa kalau kau nak terus tinggal di sini. Kalau tak nak, kau boleh berambus dari rumah ni,” ujar Haron.

Iryani tersentak. Bagaikan dia tak percaya apa yang dituturkan papanya. Bagaikan itu bukan papanya. Sanggup papanya menghalau dia keluar dari rumah itu.

“Oh ya, Ros jangan lupa masak makan malam ya. Kami semua lapar,” ujar Haron lagi sambil menarik lengan Mariah naik ke bilik.

Adli masuk ke bilik Irdina, manakala Suzana sudahpun melompat riang di atas katil Iryani. Iryani memeluk mamanya erat-erat. Setitis demi setitis air mata Rosmah gugur. Entah kenapa saat itu dia terbayangkan wajah Irdina. Terpacul persoalan, mungkinkah sudah tiba pembalasan Tuhan buat dirinya?

Iryani menyental berus ke baju Mariah. Ikutkan hati mahu saja dia sentalkan berus itu ke muka Mariah. Geram berbaur dendam kerana Mariah memperlakukan dia dan ibunya seperti orang gaji di rumah mereka sendiri. Namun dalam diam tanpa pengetahuan Rosmah dan Mariah, Iryani masih menjalin perhubungan dengan Shahrul. Mereka juga kerapkali keluar bersama malah Shahrul juga pernah menidurinya.

Bukannya Iryani tak tahu Shahrul tu kutu rayau. Memang Iryani keluar dengan Shahrul semata-mata mahu berseronok dan melepaskan tekanan. Rumah bukan lagi syurga buatnya. Tetapi sudah ibarat seperti neraka. Setiap hujung minggu, pasti Iryani keluar malam, semata-mata mahu mencari keseronokan luar. Sewaktu sekolah dulu, Irdinalah yang selalu menasihatinya agar tidak berkawan dengan Shahrul. Namun dia sendiri degil. Lonjakan nafsu remajanya dulu menyebabkan dia lupa diri. Hanyut hingga kini. Padahal dia tahu Shahrul pasti tidak mahu bertanggungjawab terhadap dirinya.

Kalau dulu Irdina yang siapkan semua kerja sekolahnya, basuh pakaiannya, memasak dan melakukan kerja rumah, kini semua kerja itu beralas di bahunya pula. Air matanya mengalir bersama emosi geram dan dendam. Dia kesal. Jika dia tidak rosakkan mesin basuh tempoh hari, pasti Irdina tidak lari dari rumah dan masih melakukan semua kerja itu.

Siaplah kalau dia jumpa Irdina lagi. Irdina akan bayar semua sakit yang dirasainya itu. Lebih-lebih lagi bila ibunya, Rosmah sudah jatuh sakit. Terpaksalah dia pula yang melakukan semua kerja rumah itu.

“Yanii… Yanii…,” suara itu kedengaran lagi dari dapur.

Terkocoh kacah Iryani berlari ke dapur.

“Ye mak cik, ada apa?” soal Iryani.

“Kenapa kau biarkan mesin basuh ni penuh melimpah begini? Kau ni tak reti buat kerja ke? Sama macam mak kau yang pemalas tu. Asyik membuta aje kerjanya,” ujar Mariah menyinga tak sudah-sudah.

“Mama tak sihat mak cik. Mama jatuh bilik air pagi tadi waktu cuci baju. Mesin basuh ni dah rosak mak cik. Tak apa. Biar saya aje basuhkan semua baju ni mak cik,” ujar Iryani lagi.

Semua pakaian kotor di dalam mesin basuh dipindahkan ke dalam baldi. Iryani akan mencuci semua pakaian itu dengan tangan kerana mesin basuh itu rosak. Kalaulah dia tak rosakkan mesin basuh itu, sudah tentu dia tak perlu susah-susah mencuci pakaian dengan tangan.

Mariah menapak ke bilik Rosmah. Ditendang kasar pintu bilik itu sehingga Rosmah terkejut dan terjaga dari tidurnya. Rosmah mengurut dadanya.

“Oh, kau senang-lenang membuta kat sini ya. Bangunlah pergi masak. Sekejap lagi abang Haron nak balik makan,” arah Mariah.

“Mariah…kaki aku sakit. Nak gerak pun tak boleh. Macam mana aku nak jalan dan buat kerja dapur tu semua?” ujar Rosmah pula.

“Elleh, nak bagi alasan konon. Nah, ambik batang penyapu ni, buat tongkat. Kalau tak siap hidangan makan tengahari ini, kau anak-beranak jangan makan. Biar mati kebulur dua-dua beranak!” ujar Mariah lagi lantas berlalu ke halaman rumah.

“Mamaa… Mamaa…,”

Jeritan di bilik air itu mengejutkan Rosmah yang baru melangkah ke dapur bertongkatkan batang penyapu. Segera Rosmah mendapatkan Iryani di bilik air.

“Mamaa… Mamaa…” Esakan Iryani makin kuat.

Pintu bilik air segera dikuak. Alangkah terkejutnya Rosmah, melihat tubuh Iryani tersadai di lantai bilik air dengan darah yang berlumuran.

“Ya ALLAH… Kenapa dengan kau ni Yani?” soal Rosmah.

“Yani tak tahu Yani dah mengandung, maa… Yani terjatuh, lantai licin. Mama tolong Yani. Yani sakit maa…,” jeritan Yani menyebabkan Mariah turut terkocoh-kacah ke bilik air.

“Mengandung? Padanlah gugur. Rupanya kau ni perangai bohsia ya?” pekik Mariah.

“Mariah, tolonglah bawa Yani ke hospital,” rayu Rosmah lagi.

“Pandai buat, pandailah tanggung!” pekik Mariah lagi lantas berlalu ke ruang tamu.

Langkahnya terhenti bila Haron muncul di pintu dapur.

“Ada apa ni Mariah? Rosmah?” soal Haron curiga.

“Anak awak gugur. Entah jantan mana yang membuntingkan anak awak tu. Entah-entah sengaja disorokkan, takut kita halau dia dari rumah,” ujar Mariah.

Haron menjenguk ke dalam bilik air. Iryani sudahpun lemah. Darah semakin membuak-buak keluar.

“Abang, bawalah Yani ke hospital bang. Kesian Yani, bang,” ujar Rosmah melutut di kaki Haron.

“Tak payah awak nak kasihankan anak awak yang jahat tu. Biar dia rasakan. Siapa suruh pergi tidur dengan jantan. Tanggunglah sendiri,” ujar Mariah dengan nada geram.

Haron cepat-cepat masuk ke dalam bilik air, mengangkat tubuh Iryani yang sudah lemah. Iryani segera dikejarkan ke hospital. Rosmah merasa lega.

“Hmm…kau bernasib baik sebab abang Haron masih nak tolong anak kau tu. Dah dah… Kau tunggu apa lagi? Pergilah bersihkan darah tu. Kemudian bereskan basuh baju tu. Jangan lupa siapkan makan tengahari. Sekejap lagi anak-anak aku balik, nak makan. Seusai berkata-kata, Mariah pun berlalu ke ruang tamu semula.

Rosmah mengesat air matanya. Serta-merta wajah Irdina kembali terbayang di minda. Entah ke mana Irdina menghilang, dia pun tak tahu. Dia mula merasakan Tuhan sedang memberi balasan pada dirinya kerana pernah berlaku zalim pada Irdina selama ini.

“Ya ALLAH, aku bersalah. Ampunkan aku. Irdina, di mana kau nak. Mak cik nak minta maaf…,” ujar Rosmah beberapa kali.

Iryani ditahan di Hospital Langkawi kerana menjalani rawatan. Namun keesokkan harinya, hospital gempar tatkala Iryani hilang. Iryani dipercayai melarikan diri.

Note : Untuk makluman para pembaca yang budiman, novel Mawar Putih Buatmu akan terbit dan menemui pembaca pada bulan November 2014 ini.. Nantikan ya…

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.