Home Novel Umum Mawar Putih Buatmu (Adaptasi dari tajuk asal "Mawar Irdina")
Mawar Putih Buatmu (Bab 18)

Sesudah menunaikan solat subuh di masjid al-‘Ala, Irdina menapak pulang. Hari ini Irdina tidak ada kelas awal pagi. Kelas pertama akan bermula pada jam 3 petang. Baru separuh jalan kaki melangkah, tiba-tiba dia terdengar suara seseorang.

“E’ehm.. Assalamualaikum Mawar,”

“Waalaikumussalam.. Tuan Muda rupanya. Tak bawa kereta?” soal Irdina lagi.

Sempat juga dia menghulurkan senyuman. Faris membalas senyumannya sambil menggelengkan kepala. Senang hatinya melihat Irdina tersenyum.

“Saja nak exercise,” ujar Faris lagi.

Faris berjalan beriringan dengan Irdina. Suka dia lihat penampilan Irdina yang menutup aurat. Dia menghulurkan satu bungkusan pada Irdina. Irdina melihat bungkusan itu dengan dahi berkerut.

“Ambillah. Saya suka tengok awak pakai pakaian menutup aurat macam ni. Tapi, pemberian saya ni ada hajatnya,” ujar Faris lagi.

“Apa maksud Tuan Muda?” soal Irdina dengan dahi yang masih berkerut.

‘Alahai, makin cute bila awak kerutkan dahi macam tu Mawar. Saya suka.. Suka sangat.’

“Hm.. Permintaan saya, awak pakailah pemberian saya ini jika awak dah sedia jadi isteri saya dalam erti kata sebenarnya. Insya-Allah saya tunggu kesediaan awak,” ujar Faris lagi.

Lambat-lambat Irdina menyambut bungkusan itu.

“Ok, awak masuk dulu. Saya nak jogging lagi sampai ke hujung kampung sana,” ujar Faris lagi setelah mereka berdua tiba di hadapan Villa Mawar Putih.

Irdina mengangguk. Sejurus itu hanya ekor matanya yang menghantar kelibat Faris menghilang di sebalik rimbunan pepohon di tepi jalan. Cepat-cepat dia memasukkan bungkusan itu ke dalam beg telekung solatnya. Lekas-lekas dia menapak masuk ke villa melalui pintu belakang.

Namun dadanya berdebar tatkala terpandangkan Sarah di depan muka pintu dapur.

“Assalamualaikum Puan Sarah,” ucap Irdina lembut.

“Waalaikumussalam. Dah dekat jam 7.30 pagi baru kamu balik? Ke mana kamu pergi merayap?” soal Sarah sinis.

“Oh, maafkan saya puan. Lain kali saya akan pulang lebih awal,” ujar Irdina lagi.

“Kamu jangan nak tunjuk baik. Siapa lelaki yang berjalan sama-sama dengan kamu tadi?” soal Sarah dengan lebih sinis.

Irdina terkelu. Dadanya berdebar-debar. Entah apa yang dia nak jawab.

“Err… Lelaki tadi tu Tuan Muda Faris, puan. Kebetulan Tuan Muda pulang dari masjid. Cuma tadi sebelum saya masuk, Tuan Muda pesan minta tolong saya beritahu puan, dia pergi berjoging lagi hingga ke hujung kampung,” jelas Irdina lagi.

Irdina tidak mahu berlaku salah faham. Sarah tunjuk muka geram. Ada-ada saja yang Irdina jawab.

“Kau ingat satu hal ni. Bila kau dah kerja dan tinggal kat sini, kau kena sedar diri. Jangan buat hal sendiri. Jaga maruah keluarga ni walaupun kau hanya orang gaji kat rumah ni. Jangan nak melayan jantan-jantan kat luar sana tu. Kalau dah bunting nanti, tak ada siapa dah yang akan terima kau. Ingat tu,” ujar Sarah memberi amaran.

Terangguk-angguk Irdina mendengar kata-kata Sarah.

“Dah, pergilah kau masuk dapur. Buatlah kerja apa yang patut,” ujar Sarah lagi.

“Baik Puan. Terima kasih,” ujar Irdina lagi seraya masuk ke dalam villa.

Sebaik saja dia menjejak langkah masuk ke dalam bilik, segera bungkusan pemberian Faris dikeluarkan dari beg telekung solat. Cermat-cermat pembalut bungkusan itu dibuka. Tersenyum dia tatkala menatap sepasang jubah muslimah ungu bertanahkan bunga merah jambu beserta tudung Ariani yang cantik berwarna ungu muda. Sepasang kasut comel berwarna hitam turut disertakan dalam bungkusan itu. Beberapa kali jubah dan tudung itu diukur dan dipadankan dengan tubuhnya. Tersenyum gembira dia bila melihat jubah dan tudung itu sesuai benar dengan tubuhnya yang kecil molek. Makin gembira dia bila kasut comel pemberian Faris itu juga muat benar dengan kakinya.

Sedang dia menggayakan jubah dan kasut itu, sekeping nota tercicir. Irdina mencapai nota itu. Kata-kata yang ditulis Faris itu dibaca di dalam hati.

..Saya harap pemberian saya ini sesuai dengan awak. Pakailah ia bila awak dah bersedia menjadi seorang isteri pada saya. Bila saya lihat awak dah pakai pemberian saya ini, bermula saat itulah awak akan jadi Cinderella saya dunia dan akhirat.. ~ Indra Faris ~

Entah apa perasaannya saat itu. Tidak dapat digambarkan kegembiraan yang berbunga-bunga di hatinya. Tahulah dia siapa dia di hati Faris kini walaupun jauh di sudut hati, dia masih lagi merasa rendah diri. Status dia dan Faris terlalu berbeza. Bagai langit dan bumi. Namun ikatan hubungan mereka sampai bila-bila takkan terpisah melainkan tiba hari kiamat. Hanya maut yang akan memisahkan mereka di dunia, namun di akhirat tetap juga mereka sah sebagai suami isteri yang telah dicatatkan sejak di lauh mahfuz.

Irdina tersenyum.

‘Faris, apa yang tersurat dalam kisah kita ni bukanlah suratan atau kebetulan, tetapi kita memang ditakdirkan berjodoh sejak di lauh mahfuz lagi. Insya-Allah, saya akan pakai jubah dan tudung ni bila saya dah bersedia nanti. Terima kasih, Faris.’

Seperti biasa, malam itu seusai kelas, Irdina menapak ke Varsity Mall. Sepasang jam tangan jenama Q&Q Quartz dibeli. Hadiah buat seseorang yang mula beraja di hatinya. Indra Faris! Nama itu turut diukir di dalam jam tangan itu di samping namanya, Mawar Irdina.

Selesai urusan pembelian jam tangan itu, Irdina bergegas mahu pulang. Namun tiba-tiba, terdengar derap langkah di belakangnya, seperti dia diekori. Cepat-cepat dia melajukan langkah. Namun derap langkah di belakangnya itu makin kuat pula mengejarnya. Suasana malam yang kian gelap agak membataskan pergerakannya. Hanya cahaya dari lampu di tepi-tepi jalan saja yang menjadi penunjuk arah.

‘Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu dari segala mara bahaya. Hanya Kau saja Pelindung dan Penolongku saat susah dan senang ya Allah. Tolonglah aku ya Allah.’

Malang tidak berbau, kakinya tiba-tiba terpijak serpihan batu besar di tepi jalan. Bersepai segala buku dan beg. Seorang lelaki memakai topeng menyambar begnya. Dompetnya diambil namun Irdina sempat merampas kembali beg sandangnya Irdina terus memeluk beg itu sekuat hati. Lebih-lebih lagi jam tangan yang baru dibeli tadi memang tersimpan di dalam beg itu. Tidak cukup dengan dompet yang telah dirampas, tiba-tiba lelaki itu menyerangnya pula. Irdina sempat mencapai sepotong kayu tajam di tepi jalan. Kayu itu ditikamkan ke tangan kanan lelaki itu. Serta-merta lelaki itu melepaskan Irdina sambil menyerigai kesakitan. Darah mula mengalir dari tangannya.

“Tolonglah encik… Ambillah dompet itu, tapi jangan ambil beg ini, tolonglah.,”

Air mata mula merembes ke pipi. Wajah Faris membesar di minda. Ketika lelaki itu cuba merampas kembali beg sandang Irdina, seseorang tiba di tempat kejadian dan memukul lelaki itu. Antara sedar dan tidak, dia hanya menyebut satu nama itu bila terpandangkan batang penyapu yang bertubi-tubi singgah di tubuh lelaki bertopeng itu.

“Mak Yati, tolong sayaa…”

Sedar-sedar, Irdina sudah pun berada di hospital. Kaki, tangan dan mukanya sedikit luka-luka akibat bergelut dengan peragut itu malam tadi. Ada seorang wanita sedang tidur di tepi katilnya. Irdina mengorak senyuman walau bibir dan pipinya pecah akibat dipukul peragut malam tadi.

“Mak Yati…,” bisik Irdina.

Tangan wanita separuh abad itu disentuh. Kalut-kalut wanita itu mengangkat wajah dan memandang Irdina.

“Alhamdulillah, anak dah sedar. Mak cik risau betul jika berlaku apa-apa yang buruk pada kamu. Dari malam tadi mak cik tunggu-tunggu kamu bangun. Kamu ok tak?” soal Mak Yati lagi.

Irdina mengangguk. Habis sengal-sengal tubuhnya.

“Saya ok. Cuma saya trauma dengan kejadian malam tadi, Mak Siti,” ujar Irdina lemah.

“Kebetulan Mak Yati memang ada di situ. Kejadian ragut, rogol ni memang selalu berlaku. Sebab tu Mak Yati dah pesan dengan kamu sebelum ni lagi, agar kamu berhati-hati, lebih-lebih lagi pada waktu malam,” ujar Mak Yati lagi.

Irdina mengangguk. “Terima kasih atas nasihat Mak Yati.”

“Kamu dah hubungi keluarga?” soal Mak Yati.

Irdina menggeleng. “Saya tak ada sesiapa. Saya hanya bekerja sebagai orang gaji di rumah majikan. Nanti saya saya akan jelaskan apa yang berlaku kepada mereka,” ujar Irdina lagi.

Kalau boleh, dia tidak mahu menyusahkan sesiapa. Lebih-lebih lagi setelah menerima amaran keras dari Sarah tempoh hari.

“Kalau gitu, marilah Mak Yati hantarkan kamu pulang. Doktor kata kamu dah boleh keluar tengahari ni,” ujar Mak Yati dengan senang hati.

Tiba-tiba Irdina teringatkan beg sandangnya.

“Kamu cari beg ini?” soal Mak Yati lagi.

Irdina mengangguk. Cepat-cepat beg itu diambil.

“Terima kasih Mak Yati. Budi baik Mak Yati, hanya Allah yang dapat membalasnya,” ujar Irdina sambil menekan keypad telefon bimbitnya yang ternyata sudah kehabisan bateri.

Irdina hanya sempat menaip mesej pada Ariyana saja. Sedang mereka bersiap-siap, suara seseorang mengejutkan mereka.

“Assalamualaikum. Apa khabar Cinderella hari ni?”

Serta-merta Irdina mengangkat wajah. Senyuman lebar kini terhias di wajah lelaki itu. Perlahan Irdina menghembus nafas. Dadanya berdebar pula.

“Oh ya. Anak, malam tadi doctor inilah yang merawat anak. Doctor, kami dah berkemas. Sekejap lagi kami dah boleh keluar hospital,” ujar Mak Yati lagi.

“Oh, kalau macam tu biarlah saya hantarkan kamu berdua. Lagipun saya tahu jalan ke Villa Mawar Putih. Cinderella, awak dah maklumkan pada untie dan uncle yang awak masuk hospital?” soal Haziq lagi setelah melihat Irdina hanya mendiamkan diri sejak tadi.

Irdina menggelengkan kepala.

“Err… Sebenarnya anak ini dia baru aje sedar sekejap tadi doctor. Tak apa. Mak Yati rasa hal ni boleh diterangkan bila dia pulang ke rumah nanti. Doctor, tak payah susah-susah hantar kami. Kami boleh naik teksi aje,” ujar Mak Yati lagi.

Mendengar kata-kata Mak Yati, Haziq merasa serba salah. Di hatinya dia teringin benar mahu menghantar Irdina pulang. Namun diikutkan saja kata wanita itu. Lagipun petang nanti dia perlu bersedia untuk pembedahan seorang pesakit.

“Baiklah. Lepas ni hati-hati. Lebih-lebih lagi pada waktu malam. Banyak peragut. Awak jaga diri ya, Cinderella,” ujar Haziq lagi.

Irdina menganggukkan kepala. “Terima kasih doctor,” ujar Irdina lagi.

Namun belum sempat mereka beredar, seseorang pula menyapa.

“Hey Dina. Sampai hati kau. Masuk hospital tak bagitahu aku pun? Aku risau tau kau tak datang kelas semalam. Puan Mieza asyik tanya pasal kau aje. Eh, Mak Yati pun ada kat sini?”

Saat itu tiga pasang mata milik Irdina, Mak Yati dan Haziq memandang sekeping wajah itu. Serta-merta Ariyana menggaru-garu kepalanya bagi menutup rasa malunya.

“Kau ni Arie, kat mana-mana pun nak kecoh aje. Ni, Dina dah boleh keluar hospital dah ni. Macam mana kau tau Dina masuk hospital ni?” soal Mak Yati pula.

“Dina yang mesej kat Arie kejap tadi, Mak Yati. Dina sempat mesej Arie aje. Lepas tu telefon memang dah tak boleh hidup dah. Dah habis bateri. Arie, terima kasih kau datang. Aku nak minta kau temankan aku balik villa. Kesian Mak Yati dah semalaman jaga aku.” ujar Irdina lagi.

“Haa… Memang la aku datang ni nak tolong kau. Err… Ni siapa, doctor yang rawat kau ke Dina? Handsomenya doctor, haii…” Wajah Ariyana saat itu sudah merah.

Irdina tergelak. Ariyana memang slumber aje menyapa Haziq. Haziq pula yang kelihatan tersipu-sipu.

“Oh, ini doctor Haziq. Doctor, ini kawan saya. Ariyana.”

Dari tadi Haziq asyik tersenyum simpul bila melihat gelagat Ariyana yang agak kalut-kalut itu. Lucu.

“Hai doctor. Saya Ariyana, boleh panggil saya, Arie.”

Serta-merta Ariyana menghulurkan tangan. Namun Haziq hanya menganggukkan kepala tanpa menyambut huluran tangan Ariyana.

“Saya Daniel Haziq. Boleh panggil saya, Haziq aje.”

Tersungging senyuman di bibir Haziq saat itu melihat wajah Ariyana yang semakin kemerahan saat dia menarik kembali huluran tangannya tadi.

‘Hm, bila pipi tu dah merah, nampak jugak wajah perempuannya. Cantik jugak Ariyana ni.’

Bagaikan Ariyana terdengar detikan hati Haziq, terus saja dia tersipu-sipu.

“Baiklah doctor. Kami minta diri dulu ya. Terima kasih banyak,” ujar Irdina lagi.

Serentak itu Mak Yati dan Ariyana yang memimpin tangan Irdina dan terus berlalu pergi. Namun dari jauh Haziq masih menggelengkan kepala dan di mindanya masih terbayangkan wajah Ariyana yang kemerah-merahan itu. Serta-merta Haziq menggelengkan kepala.

‘Arie? Ariyana. Hmm… Lucunya dia.’

Note : Untuk makluman para pembaca yang budiman, novel Mawar Putih Buatmu sudah terbit dan berada di pasaran. Dapatkan novel ini di toko-toko dan kedai-kedai buku berhampiran anda. Selamat membaca..JJ

~ Annur Iman ~

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.