Home Novel Umum Mawar Putih Buatmu (Adaptasi dari tajuk asal "Mawar Irdina")
Mawar Putih Buatmu (Bab 20)

Patutlah Mak Siti beriya benar mahu mereka bertolak tengahari itu juga, agar bila mereka tiba di kampung, mereka dapat melihat pemandangan saujana mata memandang. Di kiri kanan jalan, terbentang kawasan sawah padi yang luas. Ramai juga budak-budak yang sedang bermain layang-layang di kawasan sawah padi itu. Akhirnya bila tiba di selekoh yang bertulis, Kampung Cherok Pelanduk, Mak Siti mengisyaratkan agar Faris membelok ke kanan. Jalan yang tidak rata dan sedikit berbecak-becak agak mengganggu fokus Irdina pada pemandangan sekeliling kampung itu.

Benar kata Mak Siti. Kampung itu memang di sekelilingnya hanya ada hutan dan pokok-pokok getah. Cuma yang membuatkan hati Irdina teruja, tatkala anak matanya menjamah pokok-pokok rambutan yang buahnya sudah mula memerah. Pokok langsat dan duku juga tidak kurang lebat buahnya. Pokok manggis dan cempedak juga. Memang hatinya merasa tenang. Sudah dapat dibayangkan apa aktiviti pertama mereka pada petang itu.

“Wah Mak Siti, banyak pokok-pokok buah-buahan ya. Memang tengah musim buah-buahan ke sekarang Mak Siti? Langkah kananlah kami datang ni,” ujar Faris memecah suasana sunyi.

Mak Siti angguk-angguk sambil senyum-senyum.

“Ye, kawasan rumah Mak Siti ni memang banyak dusun. Dusun peninggalan arwah bapa Mak Siti pada arwah suami Mak Siti. Setelah arwah suami Mak Siti pergi, dusun di sini terbiar begini aje. Bila ada musim, berbuahlah ia. Jadilah makanan beruk dan monyet kalau Mak Siti tak pulang ke sini,” ujar Mak Siti lagi.

“Mak Siti tak ada adikberadik lain? Anak?” Soal Faris lagi.

Sesekali dia menjeling juga pada Irdina yang kelihatan ralit benar memerhatikan pokok-pokok di sekeliling jalan.

“Hm… Mak Siti ada seorang abang dan seorang adik. Tapi abang Mak Siti dah meninggal. Sekarang tinggal adik Mak Siti aje yang tolong tengok-tengokkan rumah dan dusun ni,” ujar Mak Siti lagi.

“Oo… Ehm... Cinderella ok? Tak takut banyak nyamuk?” soal Faris, sengaja mahu memancing tumpuan Cinderella.

Serta-merta anak mata Cinderella bersatu pandang dengan anak mata Faris di cermin pandang belakang kereta. Cepat-cepat dia mengalih pandang ke luar tingkap kereta semula.

“Ok je. Kalau nyamuk banyak, pasang aje ubat nyamuk. Kan Mak Siti?” ujar Irdina lagi.

Mendengar jawapan acuh tak acuh Irdina, Faris akhirnya memilih mendiamkan diri saja.

“Tuan Muda, berhenti di depan rumah yang hujung tu. Itulah rumah Mak Siti. Yang sebelah kanan tu rumah adik Mak Siti dan keluarganya. Kat sini, hanya ada rumah kami berdua aje. Jom, jemput masuk Tuan Muda, Cinderella,” ajak Mak Siti lagi.

Turun saja dari kereta, Irdina terus memeluk tubuh. Rupanya kawasan kampung itu bersuhu hawa dingin. Bagaikan perkampungan di tempat Tanah Tinggi Cameron saja. Melihat Irdina seperti kedinginan, terus saja Faris menghulurkan jaket kulit miliknya. Jaket itu memang pernah dipakai Irdina waktu mereka sama-sama menaiki feri dulu. Namun Faris kecewa, Irdina menggelengkan kepala tanda tidak mahu.

Dari tadi Faris asyik tertanya-tanya, kenapa dingin benar sikap Irdina terhadapnya sejak kejadian ragut itu. Namun Faris berkeras juga menyarungkan jaket itu ke tubuh Irdina.

“Awak tak sihat, Mawar. Pakai jaket ni,” bisik Faris lagi.

Irdina membiarkan saja jaket itu tersarung ke tubuhnya. Sedang mereka mahu mengangkat barang-barang, beberapa orang kampung dan anak-anak datang menyambut. Mereka bersalam-salaman seketika sebelum berkenal-kenalan.

“Ha, inilah adik Mak Siti. Tuan Muda dan Cinderella boleh panggil adik Mak Siti, Pak Dolah. Ini pula isterinya, Mak Indah. Dua minggu lagi mereka berdua nak ke Mekah, berumrah. Yang lain-lain yang tolong angkatkan barang-barang tu semuanya anak-anak mereka. Dolah, Indah. Ini anak majikan tempat kakak bekerja. Ini pula kawan anak majikan kakak, yang turut sama-sama Mak Siti bekerja di rumah tu,” ujar Mak Siti lagi.

“Oh, silakanlah naik. Nanti malam, jemputlah datang ke rumah kami pula ya,” ujar Pak Dolah.

“Jemput datang makan malam di rumah kami malam ni. Ajak dan Pandi baru aje kail ikan dan udang di sungai. Alhamdulillah, rezeki tetamu nak merasa ikan dan udang sungai. Kak Siti tak payahlah sibuk masak ya. Nanti Indah dan anak-anak boleh masakkan untuk tetamu kita ni,” ujar Mak Indah, ramah.

“Oh, ye ke Indah. Kak Siti memang ingat nak bagi Tuan Muda dan Cinderella makan ikan dan udang sungai. Memang kita langkah kanan,” ujar Mak Siti gembira sungguh.

“Oh, jadi dekat-dekat sini ada sungai ke Mak Indah?” soal Faris sudah mula teruja dengan tempat itu.

“Eh, tentulah ada. Dekat aje. Belakang rumah kami aje. Nanti Pak Dolah bawa Tuan pergi tengok sungai ya,” ujar Pak Dolah pula.

Segan pulak Faris bila Pak Dolah memanggilnya Tuan.

“Pak Dolah, Mak Siti dan Mak Indah boleh panggil saya Faris aje. Segan pulak saya Pak Dolah panggil saya Tuan. Pak Dolah, saya memang sukakan suasana kekampungan macam kampung ni. Sungai tu jauh tak Pak Dolah?” soal Faris, tak sabar mahu meneroka kampung itu.

“Oh, tak jauh la. Lima minit aje kalau berjalan dari sini. Nanti Pak Dolah bawa kamu mengail ikan dan udang. Jangan risau, Pak Dolah ada perahu dan bot kalau nak jalan-jalan tengok sungai,” ujar Pak Dolah lagi.

“Eh, asyik bersembang aje. Jomlah naik ke pondok usang Mak Siti ni,” ujar Mak Siti lagi.

Rumah Mak Siti memang rumah kampung. Bahan binaannya pun semuanya kayu belaka. Tapi untuk keselamatan, rumah itu didirikan dua tingkat kerana kata Mak Siti, biasanya malam-malam ada binatang buas yang kadang-kadang merayau-rayau di sekitar bawah rumah itu.

Seperti jangkaan Irdina, petang itu aktiviti pertama mereka, memetik buah-buahan di dusun Mak Siti. Dusun itu terletak di sepanjang jalan masuk ke kawasan rumah Mak Siti dan Pak Dolah.

“Abang Is pandai panjat pokok?” soal Ajak yang tidak berbaju.

Lastik yang tergantung di lehernya turut jadi tumpuan mata Faris. Abdul Razak atau Ajak anak bongsu Mak Indah dan Pak Dolah. Dia berumur 7 tahun tapi hal-hal kampung dan kerja-kerja kampung memang sudah dalam kocek seluarnya. Mananya tak. Kalau Pak Dolah keluar ke sungai, ke dusun, ke kaki bukit mencari hasil hutan, ke sawah padi, semuanya pasti dia pun turut serta bersama abangnya Affandi atau Pandi yang berumur 15 tahun. Pandi anak kedua, manakala anak sulung Mak Indah dan Pak Dolah, Rohani atau Ani berumur 20 tahun. Rohani sudah tamat belajar SPM, cuma dia tidak menyambung ke mana-mana IPT kerana keadaan keputusan peperiksaannya tidak begitu baik. Jadi setiap hari Ani yang membantu Mak Indah menjual kuih dan memasak untuk majlis kenduri kendara di kampung itu.

Faris mengangguk walaupun sebenarnya sudah beberapa tahun dia tidak memanjat pokok kerana sibuk dengan urusan pengajian dulu dan kerjayanya sekarang.

“Abang Is boleh panjat pokok. Ajak nak abang panjat pokok apa?” soal Faris kembali.

Mendengar kata-kata Faris itu, Ajak tersenyum. Lastik di lehernya diambik. Segera Ajak mencari-cari batu kerikil yang bersaiz sederhana. Ditarik lastik menghala ke deretan pokok rambutan tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Batu kerikil tadi melantun tepat mengenai batang pokok rambutan yang berbuah lebat.

“Ajak nak abang panjat pokok tu, abang berani?” soal Ajak tersengih-sengih.

Faris menelan liur bila melihat ketinggian pokok itu. Buah rambutan pada pokok itu memang lebat, tetapi pokoknya tinggi. Namun cabaran Ajak tetap disambut. Faris memang suka mencuba.

“Ok, jom,” ujar Faris lagi.

Galah panjang yang akan digunakan untuk mengait buah rambutan ketika di atas pokok nanti dipegang kuat Ajak. Nanti Ajak akan hulurkan galah panjang itu pada Faris setelah Faris berada di atas pokok.

“Abang tau tak, siapa yang dapat panjat pokok ni, hebat tau,” ujar Ajak lagi sambil memandang ketinggian pokok rambutan itu.

Sementara itu Faris melipat seluarnya hingga ke lutut dan menyinsing t-shirt putihnya hingga ke pangkal lengan. Baru saja lima minit dia berdiri di situ, sudah kelihatan beberapa ekor nyamuk hutan yang hinggap di betis dan tangan. Kulitnya yang putih menyerlahkan kesan gigitan nyamuk yang kemerah-merahan.

“Sebelum ni ada tak sesiapa yang dapat panjat pokok ni?” soal Faris lagi.

Ajak menggelengkan kepala.

“Ayah aje yang pernah panjat. Tapi sekali tu bila ayah jatuh pokok sebab terpijak dahan reput, terus dah tak ada sesiapa lagi yang pernah panjat pokok ni. Biar aje la rambutannya masak dan gugur. Tak ada orang dapat ambik,” ujar Ajak lagi bernada sedih.

“Ajak jangan risau ya. Insya-ALLAH hari ni Ajak akan dapat makan buah rambutan pokok ni. Ok, Ajak tunggu di bawah. Abang dah nak panjat ni. Nanti bila abang suruh hulurkan galah ni, Ajak hulurkan ya,” ujar Faris lagi disambut anggukkan Ajak.

Faris terus memanjat. Dia amat berhati-hati memandangkan pokok itu memang banyak dahan reput. Setelah dia tiba di satu dahan yang kuat, dia segera mengisyaratkan agar Ajak menghulurkan galah panjang padanya.

“Ajak, hulurkan galah,” laung Faris dari atas.

Galah dihulur dan Ajak kelihatan tersenyum gembira. Laungan Faris itu rupa-rupanya telah didengar oleh Irdina yang sedang berjalan-jalan di sekitar dusun itu. Irdina sedang menunggu Mak Siti yang pergi memanggil Pak Dolah. Petang itu Pak Dolah yang akan panjat pokok-pokok di dusun untuk ambilkan buah-buahan untuk mereka. Tidak sangka pula dia Faris dan Ajak sudah mendahului.

Dari jarak beberapa langkah dari Ajak yang duduk berdiri betul-betul di bawah pokok rambutan yang dipanjat Faris, Irdina dapat melihat dengan jelas Faris kini berada di atas pokok. Timbul kerisauannya pada keselamatan Faris tatkala melihat pokok itu begitu tinggi sedangkan Faris memanjatnya tanpa apa-apa alatan keselamatan. Namun dipandang dari jauh saja.

Faris sudah mula mengait rumpun-rumpun buah rambutan yang masak ranum. Buah-buah yang jatuh ke bawah dikutip Ajak dan dikumpulkan di bawah pokok itu.

“Cinderella, mana Tuan Muda? Pak Dolah dah mula memanjat pokok-pokok di sebelah sana. Jomlah kita ke sana,” ujar Mak Siti.

Rohani yang turut ikut bersama Mak Siti hanya tersenyum-senyum saja pada Irdina.

“Tuan Muda kat atas pokok tu Mak Siti,” ujar Irdina sambil menghalanya jari telunjuknya ke atas pokok rambutan yang tinggi itu.

“Astaghfirullah.. Macam mana Tuan Muda boleh panjat pokok tu. Pokok tu bahaya. Tuan..Tuan Muda, sudah. Sudah! Turun. Turun! Bahaya pokok ni. Ya ALLAH.. Kalau jadi apa-apa pada Tuan Muda, apa yang saya nak jawab dengan Tuan Rizman dan Puan Sarah. Tuan Muda..Turun! Turun!” Laung Mak Siti dari bawah pokok itu.

Terpinga-pinga mendengar jeritan Mak Siti, Faris memandang ke bawah. Tiba-tiba matanya jadi silau. Dia pening-pening. Tanpa sedar tangannya terlepas pegangan pada dahan. Kakinya menggelungsur jatuh ke bawah. Tangan kanannya sempat menyambar pada dahan-dahan yang berada di bahagian bawah. Namun tangan kiri hingga ke sikunya luka kerana tersadung pada batang kayu tajam.

“Arghh…,” jerit Faris.

“Ya Allah. Ajak, pergi panggilkan ayah kamu. Ani, pergi ambilkan minyak angin!” laung Mak Siti cemas.

Cepat Ajak berlari memanggil ayahnya. Irdina semakin kerisauan melihat Faris saat itu hanya berpaut pada dahan. Tangan hingga sikunya sudah bermandikan darah merah. Namun Faris tenang saja. Perlahan-lahan dari tempat dia bertahan itu, dia menyusun langkah untuk turun. Akhirnya belum sempat Pak Dolah tiba, Faris sudahpun selamat tiba di bawah. Di tangan kanannya tergenggam satu rumpun buah rambutan yang sempat dipetik dengan tangan.

Lambat menunggu Ani, akhirnya Mak Siti sendiri yang berlari pulang ke rumahnya mengambil minyak. Kini yang tinggal di situ hanya Faris dan Irdina. Irdina tidak terkata apa. Hanya duduk bertinggung di sebelah Faris, memerhatikan luka di tangan dan siku Faris. Faris yang sedang terduduk terus menghulurkan rumpun buah rambutan yang dipegang pada Irdina.

“Mawar, ambillah. Ni untuk awak,” bisik Faris.

“Tuan Muda panjat pokok ni semata-mata untuk ambilkan buah ni untuk saya? Kenapalah Tuan Muda bahayakan diri macam ni. Pokok ni kan tinggi,” ujar Irdina resah.

Luka di tangan dan siku Faris direnung. Segan dia mahu menyentuh luka itu. Sedangkan hatinya melonjak-lonjak mahu merawat luka itu.

“Ajak cakap, siapa yang dapat panjat pokok ni, orang tu hebat. Tapi hebatnya saya kerana saya dapat ambilkan serumpun buah rambutan ni untuk awak. Untuk kembalikan senyuman awak. Ambillah Mawar,” ujar Faris lagi.

Irdina terkesima pada ketulusan hati Faris saat itu. Dia menyambut huluran rumpun buah rambutan itu.

“Terima kasih Tuan Muda,” ujar Irdina lagi.

“Awak,”

“Hm…,”

“Boleh tak sepanjang kita kat sini, awak jangan panggil saya Tuan Muda,”

“Habis tu nak panggil apa?”

“Panggil aje abang. Kan saya ni suami awak?”

“Hm..” Serta-merta wajahnya memerah.

Melihat Mak Siti sudah tiba bersama Pak Dolah, Ajak dan Ani, Irdina menjarakkan dirinya dari Faris. Setelah Pak Dolah menyapu minyak pada luka di tangan dan siku Faris, Pak Dolah terus saja memimpin Faris pulang. Dia disuruh rehat di bilik saja petang itu. Bilik Faris paling hujung, manakala bilik Irdina bersebelahan dengan bilik Mak Siti.

Lama Ani memandang Faris ketika mereka semua masih berada dalam bilik Faris.

“Abang ok tak? Sakit?” soal Ani dengan ramah.

Faris menggelengkan kepala. Irdina yang duduk sedikit jauh di pintu, hanya memasang telinga.

“Alhamdulillah, Pak Dolah dah sapukan minyak pada luka dan Pak Dolah pun dah urutkan pergelangan tangan dan kaki abang yang terseliuh,” ujar Faris lagi.

“Ayah memang pandai bab-bab ubat dan urut-urut ni. Ubat ni pun ayah buat sendiri tau. Ayah buat dengan akar-akar kayu,” ujar Ani lagi.

“Oo… Dapat mana akar-akar kayu?” soal Faris lagi.

“Kat hutan dan kaki bukit. Biasanya ayah suka ke hutan dan kaki bukit tiap-tiap hujung minggu. Abang lama lagi ke kat sini? Manalah tau kalau-kalau abang nak ikut ayah masuk hutan ke. Boleh tengok sendiri macam mana ayah cari hasil hutan,” ujar Ani lagi makin suka bersembang dengan Faris.

“Abang dan kakak lama lagi di sini. Insya-ALLAH, kalau tak ada apa-apa abang nak jugak ikut Pak Dolah ke hutan, cari hasil hutan,” ujar Faris lagi.

“Boleh sangat tu. Ayah mesti mesti suka tu,” ujar Ani lagi.

“Ya, Ajak pun nak ikut abang dan ayah masuk hutan. Ajak memang suka ikut ayah,” celah Ajak yang sejak tadi hanya diam.

Melihatkan kerancakan perbualan antara Faris, Ani dan Ajak, Irdina meminta diri untuk kembali ke biliknya. Dia mahu berehat. Mak Siti pun sudah mula bersiap-siap nak ke rumah Mak Indah. Nak tolong Mak Indah masak.

“Tuan Muda, saya minta diri pulang ke bilik. Tuan rehat ya,” ujar Irdina meminta diri.

Dalam keterpaksaan Faris mengangguk, namun dalam hatinya dia tidak mahu Irdina berada jauh darinya. Hanya pandangannya saja yang ikut menghantar Irdina keluar dari bilik itu. Rohani dan Ajak masih setia menemaninya. Itu memang pesan Mak Siti.

“Abang, abang hebatlah dapat panjat pokok tu. Ayah dulu panjat pokok tu, jatuh terus patah kaki. Sebulan baru baik. Waktu tu Ajak kecik lagi, baru lima tahun,” ujar Ajak lagi tersengeh-sengeh.

“Tak la. Abang biasa-biasa aje. Sebenarnya abang pun dah lama tak panjat pokok. Lega jugak sebab waktu jatuh tadi, tak teruk sangat cedera ni,” ujar Faris lagi.

“Abang, kak Cinderella tu awek abang ke?” soal Ajak pula tiba-tiba.

Tiba-tiba pula lidahnya terkelu. Ani pandang aje muka Faris.

“Hehe… Terus gelabah abang nak cakap, hehe.. Ajak tahu, kak Cinderella tu bukan awek abang, tapi abang suka dia kan?” serkap Ajak lagi.

Spontan Faris tersenyum.

“Ajak tahu, abang suka kak Cinderella. Sebab tu la abang teman dia ke sini kan. Ajak pun tahu, kak Cinderella pun suka abang,” ujar Ajak lagi semakin petah berkata-kata.

“Macam mana Ajak tahu kak Cinderella suka abang?” soal Faris pula.

“Sebab, waktu abang nak jatuh pokok, kak Cinderella nampak risau betul,” ujar Ajak lagi.

Saat itu Ani bangun berdiri.

“Ajak, jomlah kita balik, lagipun dah dekat nak maghrib ni. Sekejap lagi dah nak azan maghrib. Ajak balik mandi, jom,” ujar Ani lagi.

“Alaa…kak Ani ni. Ajak baru nak sembang best dengan abang Is. Akak ni kacau la. Tahulah akak tu jeleskan kak Cinderella. Sebab abang Is suka kak Cinderella, tak suka kat kak Ani,” spontan Ajak berkata demikian.

“Hey, siapa cakap kak Ani jeleskan kak Cinderella? Dah la… Malas nak layan. Nanti ayah dan mak marah Ajak, Ajak jangan nak mengadu pada kak Ani. Abang, Ani balik dulu,” ujar Ani lagi.

Terus saja Ani berlalu keluar dari bilik.

“Elleh..Tak apa, nanti kalau Ajak kena marah dengan ayah dan mak, Ajak boleh mengadu kat abang Is,” laung Ajak dari dalam bilik.

Ajak memandang wajah Faris dan mereka sama-sama ketawa.


Note : Untuk makluman para pembaca yang budiman, novel Mawar Putih Buatmu sudah terbit dan berada di pasaran. Dapatkan novel ini di toko-toko dan kedai-kedai buku berhampiran anda. Selamat membaca..

~ Annur Iman ~

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.