Home Novel Umum Mawar Putih Buatmu (Adaptasi dari tajuk asal "Mawar Irdina")
Mawar Putih Buatmu (Bab 2)

Hari ini Faris menunggu lagi di tepi pintu pagar sekolah. Dia ingin memberi sesuatu kepada Irdina. Dia berharap benar pemberiannya ini dapat memberi suntikan motivasi pada Irdina.

‘Mana pulak Mawar ni? SPM dah dekat, takkan hari ni dia tak datang sekolah?’

Faris melilau di bangsal, mencari basikal Irdina. Dia tersenyum bila terpandang basikal itu berada di tepi tiang bangsal.

‘Basikalnya ada di sini, dah tentu tuannya masih belum pulang lagi.’

Namun melihat lampu basikal yang sudah pecah itu, timbul rasa belas di hati. Bingkas saja mindanya memikirkan sesuatu diikuti dengan tindakan nekad.

Yess. Aku mesti lakukannya.’

Sepuluh minit kemudian, Faris tersenyum puas lantaran apa yang diusahakan itu berhasil.

‘Mawar Irdina! Hari ni saya bagi lampu basikal saya pada awak. Manalah tahu, esok-esok saya bagi hati saya pula pada awak.’

Baru dia berkira-kira mahu pulang, muncul Irdina yang baru keluar dari kantin. Ada beberapa bekas kuih juga yang diletakkan ke dalam raga basikalnya. Irdina masih belum perasan kelainan yang terdapat pada basikalnya itu. Dia mahu bergegas. Dua lagi bekas kuih perlu diambil di warung Mak Leha dan Pak Diman. Irdina menjeling jam di pergelangan tangan.

‘Masih ada lagi tiga puluh minit. Kalau lewat lagi, teruk la aku kena marah lagi dengan mama.’

Melihat Irdina sendirian berbasikal, Faris mengayuh basikal beriringan dengan Irdina.

“Assalamualaikum Mawar,” ucap Faris.

Terkejut dengan sapaan Faris, terus saja Irdina melajukan kayuhan. Tapi pantas pula Faris memintasnya. Spontan Irdina membrek.

“Mawar, tunggulah saya,” laung Faris sudah tercungap-cungap.

“Awak nak apa lagi? Janganlah ganggu saya lagi. Kalau awak tak nak susahkan saya, saya harap awak jangan ganggu saya lagi.” Kata-kata Irdina itu membuatkan Faris terkedu.

“Hmm… Nama saya Indra Faris. Maafkan saya sebab dah susahkan awak. Saya nak bagi barang ni pada awak. Ambillah dan saya harap lampu basikal saya tu sesuai dengan basikal awak,” kata Faris tersenyum nipis.

Kali ini Irdina pula yang terkedu. Dia mengambil bungkusan itu. Serentak itu anak matanya tertancap pada basikalnya yang sudah berlampu dan basikal Faris yang sudah tiada lampu. Baru saja dia mengangkat wajah, Faris sudah pun mengayuh basikalnya jauh meninggalkannya.

‘Indra Faris. Maafkan saya. Saya tak boleh. Tak boleh terima awak walau hanya sebagai kawan. Awak, maafkan saya.’

Irdina yang sedang membaca buku menutup telinga tatkala berdesing lagi pergaduhan Rosmah dan Haron Kebelakangan ini, rumah tangga Rosmah dan Haron retak menunggu belah lantaran muncul orang ketiga. Iryani pula buat tidak peduli aje. Malah dipekakkan saja telinganya mendengar lagu menerusi walkman. Sudah jelak dia dengan situasi sebegitu.

Iryani mencebik melihat Irdina. Dia memang tidak sebulu dengan kakaknya sungguhpun mereka kembar tidak seiras. Irdina tekun belajar, manakala Iryani malas. Tetapi Iryanilah anak kesayangan Rosmah dan Haron. Namun Iryani tetap mencemburui Irdina. Irdina berkulit putih dan bermata bundar. Sepasang lesung pipit di pipi kanan Irdina dan ulas delimanya yang merkah kemerahan tambah membuatkan wajah Irdina ayu sungguh. Anak matanya yang hazel kehijauan tambah melengkapkan pakej cun pada wajah itu. Tidak hairanlah jika ramai pelajar lelaki di sekolah menaruh minat pada Irdina. Cuma, Iryani pelik sendiri, wajah Irdina tidak pula menyerupai wajah mama atau papa mereka. Jauh sekali dengan wajahnya.

Suara garang Haron menarik tumpuan. Kedua-duanya terdiam sambil memasang telinga. Kali ini meledak lagi tangisan Rosmah. Dah tentu Rosmah dan Haron bertekak lagi.

“Ros, tanda tangan aje la borang ni, habis cerita. Apa yang susah sangat awak nak tanda tangan? Saya minta izin kahwin lagi sorang, kenapa awak ni berkeras sangat tak nak ikut cakap suami? Tak bau syurga awak nanti,” tengking Haron.

Sebatang pen melayang ke lantai. Rosmah yang terperok di sisi katil mengelak dari terkena pen. Sambil teresak, dia menyeka air matanya dengan hujung lengan baju kedahnya.

“Abang, kenapa abang nak nikah lagi?” soal Rosmah.

“Abang nak anak lagi. Ros dah tak boleh mengandung. Ros dah tak boleh layan abang sempurna macam isteri orang lain. Puas hati?” bentak Haron.

Sewaktu bercinta semuanya manis. Habis madu sepah dibuang. Ketika masih suasana honeymoon dulu, mesra isteri dipanggil sayang. Namun setelah jemu, nada sayang bertukar garang. Ada pula pen yang melayang. Pen yang jatuh bergolek di kaki Rosmah dipandang hening.

Mendengar kata-kata itu, berjuraian air mata Rosmah mengalir. Sejak melahirkan Iryani, Rosmah disahkan mengidap kanser serviks. Setelah menjalani pembedahan, Rosmah sudah tidak mampu melahirkan anak lagi. Namun hal itu hanya alasan Haron, agar Rosmah terdesak menandatangani borang kebenaran bernikah lagi. Siang malam, hanya wajah Mariah yang menghiasi hatinya. Ditambah lagi desakan janda beranak dua itu agar mereka cepat bernikah, akhirnya Haron mengambil jalan memaksa Rosmah menandatangani borang keizinan bernikah itu. Namun, Rosmah masih nak pertahankan nasib diri dan anaknya.

“Abang, tak cukupkah kita sudah ada Irdina dan Iryani?” soal Rosmah lagi.

“Iryani seorang aje anak kita. Irdina bukan anak kita. Dia anak pungut. Patutnya kau tak payah ambik bela budak tu. Biar aje rumah kebajikan yang bela dia. Sampai sekarang aku tak suka dengan budak tu. Halau aje pergi berambus. Duduk rumah ni bukannya boleh dibuat untung. Asyik sakit, sakit, sakit aje. Buang duit aku aje. Hah! Cepatlah kau tandatangan borang tu. Lagi cepat kau tandatangan, lagi cepat aku boleh kahwin!” bentak Haron lagi.

Mendengar pekik lolong Haron, Iryani bingkas bangun. Pandangannya menyinga ke wajah Irdina yang sudah pucat lesi. Itukah hakikat gerangan dirinya?

‘Aku? Anak pungut?’

“Oh, rupanya kau anak pungut. Patutlah tak pernah sebulu dengan aku. Aku pun tak nak kakak macam kaulah. Kau dengar tak apa papa aku cakap? Kau tu anak pungut. Lebih baik kau keluar dari rumah ni. Aku pun dah menyampah tengok muka kau,” pekik Iryani sambil merampas buku yang dibaca Irdina dan mencampakkannya ke lantai.

Irdina kelu, juga keliru dengan apa yang baru saja dikatakan Haron.

‘Benarkah aku anak pungut? Bukankah selama ini mama dan papa cakap aku kakak kembar Iryani? Ahh…macam mana lagi aku nak hidup dalam keluarga yang penuh huru-hara ini?’

“Woii…tunggu apa lagi? Blah la dari rumah aku. Kau dah pekak ke? Tak dengar apa kata papa aku tadi? Kau tu anak pungut! Entah anak siapa yang dibuang ditepi jalan. Kau tak layak duduk satu rumah dengan kami. Baik kau berambus dari rumah ni lagi bagus. Kembar konon, huh,” bentak Iryani lagi.

Air jernih mula merelung di tubir mata Irdina. Dia mahukan kepastian. Namun memikirkan kasih sayang Rosmah dan Haron yang sering tumpah pada Iryani dan nasib dirinya yang sering diberikan layanan buruk, memberikannya jawapan yang pasti, dia bukan anak mereka. Irdina beranikan diri menapak ke luar bilik. Dia mahu berdepan dengan Rosmah dan Haron.

Kelihatan Haron tersenyum sambil mencium borang nikah itu berkali-kali. Rosmah akhirnya menurunkan juga tandatangannya pada borang nikah itu.

“Macam tulah sayang. Lain kali ikut cakap suami, mesti masuk syurga nanti. Dapat payung emas lagi, tau,” kata Haron sambil tersenyum hingga ke telinga.

Namun Haron kembali menyinga bila terpandangkan Irdina.

“Hoii… Kan aku suruh kau duduk diam-diam dalam bilik tu. Kenapa kau datang sini? Kau nak makan penampar aku ke,” ujar Haron garang.

Air mata Irdina merembes. Rosmah turut menyinga wajah ke arahnya.

“Dina, kan mama cakap jangan keluar dari bilik? Kenapa tercegat kat sini? Kenapa menangis pulak ni? Kau nak kena lagi dengan aku?” marah Rosmah pula.

“Papa… Mama… Betulkah Dina bukan anak mama dan papa? Betulkah Dina hanya anak pungut?” soal Irdina dengan nafas tersekat-sekat.

Rosmah dan Haron saling memandang.

“Memang kau anak pungut. Bukan boleh dibuat untung. Tiap bulan asyik keluar masuk klinik aje. Menyusahkan oranglah kau ni. Kalau aku tahu kau ni menyusahkan aku, aku tak bela kaulah! Entah anak luar nikah siapa, huh!” bentak Haron lagi.

Setelah itu Haron terus keluar meninggalkan rumah. Irdina terjelepok ke lantai. Tangisannya menderu-deru. Rosmah bingkas menapak ke arah Irdina. Ditariknya telinga Irdina dan direnyuk-renyuk rambut Irdina penuh benci. Memang selama ini, tubuh Irdina menjadi tempat dia melepaskan segala amarah. Tak hairanlah tubuh mungil gadis itu seringkali penuh dengan lebam-lebam.

“Ahh... Mama, sakit mama..Sakitt!” ucap Irdina teresak-esak.

“Siapa mama kau? Kau pekak ke? Sedarlah diri yang kau tu anak pungut! Mulai hari ni kau tak payah pergi sekolah. Kau jadi orang gaji aku seumur hidup pun belum tentu kau dapat bayar balik duit aku. Selama ni aku yang tanggung kau, tau tak,” pekik Rosmah sambil menolak kasar dahi Irdina dengan jari telunjuknya.

Iryani tersenyum sinis. Dia menghampiri mamanya.

“Ma, halau aje dia dari rumah ni. Buat semak aje. Menyampah Yani tengok muka dia,” ujar Iryani.

“Dari aku halau kau, lebih baik kau jadi orang gaji aku. Aku pun tak payah keluar duit nak bayar kau. Cukuplah aku dah bagi kau berteduh kat rumah aku ni. Faham Dina?” bentak Rosmah lagi lantas dia terus berlalu ke biliknya.

Iryani mencekak pinggang sambil memandang wajah Irdina dengan senyum sinis. Kepala Irdina ditujal beberapa kali dengan jari telunjuknya.

“Hey Dina, aku harap kau boleh berambus dari bilik aku hari ini jugak. Tak nak aku duduk sebilik dengan anak pungut yang bukan darah daging aku. Jijik aku dengan kau, tau tak. Entah anak bohsia mana yang mama dan papa aku kutip buat anak, hish…,” kata Iryani lagi.

Habis barang-barang Irdina dicampak keluar dari bilik mereka. Cepat-cepat Irdina mengutip satu persatu buku dan barang-barangnya yang sudah bertaburan di tangga. Semuanya dipindahkan ke bilik stor yang lebih kecil di tingkat bawah. Air matanya dibiarkan mengalir di pipi.

Sedang dia berkemas, dia terpandangkan bungkusan pemberian Faris. Tangannya cermat membuka bungkusan itu. Sebuah kaset. Kebetulan dalam bilik stor itu terdapat sebuah radio buruk yang masih boleh digunakan. Irdina memasang kaset itu. Sebuah lagu berkumandang…

Berkali-kali cuba kuhampiri
Garisan penamat usaha merintang di depan mata
Bertali arus langkahku tak terus
Garisan kurasa kan halus tak bisa kutembus
Pemisahnya cuma aku dan doa pada diri-MU
Antara putus asa sia-sia atau terus mara membara
Hoo..
Ya Rabbi Ya.. Bantulah hamba-MU
Ya Rabbi Ya.. Luruskan hatiku
Ya Rabbi Ya.. Ku pinta hidayah-MU meneruskan sisa usiaku
Ya Rabbi Ya.. Hanya kepada-MU
Ya Rabbi Ya.. Tempatku mengadu
Ya Rabbi Ya.. Ku pinta rahmat-MU melimpahi kehidupanku
Hidup dan matiku
Semua hanyalah untuk-MU
ALLAH Tuhan ku yang Satu

Air mata Irdina menitis tidak terbendung lagi bila menghayati lirik lagu itu. Memang dia terkesan dengan motivasi yang terdapat dalam lirik lagu itu. Segera dia teringatkan segala keperitan yang ditanggung selama ini. Benar. Sebagai hamba, dia hanya mampu berserah pada Allah, Tuhan yang Satu. Moga Allah terus kuatkan kesabarannya dalam merintangi segala ujian-Nya.

‘Ya ALLAH, andai segala ujian yang Kau timpakan ini terbaik untukku, aku terima dengan redha. Kupohon Kau kuatkanlah aku. Walau siapapun ibu dan bapaku, cukuplah aku tahu, aku adalah hamba-Mu yang bernafas di muka bumi ini. Maka, kuatkanlah kesabaranku ya ALLAH. Amin…’

‘Indra Faris. Terima kasih.’

Sejak itu semakin bertambah kerja rumah yang perlu dibereskan Irdina. Malah sudah lebih dua minggu dia tidak ke sekolah. Namun Irdina tetap juga belajar. Adakalanya dia curi-curi keluar rumah bertemu Hilda ketika Rosmah dan Iryani tiada di rumah. Dengan Hildalah dia bertanyakan pelajaran terbaru. Segala kerja sekolah turut dikirimkan pada Hilda untuk diserahkan pada gurunya. Apabila guru-guru bertanya tentang Irdina kepada Hilda, Irdina meminta Hilda memberitahu mereka yang dia tidak sihat. Sungguhpun Irdina sering berkongsi dengan Hilda tentang sikap buruk Rosmah dan Iryani terhadapnya, Hilda hanya menyimpan semua itu sebagai rahsia. Yang penting Irdina tetap mahu terus belajar dan mengambil peperiksaan SPM pada hujung tahun itu. Dia sangat sayangkan pelajarannnya. Tambahan pula dia merupakan salah seorang pelajar yang ditarget pihak sekolah untuk menempa kejayaan cemerlang dalam SPM.

Iryani gelisah di meja belajarnya. Berkali-kali juga dia menggaru kepalanya sambil menjeling kelibat Irdina yang sedang mengangkat pakaian di ampaian. Sejak Irdina tidak ke sekolah, Iryani semakin terbeban dengan kerja sekolah. Selama ini, Irdina yang menyiapkan kerja sekolahnya. Bila mendapat pujian guru, dia turut mendapat pujian dan hadiah lumayan dari mamanya. Sebaliknya Irdina pula yang menerima sumpah seranah mereka dua beranak.

Melihat Irdina masuk, cepat-cepat Iryani menarik lengan Irdina masuk ke dalam biliknya. Tubuh Irdina dihempaskan ke meja tulis. Irdina mengaduh sakit sambil menggosok lengannya yang sudah kemerahan. Buku sekolah Iryani yang bertimbun di situ direnung sekilas.

“Aduhh… Baju Yani kakak dah basuh, dah angkatkan, tunggu nak lipatkan aje. Apa lagi yang Yani nak ni?” soal Irdina kelelahan. Pasti ada suruhan lagi. Memang hidupnya di rumah batu dua tingkat itu tidak ubah seperti budak suruhan aje.

“Dina, kau tak nampak ke sebumbun buku-buku aku kat atas meja tu?” soal Iryani.

Memang itu yang diduga Irdina. Kebijaksanaannya mendahului. Dia mendapat akal.

“Hmm…kenapa pulak dengan buku-buku ni Yani? Bukan ke semuanya kakak dah balutkan? Apa lagi yang tak kena?” soal Irdina lagi buat-buat tak faham.

Iryani mencebik sambil menyilang tangan ke tubuh.

“Aku nak kau siapkan kerja sekolah aku sebelum pagi esok. Semuanya aku dah tanda muka suratnya. Selagi tak siap, selagi tulah kau tak boleh tidur malam ni. Aku kena hantar kerja-kerja tu semua esok,” ujar Iryani dengan lagak sombong.

Irdina tergelak. Kakinya disilakan di atas kerusi.

“Yani… Yanii… Yani dah lupa ke yang kakak ni dah dua minggu tak pergi sekolah. Satu habuk pun kakak tak belajar tau. Manalah kakak reti nak siapkan kerja sekolah Yani tu. Yani siapkanlah sendiri. Nanti Yani juga yang nak SPM kan? Dalam SPM nanti tak ada siapa yang dapat tolong Yani,” ujar Irdina lagi.

Iryani cuak juga. Dia tahu Irdina pelajar pandai. Terus Iryani duduk di sebelah Irdina. Nada suara kasar sudah bertukar lunak.

“Alaa…Dina, kalau kau tak tolong aku siapkan kerja sekolah ni, teruklah aku kena denda dengan cikgu esok. Lepas tu kena marah dengan mama lagi. Tolonglah aku Dina. Kau kan pandai. Aku tahu kau boleh siapkan kerja sekolah aku tu. Tolonglah aku Dina.” Kali ini Iryani merayu sambil menggoncang lengan Irdina.

Tak pernah Iryani merayu sebegitu padanya. Irdina tersenyum.

“Ok… Ok… Kalau Yani nak kakak siapkan kerja sekolah Yani tu, boleh tapi dengan satu syarat,” ujar Irdina lagi.

“Hmm…ya la. Kau cakaplah apa kau nak. Asalkan kau siapkan kerja sekolah aku yang bertimbun tu,” ujar Iryani lagi.

Serentak itu Irdina tersenyum lebar. Anak matanya bersinar-sinar. Dalam mindanya, dia terbayangkan sekolah yang amat dirinduinya. Seronoknya. Nampaknya dia akan dapat kembali ke sekolah semula.


Note : Untuk makluman para pembaca yang budiman, novel Mawar Putih Buatmu akan terbit dan menemui pembaca pada bulan November 2014 ini.. Nantikan ya…

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.