Home Novel Umum Mawar Putih Buatmu (Adaptasi dari tajuk asal "Mawar Irdina")
Mawar Putih Buatmu (Bab 6)

Beberapa tahun kemudian...

Walkman di telinga dikuatkan suaranya bila ia memutarkan rakaman lagu Dea lova nyanyian Once sambil anak matanya masih menjamah suasana pagi di taman mawar putih itu. Lirik lagu itu sudah sebati dengan jiwanya terhadap seseorang. Seseorang yang jauh di mata tetapi dekat di hati. Mawar Irdina! Faris menyanyi-nyanyi kecil mengikut lirik lagu itu.

aku ingin menjadi mimpi indah dalam tidurmu
aku ingin menjadi sesuatu yang mungkin bisa kau rindu
karena langkah merapuh tanpa dirimu
oh karena hati tlah letih

aku ingin menjadi sesuatu yang selalu bisa kau sentuh
aku ingin kau tahu bahwa ku selalu memujamu
tanpamu sepinya waktu merantai hati
oh bayangmu seakan-akan

kau seperti nyanyian dalam hatiku
yang memanggil rinduku padamu
seperti udara yang kuhela kau selalu ada

Faris termenung pula di meja batu itu sambil merenung rimbunan pohon mawar putih yang ditanam papanya. Kalau dulu taman mawar putih kesukaan Rizman itu berada di taman desa Padang Mat Sirat, kini taman itu berpindah ke Jitra pula kerana Rizman berpindah klinik. Villa Mawar Putih itu akhirnya terbina megah. Halaman villa subur ditanami mawar putih kesukaan papanya. Menjadi tempat dia menenangkan fikiran, melayarkan angan dan melepaskan penat dan lelah. Sedetik itu perbualan mama dan papanya sewaktu bersarapan di meja makan pagi tadi kembali menerjah ke gegendang mindanya.

"Is nak bagi alasan apa lagi? Is pun tahu kan, walaupun Is anak angkat kami, namun kami tak pernah menganggap Is sebagai anak angkat. Bahkan kasih sayang kami pada Is tak pernah bertepi. Sebelum menutup mata, kami nak tengok Is berumahtangga. Kami tak sabar-sabar nak timang cucu," ujar Sarah.

"Ish, awak ni Sarah. Is kan dah besar panjang. Dia baru aje nak mulakan kerjaya sebagai pengurus Mawar Putih Resort, awak dah bising nak menantu dan cucu. Biarlah Is buat keputusan sendiri. Awak jangan pandai-pandai nak carikan calon isteri untuk dia. Insya-ALLAH ada jodoh dapatlah awak terima menantu dan timang cucu. Kita sebagai ibu bapanya, sebaiknya kita banyak-banyak berdoa, moga Is bertemu jodoh yang baik-baik," ujar Rizman.

Mawar Irdina! Sekeping nama itu begitu menggugah hati lelakinya. Dia tak pernah melupakan gadis itu walaupun umurnya saat itu sudahpun menjangkau 25 tahun. Sungguhpun sudah lapan tahun berlalu, gadis itu masih belum sirna dari hatinya. Wajah gadis itu sentiasa melekat di hati dan membesar di mindanya. Walaupun hasrat hatinya ingin bersahabat dengan Irdina itu ditolak sewaktu sekolah dulu, hatinya gagal membendung rasa hatinya yang kian berputik pada Irdina. Namun dia tak dapat menipu diri yang sememangnya hatinya tercalar dengan kata-kata gadis itu satu masa dulu.

"Tolonglah Faris. Tolong dah jangan buat apa-apa idea gila untuk berkawan dengan saya. Hakikatnya hati saya tak pernah ada untuk awak, Faris. Sampai bila-bila pun awak takkan dapat berkawan dengan saya jika awak terus ganggu saya begini. Tak cukupkah awak dah malukan saya dengan surat-surat awak. Satu sekolah ni tahu pasal hal surat tu. Awak tak pernah rasa serikkah? Tak apalah awak tu lelaki. Saya ni perempuan. Saya ada maruah. Awak dah letak maruah saya bawah tapak kaki awak, Faris. Awak pentingkan diri. Kalaupun awak tak pedulikan maruah diri awak, tolonglah kasihankan saya. Saya akan lebih bahagia jika awak tak ganggu saya lagi. Tolong sangat-sangat Faris. Awak dan saya takkan dapat berkawan. Percayalah cakap saya! Jangan ganggu saya lagi!"

Pang! Saat mendengar kata-kata itu meluncur laju dari bibir mungil milik gadis itu, wajahnya terasa seperti dilempang gadis itu saja.

‘Wajah dia cantik sungguh, tapi sekali dia bercakap, fuhh… Seperti belati tajam menghiris hati. Sakitnya menujah-nujah ke jantung. Tapi hati ini degil sungguh! Kenapa hati ini hanya ada dia? Kenapa?’

Faris meraup wajah penuh kesal kerana membuatkan gadis itu menangis suatu ketika dulu. Dia tak berniat nak memalukan Irdina. Mana mungkin dia nak memalukan gadis itu sedangkan hatinya bertimpa-timpa dengan rasa sayang. Ikutkan hati, mahu saja dikesatkan air mata Irdina saat itu. Ikutkan rasa, mahu saja tubuh kecil gadis itu dipeluk dan ditenangkan sehingga gadis itu kembali tersenyum. Namun dia tahu sempadan agama yang membatasi mereka yang berbeza jantina. Haram hukumnya bersentuhan dengan bukan muhrim.

"Hakikatnya hati saya tak pernah ada untuk awak, Faris."

Kata-kata itu membuatkan dia termangu sendiri. Memang dia sedar, dirinya hanya bertepuk sebelah tangan. Sedangkan gadis itu tak pernah menerima dirinya walaupun hanya sebagai kawan.

"Saya akan lebih bahagia jika awak tak ganggu saya lagi. Tolong sangat-sangat Faris. Awak dan saya takkan dapat berkawan. Percayalah cakap saya! Jangan ganggu saya lagi!"

Kerana dia nak Irdina bahagia, sejak itu dia sudah tidak mengganggu Irdina lagi.

‘Mawar Irdina! Dirimu akan sentiasa mekar dalam taman hatiku.’

Tumpuan Faris teralih tatkala ada tangan yang meletakkan sepinggan jemput-jemput pisang dan minuman teh petang di meja batu tempat dia bersantai sesudah asar tadi.

Dari tengahari tadi lagi wanita separuh abad itu memerhatikan, anak majikannya itu asyik termenung saja sejak bergraduasi di universiti. Petang itu dia lihat termenung anak muda itu singgah lagi di taman mawar putih itu. Mak Siti tersenyum.

"Tuan Muda, jemputlah makan jemput-jemput Mak Siti ni. Petang-petang gini, sedap makan jemput-jemput pisang walaupun jemput-jemput pisang Mak Siti ni taklah sesedap jemput-jemput cik Puan Sarah," ujar Mak Siti.

Mawar Irdina di minda Faris lenyap tatkala bersilih dengan wajah Mak Siti. Jemput-jemput pisang air tangan Mak Siti memang sangat digemarinya. Sejak enam tahun mereka sekeluarga berpindah ke sini, masakan air tangan Mak Siti tidak pernah cacat rasanya di lidah mereka. Mereka sangat bersyukur bila mendapat pembantu rumah yang baik seperti Mak Siti. Sudahlah pandai masak, ringan tulang pula. Malah Mak Siti sudah seperti sebahagian dari keluarga itu walaupun baru tujuh tahun bekerja di rumah agam itu.

Aroma harum tea lipton dan jemput-jemput pisang Mak Siti yang masih berasap itu memang menggoda selera Faris petang-petang begini.

"Mak Siti, jomlah makan sama. Jemput-jemput pisang ni lagi sedap kalau Mak Siti pun makan sekali dengan saya," ujar Faris lagi.

"Ya la, Mak Siti temankan Tuan Muda makan ya," ujar Mak Siti.

Peluang duduk bersantai dengan Faris memang tidak akan disia-siakan. Anak muda itu sering mengingatkan Mak Siti pada anaknya yang meninggal sewaktu lahir dulu. Jika anaknya sudah besar, dah tentu sebaya dengan Faris. Sekurang-kurangnya dapat juga dia menumpahkan kasihnya pada Faris.

Sambil mengunyah jemput-jemput pisang itu, Faris memandang kembali ke taman mawar putih itu. Wajah Irdina muncul lagi di skrin minda.

"Tuan Muda masih ingatkan budak perempuan tu? Siapa nama dia? Lupa pula Mak Siti," ujar Mak Siti sambil menggaru kepalanya.

Bila duduk santai begini, kebiasaannya Faris suka bercerita pada Mak Siti. Lebih-lebih lagi bila papa dan Mama Sarahnya tiada di rumah seperti hari ini. Memang hatinya rasa lapang berkongsi kisah dengan Mak Siti.

"Namanya Cinderella. Mak Siti ni selalu lupalah. Itulah, Mak Siti jangan banyak makan asam dan buah mempelam. Kan Mak Siti dah dapat penyakit lupa-lupa," leter Faris lagi.

Mak Siti ketawa menampakkan giginya yang sudah rongak dua batang.

"Yalah, Mak Siti dah ingat. Nama budak perempuan tu Cindralela," ujar Mak Siti lagi.

"Cinderella la Mak Siti," ujar Faris sekali lagi.

"Hmm… Ya la tu. Tak pandai Mak Siti nak menyebutnya. Kenapalah nama orang putih tu jugak yang diberi mak bapak budak tu? Susah benor Mak Siti nak menyebutnya. Kenapalah tak bagi nama Siti Fatimah ke, Mahsuri ke, Tun Teja ke?" ujar Mak Siti lagi.

Mendengar kata-kata Mak Siti itu, Faris tersenyum. Sengaja dia tidak beritahu nama sebenar Irdina.

"Mak Siti, Cinderella tu cantik tau. Matanya warna hijau. Wajahnya putih bersih. Ada sepasang lesung pipit di sebelah pipi kanannya dan Cinderella suka sangat dengan..,"

Belum sempat Faris menghabiskan ayat, Mak Siti terus menyambung.

"Cindralela tu suka sangat dengan mawar putih kan?" soal Mak Siti lagi.

Faris mengangguk.

"Cinderella jinak-jinak merpati Mak Siti. Dulu waktu sekolah, puas saya tabur makanan, dia datang makan tapi bila saya nak dekat, dia terbang," ujar Faris berkias sambil menekan suaranya pada nama ‘Cinderella’ untuk membetulkan sebutan Mak Siti.

Terasa lelah mengenang bermacam ikhtiar digunakan untuk berkawan dengan Irdina. Namun kesemuanya tak menjadi. Gadis itu memang keras hati. Nak kata wajahnya buruk, handsome lagi dia berbanding pelakon Rusdi Ramli. Nak kata perangainya buruk, tak ada pula dia bercampur dengan budak nakal di sekolah dulu. Lalu, kenapa susah benar Irdina nak terima dia?

"Tapi dia terima mawar putih pemberian Tuan Muda kan?" soal Mak Siti lagi berdasarkan apa yang pernah diceritakan Faris padanya.

"Dia terima tapi dia bagi balik mawar putih yang dah kering, kaset dan lampu basikal tu. Semuanya dia pulangkan," ujar Faris kesal.

Kali ini wajahnya kembali memendung.

"Mungkin waktu tu ada sesuatu yang menghalang dia untuk berkawan dengan Tuan Muda," ujar Mak Siti lagi.

"Selepas pertemuan terakhir kami, saya terus benci dia. Benci sangat. Tapii…’

Ayat itu gagal dihabiskan. Faris menunduk wajah ke rumput. Mak Siti terus menyambung ayat itu.

"Tapi, benci itu hanya di bibir. Tidak di hati. Betul tak?" teka Mak Siti.

Faris mengangguk. Satu lagi jemput-jemput pisang dilontar masuk ke mulut.

"Mak Siti, agak-agak saya akan bertemu lagi tak dengan Cinderella?" soal Faris.

"Kenapa Tuan Muda sendiri yang tak pergi cari Cindralela tu?" soal Mak Siti kembali.

Soalan Mak Siti itu membuatkan dia terbungkam. Sudah malas juga dia mahu membetulkan sebutan nama Cinderella itu.

‘Aku? Cari Irdina? Untuk apa?’

"Hmm…mungkin," ujar Faris.

Mak Siti mengukir senyuman.

"Mungkin apa, Tuan Muda?" soal Mak Siti lagi.

"Mungkin ada baiknya saya pergi cari Cinderella," jawab Faris.

"Bila?" soal Mak Siti.

"Esok," jawab Faris.

"Kenapa mungkin? Kenapa tidak ‘pasti’?" soal Mak Siti lagi.

Faris terdiam. Bahunya dijungkit.

Kalau ‘pasti’ pun untuk apa? Luka di hatinya lapan tahun lalu masih tidak dirawat. Bahkan Irdina pun bukannya ambil peduli tentang dirinya. Gadis itu memang tidak tahu menahu luka itu masih berdarah hingga ke hari ini. Berdarah tertusuk duri bunga mawar putih pemberiannya sendiri.

Imbas kembali

Lapan tahun lalu, dataran perhimpunan sekolah.

Setelah pengetua mengumumkan nama para pelajar yang mendapat cemerlang dalam SPM, Faris dengan lagak yakin menapak ke pentas. Hari ini dia nekad mahu membersihkan nama gadis itu dari bahana fitnah dan umpat keji seluruh pelajar yang mengetahui tentang hal surat cinta mereka.

"Tampilnya saya di hadapan ini, saya seikhlas hati mahu menjelaskan tentang surat cinta saya pada Mawar Irdina. Memang saya sendiri yang tulis surat tu pada Irdina, sebab saya memang ada hati pada dia, tapi saya…

Belum sempat Faris menghabiskan kata-katanya, dataran perhimpunan itu menjadi kecoh dengan suara riuh rendah para pelajar yang saling bercakap sesama sendiri. Malah ada yang mem ‘boo’ pada Faris.

"Tak sangka aku, budak pandai pun pandai berjiwang,"

"Harap muka aje handsome macam Rusdi Ramli, tapi machonya haprak. Rusdi Ramli lagi best,"

"Bertenang semua. Saya masih belum habis cakap lagi. Sayaa… Err…

Belum sempat Faris meneruskan kata-katanya, Irdina sudah terpacul di hadapannya dengan air mata yang sudah berlinang di pipi. Faris terkedu. Itu kali pertama dia melihat gadis itu menangis. Sungguh, bukan itu yang dirancang sebenarnya. Bukan begitu! Irdina menapak naik ke pentas.

"Tolonglah Faris. Tolong dah jangan buat apa-apa idea gila untuk berkawan dengan saya. Hakikatnya hati saya tak pernah ada untuk awak, Faris. Sampai bila-bila pun awak takkan dapat berkawan dengan saya jika awak terus ganggu saya begini. Tak cukupkah awak dah malukan saya dengan surat-surat awak. Satu sekolah ni tahu pasal hal surat tu. Awak tak pernah rasa serikkah? Tak apalah awak tu lelaki. Saya ni perempuan. Saya ada maruah. Awak dah letak maruah saya bawah tapak kaki awak, Faris. Awak pentingkan diri. Kalaupun awak tak pedulikan maruah diri awak, tolonglah kasihankan saya. Saya akan lebih bahagia jika awak tak ganggu saya lagi. Tolong sangat-sangat Faris. Awak dan saya takkan dapat berkawan. Percayalah cakap saya! Jangan ganggu saya lagi!" bentak Irdina.

Sebuah kotak kasut dihulurkan pada Faris. Faris menyambut kotak itu dan Irdina pun berlalu pergi. Dia membuka kotak kasut itu. Lampu basikal, kaset dan sepuluh batang mawar putih kering itu ditatap dengan rasa terharu. Tak sangka Irdina mengeringkan batang-batang mawar putih itu dan menyimpannya. Malah tiada sehelai daun pun yang gugur. Itu menandakan betapa rapinya Irdina menjaga pemberiannya itu.

Faris mahu menyentuh salah satu batang mawar putih kering itu. Namun tiba-tiba jarinya tertusuk duri. Setitis darah menitis. Walaupun batang mawar putih itu sudah kering, namun durinya masih mampu mencederakan. Seperti hatinya yang terluka kini. Terluka dengan sebaris kata-kata yang tidak disangka-sangka itu.

Faris tertunduk. Peluh yang merenek di dahi disapu dengan kedua belah tangan. Sesal masih beraja di hati. Namun jika dia tidak ikut perasaan, pasti kisah silam antara dia dan Irdina dulu tidak akan berlaku.

‘Mawar, awak dah gelapkan wajah saya di hati awak. Idea gila saya bukan untuk malukan awak. Tapi saya mahu bersihkan nama awak. Maruah awak bukan di bawah tapak kaki saya tapi maruah awak sangat tinggi di hati saya. Saya tak sanggup mendengar umpat keji orang tentang awak disebabkan surat-surat saya. Saya mahu menebus kesalahan saya, tapi kenapa awak tak beri peluang pada saya? Sekalipun, berilah peluang pada saya untuk membuat penjelasan.’

Luahan itu hanyalah di hati. Dari jauh dia hanya memandang Mawar Irdina pergi dan menghilang. Sejak itu dia sudah tidak tahu menahu lagi tentang Irdina. Seakan Mawar Irdina sudah lenyap dari dunia. Langsung tiada khabar berita. Namun bila Faris teringatkan pertemuannya dengan Hilda dulu. Hilda bertemunya untuk memulangkan surat-suratnya dan menjelaskan keadaan sebenar Irdina. Barulah dia tahu rupanya Irdina menanggung beban. Menjadi orang gaji di rumah ibu angkatnya sendiri. Entah bagaimanalah nasib Irdina kini?

Faris mengangguk sendiri. Anak matanya kembali menjamah suasana hijau di taman mawar itu.

‘Benar cakap Hilda dulu, setiap apa yang berlaku punya hikmah-Nya tersendiri. Terpulanglah pada mereka yang berfikir dan membuat penilaian. Mawar, semoga apa yang pernah berlaku antara kita dulu bukanlah pengakhiran kepada kisah ini, tetapi moga ia menjadi permulaan kepada kisah kita.’

‘Mawar, tidak kira berapa lama, aku akan terus menunggumu. Kiranya selendang rinduku tiba-tiba reput, tahulah aku betapa lamanya waktu yang mendera penantianku. Kiranya pantai harapanku tidak lagi bergelora, mengertilah aku laut hatiku telah kematian deru. Kiranya embun kesetiaan masih lagi merintih, percayalah aku masih lagi menyimpan gambak rindu untuk berjuta lagi musim penantian. Semata-mata hanya untuk memiliki cintamu Mawar.’

Tanpa Faris sedari, Rizman datang duduk di sebelahnya.

"Is, jadi tak kamu nak pergi Langkawi tengok Mawar Putih Resort esok?" soal Rizman membuatkan Faris tersentak dari lamunan panjang.

"Insya-ALLAH, jadi papa. Esok ustaz Firdaus ambil Is di jeti Langkawi. Bila papa balik?" soal Faris pula.

"Baru aje sampai ni. Pak Cik Hisyam kirim salam pada kamu. Hmm…baik kamu cepat-cepat cari bakal isteri, Mama Sarah kamu tu dah berkenan dengan anak dara Pak Cik Hisyam tu. Dia dah nak tamat belajar, jurusan perubatan di Turki. Kebetulan dia pulang Malaysia sekejap meraikan kejayaan abangnya meraih gelaran doctor. Kalau kamu masih ingat, Haziq dan adiknya tu pernah jadi anak angkat papa dan Mama Sarah waktu kamu kecik dulu. Kamu ingat tak?" soal Rizman pula.

"Alaa…bagilah Is sedikit masa lagi. Mama ni… Is baru kerja, dah disuruh kahwin. Tak bestlah macam ni papa," keluh Faris lagi.

"Mama memang berkenan dengan budak tu Is. Cantik dan berpelajaran tinggi. Tak lama lagi dia pun akan jadi doctor. Kamu berhubunglah dengan dia. Manalah tau kot-kot sangkut ke?" ujar Sarah yang muncul dari dapur menatang sedulang keropok ikan parang.

Mak Siti membuntuti Sarah menatang sejug milo panas.

Faris memicingkan anak mata. Sekeping wajah kanak-kanak perempuan berambut perang, bermata bundar dan berlesung pipit di pipi kanan terlayar di minda. Mimi Syarmila?

"Siapa nama dia mama?" soal Faris sekadar mahu memastikan.

"Mama terlupa pulak namanya. Dah tua gini memang asyik terlupa. Dia berkirim salam pada kamu," ujar Sarah lagi.

"Betul tu cik Puan. Mak Siti pun selalu lupa-lupa nak sebut nama kawan Tuan Muda tu. Apa entah namanya. Mak Siti lupa lagi. Agaknya memang betul kata Tuan Muda, Mak Siti ni banyak sangat makan asam, sebab tu la jadi pelupa gini," ujar Mak Siti pula.

Serta-merta Sarah dan Rizman saling memandang. Segera Faris mengenyitkan mata pada Mak Siti. Sejurus itu Mak Siti menekup mulut. Hampir dia terbocorkan rahsia.

"Kawan? Kawan perempuan ke Mak Siti?" soal Sarah lagi.

"Err…bukan mama. Kawan Is yang namanya Jeffry. Kan Mak Siti?" soal Faris sambil menjeling Mak Siti.

"Ya cik Puan. Mak Siti memang asyik terlupakan nama kawan Tuan Muda tu," ujar Mak Siti mengiyakan kata-kata Faris.

"Ooh…ingatkan kawan perempuan, rupanya Jeffry. Hm…semua asyik bersembang, sejuklah keropok ikan dan milo panas ni. Jom makan. Mak Siti makan sekali ya,"ajak Sarah lagi.


Note : Untuk makluman para pembaca yang budiman, novel Mawar Putih Buatmu akan terbit dan menemui pembaca pada bulan November 2014 ini.. Nantikan ya…


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.