Home Novel Umum Mawar Putih Buatmu (Adaptasi dari tajuk asal "Mawar Irdina")
Mawar Putih Buatmu (Bab 8)

Sujud terakhir dilamakan. Doa dialunkan seperti berkalam dengan-Nya. Tiadalah yang dipinta melainkan jiwanya meraih ketenangan dan dilorongkan petunjuk-Nya dalam apa jua tindakan. Selesai bersolat, Faris berkira-kira nak balik ke rumah tumpangannya.

“Faris, kamu baliklah dulu. Ustaz ada hal sikit dengan orang masjid. Orang masjid terima aduan. Ada budak-budak muda yang mendiami rumah tumpangan di sekitar Pantai Cenang ni buat perkara tak senonoh. Mungkin ada serbuan malam ni. Kamu dah letih tu. Bawa-bawalah berehat ya,” ujar ustaz Firdaus sambil menampar lembut bahu Faris.

Faris mengangguk.

“Oh ya, hati-hati balik nanti. Sini kawasan kampung, tapi banyak kes samun. Jangan kamu pula yang kena cekup nanti,” pesan ustaz Firdaus lagi.

Faris tersenyum mendengar kata-kata ustaz Firdaus itu.

“Kena cekup sebab kena samun tak apa lagi ustaz. Jangan kena cekup sebab kena tangkap basah aje. Itu yang bahaya tu ustaz,” ujar Faris berseloroh.

Ustaz Firdaus ketawa. Dia menyua salam.

“Keropok lekor tu kamu jangan lupa habiskan. Assalamualaikum,” ucap ustaz Firdaus lagi.

“Waalaikumussalam. Insya-ALLAH ustaz. Terima kasih banyak ya,” ucap Faris lagi.

Faris pulang ke rumah tumpangannya. Memang dia letih. Seketika dia terlihat kelibat seorang lelaki tua sedang terhendap-hendap di sekitar rumah tumpangannya. Dia hairan.

“Ada apa pak cik?” soal Faris.

“Oh, pak cik hilang barang waktu lalu kat sini petang tadi. Entah kat mana jatuhnya. Tak apalah, pak cik cari kat hujung sana pula,” ujar Haron tergesa-gesa pergi.

Faris pelik. Belum sempat dia bertanya lagi, pak cik itu dah tergesa-gesa pergi. Sambil menggelengkan kepala, Faris mengeluarkan kunci rumah. Namun dia menyimpan semula kunci itu bila teringat yang dia tidak mengunci rumah itu sewaktu keluar petang tadi. Namun dia pelik kerana pintu rumah itu berkunci pula.

‘Mungkin aku kunci tadi. Tak perasan kot.’

Tanpa curiga apa-apa, Faris terus membuka kunci rumah. Tak lupa juga dia terus mengunci pintu dari dalam. Ketika dia memetik suis lampu, anak matanya menangkap sesusuk tubuh yang sedang lena dalam keadaan bersandar di dinding. Lebih menggetarkan jiwanya, sesusuk tubuh itu seorang gadis kerana bertudung. Belum sempat dia memetik suis lampu, perempuan itu terjaga. Cepat-cepat dia membetulkan tudungnya di kepala. Dia menunduk dan memeluk lututnya.

“Encik, saya minta maaf terpaksa bersembunyi di rumah ini. Encik, tolong saya encik. Pak cik saya mahu rogol saya. Kebetulan rumah tumpangan ini tak berkunci. Jadi saya menyorok di sini,” ujar perempuan itu.

Dada Faris bergetar kuat. Dia pernah mendengar suara itu.

‘Mawar Irdina?’

Dia cukup kenal dengan suara itu. Belum sempat Faris berkata-kata, tiba-tiba pintu biliknya diketuk. Tanpa berkata apa-apa, Faris terus membuka pintu. Tiga orang masjid berkopiah putih berdiri di hadapan rumah itu.

“Encik, kami terima aduan, ada orang nampak seorang perempuan masuk ke dalam rumah ini. Izinkan kami masuk untuk memastikan aduan itu benar atau salah,” ucap salah seorang dari mereka.

Berderau darahnya bila mereka bertiga menyerbu masuk ke dalam rumah. Faris terkedu tatkala apa yang diguraukan pada ustaz Firdaus tadi betul-betul menimpanya pula.

‘Aduhh… Memang aku dalam bahaya ni. Apa aku nak jawab dengan mama dan papa nanti?’

“Astaghfirullah, memang ada perempuan di sini,” ucap seorang ustaz.

Irdina yang terkejut dengan serbuan itu bingkas bangun.

“Encik, kami tak buat apa-apa. Saya hanya menumpang di sini. Saya…,”

Irdina tak mampu meneruskan kata-katanya. Dalam keadaan mereka tertangkap begitu, dia harus ada bukti untuk meyakinkan orang masjid, yang dia hanya bersembunyi di rumah itu kerana melarikan diri dari pak ciknya yang ingin merogolnya.

“Apa pun alasan, kamu berdua memang kami tangkap dalam keadaan sedang berdua-duaan dalam satu rumah tanpa mahram. Sila ikut kami ke masjid,” ujar seorang ustaz lagi.

“Tapii…kami tak bersalah ustaz. Saya tak kenal pun lelaki yang duduk di rumah ni. Saya masuk sini tadi sebab pintunya tak berkunci. Err…encik, cakaplah sesuatu. Awak dan saya tak buat apa-apa yang salah,” rayu Irdina.

Faris terpempan seketika. Akhirnya dia nekad bertanggungjawab walau apa pun yang berlaku. Dia menoleh mendepani Irdina.

“Mawar, awak jangan risau. Walau apa pun yang berlaku, saya akan bertanggungjawab,” ujar Faris.

‘Mawar?’

Irdina terbungkam tatkala anak matanya bertatapan dengan lelaki itu.

‘Indra Faris?’

“Errr…awak? Faris?” ujar Irdina terketar-ketar.

“Pandai berlakon betul kamu dua orang ni. Cepatlah, jom kita selesai di masjid,” ujar ustaz berkopiah putih itu pula.

Irdina mengucap istighfar beberapa kali setelah bersolat taubat. Setelah beberapa kali disuruh mengaku, akhirnya Irdina mengalah jua apabila berulangkali Faris meyakinkan yang dia akan bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang telah berlaku. Bagi Irdina, dia lebih rela menjadi bini orang daripada disuruh kembali ke rumah batu dua tingkat itu. Jika ini yang ditakdirkan ALLAH buat dirinya, dia pasrah. Lebih-lebih lagi kerana dia sendiri memang sebatang kara. Akhirnya mereka dinikahkan bermaharkan wang RM100 kerana Faris tidak mempunyai apa-apa yang segera waktu itu.

Ustaz Firdaus yang turut serta ketika akad nikah dijalankan tadi, hanya tersenyum merenung wajah Faris. Sungguh dia melihat riak ketenangan yang menghiasi wajah anak muda itu kini sungguhpun apa yang berlaku sebenarnya boleh dikatakan mengaibkan mereka berdua. Namun, baginya segala apa yang berlaku itu punyai hikmah yang terbesar.

Sebaliknya Irdina pula kelihatan kalut sungguh tatkala segala yang cuba diterangkan seperti tidak masuk ke akal logik orang-orang masjid itu kerana keterangan Faris yang bertentangan dengan keterangannya. Dia segera mendepani ustaz Firdaus. Dah cukup kalau ustaz Firdaus seorang yang percayakannya.

“Ustaz percayakan saya kan?” ujar Irdina berkali-kali.

Ustaz Firdaus mengangguk.

“Alhamdulillah, walaupun apa yang berlaku tanpa dirancang, moga inilah yang terbaik di sisi-Nya, insya-ALLAH,” ujar ustaz Firdaus lagi.

Irdina berasa malu sungguh dengan Faris yang kini sudah bergelar suaminya. Sekelip mata, dengan sekali lafaz saja, dia kini sudah menjadi isteri Faris. Sungguh dia tak sangka. Lelaki yang pernah aibkan maruahnya dulu kini yang menjadi suaminya pula. Dia sendiri tidak pasti harus memarahi Faris juga kali ini ataupun perlu meminta maaf, atau mungkinkah dia perlu mengucapkan terima kasih kepada lelaki itu, kerana menyelamatkan dirinya dari bapa angkatnya. Sekurang-kurangnya Faris sudah memerdekakan dirinya dari terus menjadi orang gaji keluarga Rosmah dan Haron.

“Awak nak sangat kita nikah kan. Sekarang awak nak buat apa pulak?” soal Irdina.

Dia tak faham apa tujuan Faris mahu menikah dengannya, sedangkan mereka boleh mengaku tidak bersalah. Apa yang berlaku ternyata hanya kebetulan. Namun urusan jodoh bukan kebetulan tetapi memang telah ditakdirkan sejak di Luh Mahfuz lagi.

“Awak akan ikut saya pulang ke rumah saya, tapi bukan sebagai isteri,” ujar Faris serius.

“Apa maksud awak?” soal Irdina tak faham.

“Awak akan ikut saya pulang ke rumah saya sebagai orang gaji,” tuntas Faris.

Anak mata Faris yang tajam seperti menikam jantung Irdina. Dadanya berdebar saat anak matanya menatap anak mata coklat milik Faris itu. Itu pertama kali dia menatap wajah Faris. Baru dia sedar, wajah lelaki itu sudah jauh lebih tampan berbanding zaman sekolah menengah dulu. Kini Indra Faris di hadapannya ini sudah lebih matang.

Irdina terdiam. Hatinya menurut saja. Faris kini suaminya. Ke mana lagi perlu kakinya melangkah jika bukan mengikut suami? Namun dalam diam dia bersyukur kerana merasa lebih tenang kini. Lebih baik jadi orang gaji di rumah Faris, suaminya daripada menjadi orang gaji di rumah batu dua tingkat itu.

“Awak, apa tujuan awak bila awak cakap nak bertanggungjawab ke atas saya?” soal Irdina lagi.

Wajah Faris tenang. Tiada riak senyuman yang terukir sejak tadi.

“Kan awak yang minta tolong saya selamatkan awak dari bapa angkat awak? Jadi tanggungjawab saya kat situ, saya perlu selamatkan awak. Tak ada sebab lain.” Tegas pula nada suara Faris.

“Jadi awak percayakan saya?” soal Irdina lagi.

“Entahlah. Tapi saya tak pernah lupa, awak pernah lukakan hati saya dulu.” ujar Faris tanpa menjawab soalan Irdina.

Kata-kata Faris itu buat Irdina terkedu. Wajahnya ditundukkan.

“Awak dah siap?” soal Faris sambil memandang Irdina atas dan bawah.

Irdina yang kurang selesa dipandang begitu hanya mengangguk. Namun dia hairan bila Faris berjalan mengelilinginya. Penampilan Irdina yang hanya memakai kain batik lusuh lembab, t-shirt lengan panjang yang sudah pudar warnanya dan tudung tiga segi yang sudah terbertas jahitan tepinya itu memang kurang disenanginya. Betul-betul macam minah kampung aje.

“Saya lari dari rumah sehelai sepinggang aje. Yang sempat saya bawa hanya al-Quran dan tudung yang saya pakai ni,” ujar Irdina jujur.

“Kalau macam tu, awak ikut saya ke pasar malam kejap lagi,” ujar Faris lagi.

“Nak buat apa ikut awak pergi pasar malam?” soal Irdina tak faham-faham.

“Takkanlah saya nak bawa awak balik rumah saya dengan awak pakai macam ni? Nanti mama dan papa saya fikir saya larikan anak dara orang pulak. Kita tengoklah baju apa yang sesuai untuk awak nanti ya,” ujar Faris lagi.

Irdina mengangguk. Barulah dia faham.

‘Mama dan papa? Elleh, awak menikah dengan saya tu bukan macam larikan anak dara orang ke? Hmm…saya dah jadi bini awak. Saya ikut aje apa yang awak nak.’

“Tapi..

“Tapi apa lagi Mawar?” soal Faris lagi.

“Errr…saya lari dari rumah tadi kaki ayam aje,” ujar Irdina sambil menggigit bibir.

Serentak itu Faris memandang kaki Irdina yang tidak berkasut.

“La awak nii… Kenapa tak cakap dari tadi? Eh, maknanya tadi awak berkaki ayam juga ke masjid?” soal Faris lagi.

Irdina mengangguk dengan wajahnya ditundukkan.

“Hmm…awak pakai kasut saya ni aje ya,” ujar Faris lagi.

“Eh, habis tu awak tak pakai kasut ke?” soal Irdina lagi.

“Sebelum pasar malam habis, baik awak pakai kasut tu. Jangan banyak soal. Jom cepat! Saya dah pinjam motor ustaz Firdaus. Awak tunggu di tepi jalan sana. Sekejap lagi saya datang ambik,” ujar Faris lagi.

Kasut itu bertukar kaki. Dengan hanya berkaki ayam, Faris akhirnya menghilang di sebalik pokok-pokok rhu. Irdina merenung sepasang kasut milik Faris yang tersarung ke kakinya itu. Kasut itu dua kali besar berbanding kakinya yang kecil molek. Tersungging senyuman di bibirnya. Kalau dulu Faris pernah buat dia menangis, hari itu, lelaki itu buat dia tersenyum pula.

‘Indra Faris! Terima kasih!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.