Home Novel Umum Mawar Putih Buatmu (Adaptasi dari tajuk asal "Mawar Irdina")
Mawar Putih Buatmu (Bab 13)

Hujan lebat memaksa Rizman memandu perlahan. Jalan raya saat itu memang sesak memandangkan waktu itu memang waktu para pekerja pulang kerja. Sesekali tersekat dalam kesesakan jalan raya memang menguji kesabaran. Namun cepat-cepat dilapangkan hatinya dengan beristighfar. Terbayang wajah manis Cinderella, membuatkan hatinya tenang. Memang anak gadis itu begitu istimewa di hatinya. Lebih tepat anak gadis bernama Cinderella itu begitu mengingatkan dia pada Haryati.

Hampir sama tingkah laku dan rentak langkah Cinderella dengan Haryati. Malah rona kemerahan wajah, rona kehijauan anak matanya juga saling tidak tumpah seperti Haryati. Wajah ala-ala Hindi, kerana arwah nenek Haryati India Muslim memang berasal dari Bombay, India. Berkahwin dengan atoknya yang berketurunan jawa berasal dari Indonesia. Haryati mewarisi kecantikan asli India neneknya. Begitu juga Cinderella. Setiap hari dia pasti mahu melihat raut wajah Cinderella. Merasa masakan Cinderella dan berbual-bual dengan Cinderella yang merupakan pendengar yang baik.

Namun dia sedar. Tingkahlaku dan layanannya pada Cinderella telah menerbitkan bibit cemburu di hati isterinya, Sarah. Walaupun puas sudah dia menerangkan yang dia hanya menganggap Cinderella seperti anaknya sendiri. Dengan itu dia merasa bertanggungjawab mahu membiayai pengajian Cinderella. Dia mahu Cinderella menjadi anak yang berjaya. Niat itu memang tulus ikhlas dari hatinya memandangkan Cinderella juga mengingatkannya dengan anak kandungnya yang hingga sekarang masih belum dapat dikesan jejak duduknya. Dia ikhlas bukan sebab ada udang di sebalik batu. Namun Sarah tetap juga mahu berprasangka.

Imbas kembali

Sarah menatang dulang gelas berisi milo panas dan cucur udang. Petang sebegitu mereka gemar bersantai di taman mawar putih. Namun hari itu Sarah nekad bertelus dengan Rizman. Memang dia tidak senang dengan layanan baik suaminya pada Cinderella.

“Abang, kenapa saya tengok sejak budak Cinderella tu ada kat rumah ni, abang selalu aje ambik berat tentang dia. Dia bukannya anak kita. Dia cuma orang gaji aje, tak payah la layan dia lebih-lebih,” ujar Sarah dengan satu keluhan.

“Apa masalah awak kalau saya layan baik-baik budak Cinderella tu. Saya tak anggap dia orang gaji. Saya dah anggap dia macam anak saya. Lebih-lebih lagi dia memang sebaya dengan Faris,” ujar Rizman pula.

“Saya bukannya apa. Cuma tak nak budak tu naik lemak, lupa diri nanti kalau dimanjakan sangat,” ujar Sarah masih tak puas hati.

“Saya tak rasa Cinderella tu macam tu. Dia bukan macam yang awak sangka. Dia budak baik. Layanan saya pada Cinderella sama macam layanan saya pada Faris. Tak ada lebih atau kurang,” ujar Rizman lagi.

“Kenapa abang sibuk-sibuk nak budak Cinderella tu sambung belajar. Siap nak biayai yuran pengajian dia lagi. Tak cukup ke sekadar kita bagi dia kerja aje kat rumah ni?” soal Sarah.

“Sarah, kan abang dah terangkan, abang kesian dengan budak tu. Dia pun pandai dalam pelajaran, cuma dia tak ada peluang menyambung pengajian kerana dia sebatang kara, tak ada keluarga. Abang simpati dengan dia Sarah,” ujar Rizman.

“Boleh percaya ke simpati abang tu? Ke abang da syok sangat dengan budak tu? Mengaku aje la yang abang da berkenan dengan dia kan?” soal Sarah sinis.

“Ish, awak ni, ke situ pulak. Kenapa pulak saya nak berkenan kat dia yang sebaya umur dengan Faris, anak kita? Kan saya dah cakap tadi, saya kesian dengan budak tu. Awak tu jangan ikut sangat perasaan cemburu awak tu. Dah tua-tua gini pun nak cemburu lagi? Malaslah saya nak layan,” ujar Rizman lagi.

“Tengoklah awak tu. Sejak budak Cinderella tu ada kat rumah ni, awak pun dah malas nak melayan saya. Tapi rajin pulak awak melayan budak tu. Kalau dah melayan dia, dari pagi hingga ke malam pun awak tak kisah,” ujar Sarah lagi.

“Yang awak nak cemburu saya melayan dia kenapa? Sarah, kita ni dah tua-tua gini mengaku aje la yang kita rasa lebih nak bersama dengan anak-anak. Saya bersyukur ALLAH lorongkan pada kita untuk mencurah kasih pada Faris selama ini dan dengan rahmat-Nya juga Cinderella menjejak langkah ke rumah kita ni. Malah saya rasa rumah kita ni makin meriah dengan adanya Cinderella. Awak pun tak la jemu asyik mengadap muka Mak Siti aje. Ada jugak teman bergebang,” ujar Rizman lagi.

“Abang jangan nak mengelak. Dah lebih 25 tahun kita kahwin, saya faham sangat rentak hati abang. Anak mata abang takkan menipu. Abang ada perasaan pada Cinderella kan? Mengaku aje la abang,” ujar Sarah lagi dengan suara yang sedikit sebak.

“Astaghfirullah… Dah berapa kali saya cakap, saya hanya simpati pada budak Cinderella tu. Memang dah 25 tahun kita kahwin, saya ingatkan awak sangat faham saya. Rupanya awak memang tak faham-faham saya. Tak macam…’

Bicaranya terhenti. Sekilas wajah penenang hatinya membesar di minda. Haryati!

“Tak macam kak Yati? Memang dari dulu, di hati abang hanya ada kak Yati aje. Tak pernah ada saya di hati abang. Bukannya saya tak tahu. Abang suka dengan budak Cinderella tu sebab mukanya ada iras dengan Haryati kan?” tuduh Sarah sudah teresak.

Gugur juga air mata yang ditahan-tahan selama ini. Isteri mana yang tak cemburu dan sakit hati melihat suami sendiri melayan mesra gadis yang tiada langsung pertalian keluarga dengan mereka? Anak mata Rizman tidak akan mampu menipu hatinya. Memang dia kenal sangat cara Rizman memandang Cinderella. Memang dalam hati Rizman ada Cinderella kerana sebelum-sebelum ini wajah Rizman tidak pernah bercahaya ceria. Hadirnya Cinderella bagaikan matahari yang menyinari hati Rizman.

Berkali-kali Sarah mengesat air matanya. Namun esakannya makin lebat pula.

“Saya cuma tak nak dia lupa diri aje. Nanti dia pula yang jadi boss dalam rumah ni, kita pulak yang jadi hamba,” ujar Sarah lagi.

“Astaghfirullah, ke situ pulak awak ni. Dahlah. Saya kena ke hospital. Kejap tadi ada panggilan urgent operation malam ni hingga pagi esok. Mungkin saya balik rumah lusa,” ujar Rizman lagi lantas menjamah cucur udang dan mencicip milo panas. Mendengar kata-kata Rizman, Sarah terdiam. Memang kebiasaan kalau Rizman punya on call di hospital, dia memang tidak pulang ke rumah untuk beberapa hari.

“Abang, Haziq nak datang rumah kita, tapi belum pasti lagi bila. Boleh dia datang lusa malam?” soal Sarah teragak-agak.

“Eh, bila budak Haziq tu balik Malaysia? Bila dia contact awak?” soal Rizman lagi.

Mereka beriringan menuruni tangga ke ruang tamu.

“Malam tadi. Rupanya dah lebih sebulan dia bertugas di Hospital Jitra,”

“Jemputlah dia datang hari Sabtu minggu depan. Abang pun dah lama tak jumpa dia. Jadi doktor jugak budak tu, kan. Dulu kecik-kecik nakalnya bukan main. Sejak mereka sekeluarga berpindah ke Turki, kita dah terputus hubungan dengan keluarga mereka,” ujar Rizman sambil mengenakan butang baju kemeja-T nya.

“Dulu-dulu Haziqlah jadi pengubat rindu saya pada tangisan bayi. Saya dah anggap dia dan adiknya macam anak sendiri bang. Malah Haziq pun dah jadi teman sepermainan dengan Faris. Bila keluarganya dah berpindah, sunyi sungguh. Alhamdulillah, waktu tu kita dah ada Faris,” ujar Sarah sebak.

Sarah memang rapat dengan Haziq dan keluarganya. Walaupun mereka tidak ada pertalian darah, Haziq sudah dianggap seperti anaknya sendiri walaupun Haziq dan keluarganya hanyalah jiran mereka sewaktu mereka berdua masih tinggal di Langkawi dulu. Haziqlah pengubat hati memandangkan perkahwinan dia dan Rizman tidak dikurniakan zuriat, sehinggalah mereka mengambil Faris sebagai anak angkat.

Hari minggu itu Faris tidak ke resort dan Rizman pun tidak ada on calldi Hospital Jitra. Seawal selepas subuh tadi lagi kedua beranak itu sudah berpakat mahu berjoging di sekitar Taman Suria 5 itu selepas sama-sama solat subuh berjemaah di Masjid Al-A’la. Seusai pulang dari berjoging, keduanya bersantai-santai meregangkan badan di taman mawar putih.

“Assalamualaikum,”

Suara itu memang cukup dikenali Faris walaupun kedudukannya saat itu membelakangi si pemberi salam. Sekilas dia menjerling ke wajah papanya. Tidak semena-mena wajah papanya berubah girang tatkala menatap wajah gadis itu.

“Waalaikumussalam, kamu dari mana Cinderella?” soal Rizman membalas senyuman Irdina.

Anak matanya lekas-lekas merenung wajah gadis itu. Santun gadis itu tampak begitu memikat hati Rizman. Entah kenapa hatinya merasa tenang tatkala merenung wajah cantik manis gadis itu. Memang senyuman gadis itu menjadi pengubat rindunya pada Haryati.

“Oh, saya dari masjid Tuan. Tuan, saya minta maaf. Selepas solat subuh tadi, saya tak sedar tertidur. Bila terjaga, hari dah siang. Tu yang cepat-cepat saya balik rumah ni. Saya minta maaf,” ujar Irdina tunduk memandang rumput karpet di halaman villa itu.

“La… Ya ke. Kami tak perasan pulak yang Cinderella pun ikut pergi masjid jugak pagi tadi. Tak apa. Lekaslah masuk rumah. Mesti Mak Siti tengah cari Cinderella tu,” ujar Rizman lagi.

Irdina mengangguk. Sempat juga dia mengerling ke wajah Faris. Namun lelaki itu sedikit pun tidak menyapanya. Terus saja dia berlalu masuk ke rumah.

Lama Rizman memandang Irdina sehingga susuk tubuh gadis itu lenyap dari pandangan matanya, barulah dia kembali merenung wajah Faris.

“Baik betul budak Cinderella tu kan. Memang rezeki kamu bawa dia ke rumah ni. Sejak dia ada di rumah ni, rumah ni macam bercahaya pulak. Tak la tiap-tiap hari asyik mengadap muka mama dan Mak Siti kamu aje kan, hehe,” ujar Rizman sambil tersengeh.

“Papa suka ke dengan Cinderella tu? Is tengok papa rajin bersembang dengan dia,” ujar Faris cuba memancing komen papanya tentang Irdina.

Rizman tersenyum meleret sebelum menjawab soalan Faris itu.

“Gadis cantik macam tu, siapa yang tidak suka? Cinderella mengingatkan papa pada mama Haryati kamu dan anak perempuan papa. Papa pun tak tahu mana lagi nak cari mama Haryati kamu dan anak papa tu. Dah tentu anak papa sebaya kamu dan Cinderella sekarang. Jika ada jodoh, nak aje papa jodohkan kamu dan anak papa tu. Biar kamu betul-betul jadi anak menantu papa,” ujar Rizman.

Kata-kata Rizman buat Faris terkesima.

‘Maaf papa, Is dah jadi suami orang papa. Dah tak boleh nak jadi anak menantu papa. Dah tak boleh nak jadi suami pada anak perempuan papa. Sebab Is dah jadi suami orang. Suami Cinderella.’

Namun kata-kata itu hanya bergema di hati Faris. Mungkin tidak akan terluah selagi belum tiba masanya.

“Is, kamu berkenan tak dengan budak Cinderella tu?” Soalan cepu mas dari Rizman buat Faris tersentak dari lamunan.

“Err… Kalau dulu-dulu kat sekolah, Is memang pernah minat dia papa. Papa ingat lagi dengan batang-batang mawar papa yang Is potong dulu?” soal Faris mengajak papanya mengimbau masa lampau.

Rizman ketawa. Memang sudah dijangka, pasti Faris ada buat sesuatu dengan batang-batang mawar putih yang dipotongnya dulu.

“Kamu bagi batang-batang mawar tu pada Cinderella ke?” serkap Rizman tak sabar nak tahu.

Kata-kata Rizman buat Faris tersenyum hingga ke telinga. Memang dia tidak mampu menyembunyikan perasaannya pada Cinderella. Perlahan-lahan dia mengangguk dengan pipi yang sudah merona kemerahan. Dengan pengakuan itu Rizman ketawa terbahak-bahak.

“Kenapa papa ketawa?”

“Bapak borek, anak rintik”

Dengan kata-kata itu Faris pun ikut ketawa. Walaupun mereka berdua bukan anak beranak kandung namun kemesraan mereka berdua seperti anak beranak kandung. Tanpa pengetahuan Rizman dan Faris, tingkahlaku mereka diperhatikan Irdina dari dalam dapur. Tersenyum dia memerhati dari jauh.

“Ehm… Tak baik tau anak dara mengintai teruna dari balik dapur. Hehe..”

Usikan itu serta-merta membuat Irdina kelam kabut.

“Oh, Mak Siti. Maaf tak perasan Mak Siti di belakang saya. Ada apa-apa lagi yang boleh saya tolong Mak Siti?” soal Irdina lagi.

“Kamu panggilkanlah Tuan Rizman dan Tuan Muda sarapan. Mereka dua beranak tu kalau dah bergebang, memang tak ingat-ingat nak isi perut,” ujar Mak Siti tersenyum-senyum.

Dari gerak geri Irdina dan Faris, Mak Siti dapat membaca, ada sesuatu antara mereka berdua. Cuma dia tak dapat meneka apa yang tersembunyi. Namun sebagai seorang manusia yang sudah lebih awal makan garam, dia merasakan apa yang tersembunyi antara Irdina dan Faris lebih bersifat perasaan yang terpendam.

Namun tanpa mereka sedari, tingkah dan perbualan mereka rupanya menjadi tontonan seseorang.

“Mak Siti dan Cinderella siap hidangkan sarapan di meja makan utama. Biar saya aje yang panggilkan Tuan dan Faris,” ujar Sarah menjeling pada Irdina.

Irdina dan Mak Siti mengangguk perlahan. Tanpa berkata apa-apa mereka segera menurut arahan Sarah. Irdina mengangkat wajah memandang Mak Siti. Mak Siti hanya menggelengkan kepala dan mengangkat bahu. Mak Siti pelik sendiri. Tidak pernah Sarah mengeluarkan arahan sebegitu. Sebelum ini tidak pernah-pernah Sarah meninggikan suara atau mengarahnya membuat itu dan ini. Hari ini entah kenapa Sarah nampak lain macam. Hatinya tiba-tiba merasa tak tenteram. Dalam diam dia mendoakan yang baik-baik untuk keluarga itu.

Irdina membawa sejug sunquick suam untuk dihidangkan di meja makan. Kata Mak Siti, Rizman dan Faris suka sangat minum air sunquick suam awal pagi, senang lawas katanya. Irdina menuangkan air ke cawan Rizman. Serta-merta pula Rizman meminum air itu.

“Hmm… Sedapnya sunquick ni. Siapa buat air ni Mak Siti?” soal Rizman.

Mak Siti menyumbing senyuman. Matanya mengerling ke wajah Irdina.

“Siapa lagi Tuan, kalau bukan cik Cinderella kita ni. Apa-apa pun yang dimasaknya, semuanya sedap-sedap belaka Tuan,” ujar Mak Siti yang sedang sibuk menyenduk nasi lemak ke pinggan.

“Hm… Tak ada apa Tuan. Air sunquick biasa aje tuan,” ujar Irdina lagi.

“Air sunquick tu luar biasa sebab kamu yang buatkan,” ujar Rizman sambil mencicip lagi air minuman itu.

Mendengar kata-kata pujian Rizman pada Cinderella, Sarah mencebik muka masam. Menggunung lagi rasa cemburunya pada gadis itu.

‘Kalau Cinderella, semuanya sedap. Ada-ada aja yang dia nak puji. Aku bini dia ni, apa yang aku masak, semuanya tak pernah dipuji. Dari dulu, dia hanya suka puji orang yang tak ada di depan mata saja. Dulu Haryati. Sekarang, Cinderella ni pulak.’

Faris mengulum senyuman. Malu dia mahu menunjukkan wajah senang hatinya pada komen papanya dan komen Mak Siti itu. Tiba ketika Irdina menghulurkan gelas, Faris mendongak sekilas memandang ke anak mata Irdina. Faris mahu mencapai gelas itu namun tanpa sengaja, jarinya tersentuh jari Irdina. Bagai terkena kejutan elektrik, cepat-cepat Irdina menarik jarinya. Terkejut dengan tindakan itu, Faris terlepas pegangan gelas. Gelas itu jatuh di lantai dan pecah.

“Maafkan saya Tuan Muda, saya tak sengaja,”

Tanpa berlengah, Irdina terus menunduk dan mengutip serpihan kaca gelas yang bertaburan di lantai. Faris terkedu seketika. Sarah hanya menjeling dengan muka masam.

“Cindralela, biar aje kaca tu di lantai. Kejap Mak Siti ke dapur, ambilkan penyapu dan penyodok,”

Mak Siti segera bergegas ke dapur. Namun kerana merasa kekok diperhatikan Irdina tetap mengutip juga serpihan kaca yang pecah.

“ALLAH.. Aduhh..,”

Setitis darah menitis dari jari manis kanan Irdina. Belum sempat Faris bertindak, Rizman dulu yang mendapatkan jari Irdina. Luka di jari Irdina ditekan kuat, agar kuman yang terdapat pada luka itu tidak masuk ke dalam tetapi mengalir keluar. Paling tidak disangka, Rizman kemudian menghisap darah kotor keluar dari jari Irdina. Sarah hanya membatukan diri. Dalam diam dia merasa geram dengan tindak tanduk Rizman yang semakin berubah terhadap Irdina.

“Is, darah banyak mengalir ni. Cepat, tolong papa ambilkan peti ubat kat almari ruang tamu tu,”

Walaupun luka di jari manis Irdina tidaklah seteruk mana, entah kenapa Rizman sungguh risaukan Irdina. Bagaikan dia sudah menganggap Irdina seperti anaknya sendiri. Faris dan Mak Siti sama-sama tiba di sisi Rizman. Cuma Faris tiba dengan peti ubat di tangan, manakala di tangan Mak Siti pula terjinjing penyapu dan penyodok.

“Ya Allah… Cindralela, kan Mak Siti dah cakap tadi, biarkan aje kaca gelas tu di lantai. Kan dah berdarah jari tu. Ishh… Itulah, tak dengar cakap Mak Siti,”

Mak Siti tarik muka geram. Irdina tertunduk. Rasa bersalah kerana tak dengar nasihat Mak Siti.

Belum sempat Rizman membuka peti ubat, deringan telefon bimbitnya mematikan tingkah. Sempat dia mengisyaratkan pada Faris agar menyambung merawat luka di jari manis Irdina. Faris mengangguk. Sementara Rizman menjawab telefon bimbit sambil menaiki tangga ke bilik tidur, Sarah membuntutinya. Ada perkara yang ingin diperkatakan pada Rizman. Memang dia tak puas hati.

Faris memandang lama luka di jari Irdina.

“Cinderella, jom kita ke ruang anjung depan sana. Mak Siti tolong bersihkan serpihan kaca ni ya,” ujar Faris lantas menapak ke anjung rumah.

Mak Siti mengangguk. Pantas saja tangan tuanya menyapu serpihan kaca itu ke dalam penyodok. Dia akhirnya menghilang ke dapur.

“Cinderella, sila duduk.”

Faris mengisyaratkan agar Irdina duduk di sofa di anjung rumah. Teragak-agak Irdina mendaratkan punggung di sofa empuk itu. Faris melutut di sebelahnya. Cermat dia membuka peti ubat. Iodine dikeluarkan.

“Mana luka tadi?”

Segan-segan Irdina menghulurkan jemarinya. Faris meneliti jari manis Irdina seketika. Darah dah berhenti mengalir. Segera dia menyapu iodine pada luka itu, kemudian luka itu dibalut dengan plaster ubat luka.

“Ok, dah siap. Lepas ni awak buat kerja baik-baik. Jangan cuai lagi. Jaga diri. Jangan terluka lagi,” ucap Faris serentak merenung seketika wajah Irdina.

Irdina yang terpana dengan renungan itu serta-merta menundukkan wajah. Perlahan dia mengangguk. Faris bingkas bangun.

“Tu..an Muda, terima kasih,” ucap Irdina.

Faris tidak menoleh. Hanya sekadar mengangguk. Irdina pelik. Tingkahlaku Faris terhadapnya hanya acuh tak acuh saja.

‘Indra Faris, aku semakin tidak dapat membaca hatimu. Siapa sebenarnya aku di hatimu?’

Dengan detikan itu Irdina melepaskan keluhan.

Note : Untuk makluman para pembaca yang budiman, novel Mawar Putih Buatmu akan terbit dan menemui pembaca pada bulan November 2014 ini.. Nantikan ya…

~ Annur Iman ~

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.