Home Novel Thriller/Aksi Ops! Zulaikha
Ops! Zulaikha
Hasrudi Jawawi
22/11/2012 08:35:52
139,843
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
22
“TERSEDAK-SEDAK bos aku tu. Tersembur kopi kat muka Tan Sri Irfan. Kasihan orang tua tu. Tak pasal-pasal kena sembur dengan anak dia sendiri.”

Tergelak-gelak Zulaikha semasa menceritakan semula apa yang berlaku di pejabat siang tadi. Wanda turut tergelak. Mujurlah dia belum meneguk milo panasnya. Jika tak, pasti tersembur minuman itu di muka Zulaikha.

“Kau ni kejamlah Laika. Kesian bos kau tu, tau?” ujar Wanda sambil melabuhkan punggung di atas sofa bersebelahan dengan Zulaikha. Mug di tangan diletak di atas meja di hadapannya.

Zulaikha tidak terus menjawab. Kerepek pisang di tangan dikunyah terlebih dahulu.

“Ada aku kisah? Hei Wanda! Kau tahu tak? Dia suruh aku buat kopi berpuluh-puluh kali. Apa yang aku buat, semua serba tak kena. Tak ke itu tandanya dia nak buli aku? So, padanlah muka dia, minum kopi masin. Bukan satu sudu, lima sudu si Qadir bubuh dalam kopi tu,” ujar Zulaikha sambil menunjukan tapak tangannya.

“Huk! Huk! Huk!”

Wanda terbatuk-batuk. Terkejut mendengar kata-kata Zulaikha.

“Lima sudu garam? Kau dah gila ke? Mahunya bos kau kena darah tinggi nanti. Silap-silap boleh kena stroke bos kau tu. Kau memang kejam!”

“Dia lagi kejam! Ada ke dia bandingkan kopi yang aku bancuh tu dengan kopi kat Starbucks? Siot aje.”
Wanda tergelak-gelak. Kerepek pisang di dalam balang di riba Zulaikha dikaut sedikit lalu diletak di tapak tangan.

“Melampaunya dia! Bandingkan kopi bancuhan kau dengan kopi kat Starbucks tu. Dia ingat kau ni bekas pembantu rumah ke apa? Kau tu, bancuh air sirap pun failed!” Sempat lagi Wanda menyindir.

“Wah, wah, wah... sedapnya kutuk aku. Mulut tu tak ada insurans ke?” marah Zulaikha.

“Apa pulak? Betul apa?”

“Tapi tak perlulah perli secara terang-terangan, kan? Tersentap mak!” rajuk Zulaikha, sekadar buat-buat.
Hubungan mereka sebenarnya sudah seperti adik-beradik. Apa yang dicakap, biasanya habis di mulut sahaja. Tak simpan di dalam hati.

“Aku ni, kalau kau buat kopi, aku pun belum tentu nak minum.” Wanda terus mengusik kawan baiknya itu.

Semakin tebal rasa bengang Zulaikha. Kecil kelopak matanya merenung Wanda.

“Habis tu, yang kau teguk air kopi dalam teko setiap hari sebelum pergi ofis, kau ingat Cik Senah nasi lemak dua hengget tu ke yang buat? Aku tengok kau minum, siap tambah lima kali lagi. Sedaplah tu!”

“He...he...he...” Wanda tersengih sambil menggigit lagi kerepek pisang di tangan.

“Alah, aku saja nak usik kau. Nak gurau senda dengan kau. Janganlah tersentap pulak,” pujuk Wanda sambil memeluk bahu kawan baiknya itu.

Satu ciuman sayang sebagai seorang sahabat dilayangkan di pipi Zulaikha. Kalau lelaki buat tindakkan yang sama pada kaum sejenisnya, pasti orang akan fikir bukan-bukan. Mujurlah mereka perempuan. Orang tak berapa kisah.

“Eee... kau ni, cium-cium aku ni kenapa? Aku ni, kadang-kadang kau buat macam teddy bear aje,” sindir Zulaikha.

Wanda tersengih lagi. Milo panas di atas meja dicapai. Belum pun sempat dia menghirup minuman itu, tiba-tiba Zulaikha merampas perlahan mug itu. Dia hanya mampu menjeling sinis.

Zulaikha tanpa rasa bersalah menghirup air minuman Wanda.

“He...he...he...” sengih Zulaikha sambil memberi mug di tangannya kembali kepada Wanda.

Wanda menjeling menyampah lalu meneguk minumannya. Kemudian meletakkan mug itu di atas meja.
“Sampai bila kau nak sabar dengan sikap bos kau tu? Aku takut, kau tak tahan. Aku yakin, bos kau buat semua tu supaya kau berhenti kerja. Sebab dia tak suka kau,” ujar Wanda.

Zulaikha mengangguk. Setuju dengan pendapat Wanda.

“Aku pun merasakan macam tu, Wanda. Dia nak aku berhenti dan bukan diberhentikan. Sebab, menurut Tan Sri Irfan hanya dia yang boleh pecat aku. Bos aku tu tak ada hak nak pecat aku. Tu yang dia perdajal aku kaw-kaw, supaya aku letak jawatan. Lupakan aje! Aku takkan sesekali letak jawatan.”

“Kalau dia gunakan alasan kau bancuh kopi masin tu untuk pecat kau esok macam mana?”

“Kau jangan risau, Tuan Qadir akan bela aku.”

Berkerut dahi Wanda memandang Zulaikha. Sejak tadi, Zulaikha sudah menyebut nama lelaki yang tak pernah didengari sebelum ini sebanyak dua kali.

“Siapa sebenarnya Tuan Qadir tu? Dari tadi kau asyik sebut nama dia aje,” tanya Wanda meluahkan rasa sangsinya.

“Oh... Tuan Qadir. Dia tu penolong pengurus kedua kat syarikat tu. Bos aku tu penolong pengurus pertama. Dari apa yang diberitahu Encik Darsuki, mereka berdua tu sepupu. Tapi Tuan Qadir lebih handsome dari bos aku dan lebih matang. Tuan Qadir jauh lebih baik hati dan peramah. Walaupun berjawatan tinggi, dia layan aku baik sangat. Siap tolong aku perdajal bos aku yang tak ke mana tu! Bos aku tu, umur dah 34 tahun, tapi perangai macam budak12 tahun. Pening aku!” beritahu Zulaikha.

“Wah! Belum apa-apa kau dah didekati jejaka tampan. Kelas kau Laika, makan hati akak! Entah-entah dia suka kat kau tak?”

“Hisy kau ni Wanda. Suka-suka hati aje cakap macam tu. Takkanlah dia suka aku ni yang kerja sebagai pembantu sepupunya sendiri. Jangan nak mengarutlah!” nafi Zulaikha.

Namun jauh di sudut hati, dia senang dengan kata-kata Wanda itu. Tanpa disedari, hati wanitanya berdetik perlahan setiap kali teringatkan Qadir.

Wanda mencebik. Malas mahu memanjangkan isu itu.

Suasana diam seketika. Masing-masing fokus pada siaran berita di televisyen.

“So, hari pertama kau kat Merbok Construction Berhad tu, apa kau dapat untuk misi kau? Takkan duk sibuk melayan tekak bos kau tu aje?” tanya Wanda menukar topik perbualan.

Kunyahan Zulaikha perlahan secara mendadak. Memang tak dinafikan, oleh kerana terlalu fokus pada kerenah ketuanya, tak banyak bahan yang dia perolehi. Kekangan masa menyebabkan dia tidak boleh ke mana-mana.

“Hari ni, masa aku terlalu terhad. Bos aku tu, tak habis-habis nak kenakan aku. Hari ni aku dapat siasat tentang carta organisasi dan profil syarikat aje. Aku nak tahu nama-nama setiap pekerja yang ada kat Merbok Construction Berhad tu,” jawab Zulaikha.

“Aku dengar, Kamal jadi driver bos kau? Betul ke?” tanya Wanda lagi.

“Haah,” jawab Zulaikha sepatah.

“Bukan ke DSP Faliq dengan ASP Jabir suruh dia memantau kau, bukannya turut kerja kat Merbok Construction Berhad tu. Aku rasa… Kamal tu memang syok kat kau. Kalau tak, kenapa dia merayu pada ASP Jabir supaya benarkan dia bekerja di Merbok Construction Berhad untuk membantu kau.”

Wanda memberitahu hal sebenar. Kelmarin dia ada terdengar Kamal merayu pada ASP Jabir, supaya membenarkan dia dekat dengan Zulaikha.

“Dia merayu pada ASP Jabir? Kau biar betul? Hal-hal macam ni kau jangan main sebut aje, Wanda. Kalau tak betul, kau dah kira dosa pada Kamal sebab memfitnah dia.”

Zulaikha tidak dapat menerima kata-kata kawannya itu.

“Buat apa aku nak tipu dan buat fitnah pasal Si Kamal tu? Aku dapat duit ke? Aku dengar sendiri, dia merayu pada ASP Jabir.”

“Kau sengaja curi dengar ke?”

“Mana ada! Dah Kamal merayu kat kaunter depan. Kebetulan cuma aku aje ada kat situ, yang lain keluar lunch. Takkan aku nak tutup telinga kut?”

Zulaikha terdiam. Lama dia memandang Wanda.

“Betul ke?”

Zulaikha masih tidak yakin dengan kata-kata Wanda.

“Aku rasa Kamal tu syok kat kau. Kau aje tak perasan.”

Zulaikha memandang ke arah skrin televisyen perlahan-lahan. Kata-kata Wanda tadi masih terngiang-ngiang di dalam kepala.

Dia tak sangka Kamal sanggup merayu pada ASP Jabir untuk menjadi pemandu Darwish semata-mata untuk memantunya? Zulaikha mula keresahan.

Previous: 21
Next: 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.