Home Novel Thriller/Aksi Ops! Zulaikha
Ops! Zulaikha
Hasrudi Jawawi
22/11/2012 08:35:52
139,797
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
07
“ZULAIKHA!!!”

Panggilan itu menyebabkan langkah Zulaikha dan Kamal terhenti. Serentak mereka menoleh ke arah suara itu. Zulaikha dan Kamal sedang melangkah ke kafeteria berhampiran untuk makan tengah hari.

Kelihatan Wanda sedang berlari anak menuju ke arah mereka.

“Amboi... mentang-mentang kau orang berdua dah dapat ‘lesen’ untuk bekerjasama dalam jabatan ni, semakin rapat kau orang aku tengok. Kau orang ada apa-apa ke?” tanya Wanda yang berpangkat ‘Sub Inspektor’ kepada Zulaikha.

Bulat mata Zulaikha memandang Wanda. Suka-suka hati sahaja rakan setugas dan juga merangkap rakan serumah mengeluarkan kenyataan sedemikian. Malu dia pada Kamal.

Kamal tersenyum. Namun di dalam hatinya, dia terlalu suka kerana Wanda menganggap dia dan Zulaikha sedemikian. Dalam diam Kamal juga berharap tebakkan Wanda itu jadi kenyataan.

“Hisy, apa yang kau merepek ni?” bisik Zulaikha pada Wanda yang sudah tergelak-gelak.

“Alah... relakslah. Aku gurau aje. Yang kau nak menggelabah ni apa hal?” ujar Wanda selamba sambil membetulkan beret di kepalanya.

Zulaikha menjeling marah pada Wanda. Lancang sungguh mulut kawannya itu.

“Kita orang tak ada apa-apalah,” nafi Zulaikha sekeras-kerasnya.

“Memanglah, mula-mula macam biasa. Nanti, kalau dah selalu bekerjasama, mesti akan timbul feeling tu. Maklumlah, orang tu kan dah dapat kepercayaan dari ASP Jabir. Lepas ni, dapatlah naik pangkat jadi Cif Inspektor. Cif Inspektor Zulaikha,” perli Wanda lagi.

“Jangan nak mengarutlah. Dah, dah, aku dah lapar ni!” bentak Zulaikha, semakin tidak senang dengan mulut Wanda yang celopar itu. Semakin malu dia pada Kamal.

Kamal hanya tersenyum.

“Malulah tu,” usik Wanda.

“Diam!” marah Zulaikha sambil menyusun langkah yang tergendala tadi menuju ke kafeteria yang berhampiran.

Wanda memandang Kamal. Kemudian mereka sama-sama tersenyum. Cepat-cepat Wanda menyaingi langkah Zulaikha.

“Macam mana dengan kes suspek yang kena tangkap kelmarin? Dah settle?” tanya Wanda menukar topik perbualan.

Kes itu telah diuruskan Zulaikha dan Kamal sebelum ini. Sudah pasti dua sahabatnya itu lebih tahu mengenai kes itu.

Zulaikha hanya mendiamkan diri. Malas nak bersuara. Hatinya sakit. Suka-suka hati sahaja mengaitkan dirinya dengan Kamal. Dia dengan Kamal tiada apa-apa hubungan selain sahabat, rakan setugas dan kini lelaki itu ketuanya.

Kamal memandang Zulaikha. Dia tahu, Zulaikha terasa hati dengan Wanda.

“Buat masa ni, kes tu masih dalam proses siasatan. Pihak atasan yang akan siasat kes tu. Kita hanya menunggu arahan sahaja. Tapi, menurut ASP Jabir, kes itu masih belum selesai.” Kamal yang menjawab pertanyaan Wanda itu.

Wanda mengangguk.

“Oh ya, saya terlupa nak beritahu awak Laikha,” ujar Kamal bila teringat sesuatu.

“Beritahu apa?” tanyanya.

“ASP Jabir ada maklumkan kat saya semalam, DSP Faliq nak jumpa kita bertiga untuk bincangkan kes tu.”
“Wah!!!” Terjerit Wanda selepas mendengar kata-kata Kamal itu.

Zulaikha terkejut. Mendadak dia memberhentikan langkahnya. Tidak semena-mena, langkah Wanda dan Kamal juga turut terhenti.

“Kau apa hal ni Wanda? Terjerit tak tentu pasal?” marah Zulaikha.

Wanda tersengih sumbing.

“Sorrylah. Aku cuma terkejut aje. Tapi kalau DSP Faliq dan ASP Jabirnak jumpa kau orang, pastinya ada kes besar yang akan kau orang berdua handle.” Wanda meluahkan pendapatnya.

“Eleh, yalah tu. Pandai-pandai aje kau ni.” rengus Zulaikha memperlekeh pendapat Wanda itu sambil menyambung langkah.

Seraya Kamal dan Wanda turut menyambung langkah masing-masing.

“Eh, betullah. Kau lupa ke pasal ASP Jabir? Tiga tahun lalu pangkat dia hanya Cif Inspektor macam Kamal ni tau? Bila dipanggil DSP Faliq, terus dapat kes besar. Kes tu pulak berjaya. Dan dia terus-terusan dapat kes besar. Sampailah dia naik pangkat jadi ‘Asistan Superinten’ Polis dengan sokongan DSP Faliq. Lepas ni, dua kawan aku ni pulak akan naik pangkatlah.”

“Insya-ALLAH Wanda. Rezeki tu Allah yang bagi. Minta-minta masinlah mulut kau tu,” celah Kamal bila melihat perbualan antara Zulaikha dan Wanda mula bernada kasar.

“Amin... aku doakan kau dengan Laikha akan naik pangkat sama-sama. Aku jugaklah masih macam ni,” ujar Wanda buat-buat mengeluh.

“Dahlah, jangan nak merepek. Aku dah lapar. Kalau kau nak terus mengarut, silakan. Aku nak ke kafe dulu,” ujar Zulaikha malas nak berdebat lagi. Langkah terus disusun laju menuju ke kafeteria.



“PAPA suka dengan kemunculan kau semalam di Merbok Construction Berhad,” puji Dato’ Zabadi sambil menyandar relaks pada sofa yang ada di dalam pejabatnya itu.

Sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah yang menyandang jawatan pengarah eksekutif di Merbok Construction Berhad, dia juga layak mempunyai pejabat sendiri di syarikat ini.

Monyok wajah Qadira. Sengaja dia tidak mahu berpaling memandang wajah papanya. Disangka hal ini sudah selesai sejak empat tahun lalu. Rupa-rupanya masih berlanjutan. Jika boleh, dia tidak mahu terlibat dalam hal ini lagi.

Kesannya akan terkena pada dirinya juga. Disebabkan papanya, dia menderita menanggung rindu sepanjang belajar di luar negara. Apa yang papanya itu tahu? Tahunya mahu dia buat kerja keji itu lagi.

“Bukan ke papa yang suruh Dira datang sini seperti plan papa?” sindir Qadira balik.

Dato’ Zabadi tersentak. Tapi, memang benar pun. Kemunculan Qadira semalam atas rancangannya.

“Papa... Dira ni baru balik dari oversea. Papa dah suruh buat kerja bukan-bukan. Tak cukup lagi ke apa yang Dira dah buat empat tahun lalu? Rasa bersalahnya masih terasa sampai sekarang pa,” keluh Qadira sedih.

Ikutkan hati, dia tidak sampai hati mahu menghancurkan sekeping hati yang telah menyayanginya empat tahun lalu. Dia mahu insan itu menemu kebahagiaan.

Tajam Dato’ Zabadi memandang anaknya. Terkejut mendengar keluhan satu-satunya anak gadisnya itu.
“Kau dah jatuh cinta dengan dia ke?” tanya Dato’ Zabadi serius sekali.

Qadira mengeluh halus.

“Walaupun saya jatuh cinta dengan Darwish sekali pun, papa bukan benarkan. Papa masih tak puas lagi ke, hancurkan hati Dira? Terpaksa berbohong pada Darwish, study ke luar negara dengan Daniel. Walhal, Daniel tu pun Dira tak jumpa selama Dira duduk kat UK tu. Pleaselah papa. Dira dah penat nak rasa kecewa macam ni.”

“Jadi, selama ni kamu memang sudah jatuh cinta dengan Darwish?” Serius sekali Dato’ Zabadi bertanya.
Itulah satu-satunya hal yang dia tidak akan benarkan berlaku. Anaknya itu tidak boleh jatuh cinta pada Darwish. Dia menyuruh Qadira menghampiri Darwish hanya untuk menghancurkan hidup lelaki itu. Bukan untuk dijadikan suami dan menantunya.

Terdiam Qadira buat seketika. Hatinya dipagut sedih dan pilu. Bila terkenangkan Darwish, hatinya bagai ditusuk sembilu. Dia putuskan hubungannya dengan Darwish empat tahun lalu disebabkan papanya. Tanpa kerelaannya!

Cuma dia tidak pernah meluahkan isi hatinya pada papanya itu yang dia sememangnya mencintai Darwish sepenuh hati dan bukan lakonan semata-mata.

“Jawablah pertanyaan papa ni. Kamu dah jatuh cinta pada Darwish?” tanya Dato’ Zabadi mula mengeraskan nada suaranya inginkan kepastian bila anak gadisnya itu mendiamkan diri.

Qadria hanya tunduk. Dia tahu, papanya takkan sesekali membenarkan dia jatuh cinta pada Darwish. Jadi, lebih baik dia merahsiakan kisah hatinya ini. Biarlah dia pendam seorang diri. Biarlah sakitnya, dia tanggung sendiri.

“Ingat Dira. Apapun berlaku, papa tak nak kau jatuh cinta pada Darwish. Papa suruh kamu berlakon sukakan dia, hanya untuk porak-perandakan hati dan hidup dia. Supaya dia jadi sasau serta merta dan tak layak ganti tempat Uncle Irfan kamu tu. Papa nak abang kamu jadi pengganti Uncle Irfan.” Itulah rancangan Dato’ Zabadi sebenarnya.

Sanggup mempertaruhkan perasaan anaknya demi kepuasan hatinya sendiri. Harta yang diutamakan berbanding perasaan anaknya. Tanpa sedar dia telah berlaku kejam pada anaknya sendiri.

Qadira sedikit pun tidak terkejut dengan kata-kata papanya itu. Sejak dulu dia tahu, papanya itu tidak pernah sebulu dengan Tan Sri Irfan merangkap abang ipar papanya. Hanya kerana harta, papanya sanggup perjudikan anak sendiri. Yang jadi mangsanya dia dan abangnya.

Selepas kematian mamanya ketika dia berusia 12 tahun. Sikap tamak haloba papanya semakin menjadi-jadi. Kalau bukan kerana arwah mamanya yang menukar nama papanya sebagai pewaris sahamnya di Merbok Construction Berhad ini. Sudah pasti sekarang ini mereka tidak sekaya sekarang. Itupun papanya masih tidak kenal erti bersyukur.

“Dira tau.”

Qadira terpaksa memberi jawapan itu. Hatinya yang menangis hanya dia yang tahu. Dia cuba untuk tidak menitiskan air mata di hadapan papanya. Dia tidak mahu papanya tahu tentang perasaannya yang sebenar pada Darwish.

“Papa nak kau dekati Darwish yang dah sedia sasau sejak empat tahu lalu tu. Biar dia semakin gila. Senanglah papa nak hasut semua ahli lembaga pengarah agar memilih abang kau sebagai pengganti uncle kamu tu.”

“Papa, tak boleh ke kita hentikan benda ni? Dira penatlah nak berlakon macam ni lagi,” keluh Qadira memohon agar Dato’ Zabadi itu menghentikan rancangan ini.

“Eh Dira!” bentak Dato’ Zabadi sambil menegakkan tubuhnya. Tajam anak matanya memandang Qadira.
Terkejut Qadira dengan bentakkan itu. Tersandar tubuhnya pada sofa. Cuak dibuatnya.

“Kau dengar sini baik-baik. Walaupun apapun berlaku, papa nak kau teruskan rancangan papa ni. Papa buat semua ni untuk kebaikan kau. Bukan untuk orang lain,” sambung Dato’ Zabadi, serius sekali nadanya.

“Tapi tak boleh ke kita bersaing secara sihat?” ujar Qadira masih berani mahu mempertikai.

“Baik kau ikut sahaja apa yang papa rancang! Jangan sibuk nak nasihatkan papa.”

Dato’ Zabadi tidak boleh terima kenyataan anaknya cuba mengajarnya.

“Kalau Dira tak nak ikut rancangan papa, apa papa nak buat?”

Dato’ Zabadi benar-benar rasa tercabar dengan pertanyaan anak gadisnya itu. Amarahnya mula meluap-luap.

“Kau nak tahu apa akan papa buat?” tanyanya ingin kepastian.

Dengan teragak-agak Qadira mengangguk. Dia pun ingin tahu apa yang papanya akan lakukan terhadapnya andai dia tidak mahu menuruti kehendak orang tua itu.

“Papa akan pastikan, kau tak akan mewarisi sesen pun harta papa dan mama. Serta merta kau kena tinggalkan banglo ni dan hidup sendiri. Papa takkan anggap kau anak papa lagi. Faham?” Serius sekali Dato’ Zabadi menjelaskan.

Hakikatnya, hati Dato’ Zabadi tidak sekejam itu. Dia berkata begitu hanya untuk menakut-nakutkan anaknya supaya menuruti kehendaknya.

“Takkan papa tergamak buat anak papa sendiri macam tu?”

“Sedangkan kamu sebagai anak papa, yang papa jaga sejak kecil, tergamak musnahkan impian papa, kenapa papa tak boleh pulak?” ucap Dato’ Zabadi mempertikai. Membuatkan anak gadisnya itu terdiam.

Qadira hilang kata-kata. Tidak tahu nak kata apa lagi. Ternyata papanya sanggup melakukan apa sahaja demi memuaskan hatinya. Sanggup hilang darah daging, demi harta dunia yang tidak ke mana ini. Hatinya dipalu rasa pilu. Namun, dia hanya menahan. Mana mungkin dia sanggup hidup tanpa duit papanya. Dia sudah terbisa hidup mewah.

Dato’ Zabadi menarik nafas panjang lalu dihembus keluar. Dia serius dengan rancangannya. Dia mahu anak lelakinya, Qadir menguasai Merbok Construction Berhad selepas abang iparnya bersara dan bukannya Darwish.

Bunyi ketukan pintu mengganggu konsentrasi mereka berdua. Serentak mereka memandang ke arah pintu. Dato’ Zabadi melaung perkataan masuk. Muncul pembantunya bersama I-Pad di tangan.

“Ha, apa halnya ni? Nampak cemas aje?” tanya Dato’ Zabadi kepada pembantunya itu.

“Ada berita terbaru.”

“Berita apa?”

“Ini dia Dato’.”

Pembantunya menghulur I-Pad kepadanya.

Dato’ Zabadi melihat apa yang tertera pada skrin I-Pad itu. Terbuntang matanya.

Qadira yang ada di situ terpinga-pinga melihat reaksi dua lelaki di hadapannya. Apa yang dah berlaku? Hatinya tertanya-tanya.

Previous: 06
Next: 08

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.