Home Novel Thriller/Aksi Ops! Zulaikha
Ops! Zulaikha
Hasrudi Jawawi
22/11/2012 08:35:52
56,123
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
03
SEMUA ahli lembaga pengarah yang ada di dalam bilik mesyuarat itu bertepuk tangan atas pembentangan laporan yang baru dibentangkan. Kecuali Tan Sri Irfan yang sejak tadi memandang sinis ke arah Darwish yang duduk di hadapannya. Setiap kali mesyuarat, anaknya itu sering memalukannya.

Darwsih tergagap-gagap setiap kali berhadapan dengan orang ramai. Menyebabkan ahli lembaga pengarah yang lain mula sangsi dengan potensi dan kreabiliti Darwish sebagai pewaris Merbok Construction Berhad.

“Nampaknya, anak abang tu masih macam tu walaupun hampir lima tahun berkhidmat di syarikat ni. Dia tu macam ahli senyap di Merbok Construction Berhad. Tak pernah nak sumbang idea dan terlalu malu nak berhadapan dengan orang ramai. Abang, cuba-cubalah carikan ubat untuk hilangkan sikap malu dia tu?” bisik Dato’ Zabadi kepada Tan Sri Irfan merangkap abang iparnya itu.

Tersentap hati Tan Sri Irfan mendengar kata-kata adik iparnya itu. Dia tahu, adik iparnya itu ada menyimpan niat terhadap Merbok Construction Berhad. Seboleh-bolehnya, dia ingin menjatuhkan Darwish. Dato’ Zabadi ingin menonjolkan anak lelakinya yang baru sahaja selesai membentangkan laporannya sebentar tadi dan mendapat pujian yang melambung tinggi dari ahli lembaga pengarah yang lain.

“Kau jangan nak cuba-cuba mengajar aku, Adi,” balas Tan Sri Irfan dengan nada sinis sekali.

Namun, senyuman masih lekat di bibirnya. Dia tidak mahu kemarahannya pada Dato’ Zabadi disedari oleh ahli lembaga pengarah yang lain.

“Aku hanya beri cadangan. Nak dibandingkan Qadir dan Darwish tu, aku rasa Qadir lebih layak jadi CEO Merbok Construction Berhad menggantikan tempat kau kelak.” Sengaja Dato’ Zabadi memprovok hati Tan Sri Irfan agar dapat menerima kenyataan sebenar.

Semua orang tahu, waris tunggal abangnya itu tidak berfungsi di dalam syarikat ini. Bila-bila masa sahaja boleh disingkirkan.

“Baiklah, segala laporan sudah dibentangkan dan sebab musabab kenapa projek pusat membeli belah di Batu Pahat itu mengalami kelewatan sudah diketahui. Ada apa-apa pertanyaan lagi?” tanya pengerusi mesyuarat.

Semua saling berpandangan antara satu sama lain. Tiada yang mahu mengutarakan soalan kerana penjelasan Qadir tadi sudah jelas dan sempurna.

“Jika tiada pertanyaan lagi, mesyuarat bersurai.”

Semua ahli lembaga pengarah mula mengangkat punggung meninggalkan bilik mesyuarat itu.

“Fikirkanlah bang, sampai bila kita nak terus menanti Darwish tu bersedia sedangkan kita memang dah ada calon yang sesuai. Aku rasa kalau Qadir tu jadi pesaing Darwish, ahli lembaga pengarah yang lain pasti memilih Qadir yang bijak tu dari pilih Darwish yang malu tak bertempat tu.” Sempat lagi Dato’ Zabadi menyindir abang iparnya sendiri sebelum melangkah meningalkan bilik mesyuarat itu.

Tan Sri Irfan yang duduk di kerusi paling depan hanya mampu menahan geram. Lama dia memandang Darwish yang sedang terlena sedangkan bilik mesyuarat sudah mula lengang. Kalau bom jatuh sekalipun, pasti dia tidak sedar.

Tan Sri Irfan hanya mampu menggeleng. Nak marah, sudah muak. Dia berfikir sejenak, mencari ilham. Apa pun, dia perlu merubah diri anak tunggalnya itu. Merbok Construction Berhad perlukan Darwish untuk menguruskan dan bukannya Qadir.

Ya, aku perlu buat sesuatu! Nekadnya di dalam hati. Tapi bagaimana?



TAN Sri Irfan
terus melangkah keluar dari bilik mesyuarat itu. Sebelum dia melangkah keluar, ditutupnya lampu dan alat penghawa dingin. Dibiarkan Darwish keseorangan di situ.

Biar dia rasa panas! Tengah-tengah mesyuarat boleh tidur pulak, rungut Tan Sri Irfan dan terus menutup pintu.

Seketika kemudian, Darwish tersedar.

Eh, apasal gelap ni? Aku kat mana? Dengan terpinga-pinga, dia bingkas bangun dan memandang keadaan sekeliling. Oh! Baru dia ingat! Tadi dia sedang menghadiri mesyuarat. Tapi kenapa mereka tak kejutkan aku? Kurang asam! Marah Darwish di dalam hati.

Tanpa berlengah lagi, Darwish melangkah keluar dan terus melangkah ke biliknya.

“Bosan!” Itu perkataan yang keluar dari mulut Darwish sebaik sahaja melabuhkan punggungnya di kerusi.
“Asyik meeting aje. Tak boleh ke meeting dimansuhkan dalam dunia ni. Aku dah bosan. Balik-balik mengadap jutaan angka dan huruf. Tak pun, segala carta dan graf nak kena nilai. Tak ada ke robot yang boleh bekerja macam manusia?” ujar Darwish sambil mulutnya terus membebel yang bukan-bukan.
Alat interkom di atas mejanya dicapai. Butang bernombor dua ditekan.

“Shafiq, aku nak keluar. Bosan duduk kat ofis. Suruh driver datang sekarang!” arah Darwish dengan nada serius.

“Aku tak boleh duduk lama-lama kat ofis. Boleh jadi gila dibuatnya,” bebelnya lagi sambil mencapai beg sandang.

Darwish perlu meninggalkan pejabat ini segera sebelum papanya muncul. Sudah pasti si tua itu sedang mencarinya ketika ini untuk memaki hamun. Biasanya, setiap kali selepas meeting, dia pasti akan dimarahi. Jadi, dia perlu cepat!

Laju sahaja langkah Darwish meninggalkan pejabat.

“Syafiq, cepat! Aku tak nak orang tua tu nampak kita cabut lari,” arah Darwish sambil memanjangkan langkahnya menuju ke lif.

Syafiq, pembantu peribadinya tergesa-gesa mengikut langkah ketuanya itu. Sempat dia mencapai I-Padnya sebelum melangkah jauh. Gadget itu penting di zaman ini. Semuanya hanya di hujung jari. Segala data dan temu janji ketuanya boleh di simpan terus pada peranti kecil itu.

“Kita nak ke mana bos?” tanya Syafiq takut-takut.

“Kau jangan banyak tanyalah. Ikut aje!” bentak Darwish kasar sambil menjeling pembantu peribadinya itu.

Syafiq terdiam.

Mereka kini sudah pun berada di depan lif. Syafiq tahu, ketuanya itu cuba melarikan diri dari papanya. Begitulah setiap kali selepas mesyuarat. Dia yang sudah bekerja sebagai pembantu peribadi Darwish Darnie bin Tan Sri Irfan sejak setahun lalu, sudah lali dengan sikap ketuanya itu.

Hampir 20 orang sudah berhenti kerja dari menjadi pembantu peribadinya kerana tidak tahan dengan sikap Darwish yang suka hati sahaja nak buat apa. Buat masa ini, dialah satu-satunya manusia yang tahan dengan perangai Darwish.

Tapi kalau dia ada tawaran lain, dia sanggup berhenti. Tak tahan!!! Hari-hari melayan kerenah Darwish, boleh jadi gila. Tak matang.

“Apa hal lif ni lambat? Siapa yang buat lif ni? Nak kena saman kontraktor yang buat lif ni,” bebel Darwish lagi.

Tidak habis-habis mahu menyalahkan orang lain. Yalah, bila sudah terdesak, semua benda pun dianggap salah. Dia sahaja yang betul.

“Sabarlah bos, takkan lari lif ni kalau dikejar,” jawab Syafiq.

Dia seorang sahaja yang berani menjawab. Staf-staf lain yang ada di bangunan ini memang takut dengan Darwish.

“Hisy budak ni, menjawab pulak!” marah Darwish sambil mengangkat siku.

“Ampun bos, saya bergurau aje,” pohon Syafiq.

“Huh!” rengus Darwish.

Ting! Pintu lif terbuka. Terpancul wajah Tan Sri Irfan bersama pembantunya.

Darwish terkedu. Perlahan-lahan dia memandang Syafiq. Syafiq pun nampak cuak.

Perlahan-lahan Darwish memusingkan tubuhnya ke belakang. Bersiap sedia untuk melarikan diri. Dengan kiraan tiga, dia mula menyusun langkah meninggalkan lif itu. Belum pun sempat mahu melangkah, beg sandangnya sudah dipaut Tan Sri Irfan dari belakang lalu dengan kasar ditarik ke dalam lif.

“Argh!!!” jerit Darwish sambil menarik cuping telinga Syafiq.

Tidak fasal-fasal Syafiq turut melangkah masuk ke dalam lif.

“Kau nak ke mana? Setiap kali meeting, kau tak habis-habis nak malukan papa, kan?” marah Tan Sri Irfan sambil memulas cuping telinga anaknya.

“Adoi papa! Sakitlah!” pekik Darwish.

“Tahu pun sakit, kan? Sakit hati papa ni, kau tak fikir? Disebabkan kau, Uncle Zabadi dengan sesuka hati sindir papa sebab ada anak pemalu macam kau!” sambung Tan Sri Irfan lagi.

Syafiq pula sudah mendukung pembantu Tan Sri Irfan untuk menutup kamera litar tertutup yang ada di dalam lif itu. Itulah kerja mereka berdua kalau dua beranak itu bergaduh di dalam lif.

“Papa dah tahu Wish pemalu, kenapa...”

“Tak habis-habis nak malu. Sampai bila kau nak malu macam ni? Kau malukan papa, tak pulak kau rasa malu?” pintas Tan Sri Irfan.

“Adui...” rengek Darwish sambil menahan telinga.

Ting!

Pintu lif terbuka. Masing-masing terus berlakon seolah-olah tiada apa berlaku.

Muncul seorang wanita. Tan Sri Irfan dan Darwish terkejut melihat kemunculan wanita itu tanpa diduga. Buat seketika, mereka berlima saling berpandangan.

Previous: 02
Next: 04

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.