Home Cerpen Seram/Misteri Kisah Seram Malam Jumaat: DORM 403
Kisah Seram Malam Jumaat: DORM 403
Hasrudi Jawawi
3/9/2016 23:15:07
6,336
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

<center>Terkurung aku sepi...</center>

KAPALA
terasa berat. Perlahan-lahan dia cuba membuka kelopak mata. Cahaya yang menyuluh entah dari mana menyilaukan pandangan. Penglihatannya beransur jelas. Sesuatu yang berlatarkan warna putih kekuningan menjadi latar pemandangannya ketika ini. Saat matanya mula menjelas, latar putih kekuning itu rupa-rupanya warna siling hostel.

Bila perkataan hostel melintasi mindanya, mata yang sepet terus terbuka luas dan terbuntang dek disapa terkejut. Pantas dia mendudukan diri lalu memandang sekelilingnya. Dia berada di atas katilnya ketika ini. Yang membuatkan dia terkejut dan cemas, bila tiada sesiapa yang menjaganya di hostel itu. Dia sendirian!

Mengeletar tubuhnya. Dia cuba mengingat kembali apa yang telah berlaku padanya. Beberapa saat kemudian, baru dia teringat yang pandangannya mula kabur semasa dia di kompleks sajian tengah hari tadi. Tubuhnya melayang dan pandangannya terus menjadi gelap. Selepas itu dia sudah tidak ingat apa-apa lagi. Sedar sahaja dia sudah berada di bilik hostel ini!

“Adhan! Ravi! Rahimi! Kau orang kat mana?” panggil dan tanya Fizi dalam rasa cemas.

Tanpa menunggu lama, dia terus melangkah turun dari katil. Namun, belum ada lima saat dia berdiri, kepalanya terasa pening dan membuatkan dia kembali terduduk. Kepalanya berdenyut-denyut. Terasa mencengkam sampai ke otak!

“Emmm.... Emmm....”

Tersentak Fizi bila bunyi tangisan yang ditahan-tahan itu tiba-tiba kedengaran di luar hostel itu. Tubuhnya terus mengigil disapa ketakutan. Dia diganggu lagi!

Suara tangisan itu kedengaran jelas berada di luar hostelnya melalui tingkap cermin yang sentiasa tertutup. Di sebalik cermin lut sinar yang kabur itu, dia dapat melihat kelibat seseorang sedang melangkah perlahan menuju ke pintu hostel itu yang terbuka.

Seketika kemudianm, dengan jelas dia melihat sebatang tangan berkuku runcing menjalar masuk ke dalam hostel itu. Kulit tangan makhluk itu kelihatan seperti terbakar.

Fizi terkaku melihat makhluk itu yang mula merangkak masuk. Lidahnya kelu untuk menjerit. Matanya terbuntang luas dan tubuhnya mengeletar pantas melihat makhluk ngeri berambut panjang itu sedang merangkak menghampiri katilnya. Dia hanya mampu melihat tanpa berbuat apa-apa.

Sesaat kemudian, makhluk itu mengangkat wajahnya memandang Fizi. Dengan jelas Fizi melihat wajah makhluk itu yang hodoh dan kedua matanya merah menyala dengan taring yang panjang.

“Grrrr...” makhluk itu menyeringai lalu melompat ke arah Fizi.

“Aragh!!!” Fizi menjerit sekuat hati sambil menutup mata.

*********

“TAK sangka, teruk juga Fizi kena ganggu sampai dia termenung macam tu. Aku takut, dia dah kena rasuk aje,” luah Ravi, selepas Fizi dibawa oleh Cikgu Zamri dan Cikgu Amir untuk dihantar pulang.

Keadaan Fizi yang tiba-tiba meracau beberapa jam lalu membuatkan Cikgu Zamri membuat keputusan untuk menghantar Fizi pulang sebelum sempat kawan mereka itu menamatkan program bina semangat ini. Bimbang keadaan Fizi akan lebih teruk.

“Syhhh... cakap tu boleh perlahan sikit tak?” tegur Adlan sambil mencapai tualanya yang disangkut di tepi tingkap.

Ravi terus menutup mulut.

“Kau percaya ke, dengan apa yang Fizi cerita pada kau tu? Entah-entah apa yang dia alami tu, hanya mainan perasaan dia aje.”

Tiba-tiba Rahimi yang sudah siap untuk ke bilik air, mencelah. Manakala Zulhilmi dan Saffie sudah sejak tadi ke bilik air untuk membersihkan diri sebelum ke kompleks sajian untuk makan malam. Hanya mereka bertiga sahaja ketika ini yang masih di dalam hostel itu.

“Kau jangan riak sangat Mi.”

Ravi kurang senang dengan kata-kata Rahimi tadi yang kedengaran seperti memperlekehkan apa yang Fizi telah lalui.

“Kau orang berdua ni macamlah baru kenal Fizi tu, kan? Dia tu kan penakut. Tak pernah berjauhan dengan keluarga. Sebab tu, dia jadi macam tu. Sebab terlalu memikirkan apa yang Si Ravi cerita fasal kem ni. Sampaikan dia berhalusinasi pada sesuatu yang tak ada disebabkan terlalu taksub dengan cerita Ravi.”

Rahimi masih teguh dengan tanggapannya.

Adlan malas hendak membalas kata-kata Rahimi itu. Dia tahu Rahimi memang susah hendak mempercayai sesuatu yang melibatkan dunia mistik.

“Maksudnya kau tak percaya yang Dorm 403 tu berhantu?” tanya Ravi sekadar ingin memastikan.

Rahimi tidak terus menjawab. Dia membiarkan pertanyaan Ravi itu tergantung begitu sahaja buat seketika.

**********

TIT!

Jam digital milik Rahimi berbunyi sekali menandakan waktu yang dinantikan sudah tiba. Di sebalik gelap malam, dia melihat jam digital di tangannya. Sudah menunjukan pukul 2.30 pagi. Lima belas minit yang lalu, dia perasan Cikgu Zamri atau mungkin Cikgu Amir baru sahaja selesai membuat rondaan kali kedua di kawasan hostel ini.

Di sebalik gelap malam, Rahimi mencapai lampu suluhnya yang sengaja disembunyikan di bawah bantal. Ingin menggunakan telefon pintarnya, sejak hari pertama program ini lagi semua telefon pintar mereka sudah dirampas oleh guru yang bertugas dan akan diserahkan semula pada majlis penutupan program ini tengah hari nanti. Nasib baik dia membawa lampu suluh.

Perlahan-lahan dia melangkah penuh berhati-hati menuju ke arah katil Ravi.

“Ravi, dah 2.30 pagi ni. Bangunlah,” kejut Rahimi dengan nada berbisik. Bimbang menganggu dua lagi rakan sebilik mereka yang tidak terlibat dengan rancangan mereka pada malam ini.

Ravi memusingkan tubuhnya menghadap Rahimi yang sudah melutut di sisi katilnya. Dia terlelap. Mata yang kering digosok perlahan dengan siku jari telunjuk.

“Kalau aku tak nak ikut boleh tak?” balas Ravi dengan soalan.

“Isy kau ni, kita dah pelan nak curi masuk bilik sebelah tu, kan? Bangunlah, dah lambat ni. Bangun,” suruh Rahimi sedikit tegas lalu melangkah pula menuju ke katil Adlan.

“Adlan, kau tidur ke?” kejut Rahimi sambil mengoncang perlahan bahu Adlan.

Adlan tersedar dari tidur. Dek terlalu lama menunggu tadi, dia juga turut terlelap seperti Ravi.

“Dah pukul 2.30 ke?”

“Dah lebih. Cikgu dah selesai buat rondaan kedua tadi. Bangunlah, kita dah lambat ni. Bising pulak Si Kushairi dengan Zaihan tu nanti.”

“Emmm... yalah,” balas Adlan lalu dia mendudukan diri. Rasa ngantuknya masih terasa.

Tuk! Tuk!

Pintu bilik hostel mereka diketuk dari luar. Rahimi menoleh ke arah pintu bilik itu untuk seketika sebelum kembali memandang Adlan di katilnya.

“Dia orang dah datang bilik kita sebab kita lambat sangat. Bangun tau?” ujar Rahimi lalu melangkah perlahan menuju ke pintu hostel.

Perlahan-lahan pintu dibuka. Seperti yang diduga, Kushairi dan Zaihan sudah berdiri di luar pintu hostel mereka.

“Apa hal lambat?” tanya Kushairi, geram dalam nada berbisik.

“Dua orang lagi tu terlelap.”

Kushairi dan Zaihan hanya mampu tahan geram.

Kreekkk...

Kedengaran dengan jelas, bunyi ensel pintu Dorm 403 sepertinya dibuka. Kelam kabut Kushairi dan Zaihan melangkah masuk lalu cepat-cepat menutup pintu bilik itu. Kemudian mereka duduk mencangkung di belakang dinding betul-betul di bawah tingkap yang bersebelahan dengan katil Adlan.

Adlan yang masih di katil kembali berbaring lalu membatukan diri. Begitu juga dengan Ravi. Masing-masing terus menutup mulut mendengar apa sahaja bunyian yang bakal kedengaran sebentar lagi.

“Emmm.... Emmm...”

Mereka berlima serentak menutup mulut menahan terkejut bila bunyi suara tangisan itu mula mengalun dan bergema memenuhi ruang koridor blok hostel mereka.

Ravi sudah mengigil. Dia yang baring betul-betul menghadap tingkap ketika ini terus membekukan diri. Namun, matanya tetap terbeliak melihat cahaya lampu koridor yang samar-samar dari cermin tingkap yang berada di belakang katil Adlan.

Terbuntang mata Ravi bila dengan jelas dia melihat bayangan hitam persis sosok tubuh manusia sedang melangkah perlahan menuju ke pintu hostelnya! Ini kali pertama dia mendengar tangisan syahdu itu. Sungguh menyeramkan!

“Emmm... Emmm...”

Suara tangisan penuh syahdu itu kedengaran lagi mendayu-dayu.

Suara itu berhenti betul-betul di hadapan pintu bilik hostel itu. Masing-masing sudah saling berpandangan sambil menelan liur.

Kreeekkk...

Pintu hostel itu tiba-tiba terbuka sendiri.

Dengan pantas Ravi terus menutup seluruh tubuhnya dengan selimut. Mengelatar ketakutan dia di bawah selimut. Tidak berani dia mahu melihat ‘benda’ atau mungkin makhluk yang bakal melangkah masuk ke dalam hostel itu!

Adlan, Rahimi, Kushairi dan Zaihan menoleh perlahan-lahan ke arah pintu hostel yang tidak jauh dari mereka. Memandangkan daun pintu tidak terbuka luas dan membelakangi mereka, jadi mereka tidak dapat melihat makhluk apa yang telah membuka pintu itu.

Mereka berempat mula dilanda debar menanti makhluk yang bakal melangkah masuk. Keberanian masing-masing mula memipih Adakah mereka bakal diperlihatkan dengan pemilik suara itu malam ini?

Kreeek...

Pintu kembali tertutup.

Suara tangisan itu kedengaran lagi dan mula bergerak ke Dorm 403 semula.

Kreeekkk...

Kedengaran rengekan ensel pintu bilik sebelah kembali tertutup dan melenyapkan suara tangisan itu.

Buat seketika mereka berempat saling berpandangan dan keresahan. Ravi pula kelihatan sudah mengigil di bawah selimutnya.

“Kau rasa makhluk apa tadi tu?” tanya Kushairi selepas hampir seminit mereka berdiam.

“Aku tak tahu. Aku tak nampak apa-apa masa makhluk tu buka pintu tadi,” jawab Rahimi, keliru.

“Jadi, macam mana, nak teruskan rancangan kita ni?” tanya Kushairi ingin memastikan.

“Errr... aku tak kisah. Lagipun ni malam terakhir kita kat sini. Kita tak pasti lagi yang tadi tu hantu atau manusia,” teragak-agak Rahimi menjawab. Hakikatnya dia tersekat di antara egois, rasa takut dan beraninya.

“Aku tak kisah,” ujar Zaihan bila Kushairi memandangnya.

“Adlan, kau macam mana?” Rahimi bertanya pada Adlan yang masih berbaring di atas katil.

“Aku rasa kita batalkan ajelah rancangan ni. Makhluk tu tak kacau kita, kan? Kenapa kita nak kacau dia?” jawab Adlan.

“Jadi, kau tak nak ikut?”

“Aku rasa aku tak nak cari masalah. Kalau berlaku apa-apa macam mana?”

“Abaikanlah dia. Sekarang aku dengan Zaihan dah setuju nak teruskan rancangan kita. Kalau kau tak nak ikut, aku dengan Zaihan boleh curi masuk bilik sebelah ni berdua aje. Aku nak tahu juga apa sebenarnya ‘benda’ tu,” Kushairi mencelah, dia malas mahu berlengah lagi. Mereka sudah tidak banyak masa.

Belum sempat Rahimi membalas kata-kata Kushairi itu, tiba-tiba dinding pemisah Dorm 404 dan Dorm 403 kedengaran bagai ditumbuk-tumbuk.

Buk! Buk!

“Nampaknya ‘dia’ dah main dinding pulak,” ujar Kushairi sambil memandang dinding.

“Ravi, kau nak ikut tak?” tanya Rahimi pada Ravi yang sudah mengeletar di bawah selimut. Melihat keadaan Ravi itu, tahulah dia yang Ravi tidak akan turut serta dalam rancangan mereka bertiga malam ini.

“Aku rasa dia tak nak ikut.”

“Kalau macam tu, jom kita ke bilik sebelah sekarang,” ajak Kushairi lalu bangkit berdiri dan melangkah ke pintu hostel itu.

Adlan hanya mengeleng melihat keegoan tiga rakannya itu. Dia malas mahu ambil tahu dan masuk campur. Lebih baik dia sambung tidur.

Sampai di hadapan pintu, perlahan-lahan Kushairi membuka pintu. Daun pintu dikuak sedikit lalu dia mengintai ke luar. Tiada apa-apa. Selepas dipastikan selamat, Kushairi mula melangkah keluar dengan diekori Zaihan dan Rahimi dari belakang. Berbekalkan lampu suluh kecil yang dibawa Rahimi, mereka mula melangkah ke Dorm 403.

Sempat Rahimi memandang sepanjang lorong koridor blok empat itu demi memastikan tiada sesiapa atau tiada bahaya menanti mereka.

Sampai di hadapan pintu Dorm 403, Kushairi mengeluarkan pembaras plastik yang terselit pada poket seluarnya sejak tadi. Dia sudah mencuba menggunakan kaedah mencucuk dawai untuk membuka pintu bilik itu yang terkunci semalam. Namun tidak berjaya. Dia berharap dengan menggunakan pembaris plastik itu dia bisa membuka pintu itu yang terkunci.

“Kau yakin kau boleh buka pintu bilik ni guna pembaris?” tanya Rahimi, sangsi dengan taktik yang digunakan Kushairi.

“Sabarlah, aku tengah cuba nak bukalah ni,” jawab Kushairi sambil memasukan pembaris plastik di tangannya di celahan pintu.

“Tolong! Tolong aku! Lan! Mi! Ravi!”

Mereka tersentak bila terdengar suara jeritan itu. Rahimi orang yang paling terkejut bila nama dia, Adlan dan Ravi telah disebut. Dan dia kenal suara itu!

“Eh, tu suara kawan aku, Fizi.”

“Kawan kau yang kena hantar balik tu ke?” Zaihan ingin memastikan.

Rahimi angguk.

“Apa dia buat kat dalam ni?” Kushairi hairan.

“Tapi, tu memang suara dia. Entah-entah cikgu tak hantar dia balik, tapi kurung dia dalam ni. Siapa tahu?” Rahimi mula beranggapan yang bukan-bukan.

“Motif ada cikgu nak kurung kawan kau tu dalam ni?”

“Dah tu, suara tu suara siapa?”

“Macam ni, kalau kita nak tahu, kita kena buka pintu ni.”

Kushairi terus mencuba untuk membuka pintu itu.

“Mi tolong aku! Tolong!” suara itu kedengaran lagi.

“Yalah wei, tu memang suara kawan aku. Cepatlah buka pintu ni.”

Rahimi sudah mula gelisah. Dari nada suara Fizi tadi jelas kawannya itu sudah mula menangis.

“Sabarlah! Aku tengah usahalah ni.”

“Lan! Tolong aku!”

“Hoi! Kau orang buat apa tu?”

Suara teriakan itu membuatkan mereka bertiga terkejut. Serentak mereka menoleh ke arah itu. Nampaknya mereka sudah ketahuan. Terjeda mereka di situ. Hendak lari pun sudah tidak berguna.

*********

“ITULAH, malam tadi aku dah cakap, abaikan fasal suara dan bunyi-bunyi tu. Tapi kau orang tetap berdegil nak siasat jugak. Sudahnya, kantoi dengan Cikgu Zamri. Dan apa yang kau orang nak buktikan, tak ada pun dalam dorm sebelah ni,” perli Adlan sambil mengemas pakaiannya. Hari ini mereka akan bertolak balik ke Batu Pahat selepas hampir lima hari mereka berada di kem ini.

“Tahu tak apa. Ada benda dalam dunia ni, memang kita tak boleh rungkai rahsianya tau? Sebab alam kita berbeza. Kau ingat senang nak tengok hantu tu?” Ravi mencelah.

Rahimi hanya mampu menahan geram.

“Kau orang nak membebel sampai tahun depan pun, hal dah berlaku. Nak putar waktu pun dah tak boleh. Apa yang pasti, aku dengar suara Fizi dengan jelas minta tolong kat bilik sebelah. Dia siap sebut nama aku, nama kau dan nama kau, Ravi. Sebab tu aku beria-ia nak masuk bilik sebelah tu.”

Rahimi membela diri. Apa yang dia dengar malam tadi, terlalu nyata. Sukar untuk dia menyangkal dan menganggap semua itu hanya mainan perasaannya seperti yang disuruh Cikgu Zamri.

Adlan dan Ravi memandang Rahimi. Terkejut dengan kenyataan kawan baik mereka itu.

“Suara tu panggil nama aku dengan Lan?” tanya Ravi, mula seram.

“Ya, sebab tu aku beria-ia nak masuk bilik tu. Manalah tahu Fizi memang dikurung dalam tu tanpa pengetahuan kita. Masa Fizi kena hantar balik, kita tak nampak pun dia bertolak, kan?”

“Dah tu, masa Cikgu Zamri bagi kau orang masuk bilik sebelah ni, kau ada nampak Fizi dalam tu?”

Rahimi terpunduk lemah. Itulah yang memusykilkannya sejak malam tadi.

“Itulah yang memusykilkan aku sampai sekarang ni.”

“Tak ada yang musykilnya, Mi. Dalam dunia ni, bukan hanya ada manusia aje. Jin, syaitan dan iblis turut ada di sekeliling kita. Cuma kita aje tak nampak mereka. Sebab tu aku suruh kau orang abaikan. ‘Benda’ tu tak mengancam kita, kan? Kenapa kita nak kena ancam dia?” Adlan mempertikai. Itulah yang bermain di fikirannya mengenai suara aneh itu malam tadi. Dia mula percaya yang kem ini sudah ada ‘penunggu’ selepas sekian lama terbiar.

Rahimi berkalih memandang Adlan di hadapannya.

“Kalau itu tanggapan kau, macam mana hantu tu boleh tahu nama kau, nama aku dan nama Ravi? Sedangkan kita tak pernah ke kem ni sebelum ni dan kita tak ada kawan hantu pun, kan?” Rahimi mempertikai.

“Tu semua tak mustahil Mi. Syaitan dan iblis ada di sekeliling kita. Dan mereka boleh nampak kita. Cuma kita aje tak nampak mereka.”

“Jadi, apa tujuan ‘dia’ nak takut-takutkan kita?”

“Sebab dia nak sesatkan kita. Supaya kita percaya hantu atau syaitan ni hebat, boleh keluarkan suara tanpa menunjukan dirinya. Atau mungkin, suara, bunyi dan apa yang berlaku malam tadi tu, helah budak-budak dari dorm depan. Mana kita tahu, kan? Sengaja dia orang nak permainkan kita. Sebarang kemungkinan boleh berlaku.”

“Entahlah, aku tak boleh nak fikir mana yang realiti dan mana yang hanya mainan perasaan aku aje. Sebab semuanya berlaku ada sebab dan alasan yang menyahihkan kewujudannya.”

“Kalau macam tu, kau tak perlu percaya, yang penting, kita dah nak balik hari ni dan kita semua selamat. Tak ada yang dirasuk atau terkorban disebabkan ‘benda’ tu.”

Tiada balasan dari Rahimi. Dia tiada idea untuk membalas kata-kata Adlan itu. Dia tahu, selagi dibahas isu ini tak akan habis. Mungkin benar kata Adlan, abaikan sahaja tentang bunyi dan suara itu selagi tiada yang terancam atau terkorban.

“Dahlah, cepat kemas. Lambat pula kita nak ke kompleks sajian untuk makan tengah hari sebelum bertolak balik lepas Zuhur nanti,” ujar Adlan.

Rahimi terus mengemaskan pakaiannya. Dalam masa yang sama, hatinya masih sangsi dengan misteri di sebalik Drom 403 itu.

*********

SELESAI majlis penutupan program, semua ahli kadet polis sekolah dibenarkan pulang ke hostel untuk mengambil bag pakaian masing-masing dan kembali ke padang kawad. Bas yang bakal membawa mereka pulang ke Batu Pahat sudah sampai sejak tengah hari tadi lagi.

“Cepatlah Ravi, apa yang lambat sangat tu?” tanya Rahimi, tertekan dengan kawan baiknya itu. Sejak tadi tidak habis-habis mengemas.

“Sabarlah, aku tengah pening nak masukan pakaian aku ni. Masa aku datang hari tu, muat. Bila nak balik ni, tak muat pulak.”

Adlan yang sudah berdiri di muka pintu Dorm 404 itu mengeleng kepala melihat Ravi.

“Macam mana nak buat, kalau kau duk main sumbat aje pakaian kau tu? Mesti mak kau tolong kemaskan baju kau masa kau nak ke sini, kan?” Perli Adlan.

Ravi hanya tersengih sambil mengaru belakang kepalanya.

“Tahu aje kau, kan?”

“Dahlah tu, apa hal lambat sangat ni? Lambat nanti, tertinggal bas pulak. Budak lain semua dah gerak ke padang kawad tau? Tinggal kita aje masih kat hostel ni,” rungut Rahimi lagi bila Ravi masih tidak selesai mengemas pakaiannya.

“Yalah, sabar boleh tak?” balas Ravi sambil menarik zip begnya. Selesai juga dia mengemas pakaiannya. Bag galas disandang pada bahu lalu mereka bertiga mula meninggalkan hostel itu.

“Tengok, semua dah gerak ke padang kawad, kita aje masih kat sini,” rungut Rahimi lagi. Dia memandang ke kiri dan kanan. Melihat keadaan blok hostel itu yang sudah sunyi sepi.

“Dahlah, janganlah nak bertekak. Dah siap, kan? Jom gerak,” ujar Adlan sambil menutup pintu hostel.

“Entahnya... bukannya...”

Buk! Buk!

Ravi tidak menghabiskan kata-katanya bila bunyi tumbukan pada dinding pemisah Dorm 404 dan 403 kedengaran lagi. Mereka terdiam sambil saling berpandangan.

“Sekarang ni, semuanya dah gerak ke padang kawad kecuali kita bertiga. Siapa pulak yang buat bunyi tu?” tanya Rahimi pada Adlan dengan nada perlahan.

“Abaikan ajelah. Buat-buat tak dengar. Jom gerak, lambat pulak nanti.”

Ravi sudah cuak.

Tanpa menunggu lama, mereka terus melangkah menuju ke padang kawad.

“Lan! Mi! Ravi! Tolong aku!”

Mendadak langkah mereka bertiga terhenti selepas mendengar jeritan itu yang jelas ketara dari Dorm 403!

“Weh, kau dengar tak apa yang aku dengar?” tanya Ravi, semakin cuak.

“Suara tu macam suara Fizi,” balas Rahimi.

“Dan ‘dia’ tahu nama kita,” sambung Ravi. Liur sudah berkali-kali ditelan dengan rasa perit.

“Jom tengok?” ajak Rahimi, masih tidak serik.

“Isy, kan aku kata abaikan. Mungkin ‘benda’ tu bukan manusia yang cuba tiru suara Fizi supaya kita terpedaya,” Adlan menolek cadangan Rahimi.

“Perdaya kita? Perdaya kita dari apa?” Rahimi mempersoal.

“Lan! Tolong keluarkan aku dari sini. Ravi! Mi!”

Kedengaran lagi suara itu menjerit meminta tolong.

“Kau tak dengar ke suara sedih Fizi tu?”

“Mi, kau sedar tak, yang Fizi cikgu dah hantar balik hari tu!”

“Dah tu, suara tu milik siapa?”

“Dahlah, abaikan suara tu. Kita dah lambat ni.”

“Rahimi! Ravi! Adlan! Awak bertiga buat apa lagi tu? Tak nak balik?” jerit Cikgu Zamri dari Dorm 401.

“Cikgu, kami dengar suara Fizi minta tolong dalam Dorm 403 ni,” jawab Rahimi, beria-ia sekali.

Adlan dan Ravi tidak bersuara. Mereka tidak mampu untuk menyahihkan tentang apa yang diberi tahu Rahimi itu. Mereka hanya mendengar suara dan tidak melihat sendiri pemilik suara itu.

*********

LEGA hati Cikgu Zamri selepas melihat ahli Kadet Polis Sekolah yang menyertai Program Bina Semangat yang telah dia rancang dan kelolakan mula melangkah pulang. Ada juga ibu, bapa atau mungkin penjaga mereka datang jemput.

“Alhamdulillah, program selamat dijalankan dengan jayanya walaupun tak berapa lancar. Lepas ni busy buat report pulak untuk dihantar pada pengetua,” ujar Cikgu Zamri, kelagaan.

“Fasal report tu nanti saya tolong buatkan mana yang perlu,” balas Cikgu Amir tumpang lega dengan program yang telah dilaksanakan oleh rakan sekerjanya itu.

Buat seketika mereka tersenyum sambil menulis sesuatu pada buku laporan masing-masing. Memandangkan minggu ini minggu cuti sekolah, jadi hanya mereka berdua sahajalah yang ada di bilik guru itu ketika ini.

“Cikgu!”

Panggilan itu membuatkan Cikgu Zamri dan Cikgu Amir serentak menoleh.

Berkerut dahi masing-masing melihat Adlan, Rahimi dan Ravi di muka pintu bilik guru itu.

“Eh, kenapa dengan kamu bertiga ni? Nampak cemas. Apa dah berlaku? Kenapa tak balik lagi?” tanya Cikgu Zamri, bertalu-talu.

Adlan, Rahimi dan Ravi saling berpandangan untuk seketika sebelum melangkah masuk.

“Errr... sebenarnya, ibu Fizi nak jumpa cikgu,” jawab Adlan, teragak-agak.

“Ya cikgu.” Ravi mengiakan.

“Ibu Fizi nak jumpa cikgu? Kat mana?”

“Assalamualaikum,” muncul Puan Sarina di muka pintu dengan senyum manis.

Adlan, Rahimi dan Ravi berganjak ke tepi memberi ruang pada Puan Sarina bertemu dengan Cikgu Zamri.

Melihatkan Puan Sarina, Cikgu Zamri dan Cikgu Amir lantas bangun tanda hormat.

“Waalaikumussalam,” salam Puan Sarina baru dijawab Cikgu Zamri.

“Cikgu Zamri, kan? Maaf saya menganggu. Saya ibu pada Fizi.”

“Ya, saya kenal puan. Kenapa puan?”

Adlan, Rahimi dan Ravi sudah nampak gelisah dan cemas.

“Fizi ada masalah ke? Sebab... lama saya tunggu kat luar sekolah tadi. Tapi dia tak muncul. Kata Adlan, Rahimi dengan Ravi, Fizi dah balik sejak Jumaat lepas.”

Cikgu Zamri dan Cikgu Amir tersentak.

“Fizi belum balik?” tanya Cikgu Zamri, terkejut besar.

Dia menoleh memandang Cikgu Amir di sebelahnya yang turut terkejut dengan perkhabaran itu.

Adlan, Rahimi dan Ravi turut terkejut bila teringat kembali suara meminta tolong itu.

Adakah kejadian misteri yang berlaku 12 tahun lalu kini berulang kembali?

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.