Home Novel Thriller/Aksi Ops! Zulaikha
Ops! Zulaikha
Hasrudi Jawawi
22/11/2012 08:35:52
139,788
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
06
TERMENUNG Darwish sendirian di hujung katil sambil merenung lantai. Kemunculan Qadira benar-benar telah membuat luka lamanya berdarah kembali.

Kenapa perlu gadis itu muncul lagi di dalam hidupnya setelah meninggalkan kehancuran di lubuk hati. Jiwa dia kini tidak tentu arah rasanya. Apa motif gadis itu berbaik semula dengannya.

Malam tadi tidurnya tidak lena memikirkan tentang gadis itu.

“Abang, Dira rasa, Dira tak boleh nak teruskan hubungan kita ni. Dira nak lanjutkan pelajaran ke luar negara. Papa Dira pun dah benarkan.” Selamba Qadira menuturkan kata-katanya itu tanpa memikirkan hati dan perasaan Darwish.

Darwish terkedu mendengar kata-kata kekasihnya itu. Mereka berdua baru sahaja tamat belajar. Darwish mengambil bidang Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dan Qadira pula Diploma Pengiklanan. Pertemuan romantik di taman bunga itu, disangkakan pertemuan bahagia. Tetapi yang berlaku sebaliknya.

Mulut Darwish mendadak berhenti mengunyah makanan ringan yang mereka bawa tadi.

“Sayang... kenapa ni? Saya ada buat salah ke? Kenapa awak tiba-tiba cakap macam ni? Awak dah tak sayang saya ke?” tanya Darwish bertupi-tupi.

Yalah, sesiapa pun akan terkejut bila kekasih hati tiba-tiba minta putus tanpa sebab. Kejam!
Qadira hanya tersenyum. Dia pun tidak ada alasan yang munasabah.

“Entahlah, Dira rasa rimaslah. Ke mana aje Dira pergi, kena hantar report. Dira keluar dengan kawan-kawan pun awak sibuk tanya siapa kawan-kawan Dira. Dira rasa hak asasi Dira untuk bergembira dan bersosial, tak ada!” Lancar Qadira menjawab.

Tersentap hati Darwish mendengar kata-kara Qadira itu. Perasaan bimbang, ambil berat dan sayangnya selama ini seolah-olah tidak berharga di dalam hati gadis itu. Dia sanggup berkorban satu subjek semasa belajar di universiti dahulu, semata-mata nak menjaga Qadira. Tapi inikah balasan yang diperolehi atas pengorbanannya?

“Awak nak putuskan hubungan kita disebabkan itu? Saya risaukan awak, tanda saya sayang awak. Saya prihatin kat awak sebab saya cintakan awak. Saya selalu tanya keadaan awak sebab saya setia dengan awak. Tapi kalau semua tu buat awak bosan, saya janji. Lepas ni, saya takkan buat semua ni. Please... jangan tinggalkan saya, Dira,” rayu Darwish sambil menggenggam kedua-dua belah tangan Qadira.
Dia terlalu sayang dan cintakan Qadira. Dia tidak boleh hidup tanpa Qadira. Hampir tujuh tahun mereka bercinta. Sejak di bangku sekolah lagi. Kenapa begini penghujungnya?

“Maafkan saya.”

Dengan perlahan Qadira melepaskan genggaman tangan Darwish lalu dia berdiri memandang bunga-bunga yang berkembang indah di hadapannya.

“Dah terlambat! Dira dah apply nak sambung belajar kat over sea. Papa pun dah benarkan. Dira nak sambung buat degree,” sambung Qadira dengan senyuman gembira.

“Apa?” Sekali lagi Darwish terkejut.

“Kan Dira kata nak sambung belajar kat sini. Kenapa tiba-tiba nak sambung belajar kat luar negara? Macam mana abang nak jaga Dira nanti?”

Darwish masih belum boleh menerima kenyataan itu.

“Sebab tulah Dira nak putuskan hubungan cinta kita. Biar awak tak rasa terseksa sebab Dira berjauhan dengan awak. Lagipun, Dira dah plan nak sambung study dengan Daniel kat sana.”

“Jadi, semua ni sebab Daniel? Dira dengan Daniel ada...”

“Okeylah abang. Dira nak keluar shopping! Nak beli baju panas banyak-banyak. Sekarang ni, kat UK musim sejuk. Bye!”

Qadira terus melangkah meninggalkan taman itu tanpa rasa belas kasihan terhadap Darwish yang sudah lama mencintainya itu.

“Dira...Dira... tunggu!” jerit Darwish cuba menahan tapi, tidak diendahkan.
“Argh!!!” jerit Darwish tiba-tiba.

Bergema suaranya melantun ke dinding kamar tidurnya itu. Kenangan pahitnya empat tahun lalu kembali terputar di ruang minda. Dadanya sudah turun naik menahan gelombang marah yang menyendatk dada.

Selepas kejadian itu, Qadira terus menghilangkan diri dan tidak lagi menghubunginya sehinggalah semalam, gadis itu muncul kembali setelah hatinya dilukai.

“Kenapa kau muncul lagi? Kenapa???” tanyanya dalam nada menjerit.

Hatinya mula kucar-kacir. Namun perasaan itu tidaklah sehancur empat tahun lalu. Dia sudah boleh mengawal perasaan kecewanya.

Kau kena kuat Wish. Sampai bila kau nak terus-terusan kecewa disebabkan gadis tu? Sedangkan gadis tu tak rasa apa-apa atas perpisahan kau dengan dia. Dia muncul semula pun macam itu sahaja. Dia tinggalkan kau sebab nak sambung belajar dengan Daniel. Gadis macam tu ke kau nak terus kenangkan? Hatinya bermonolog.

Wish, kau perlu berfikiran ke depan. Sampai bila kau nak hidup begini? Tak matang. Usia kau sudah mencecah 34 tahun. Bukan 23 tahun. Lelaki diusia seperti kau biasanya sudah memikirkan tentang diri sendiri dan masa depan. Bukannya mahu terus hidup dalam kenangan lalu. Hatinya terus berbisik memberi kata-kata motivasi pada dirinya sendiri.

Aku perlu buktikan yang aku seorang lelaki tabah. Aku tak nak dipandang seorang dan mudah mengalah di mata Dira. Dan aku takkan sekali-kali kembali pada kau semula Dira, desis Darwish, bernekad di dalam hati.

Darwish terus merebahkan tubuhnya di atas katil. Selimut ditarik menutupi tubuhnya.

Ingatkan bila sudah nekad, dia akan berubah. Rupanya, sama sahaja. Tetap mahu sambung tidur walaupun jam sudah menunjukkan pukul 9.00 pagi. Sepatutnya waktu-waktu begini, dia sudah di pejabat. Wish...Wish... apalah nak jadi dengan kau ni?



DARSUKI
mengetuk pintu bilik Tan Sri Irfan. Setelah mendengar perkataan ‘masuk’, pintu bilik itu dikuak. Kelihatan Tan Sri Irfan sedang sibuk menyemak satu dokumen di meja. Darsuki terus melangkah masuk.

“Ada apa Tan Sri panggil saya ni?” tanya Darsuki setelah melabuhkan punggungnya.

Tan Sri Irfan tidak terus menjawab. Tangannya masih menyelak dokumen di hadapannya.

“Darwish dah sampai?” tanya Tan Sri Irfan tanpa mengangkat wajah.

“Emm... belum Tan Sri,” jawab Darsuki takut-takut.

“Apa?”

Tan Sri Irfan tersentak sambil memandang Darsuki dengan bola mata yang membulat.

Terkejut Darsuki dibuatnya. Mujurlah dia tiada penyakit lemah jantung. Dada diusap perlahan-lahan. Meredakan debaran di dadanya.

“Dah pukul 9.00 pagi, dia belum sampai?” tanya Tan Sri Irfan lagi dengan perasaan bengang.

Setiap hari beginilah sikap anaknya itu. Liat untuk datang awal ke pejabat. Cermin mata yang tersangkut pada batang hidungnya ditanggal lalu diletak di atas meja. Tubuh disandar pada kerusi. Keluhan berat dihembus keluar. Dokumen di atas mejanya mula diabaikan.

“Apa nak jadi dengan budak ni!” keluh Tan Sri Irfan sedih.

Hatinya dapat merasakan jiwa Darwish sedang runsing setelah kemunculan Qadira semalam.

Darsuki hanya mampu tunduk. Tak tahu nak kata apa. Kalau dia bersuara nanti, dikatanya melawan.

“Kau ada nampak Qadira kat pejabat ni?”

“Emmm...” Darsuki berfikir sejenak. “Semalam ada. Dia ke pejabat Qadir dan Dato’ Zabadi. Pagi ni tak perasan pulak.”

Tan Sri Irfan mengangguk.

“Apalah budak tu nak lagi. Tak habis-habis nak susahkan aku. Dulu, dah puas aku nasihatkan Darwish, jangan nak bercinta dengan budak tu. Fokus pada study dan kerjaya dulu. Tapi Darwish degil. Sekarang...”

Tan Sri Irfan hanya mampu mengeluh. Cakap pun tak guna. Hal yang sudah berlaku sudah tak boleh dibetulkan kembali.

“Kenapa kita tak laksanakan aje rancangan kita semalam?” tanya Darsuki mengungkit apa yang dicadangkan semalam.

Dahi Tan Sri Irfan berkerut memandang Darsuki.
“Rancangan? Rancangan apa?”

Aduh... semalam dia kata aku dah tua. Sekarang ni dia lagi dah tua nyanyuk. Sampai dah lupa cadangan aku semalam, gumam Darsuki hanya di kerongkong.
“Apa kau kata?” tanya Tan Sri Irfan.

Dia seolah-olah dengar Darsuki membebel. Tapi tak jelas kedengaran.

“Tak ada apa-apa Tan Sri,” jawab Darsuki sambil tersengih sumbing.

Jika ketuanya itu dengar apa yang dia gumamkan tadi. Garenti dia kena maki.

“Rancangan apa yang kau maksud, kan?”

“Pasal nak carikan pembantu peribadi perempuan untuk Darwish.”

Tan Sri Irfan baru teringat.

“Ada ke perempuan yang sanggup jadi pembantu peribadi Darwish tu? Yang lelaki aje tak tahan. Ni kan pulak perempuan. Mahunya ada yang bunuh diri pulak nanti. Siapa yang nak tanggungjawab?”

Selepas difikirkan semula cadangan Darsuki semalam, itulah kemusykilan yang mula melanda hatinya.

“Ya, itu saya tahu. Kita perlu senaraikan ciri-ciri yang perlu ada dalam iklan kita nanti. Hanya untuk perempuan yang betul-betul boleh tahan dengan sikap Darwish sahaja. Kalau susah sangat, kita buat kontrak. Pada sesiapa yang dapat kerja tu, dia tak boleh berhenti selagi tak habis kontrak,” jelas Darsuki panjang lebar. Nampak sangat dia sudah mengatur rancangan ini sebaiknya.

“Kalau ada. Kalau tak ada perempuan yang sanggup, macam mana?”

“Belum cuba, belum tahu Tan Sri. Dalam ramai perempuan kat Malaysia ni, saya yakin, pasti ada orang yang boleh tahan dengan sikap Darwish.”

Tan Sri Irfan terdiam. Menimbang semula cadangan pembantu peribadinya itu.

“Kau dah buat iklannya?”

“Dah Tan Sri,” jawab Darsuki dengan senyuman melebar sambil menghulur sekeping kertas A4 bercetak. Contoh iklan bagi mencari pembantu peribadi Darwish. Kertas itu dihulur kepada Tan Sri Irfan.
“Amboi... pantas kau buat?”

Kertas yang dihulur Darsuki dicapai.

“Mestilah Tan Sri. Saya tak tidur malam buat iklan ni. Sebab saya tahu, Tan Sri pasti nak tengok iklan ni, hari ni.” jawab Darsuki sambil tersengih-sengih.

Tan Sri Irfan membaca setiap perkataan yang tercetak di atas kertas itu.

“Calon hendaklah tahan maki, marah dan pekik selain tahan kerenah yang bukan-bukan? Ni macam perli aku aje?”

Tersengih Darsuki mendengar pertanyaan majikannya itu sambil menunjukan simbul ‘peace no war’.

“Apa-apa ajelah. Iklan ni pun dah menarik. Aku nak kau iklankan di internet dan akbar untuk tiga hari berturut-turut,” arah Tan Sri Irfan sambil menghulur kembali kertas itu kepada Darsuki.

“Baik Tan Sri,” akur Darsuki.

“Kita nak tetapkan tarikh temuduga bila?” tanya Darsuki lagi sambil membuka buku diarinya.
“Emmm… tiga hari dari sekarang…”

“Okey. Kalau macam tu, saya minta diri dulu,” ujar Darsuki sambil menutup buku diarinya sebelum melangkah keluar.

Tan Sri Irfan duduk bersandar pada kerusinya. Matanya dihala ke dinding. Dia berharap cara ini berkesan untuk mengubah sikap Darwish.

Previous: 05
Next: 07

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.