Home Novel Thriller/Aksi Ops! Zulaikha
Ops! Zulaikha
Hasrudi Jawawi
22/11/2012 08:35:52
140,160
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
29
QADIR duduk termenung di pejabatnya. Apa yang baru berlaku di luar pejabatnya tadi, benar-benar membuatkan dia gelisah dan hatinya tidak tentu arah. Jantungnya laju mengepam darah.

Dia dapat merasakan nadinya berdetak laju selepas menatap sepasang mata milik Zulaikha. Cahaya dari anak mata gadis itu telah menjentik naluri lelakinya untuk berdetak.

Selama hidupnya, dia tidak pernah berasa perasaan ini. Jika dia ingin berseronok pun, dia akan berfoya-foya dengan wanita murahan di kelab malam. Tapi, dengan gadis-gadis jalang di kelab malam itu, seorang pun tidak pernah berjaya mengetarkan naluri lelakinya. Tapi Zulaikha...

Kenapa perasaan aku pada dia jadi begini? Kenapa setiap kali aku berhadapan dengan Zulaikha, aku akan merasakan perasaan ini? Hatinya tertanya-tanya.

Mainan perasaannya ketika ini membuatkan dia berasa rimas. Jika boleh, dia tidak mahu merasakan perasaan sebegini. Cukup merimaskan.

Dia duduk bersandar pada kerusi empuknya sambil memandang siling pejabat. Wajah Zulaikha yang putih dan manis kembali terbayang di hadapan matanya. Tanpa sedar senyuman terukir dengan sendirinya di sebalik bibir.

Aku dah jatuh cinta dengan Zulaikha ke? Bibirnya bertanya pada hatinya.

Mustahil! Sekali lagi bibirnya berbicara sendiri. Kali ini kata-kata itu telah didorong oleh egoisnya.

Zulaikha, gadis itu tidaklah cantik persis model terkenal. Dia kelihatan biasa sahaja. Imejnya pula tidaklah melampau seperti adiknya yang terlalu mementingkan jenama dan gaya. Dari kaca mata seorang lelaki, dia berasakan ada kecomelan di wajah Zulaikha. Tulang pipi Zulaikha yang tinggi persis belakang sudu menampakkan wajah wanita itu comel sekali.

Kalau aku jatuh cinta dengan dia pun, tak salah, kan? Semakin meleret bibirnya.

Tapi dari perlakuan Darwish tadi, seolah-olah sepupunya itu turut mula menyukai Zulaikha. Setahunya, sebelum ini, ada sahaja taktik Darwish untuk memperdajal Zulaikha. Nampak tegang hubungan mereka. Tapi, kenapa secara tiba-tiba Darwish begitu mengambil berat keadaan Zulaikha?

Satu persoalan baru muncul dalam benaknya menyebabkan hatinya semakin gelisah. Jika sepupunya turut menyukai Zulaikha, peluang untuk dia mendekati Zulaikha mula tipis. Dan dia pula perlu bersaing dengan Darwish untuk memiliki Zulaikha.

Aduh! Keluh Darwish semakin bingung. Inilah yang paling dia tidak gemar jika bermain dengan perasaan yang melibatkan perempuan. Pasti akan buat fikirannya terganggu. Sudahlah dia terpaksa memikir dua kerja dalam satu masa. Kini, fikirannya dibebani lagi dengan satu lagi masalah.

Tapi, apa yang dia boleh buat. Hal yang berkaitan dengan perasaan ini mana boleh dipaksa-paksa atau diusir pergi sesuka hati. Jika prihal perniagaan haramnya dan hal syarikat masih boleh ditangguh atau dibatalkan. Namun soal hati, memang sukar untuk ditebak.

Hal-hal yang melibatkan hati bukan sahaja membabitkan perasaan, tapi ia turut membabitkan mood seseorang. Kalau sudah angau, semua kerja pun sukar untuk disempurnakan. Itulah kuasa cinta.

Apalah kau merepek ni Adir. Sila fokus dengan kerja kau, bebel Qadir sendirian.

Dia kembali mengadap skrin komputer ribanya. Namun, fokusnya tidak ada pada kerja. Hanya renungan Zulaikha sahaja yang menjadi penghias pandangannya ketika ini. Sekali lagi bibirnya mengukir senyuman bahagia.



PETANG itu, Tan Sri Irfan dan Darsuki sedang berbincang mengenai hal Darwish dan pembantu peribadinya. Mereka sepakat untuk memberitahu Zulaikha masalah Darwish sebenarnya.

Sebelum ini, mereka tidak terfikir pun tentang hal ini tapi dengan Zulaikha, lain pula. Mereka berasakan hal ini perlu dimaklumkan.

“Saya sokong dengan cadangan Tan Sri tu,” ujar Darsuki.

Tan Sri Irfan mengangguk sambil menyandar pada sofa. Mereka berdua sebenarnya sedang berbincang hal Darwish di ruang santai di pejabat serba mewah itu.

“Kau agak, budak perempuan tu, terkejut tak?” tanya Tan Sri Irfan inginkan pandangan pembantu peribadinya itu.

“Itu belakang kira Tan Sri. Menjaga Tuan Darwish sudah termasuk dalam skop kerja dia. Jadi, saya rasa, dia sepatutnya tahu akan kelemahan ketuanya suapaya suatu hari nanti, dia takkan terkejut bila dia berhadapan dengan kelemahan ketuanya. Taklah dia panik sangat nanti.”

Darsuki menyokong pendapatnya dengan hujah yang cukup kuat.

Tan Sri Irfan mengangguk setuju. Belum sempat dia bertanya lagi, tiba-tiba pintu pejabat diketuk. Serentak mereka memandang ke arah pintu itu.

“Dia dah sampai,” ujar Darsuki sambil memindah tempat duduk.

Dia kini duduk di sebelah kiri Tan Sri Irfan. Tempat duduknya tadi akan diduduki Zulaikha sebentar lagi.
“Masuk!” laung Tan Sri Irfan.

Pintu pejabat dibuka dari luar. Muncul Zulaikha dengan senyuman manis di bibir. Teragak-agak wanita itu melangkah masuk ke dalam pejabat serba mewah ini. Ini kali kedua dia menjejakan kaki di pejabat ini. Kali pertama ketika dia mahu mengambil surat tawaran kerja dari Tan Sri Irfan beberapa minggu yang lalu.

“Duduk Zulaikha,” pelawa Tan Sri Irfan sambil menghala tangan ke arah sofa kosong di sebelah kanannya.

Zulaikha tanpa banyak soal melabuhkan punggungnya di atas sofa itu. Di dalam hatinya hanya TUHAN sahaja yang tahu betapa dia berdebar. Dia khuatir Darwish telah mengadu sesuatu mengenai sikapnya yang selalu membuli ketuanya. Jika dia dipecat, semakin sukarlah dia mahu selesaikan kes yang sedang disiasatnya ketika ini.

“Tan Sri nak jumpa saya? Ada apa ya?” tanya Zulaikha teragak-agak.

Tan Sri Irfan tidak terus menjawab. Dia memandang Darsuki seketika.

Darsuki mengangguk menyakinkan ketuanya itu agar memulakan bicara sepertimana yang mereka rancang tadi.

“Saya ada sesuatu nak maklumkan kepada awak tentang ketua awak, Darwish,” ujar Tan Sri Irfan memulakan bicara.

Lama dia memandang wajah Zulaikha. Dia mahu melihat reaksi wanita itu setiap kali dia meluahkan kelemahan anak tunggalnya nanti. Di dalam hatinya dia berharap Zulaikha mampu mengubah sikap anaknya itu.

“Ya, ada yang tak kena dengan Tuah Darwish ke?” tanya Zulaikha.

Dia masih tak jelas dengan apa yang Tan Sri Irfan cuba sampaikan.

Tan Sri Irfan menarik nafas panjang. Dengan tenang dia mula bercerita tentang kelemahan sebenar anaknya kepada Zulaikha dengan panjang lebar dibantu Darsuki.

“Ada jugak penyakit pelik macam tu akibat putus cinta erk? Saya tak pernah dengar pun sebelum ni,” keluh Zulaikha setelah selesai Tan Sri Irfan menceritakan hal Darwish.

“Penyakitnya melibatkan psikologi. Tiada ubat dari doktor yang boleh mengubatinya. Ubat untuk penyakitnya itu jugak perlulah jenis psikologi jugak. Jadi...” Berhenti seketika Tan Sri Irfan. Kemudian memandang ke arah Darsuki.

“...saya hanya bergantung harap pada awak Zulaikha, agar dapat membantu anak saya itu pulih semula. Saya merayu kat awak. Kalau awak nak saya naikkan gaji pun saya sanggup. Buatlah apa sahaja agar Darwish kembali normal seperti sebelum dia putus cinta dulu.”

Zulaikah menelan liur, kesat sekali. Nampaknya, kerjanya semakin bertambah di syarikat ini. Dia tidak menyangka sungguh besar tanggugjawabnya di syarikat ini. Tak fasal-fasal dia terjebak dalam kehidupan golongan korporat. Jika kerja pejabatnya semakin bertambah, bertambah sukarlah dia mahu menyiasat kesnya.

“Saya tak mampu nak janji apa-apa, Tan Sri. Sebagai seorang pekerja yang sudah dibayar gaji dan diamanahkan tugas, saya akan cuba buat yang terbaik untuk setiap tugas yang diberikan. Insya-ALLAH.” Hanya itu jawapan yang mampu Zulaikha berikan ketika ini.

Hal ini melibatkan perasaan dan jiwa seseorang. Dia tidak mampu berjanji apa-apa.

“Saya bergantung harapan pada awak Zulaikha. Saya mahu Darwish menggantikan tempat saya di Merbok Construction Berhad ni. Hanya dialah satu-satunya waris yang saya ada. Saya tak nak syarikat ini diwarisi dari insan yang bukan dari darah daging saya yang sebenar,” rayu Tan Sri Irfan lagi.

Terasa bangga pula Zulaikha ketika ini. Yalah, bukan senang mahu melihat orang ternama merayu pada pekerja bawahannya. Dan dia cukup bersyukur kerana diberi kepercayaan yang cukup tingggi di syarikat ini.

“Saya harap awak dapat tolong dia dalam pembentangan laporan projek untuk mesyuarat ahli lembaga pengarah Jumaat ni. Saya tahu, masa yang ada tak panjang. Saya nak awak ubah dia kembali menjadi seorang yang berkeyakinan tinggi untuk berhadapan dengan orang ramai seperti dia di universiti dulu. Saya nak awak buang sikap malu Darwish sedikit demi sedikit, boleh?”

Zulaikha mengeluh halus.

“Insya-ALLAH Tan Sri.” Hanya jawapan itu yang mampu diberikan.

Suasana diam seketika. Masing-masing bungkam sambil bermain dengan fikiran.

“Selain malu berhadapan dengan orang ramai dan bersikap keanak-anaknya. Masih ada satu lagi kelemahan Darwish,” ujar Tan Sri Irfan hampir terlupa akan kelemahan anaknya yang satu lagi.

Zulaikha dan Darsuki saling berpandangan. Masing-masing terpinga-pinga.

“Ada ke Tan Sri?” tanya Darsuki hairan.

Setahunya, ketuanya itu sudah menjelaskan kesemua kelemahan Darwish. Tidak tahu pula masih ada yang tertinggal.

“Ada,” jawab Tan Sri Irfan sambil mengangguk. “Darwish takut gelap!”

“Badan sasa macam tu pun takut pada gelap?” tanya Zulaikha, macam tidak boleh terima akal.

Darwish yang macho dan badan sasa tapi takut gelap? Dia yang perempuan pun tak takut gelap.

“Itulah hakikatnya, dia takut sendirian dalam gelap sejak kecil.”

“Tan Sri, jika tak keberatan. Boleh saya tahu siapa bekas kekasih Tuan Darwish yang dia tergila-gilakan setengah mati dulu?” Entah semangat dari mana agaknya yang datang, Zulaikha berani tanya soalan itu.
Padanya, jawapan untuk soalannya itu penting demi membantu ketuanya sembuh semula.

Tan Sri Irfan memandang Darsuki. Serentak mereka berdua memandang Zulaikha sambil menjawab, “Qadira.”

Terlopong Zulaikha mendengar nama itu.



“HABISLAH kau Laikha, terpaksalah berhadapan dengan perempuan gedik tu,” ujar Wanda sambil membetul-betulkan uniform di tubuh.

Setiap pagi, pasti Zulaikha akan membentangkan laporan kerja kepadanya. Hendak tak hendak, Wanda perlu dengar. Hanya dia kawan baik Zulaikha ketika ini. Jika bukan dia tempat luahan perasaan Zulaikha, siapa lagi, kan? Kadangkala, jika dia dalam keadaan sukar, Zulaikha juga menjadi tepat luahan perasaannya.

Zulaikha tidak terus menjawab. Botol perfume di tangan dipam tiga kali pada tubuhnya termasuk di pergelangan tangan. Dia dan Wanda sedang bersiap untuk memulakan tugas masing-masing. Hari baru muncul lagi. Bermulalah episod cerita yang baru dalam hidup mereka untuk hari ini.

Seketika dia menghidu bau haruman tubuhnya. Semerbak menusuk ke deria baunya. Indah sekali.
“Tulah, first impression aku pasal perempuan tu masa aku tengok dia buat kali pertama. Aku dah rasa dan dapat agak. Si Qadira tu jenis perempuan gedik, menggoda dan bongkak. Biasalah, anak orang kaya.

Dia badjet semua yang dia nak, dia akan dapat. Dia ingat dalam dunia ni, dia tu ketua agaknya. Yang kita semua hamba dia? Please...,” ujar Zulaikha sambil menyusun fail laporan projek membina pusat membeli belah di Batu Pahat.

Zulaikha terpaksa bawa balik fail itu semata-mata untuk mengkaji tentang projek tu. Dapatlah dia membantu ketuanya di pejabat nanti untuk menyediakan laporan.

Wanda tergelak kecil sambil merapi rambutnya di hadapan cermin panjang di dinding. Malam tadi, Zulaikha telah menceritakan segala-galanya tentang wanita yang bernama Qadira itu.

“Nak buat macam mana, dah sejak kecil hidup senang lenang. Tak pernah berusaha untuk dapatkan sesuatu. Tu yang bongkak sentiasa. Apa-apa pun, aku harap kau buat aje kerja kau tu. Tak payah nak mengadap perempuan gedik yang tak ke mana tu,” pesan Wanda.

“Yalah,” akur Zulaikha lalu menyandang begnya di bahu. Dia mula menyusun langkah menuju ke muka pintu.

“Amboi! Terus aje ke muka pintu. Tak nak breakfast dulu ke?”

Kebiasaannya, setiap pagi mereka akan sarapan bersama. Tapi, sejak beberapa hari ini, Zulaikha seolah-olah terlalu sibuk. Sarapan pun tidak sempat. Dulu, kalau tak sarapan, tak boleh buat kerja menurutnya. Tapi sekarang, lain pula jadinya.

“Tak sempatlah. Kejap lagi Mal sampai. Kalau aku sarapan, aku takut lama pulak dia tunggu nanti.”
Melengkung bibir Wanda mengukir senyuman bila nama Kamal disebut. Dia melirik sekali lagi ke arah Zulaikha.

“Wah, wah, wah... kelas kau Jah! Dah tunggu Mal pulak. Kalau sebelum ni, bukan main malu dengan dia. Tak selesalah. Tak suka Mallah. Sekarang, bukan main lagi kau, ya? Siap tunggu depan pintu lagi. Kenapa tak nak jemput Mal masuk dalam breakfast sama-sama? Kalau kau nak aku ke pejabat dulu, aku okey aje,” perli Wanda sambil menahan gelak. Punggung dilabuh di atas salah sebuah kerusi di ruang makan.

“Cis!!! Kau dah gila? Kau nak aku dengan Mal tu kena tangkap khalwat ke apa? Kau ni saja, kan? Nak perli aku?” ujar Zulaikha.

Tersentap Zulaikha dengan kata-kata perli Wanda itu. Kasut tumit disarung pada kakinya.

“Eh, okey jugak. Kahwin terus. Free of charge lagi. Boleh gitu?” tambah Zulaikha lagi.

Tergelak-gelak Wanda mendengar kata-kata kawan baiknya itu. Mug berisi kopi panas yang dibancuhnya tadi diteguk sedikit isinya.

“Kau ni sejak akhir-akhir ni, boleh takkan jugak gatal ya!” ucap Wanda.

“Mana ada? Kau yang mula dulu. Aku layan ajelah.”

Laju sahaja Zulaikha menjawab. Padanya, kata-kata Wanda itu mengarut!

Ten! Ten! Ten!

Kedengaran bunyi hon kereta.

“Wah! Abang Kamal kau dah sampai. Semoga berbahagia,” usik Wanda sambil tergelak-gelak.

“Hoi! Jaga mulut kau!” pekik Zulaikha lalu melangkah menuju ke arah kereta Mercedes di hadapan rumah sewaannya.

Kamal sudah tersenyum-senyum di dalam kereta.

Laikha, Laikha, agak-agaknya, kau kahwin tak dengan Mal tu? Wanda tertanya-tanya di dalam hati.

Previous: 28
Next: 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.