Home Novel Thriller/Aksi Ops! Zulaikha
Ops! Zulaikha
Hasrudi Jawawi
22/11/2012 08:35:52
139,728
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
19
ZULAIKHA berasa pelik memandang keadaan di dalam kereta ini. Mewah dan nampak elegen sekali. Sejak dia melangkah masuk ke dalam kereta mewah ini, sepatah kata pun tak terluah. Tak tahu pula dia selama ini Kamal dari keluarga berada.

Sebelum ini lelaki itu hanya memandu kereta Proton Waja sahaja. Itupun beli secara ansuran. Rasanya, ada tujuh tahun lagi hutangnya pada pihak bank. Tak sangka, Kamal mampu memiliki kereta semewah ini dalam sekelip mata.

Kamal tersenyum simpul. Dia tahu apa yang sedang berlegar-legar di dalam kepala wanita di sebelahnya itu. Dia pun tidak memberitahu dengan jelas mengenai kereta yang sedang dipandunya ketika ini. Sengaja dia membiarkan Zulaikha terus tertanya-tanya.

Hubungan mereka pagi ini nampak janggal sekali. Dia juga tidak mengenakan uniform polis seperti biasa. Sebaliknya, lengkap berbaju kot dan bercermin mata hitam. Sekali imbas seperti Jams Bond gayanya.

“Ini kereta siapa awak kebas ni?” Akhirnya Zulaikha bertanya selepas penat berperang dengan perasaannya.

Kamal tersenyum lagi. Pertanyaan Zulaikha itu tidak dijawab. Matanya terus fokus pada pemanduannya.
Zulaikha masih menelek dan meneliti setiap sudut kereta mewah ini. Sekilas dia memandang pakaian Kamal.

“Kenapa awak berkot segala ni? Saya tahulah kita bekerjasama untuk misi ni. Tapi, perlu ke awak nak berpakaian macam James Bond 007?” tanya Zulaikha lagi melepaskan apa yang menjadi kemusykilan di hatinya.

Tergelak Kamal mendengar pertanyaan Zulaikha itu. Sekilas dia memandang wajah Zulaikha yang bermekap tipis itu. Bergetar jiwa lelakinya.

“Awak ni... macam-macamlah,” jawab Kamal, acuh tak acuh sahaja.

“Saya pulak dikatakannya macam-macam?” rajuk Zulaikha sambil membuat wajah cemberut. Pandangannya dilempar ke luar kereta.

Sekali lagi Kamal memandang wajah merajuk Zulaikha. Naik geram dia dengan wajah itu. Kalaulah dia isteri aku yang sah sekarang ni, dah lama aku cium-cium.

Astaghfirullahalazim... hatinya berdetik. Mujurlah dia cepat sedar. Syaitan yang durjana, memang pantang andai nafsu manusia mula menyelubungi diri. Cepat sahaja makhluk terkutuk itu mahu menyimbah minyak pada api nafsu anak-anak Adam.

“Baik awak cakap, awak curi kereta ni erk?” Zulaikha masih tidak puas hati selagi pertanyaannya tidak dijawab.

“Hisy, awak ingat saya ni pencuri ke? Saya kan anggota polis, takkan nak mencuri pulak? Buat malu pasukan aje,” jawab Kamal dengan sengihan sambil membuat drift semasa membelok di satu selekoh.

“Eh Kamal!!!” Terjerit Zulaikha dengan lantang.

Cepat-cepat Zulaikha memegang pemegang di bahagian siling kereta itu. Suka-suka hati sahaja Kamal buat drift. Nasib baik dia cepat memegang pemegang itu. Jika tidak, ada juga yang terhantuk kepala di cermin pintu.

“Awak ni dah gila ke? Nak bunuh saya?” marah Zulaikha sambil mengusap-usap dada. Meredakan rasa cuaknya.

“Entah kereta siapalah awak pinjam ni kan? Sesuka hati awak aje nak buat drift. Buatnya tercalar ke apa, macam mana? Tak pasal-pasal kopak duit awak nak bayar ganti rugi.”

Ingatkan sudah habis membebel. Rupa-rupanya masih bersambung.

Kembang hati Kamal mendengar kata-kata Zulaikha itu. Ada juga yang mengambil berat pasal dirinya. Lebih-lebih lagi orang yang mengambil berat itu adalah wanita yang dia suka dalam diam. Lagi bertambah bahagialah hidupnya. Semakin kembang hatinya ketika ini.

“Orang cakap betul-betul, dia gelak pulak,” rungut Zulaikha.

“Awak janganlah risau. Saya dah mahir jalan kat sini. Dah mahir jugak tentang kereta ni. Jadi, awak tak perlu risau,” beritahu Kamal dengan bangganya.

“Yalah tu mahir. Malang tu, tak berbau Encik Kamal oiii...,” sindir Zulaikha masih sakit hati dengan rakan setugasnya itu.

Suasana sepi seketika. Kamal hanya tergelak melihat wajah cemberut Zulaikha, comel!

“Eh, awak tahu ke kat mana banglo Tan Sri Irfan ni?” tanya Zulaikha.

Dia sendiri tidak tahu di mana banglo Tan Sri Irfan berada. Dia hanya memberi alamat kepada Kamal sebentar tadi. Tapi, tidak pula lelaki itu melihat alamat yang diberi.

“Kita dah sampai,” jawab Kamal sambil memakir kereta di dalam kawasan beranda banglo mewah yang tersergam indah itu.

“Eh! Kenapa awak parking kereta ni kat dalam banglo ni. Ni banglo Tan Sri Irfan ke?”

Terkejut Zulaikha dibuatnya bila kereta yang dipandu Kamal berhenti betul-betul di hadapan pintu masuk banglo serba mewah itu.

Kamal hanya tersenyum. Manakala Zulaikha berasa hairan dan pening. Apakah semua ini? Apa kaitan Kamal dengan Tan Sri Irfan? Persoalan baru yang muncul di kepala Zulaikha membuatkan dia bingung.



TUBUHNYA terasa bergegar-gegar. Tidurnya yang lena terasa sangat terganggu. Gegaran ini tidak pernah dia rasai sebelum ini. Namun disebabkan kantuknya lebih diutamakan, dia mengabaikan gegaran itu. Yang penting lenanya perlu cukup.

“Sayang, bangun sayang.” Suara itu mengusik gegendang telinganya.

Cahaya yang memancar di hadapan telah menyilaukan kornea matanya. Di sebalik cahaya itu muncul seorang perempuan cantik bercahaya dan berseri-seri. Berbaju labuh putih dan berselendang lembut di kepala. Angin lembut yang meniup mengalunkan selendang dan pakaiannya. Sungguh anggun sekali wanita itu.

Darwish melindungi pandangannya dari terus dipancar cahaya terang itu. Cahaya itu perlahan-lahan menjadi malap apabila wanita di hadapannya itu semakin menghampirinya.

“Aku kat mana ni?” Dia tertanya-tanya sambil menggosok-gosok matanya yang terasa pedih.

Wanita itu hanya tersenyum. Ini kali pertama dia melihat wanita secantik ini. Persis bidadari dari syurga. Haruman wanita itu indah menusuk ke hidungnya.

“Kau siapa?” tanya Darwish lagi kepada wanita cantik itu yang bagai terapung di udara.

“Hantu ke?” Darwish terus mengasak dengan pertanyaan. Dia betul-betul ingin tahu siapa wanita cantik di hadapannya itu.

“Seharum bunga... yang menggoda... sekadar dipandang usah dipuja....” Tiba-tiba sahaja wanita itu mengalunkan lagu itu.

“What!!!” Terjerit Darwish dibuatnya. “Kau pontianak ke?”

Terganjak tubuhnya ke belakang bila wanita itu tiba-tiba menyanyi lagu yang cukup berhantu itu. Dengan gaya pesis Misha Omar lagi.

Dari senyuman, wanita itu tiba-tiba membengis. Tajam matanya merenung Darwish. Bola matanya dalam sekelip mata bertukar manjadi warna merah bercahaya. Pantas wanita itu menghampiri Darwish tanpa melangkah. Sekilas seperti menggunakan papa luncur pula. Tangannya yang tadi halus bertukar kasar dan kukunya serta-merta memanjang dan tajam. Tanpa belas kasihan, wanita itu terus mencengkam batang leher Darwish.

“Kembalikan apa yang telah kau rampas dari aku!!!” Pekik wanita itu dengan suara parau.

“Papa!!! Tolong!!! Pontianak cekik Wish!!!” jeritnya sekuat hati sambil meronta-ronta ingin dilepaskan.

Pang!!! Satu tamparan kuat menyinggah pipinya. Terasa bagai nyawanya ditarik pantas ke tubuhnya semula. Dia tercungap-cungap menarik nafas. Peluh sudah merenek di wajahnya. Apa yang baru dimimpikannya tadi benar-benar menakutkannya. Membutang matanya melihat siling biliknya sendiri. Seketika kemudian dia menarik nafas lega.

“Hui, mimpi rupanya!” keluh Darwish sambil bangun dari katil.

“Argh!!!”

Sekali lagi Darwish terkejut bila terlihat seorang perempuan sedang merenungnya tajam sambil bercekak pinggang di hadapan katilnya. Selimut tebalnya terus dipeluk dek ketakutan.

“Kau siapa huh?” tanya Darwish dengan nada tinggi sambil menjauhkan tubuhnya dari wanita itu.
Takut jika pontianak di dalam mimpinya tadi benar-benar keluar dari mimpinya.

“Kau tanya aku siapa? Suka hati kau aje kata aku pontianak erk?” tanya wanita itu dengn wajah bengis.
“Hei... jangan dekat! Aku baca ayat Kursi nanti, terbakar kau!”

“Bacalah! Kau ingat aku takut?”

Darwish terdiam. Lama dia merenung wanita di hadapannya itu. Macam dia kenal.

“Eh, kalau tak silap aku, kau perempuan bertocang satu tu, kan? Apa kau buat kat dalam bilik aku?”
Akhirnya memori ingatannya berjaya juga mengimbas wajah wanita di hadapannya itu.

Zulaikha tersengih sinis. Mujurlah ketuanya itu masih mengingatinya. Sebentar tadi, sebelum dia naik ke bilik ini, dia sudah dapat penjelasan dan pelepasan dari papa Darwish, Tan Sri Irfan agar berkeras dengan Darwish untuk kebaikan dirinya.

Tan Sri Irfan tidak kisah kalau nak pukul ke? Nak maki ke? Nak buli ke? Asalkan demi kebaikan Darwsih. Tan Sri Irfan juga ada menjelaskan tentang tekanan jiwa Darwish selepas putus cinta empat tahun lalu.

Sebab itulah dia disuruh datang awal ke banglo ini. Rupa-rupanya ada sesi penjelasan terperinci sebentar tadi. Jadi sekarang, dia sudah tidak takut untuk menggunakan kekerasan pada Darwish. Pelempang tadi, dialah yang hadiahkan kepada Darwish.

Padan muka kau! Detik hati Zulaikha.

“Mulai hari ni, saya dilantik Tan Sri Irfan untuk menjadi pembantu peribadi Tuan Darwish merangkap pengasuh sekali!” jawab Zulaikha dengan nada garang.

Tan Sri Irfan juga ada berpesan. Jangan terlalu berlembut dengan Darwish ini. Naik lemak nanti.
“Okey fine! Kau personal assistant aku yang baru. Tapi, itu tak bermakna kau boleh masuk bilik aku sesuka hati kau! Baik kau keluar!” halau Darwish.

“Ada aku kisah?” balas Zulaikha buat muka toya.

“Lantak kaulah! Aku nak tidur!” ujar Darwish, malas nak layan pembantu peribadinya itu.

Selimut tebal ditarik menutupi tubuhnya lalu dia kembali baring. Mahu sambung tidur!

“Wah...wah...wah..., saya telah diamanahkan Tan Sri Irfan untuk memastikan Tuan Darwish sampai ke pejabat tepat pada waktu dan siapkan kerja seperti yang dikehendaki. Jadi, saya nak minta maaf pada Tuan Darwish kerana saya perlu menggunakan kekerasan,” bebel Zulaikha sambil menarik kasar selimut tebal yang menyelubungi tubuh Darwish. Selimut tebal di tangannya terus dicampak ke lantai.

Darwish terpaku. Terpinga-pinga dia seketika dengan tindakkan pembantu peribadinya itu. Pantas dia duduk sambil memandang bengis ke arah pembantu peribadinya.

Belum pun sempat dia maki, dia disapa pula rasa hairan bila melihat pembantu peribadinya sudah menutup mata dengan kedua-dua belah tangan.

“Kau apa hal tutup muka? Dah kena sawan ke?” tanya Darwish sambil menggaru-garu belakang kepalanya yang tidak gatal.

Zulaikha terus menutup mata. Tangan sebelahnya sudah ready untuk buat sesuatu.
“Cepat bangun! Kalau tak, saya tumbuk!” gertak Zulaikha.

“Tumbuklah! Kalau berani!”

“Hisy, jangan paksa saya.”

Darwish masih buat muka toya. Acuh tak acuh sahaja lagaknya.

Dengan pantas Zulaikha menumbuk ke arah perut.

“Argh!!!” jerit Darwish sambil berlari menuju ke arah tandas. “Tidak!!! Aku telah dinodai!!!”

Zulaikha terus membuka matanya selepas yakin ketuanya tiada di hadapan. Dia merengus benci.

Siapalah nak nodai kau tu. Suwei hidup aku 40 hari... huh! Rengusnya di dalam hati.

Apalah malang nasibnya hari ini. Baru hari pertama bekerja sudah dijamah dengan pemandangan kurang sopan begitu. Bukan salah ketuanya. Salah dirinya sendiri. Jadi, nasib kaulah Zulaikha.

Previous: 18
Next: 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.