Home Novel Thriller/Aksi Ops! Zulaikha
Ops! Zulaikha
Hasrudi Jawawi
22/11/2012 08:35:52
139,790
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
17
“YA ALLAH ya TUHANku, KAU permudahkanlah urusan kerja aku untuk hari ini,” doa Zulaikha sambil menadah tangan.

Hampir tersembur biskut kering di dalam mulut Wanda melihat gelagat kawan baiknya itu di kala waktu pagi yang indah begini. Tersedak dia buat seketika. Teh suamnya diteguk sedikit. Melancarkan kerongkong yang sesak dan tekak yang gatal.

Wanda dan Zulaikha sedang sarapan bersama sebelum menjalankan tugas. Masing-masing sudah siap. Wanda lengkap beruniform polis manakala Zulaikha cantik berkemeja ketat dan skirt paras lutut. Rambutnya yang paras dada, tetap diikat satu di belakang. Nampak lebih kemas dan anggun dengan mekap tipis di wajahnya.

“Kau ni... macam-macam hallah,” gumam Wanda sambil menelan habis makanan di mulutnya.

Zulaikha menjeling maut kawan baiknya itu. Sekeping biskut kering bersaiz empat segi sama dicapai di tengah meja. Lalu hujung biskut kering itu direndam seketika di dalam minuman sebelum dikunyah sedikit.

“Macam-macam hal apanya? Kau tahu tak? Kejap lagi, aku kena bertandang ke rumah bos aku tu. Inilah kali pertama buat kerja pelik macam ni.Terpaksa kejut bos aku dari tidur. Dah macam budak umur enam tahun pulak, nak kena kejut pergi tadika. Eh, budak umur enam tahun zaman sekarang dah pandai berdikari tau?” bebel Zulaikha sambil mengunyah lagi biskut kering di tangan.

Wanda tergelak kecil. Minumannya diteguk lagi.

“Tu budak enam tahun. Bos kau tu budak lagi ke? Kalau kahwin dengan kau, sah-sah kau dah beranak-pinak tau?” Selamba sahaja Wanda mengusik.

“Hisy, apa kau merepek ni?” sanggah Zulaikha.

Lain macam sahaja ayat Wanda itu. Dia serius, kawan baiknya itu pula seperti mahu mempersendakannya.

“Dari malam tadi kau asyik merungut benda yang sama aje. Sejak kau jejak kaki kat rumah ni petang semalam. Sampailah kau tertidur, perkara ni jugak kau runsingkan. Aku ingatkan pagi ni benda ni dah settle, rupa-rupanya masih bersambung. Ada part two rupanya.”

Keluhan halus dihembus keluar. Bukan dia sengaja nak bahas isu ini. Hatinya masih walang. Bimbang dia tak mampu meneruskan kes ini. Dia khuatir kesabarannya akan tercabar andai ketuanya nanti buat perangai dan memperdajalnya. Semalam bolehlah dia balas segala tindakkan lelaki itu. Sebab dia tak tahu yang lelaki itu bakal ketuanya. Tapi hari ini, keadaannya sudah berbeza.

“Laikha, kan aku dah cakap banyak kali dah malam tadi. Berjuta-juta lemon aku berpesan kat kau. Anggap aje, insiden yang berlaku di antara kau dengan bos kau semalam tu tak pernah berlaku.”

Hampir jemu Wanda mengulangi ayat yang sama. Dia tahan sahaja isi perut yang ada, demi menjaga sekeping hati yang rapuh milik kawannya itu. Zulaikha ini nampak sahaja kasar. Tapi jiwanya, halus dan rapuh. Mudah patah kalau dia tersentap.

“Kalau dia tak lupa macam mana? Ungkit dan terus ungkit. Aku takut aku hilang sabar.”

Ada sahaja alasan Zulaikha. Kalau sudah takut, macam-macamlah alasan yang tercipta di minda.

“Apa susah? Kau gunalah lesen hijau yang Tan Sri Irfan bagi kat kau.”

Berkerut dahi Zulaikha memandang Wanda yang kelihatan bersahaja. Dia tidak berapa faham apa yang Wanda maksudkan.

“Lesen hijau? Lesen apa benda pulak ni? Lesen kereta ke?”

Wanda memandang Zulaikha dengan muka toya.

“Taklah, lesen bawak traktor.”

“Hah?” Semakin bingung Zulaikha dibuatnya.

“Kau ni lembablah Laikha. Kau jugak cakap kat aku, semalam. Tan Sri Irfan selaku papa kepada bos kau tu dah bagi lesen hijau untuk kau buat apa aje pada anak dia tu. Pukul pun dia tak kisah, kan? Janji demi kabaikan anak dia, gunalah kuasa veto yang bapak dia bagi kat kau tu. Kau ni, slow motion betullah!” jelas Wanda.

Terpaksa dia mengulang semula penceritaan kawan baiknya itu semalam semata-mata ingin memahami Zulaikha.

“Ooo... tapi aku cakap semalam green light, bukan lesen hijau. Dari mana datangnya lesen hijau tu?” Ada sahaja yang ingin dipertikaikannya.

“Eee... sengal betullah kau ni!” Wanda menunjal kepada Zulaikha.

“Bengap tau!”

“Adui! Sakitlah! Apa main tunjal-tunjal kepala ni?”

“Dah kau bengap sangat. Sama ajelah maksudnya tu.”

“Mana sama...”

“Sudah!” pintas Wanda sebelum sempat Zulaikha menghabiskan loyer buruknya.

“Layan kau ni sampai subuh esok pun tak habis. Dah, aku nak pergi kerja. Nasib kaulah Laikha. Aku dah bagi cadangan dan idea bernas. Tapi, kau masih macam ni. Penat dah aku!” bebel Wanda sambil berdiri.

Dia mula menyusun langkah menuju ke pintu utama rumah sewa mereka. Sempat dia menghirup habis minumannya sebelum melangkah tadi.

“Weh, cawan kau ni, siapa nak cuci?” tanya Zulaikha sambil memandang Wanda yang sudah memakai kasut hitamnya di muka pintu.

“Alah kau cucikanlah. Kalau malas sangat, tolong angkut letak kat singki, okey?” balas Wanda.
Zulaikha menjeling ke siling.

“Kau nak tumpang aku tak?”

“Macamlah jalan nak ke ibu pejabat dan nak ke rumah Tan Sri tu sehaluan,” jawab Zulaikha, acuh tak acuh sahaja.

“So, kau nak naik teksi ke?” Wanda bertanya lagi.

“Yalah, takkan aku nak naik roket pulak?”

Wanda tergelak.

“Manalah tahu Tan Sri tu bagi kau sebiji roket untuk ke pejabat. Kau jugak yang untung. Kelas kau Laikha. Jadi wanita pertama naik roket!” perli Wanda sambil melangkah ke kereta.

Kebiasaannya mereka berdua akan naik satu kereta untuk ke ibu pejabat. Memandangkan kereta itu milik Wanda, terpaksalah Zulaikha menaiki teksi ke Merbok Construction Berhad selepas ini.

“Banyaklah kau punya cekadak!” balas Zulaikha sambil membawa cawannya dan cawan yang telah diguna Wanda ke dapur.

Malas dia nak cuci cawan itu. Petang nantilah baru dia cuci. Dua biji cawan itu diletak di dalam singki. Tangannya yang sedikit berminyak dicuci dengan air dan sabun. Selesai sahaja, dia terus melangkah ke pintu utama rumah sewa mereka. Bersiap sedia untuk menjalankan misinya untuk hari pertama.

Pon! Pon!

Wanda menekan hon dan melambai tangan ke arah Zulaikha sebelum menekan pedal minyak. Dalam masa tiga saat, kereta yang dipandu Wanda menyusur laju ke arah timur laut.

Zulaikha membalas lambaian itu ala kadar. Selesai memakai kasut tumit tinggi, dia mengunci pintu. Mujurlah rumah sewa mereka tidak jauh dari pondok menunggu bas dan teksi. Jika tidak, penatlah dia mahu menapak.

Pintu pagar rumah dimangga dari dalam. Selesai sahaja, jam di pergelangan tangan dipandang sekilas. Sudah menunjukan pukul 7.50 pagi. Dia perlu sampai ke banglo Tan Sri Irfan selewat-lewatnya pukul 8.30.

Tidak sampai pun sepuluh langkah dia menapak, tiba-tiba muncul sebuah kereta Mercedes Benz berhenti di hadapannya. Zulaikha terpaku seketika. Tidak pernah dia melihat kereta mewah itu sebelum ini.

Previous: 16
Next: 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.