Home Novel Thriller/Aksi Ops! Zulaikha
Ops! Zulaikha
Hasrudi Jawawi
22/11/2012 08:35:52
139,727
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
28
SEJAK semalam Qadira resah gelisah. Apa yang dia pandang semalam di pejabat Darwish benar-benar telah mengusik hati wanitanya untuk berasa cemburu. Menyesal pula dia mengabaikan kata-kata nasihat papa dan abangnya sebelum ini. Menyesal juga kerana terlalu berlengah-lengah.

Qadira tidak menyangka hal ini akan berlaku. Sangkanya, Darwish masih menantinya. Tak sangka, perkara itu tidak berlaku. Andai dia bisa bertindak lebih awal, pasti hal begini tak akan berlaku.

Dia masih resah. Kod HTML dan CSS di skrin komputer ribanya tidak diendah. Dia perlu menyiapkan banner iklan untuk laman web syarikat sebelum dibentangkan Jumaat ini di mesyuarat lembaga pengarah. Tapi, moodnya ketika ini tiada untuk meneruskan kerja. Mindanya sudah dikawal dengan masalah perasaannya.

Apa perlu aku buat sekarang? Hatinya berdetik.

Duduk serba tak kena. Berdiri serba salah. Peristiwa Darwish bermain mata dengan pembantu peribadinya semalam di pejabat sepupunya itu masih segar diingatannya. Sudah cuba diusir jauh. Tapi masih tidak berjaya. Dia kebingungan.

Selepas terlihat peristiwa itu semalam, Qadira terus meminta diri. Darwish pula tidak datang kepadanya untuk menjelaskan hal sebenar. Ketika ini, dia hanya mampu beranggapan. Dia berharap apa yang sedang bermain di dalam mindanya ketika ini tidak benar.

Jika benar Darwish dan pembantu peribadinya mula memendam rasa antara satu sama lain, dia tidak boleh terus duduk diam. Dia perlu buat sesuatu agar perasaan itu tidak semakin kuat. Ya, dia perlu buat sesuatu. Dia perlu cepat!

Qadira meninggalkan pejabatnya. Kalau dia duduk sahaja, hal ini takkan selesai. Benar kata abang dan papanya. Dia perlu cepat bertindak. Meraih cinta dan merebut cinta berbeza cara dan keputusannya. Dia tidak boleh terus berbekam begitu sahaja. Dia tidak akan sesekali membenarkan Darwish jatuh cinta dengan pembantu peribadinya sendiri.

Dengan langkah laju Qadira menuju ke arah lif untuk ke tingkat atas. Pejabatnya dengan pejabat Darwish tidak setingkat. Semakin sukarlah untuk dia memantau Darwish dan pembantu peribadinya itu.

Pintu lif terbuka. Pantas Qadira melangkah masuk. Punat ditekan di tingkat yang dikehendaki. Sebaik sahaja sampai di tingkat itu, laju Qadira menuju ke pejabat Darwish.

Oh, dia ke pembantu peribadi Darwish? Hatinya berkata-kata setelah melihat perempuan itu sedang khusyuk membuat kerja di meja yang betul-betul berhadapan dengan pejabat Darwish.

Langkah diperlahankan. Sinis matanya memandang ke arah perempuan yang sedang sibuk menaip sesuatu pada papan kekunci komputernya.

Langkahnya berhenti betul-betul di hadapan meja pembantu peribadi Darwish.

“Sorry, Darwish ada? Saya nak jumpa dia,” tanya Qadira sinis sambil menyilang tangan di dada.
Dia memandang rendah ke arah perempuan di hadapannya itu.

Zulaikha mengangkat wajah lalu berdiri.

“Maafkan saya cik, ketua saya tak mahu diganggu buat masa ini. Kalau cik ada hal penting nak jumpa dia, sila tunggu sebentar di ruang menunggu. Saya akan meraih budi bicara ketua saya untuk berjumpa dengan cik,” jawab Zulaikha sopan dan lembut sekali dengan senyuman manis di bibir.

Tersentap Qadira mendengar kata-kata Zulaikha itu. Tak sangka dia dilayan sedemikian rupa. Perempuan di hadapannya itu masih belum kenal siapa dia sebenarnya.

“Berani sungguh kau cakap macam tu kat aku? Kau tahu aku siapa?” tanya Qadira, mula bengis. Kemarahannya mula membuak-buak.

Zulaikha tersenyum. Dia tahu perempuan di hadapannya ini adalah perempuan yang masuk tanpa mengetuk pintu di pejabat ketuanya semalam. Cuma dia masih tidak tahu jawatan yang disandang perempuan ini.

“Saya tak mahu tahu siapa cik. Apa yang saya tahu, ketua saya sudah pesan pada saya, dia tak mahu diganggu. Kalau cik ada hal penting nak jumpa Tuan Darwish, kena tengok budi bicara dia untuk bertemu dengan cik. Sila tunggu sebentar. Kalau tak sanggup tunggu, datang lain kali, okey?” jawab Zulaikha dengan senyuman plastik.

Bila ada yang biadap dengan dia. Dia pun mana boleh tahan. Dia tetap manusia biasa yang ada perasaan marah. Mujurlah sabarnya masih menebal ketika ini.

Semakin meledak amarah Qadira.

“Kau jangan nak kurang ajar okey? Aku ni Qadira, anak Dato’ Zabadi. Salah seorang ahli lembaga pengarah di Merbok Construction Berhad ni. Faham?” Riak sungguh Qadira ketika memperkenalkan dirinya.

Gerun semua staf yang ada di sekitar pejabat Darwish ketika ini melihat pertengkaran dua perempuan ini.

“Ada saya kisah? Kalau cik nak jumpa ketua saya, sila duduk sebentar di ruang menunggu.”

Zulaikah tetap tak mahu kalah. Dia berada di pihak yang betul. Apa pun yang berlaku antara dia dan Qadira, ketuanya perlu diutamakan dahulu.

“Eee... kau ni memang dasar perempuan bahalol!” marah Qadira sambil merenung sinis ke arah Zulaikha.

Dengan bengang dia melangkah menuju ke arah pintu utama pejabat Darwish. Belum pun sempat dia melangkah jauh, langkahnya sudah dihalang oleh pembantu peribadi Darwish.

“Maaf cik, saya takkan benarkan cik masuk ke dalam pejabat ketua saya. Ketua saya sudah mengamanahkan saya untuk tak benarkan sesiapa masuk ke pejabat dia kecuali jika dapat kebenaran dari dia.”

“Aku peduli apa?” Qadira masih berkeras, dengan kasar dia menolak tubuh Zulaikha.

Zulaikha tidak sangka Qadira akan bertindak sekasar itu. Dia hilang imbangan badan. Terasa tubuhnya sudah mula rebah ke lantai. Namun, belum sempat tubuhnya sampai ke lantai, muncul sepasang tangan menyambut tubuhnya.

Qadir muncul tepat pada waktu. Dia merangkul tubuh Zulaikha. Mata mereka bertembung.

Zulaikha tidak mampu berbuat apa-apa selain membiarkan tubuhnya dirangkul Qadir. Zulaikha membalas pandangan Qadir. Senyuman manis Qadir membuatkan jantung Zulaikha berdetak laju. Semua yang ada di situ tergamam melihat posisi mereka ketika ini. Termasuk Qadira yang tidak sangka abangnya sanggup menyelamatkan gadis yang menyakitkan hatinya itu.

“Apa kecoh-kecoh ni?” tanya Darwish yang tiba-tiba muncul di sebalik pintu pejabat.

Dia terkejut melihat Zulaikha sedang dirangkul sepupunya, Qadir.

“Hei, apa kau buat dengan pembantu peribadi aku ni?” tanya Darwish lalu meluru mendapatkan Zulaikha.

Zulaikha dan Qadir terkejut dengan suara itu. Lekas-lekas Zulaikha menegakkan tubuhnya. Malu pula kerana dia menjadi perhatian semua orang.

Darwish menolak Qadir dengan bahunya agar menjauhi Zulaikha. Sakit hatinya bila melihat Qadir memegang tubuh pembantu peribadinya itu.

“Awak kenapa Zulaikha? Awak tak apa-apa ke?” tanya Darwish risau sekali sambil menjeling sinis ke arah Qadir.

“Saya okey bos,” jawab Zulaikha, membetulkan kemejanya yang senget.

Qadir pula membetulkan kot di tubuhnya sambil merengus benci pada Darwish sebelum melangkah menuju ke pejabatnya semula.

Sakit biji mata Qadira melihat aksi Zulaikha dengan abangnya tadi. Kini, rasa sakit itu ditambah lagi dengan aksi Darwish yang terlalu merisaukan pembantu peribadinya sehingga tidak perasan akan kewujudannya di situ.

“Darwish...” rengek Qadira manja sekali sambil melangkah menghampiri Darwish. “Pembantu peribadi awak ni jahat tau? Dia tak bagi Dira jumpa Darwish,” adunya sambil melewe-lewekan bibirnya.

“Stop! Jangan nak dekati aku. Buat masa ni aku tak nak jumpa sesiapa. Maaf ya Cik Qadira,” tahan Darwish sebelum sempat Qadira menghampirnya.

Qadira terkejut dengan kata-kata Darwish itu. Mendadak langkahnya terhenti.

“Zulaikha, masuk ke pejabat saya sekarang. Saya perlukan awak untuk bantu saya siapkan report!” arah Darwish lalu melangkah masuk ke dalam pejabatnya tanpa mengendahkan Qadira.

Zulaikha membetulkan tocang satu di kepalanya. Sinis dia memandang Qadira lalu melangkah masuk ke dalam. Sempat dia mencapai sebatang pen dan buku catatannya.

Qadira hanya mampu mengetap gigi menahan geram.

Nasib kau baik hari ni. Selepas ni, aku akan pastikan nasib baik tu tak akan sesekali menyebelahi kau, detik hati Qadira.

Tanpa sedar dia mula berdendam. Dengan rasa pegal, dia menyusun langkah menuju ke arah lif untuk kembali ke pejabatnya semula.

Entah macam mana, dalam langkahnya dia tersandung kakinya sendiri.

“Oh mak kau!” Qadira terlatah.

Mujurlah dia dapat mengawal imbangan tubuhnya. Jika tidak, pasti dia sudah tersebam di atas lantai.

Staf-staf Merbok Construction Berhad yang ada di situ hanya menahan gelak melihat aksinya itu.

Dengan wajah sinis dan perasaan malu, dia menyambung langkahnya semula.

Kenapalah suwei sangat nasib aku hari ni? Desisnya di dalam hati.

Previous: 27
Next: 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.