Home Novel Thriller/Aksi Ops! Zulaikha
Ops! Zulaikha
Hasrudi Jawawi
22/11/2012 08:35:52
140,163
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
21
LAMA Qadir menghadap skrin komputer ribanya. Sebuah akhbar online sedang tertera di skrin itu. Kes kematian Ah Meng dan penangkapan kedua-dua orang Ah Meng seolah-olah senyap dan sepi begitu sahaja.

Kes itu sudah tidak menjadi isu hangat di media cetak dan media elektronik. Apakah kes ini sudah selesai? Satu pertanyaan yang dianggap mustahil mula memenuhi ruang mindanya.

Mustahil kes yang melibatkan dadah dan kongsi gelap boleh diselesaikan dengan mudah. Tapi, tak mustahil kes itu selesai kerana suspek utama sudah mati. Tapi... Qadir bermain-main dengan kata hatinya. Duduk sendirian di pejabatnya sambil berfikir. Kerja pejabat yang melambak di atas meja masih belum disentuh.

Hampir tiga minggu pernigaan haramnya tidak beroperasi. Kerugian yang dialami sukar diramal. Kebiasaannya, dalam seminggu dia boleh mendapat pulangan yang berlipat kali ganda. Dadah, walaupun diharamkan di seluruh dunia, permintaan untuk bahan ini semakin tinggi hari demi hari.

Dadah sebenarnya penting dalam bidang perubatan. Ada beberapa jenis ubatan medikal yang memerlukan dadah untuk menyembuhkan sesuatu penyakit. Namun, kadar kuantiti dadah yang diambil adalah terkawal dan tidak berlebihan.

Namun, untuk manusia yang menyalahgunakan dadah, mereka akan menggunakan bahan ini untuk kepuasan diri dan mencari keseronokan hidup. Dadah juga boleh buat minda dan imaginasi seseorang tidak terkawal dan seseorang itu bisa bertindak di luar kawalan diri.

Di antara jenis dadah yang sering menjadi permintaan tinggi di negara ini adalah dadah jenis Syabu, Ice, Glass, Crack Meth dan lain-lain. Dadah jenis ini jika diambil dalam kuantiti yang berlebihan bisa membawa kemudaratan kepada seseorang itu.

Untuk si pengedar pula, semua itu tidak penting bagi mereka. Yang penting, pulangan modal yang berlipat kali ganda. Hasil kecekapan rakan kongsinya yang lain, semua stok dadah yang dipesan terus dari luar negara berjaya diseludup. Walaupun tidak mudah, hasilnya tetap berbaloi. Sudah empat tahun berkecimpung dalam perniagaan kongsi gelap ini, hasilnya sudah melebihi dari yang dijangka.

Qadir hanya sekadar ingin menambahkan kekayaannya tanpa pengetahuan keluarga. Manusia seperti dialah perosak anak bangsa. Namun, disebabkan hawa nafsu dan sikap tamak yang tidak pernah surut, semua itu tidak pernah terlintas di fikirannya. Yang penting, duit jadi tunggak utama. Dalam dunia ini, ada duit semuanya beres.

Semalam, salah seorang rakan kongsinya yang boleh digelar ‘kepala besar’ sepertinya ada menghubungi Qadir. Stok baru akan sampai. Tetapi, stok dadah yang sedia ada masih banyak lagi. Perniagaan mereka tergendala seketika disebabkan kes konco-konco Ah Meng.

Qadir tidak mahu menyimpan stok dadah terlalu banyak. Risikonya terlalu tinggi. Dia dalam dilema sekarang. Tidak tahu, bila dia boleh memulakan semula penjualannya atau tidak buat masa ini.
Kes ini masih hangat walaupun tidak berada di dada akhbar. Dia yakin, pihak polis sedang menyiasat kes ini sedalam-dalamnya.

Bunyi telefon bimbit di atas meja menghancurkan lamunannya yang panjang. Pantas dia memandang skrin telefon bimbitnya. Sekali lagi rakan kongsinya menelefon. Mahu tak mahu, dia terpaksa jawab.
“Hello Brother Rajeev, what’s up?” tanya Qadir selepas menekan butang hijau.

“Ya, kau dah fikirkan? Malam nanti, mereka nak hantar stok baru,” jawab Brother Rajeev.

“Emm... kau tahu kan, masalah aku? Kes budak Ah Meng hari tu belum settle lagi. Sekarang ni, polis tengah buat siasatan kat kawasan aku. Aku bimbang budak-budak aku yang lain yang tak ada masalah akan terbabit sama.”

“Ha! Ha! Ha!” Kedengaran Rajeev ketawa besar di hujung talian. “Ketua kongsi gelap yang berani mati, takut dengan polis? Atau kau takut mati?” sambungnya lagi dengan sindiran yang cukup tajam.
Tersentap jiwa Qadir mendengar kata-kata rakan kongsinya yang berbangsa India itu. Begitu rendah sekali dia di mata Rajeev. Siapa tak takut polis? Andai dia tertangkap disebabkan kegiatan haramnya ini, tali gantung bakal menjadi teman lehernya.

Di ketika itu tiada siapa yang bisa membantunya lagi. Dua orang suruhan Ah Meng sebelum ini berkemungkinan akan menerima hukuman yang sama andai disabitkan kesalahan. Hukuman kesalahan yang melibatkan dadah bukan sesuatu yang ringan.

Walaupun begitu, egoisnya tetap tinggi. Dia tidak boleh dipandang begitu pengecut. Di dalam arena kongsi gelap yang telah dia ceburi ini, kebanyakan ahli kongsi gelap yang lain bersikap berani mati. Tidak takut dengan pihak berkuasa. Dek egoisnya yang tinggi atas dorongan syaitan yang durjana. Iman di dada yang sedia nipis terus memipih terbang.

“Okey, aku ambil stok baru macam biasa tapi aku harap kau dengan geng-geng lain berhati-hati. Sebab kes ni masih panas. Aku tak nak sebab budak-budak Ah Meng, perniagaan kita pulak ada masalah,” pesan Qadir.

“Helo bro, kau jangan risau. Itu hal kecik saja. Yang sudah mati, mana boleh hidup balik. Yang kena tangkap biarlah. Kita yang masih buat perniagaan ni, kena teruskan jugak.”

Mudah sahaja Rajeev berkata-kata. Yalah, hal ini tidak melibatkan kawasannya. Kes ini melibatkan kawasan Qadir yang semakin hangat diperkatakan.

“Kalau macam tu, okey. Malam ni, kita jumpa di tempat biasa,” ujar Qadir.

Namun di dalam hatinya hanya TUHAN sahaja yang tahu betapa dia risau. Jika tertangkap bukan nama dia seorang sahaja yang terbabit. Nama Dato’ Zabadi dan Merbok Construction Berhad juga akan terbabit. Dia takkan sesekali membiarkan hal itu berlaku. Tidak!

Talian diputuskan. Akibat egoisnya, Qadir tersekat di sebalik harga diri dan perasaan sendiri. Dia yang memilih untuk melakukan perniagaan haram ini. Sejak awal lagi dia sudah memikirkan hal ini semasak-masaknya. Terlajak perahu boleh diundur. Terlajak perbuatan sukar untuk diramal. Andai berani memanjat tiang, harus berani melawan gelombang angin yang datang.

Qadir mendail nombor seseorang.

“Helo, aku nak kau ikut aku ke tempat biasa malam ni. Stok baru dah nak sampai,” ujar Qadir pada salah seorang orang suruhannya yang selalu menemaninya untuk mengambil stok baru.

Dia perlu merancang strategik berkesan. Semakin lama dia menyimpan stok dadah yang sedia ada, semakin tinggi risiko untuk dia ditangkap polis. Lebih-lebih lagi kawasan jajaannya sedang panas dengan kes ini.

Talian terus dimatikan. Qadir duduk bersandar di kerusi empuk. Moodnya untuk membuat kerja sudah tiada. Dia memandang ke luar pejabat melalui tingkap lutsinar. Mindanya sedang bekerja keras memikirkan strategik baru untuk perniagaan haramnya ini.




BURRR!!! Darwish menyembur minuman di dalam mulut. Sejak kakinya menjejak lantai pejabat ini, ada-ada sahaja kerenahnya untuk mengenakan Zulaikha. Namun Zulaikha seolah-olah tak makan saman.
 
Apa sahaja kerenah Darwish dilayan dengan sabar dan senyuman. Walaupun senyuman itu nampak tidak ikhlas, Zulaikha tetap tabah menghadapi sikapnya yang terlampau ini.

Darwish sengaja ingin menyusahkan Zulaikha agar dia putus asa dan berhenti dari terus bekerja dengannya. Dia tak suka dengan wanita bertocang satu itu. Benci!!!

Dengan senyuman kaku dan sabar yang terus di pertahankan, Zulaikha mengelap mukanya yang basah akibat disembur dengan kopi ‘O’ suam yang dibancuhnya tadi.

Masuk kali ini sudah 10 kali dia membancuh kopi untuk ketuanya. Namun semua kopi bancuhannya tidak menepati selera tekak ketuanya itu.

“Hei perempuan! Kau tahu ke tak, bancuh kopi? Dah berpuluh kali bancuh kopi pun, tak menjadi. Apa hal tak sama rasanya macam kopi kat Starbucks? Buat malu aje jadi perempuan kalau kerja macam ni pun kau tak reti nak buat!” marah Darwish sedikit pun tiada perasaan belas kasihan.

Kecil kelopak mata Zulaikha memandang ketuanya itu. Suka hati sahaja nak marah.

Hei lelaki! Selama ni aku tak pernah failed bancuh kopi tau? Tekak kau tu ha! Ada problems agaknya. Kau sengaja nak kenakan aku, kan? Detik hati Zulaikha.

Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dibelasah ketuanya itu. Mengada-ngada. Tapi dia perlu banyak bersabar, misinya belum selesai. Biarlah dia mengalah. Dengan senyuman paksa, dia menghampiri ketuanya itu.

“Tak apalah Tuan Darwish. Saya bancuhkan kopi yang baru untuk tuan ya?” ujar Zulaikha sambil mengambil cawan di hadapan Darwish.

Darwish terus diam. Dia memerhatikan sahaja gelagat Zulaikha.

“Saya minta diri dulu Tuan Darwish.”

Zulaikha terus melangkah keluar dari bilik itu.

“Hii...geramnya aku!!!” gumam Zulaikha setelah pintu bilik ditutup.

Namun tanpa disedari, sepasang mata sedang memerhatinya dari jauh. Cawan dihempas kasar ke dalam singki.

“Dia ingat sebelum ni aku kerja sebagai pembancuh air kopi kat Starbucks ke? Hii... nasib baiklah kau bos aku. Kalau kau tu kuli batak aku, dah lama aku debik-debik kau sampai mati!!!” bebel Zulaikha sambil mencuci cawan.

Mahu tak mahu dia terpaksa membancuh kopi lagi untuk kali ke-11. Bengang!

“Awak pekerja baru ke?” Pertanyaan itu mengejutkan Zulaikha.

Terlepas cawan itu di tangan Zulaikha. Mujurlah cawan seramik itu tebal. Jika tak, pasti sudah pecah berderai. Dia menoleh ke arah suara itu. Kelihatan seorang lelaki lengkap berkot sedang berdiri bersandar di bingkai pintu pantri itu sambil menyimpul tangan di dada. Mata lelaki itu terus memandang ke arahnya dengan senyuman nipis di bibirnya.

“Maafkan saya,” pohon Zulaikha sopan sekali.

Dia tahu, lelaki di hadapannya itu pasti salah seorang pekerja di syarikat ini yang berjawatan tinggi. Melihat dari karisma lelaki itu pun dia sudah dapat agak.

“Ya, saya pekerja baru di syarikat ini. Saya adalah pembantu peribadi Tuan Darwish yang baru,” jawab Zulaikha sambil menundukan wajah. Hormat dengan lelaki di hadapannya itu.

“Oh, jadi... awaklah pembantu peribadi Darwish yang baru tu? Patutlah saya tak pernah nampak awak sebelum ni,” ujar Qadir sambil melangkah ke dalam pantri.

Tubuh Zulaikha dipandang dari atas ke bawah berulang kali. Cantik jugak perempuan ni, desis di hatinya.
Zulaikha sudah berdiri tegak sambil menundukkan wajahnya. Hormat pada lelaki itu. Namun, dia tetap rasa tidak selesa bila dipandang begitu. Pertanyaan lelaki yang masih belum dia kenali itu dijawab dengan anggukan sahaja.

“Saya Qadir, penolong pengurus kedua di syarikat ini.”

Qadir memperkenalkan dirinya kepada Zulaikha. Entah mengapa, hatinya terasa senang melihat wajah anggun wanita itu. Tangan dihulur untuk bersalaman.

Zulaikha tersenyum sambil menyambut salaman itu. Dia memandang wajah lelaki itu dari dekat.
Wah!!! Kacaknya dia, hatinya berbisik seraya senyuman di bibirnya turut mekar.

“Saya Zulaikha,” jawabnya dengan tersenyum simpul.

“Zulaikha? Sedap nama tu walaupun klasik,” puji Qadir sambil membalas salaman Zulaikha.
Zulaikha tertunduk malu.

“Buat apa kat pantri ni? Tadi saya tengok awak macam membebel sesuatu aje? Ni mesti bos awak buat hal, kan?” Tembaknya yang sudah lali dengan perangai sepupunya itu.

Zulaikha meleraikan salaman. Dia merasakan lelaki di hadapannya itu seperti boleh dibawa berborak dan berbincang. Tidak seperti ketuanya. Tidak boleh berkompromi.

“Tulah, saya tak tahu dia nak apa sebenarnya. Masuk kali ni, dah 11 kali saya bancuh kopi untuk dia. Satu cawan pun tak menepati citarasa tekak dia,” keluh Zulaikha lalu kembali ke singki.

Cawan yang masih bersabun di dalam singki tadi dibilas lalu di letak di atas rak. Cawan yang sudah kering di atas rak yang sama dicapai.

“Dah 11 kali bancuh kopi?” tanya Qadir terkejut dengan jawapan yang diberikan Zulaikha tadi.
Dia sudah berdiri bersandar pada kabinet pula.

“Ya, tekak dia tu entah tekak apa. Ada ke dia kata saya ni bancuh kopi tak sesedap kat Starbucks? Gila ke apa dia tu? Dia ingat saya ni pernah jadi pembancuh kopi kat Starbucks agaknya,” bebel Zulaikha lagi.
Terasa sedikit lega bila ada tempat untuk meluahkan perasaannya ketika ini.

“Melampau sungguh dia tu. Sebelum ni dah berpuluh-puluh orang pembantu peribadi dia jadi mangsa macam ni. Tak sangka, bila dah ada pembantu perempuan pun masih nak buat perangai,” luah Qadir tentang sepupunya itu.

Terkejut Zulaikha mendengar kata-kata Qadir itu. Tangannya laju mencapai sebungkus kopi bancuhan segera di atas kabinet.

“Ya, saya pun tak tahu kenapa. Mungkin dia gay kut?”

Sesuka hati sahaja Qadir membuat andaian begitu. Tidak mustahil baginya. Kebanyakan lelaki di zaman ini sanggup menyongsangkan nafsu mereka selepas dikecewakan seorang wanita. Alasannya, lelaki lebih memahami. Mengarut! Semua itu hanya sekadar alasan!

“Really? Hii... muka aje handsom tapi suka kaum sejenis. Patutlah dia macam benci dengan saya aje.”

“Tak apa, biar saya tolong awak bancuhkan kopi untuk dia.”

Qadir mula terfikir untuk memperdajal sepupunya itu. Cawan di tangan Zulaikha dirampas. Bekas berisi garam halus pula dicapai.

Zulaikha terkejut dengan tindakkan lelaki itu.

“Tuan Qadir, itu garam. Mati saya kena maki nanti. Silap-silap hari bulan saya boleh kena buang kerja.”

“Tak apa, apa-apa yag berlaku pada awak akibat kopi yang saya bancuh ni, saya akan bertanggungjawab,” jelas Qadir sambil tangannya laju membancuh kopi ‘istimewa’ untuk sepupunya.
Bukan sesudu, tapi lima sudu besar garam dibubuh ke dalam bancuhan kopi itu. Boleh kena darah tinggi siapa yang minum kopi bancuhannya itu.

Zulaikha hanya mampu terlopong melihat tindakkan Qadir.

“Okey dah siap! Awak boleh bagi kopi ni pada bos awak,” arah Qadir sambil menghulur cawan di tangannya kepada Zulaikha.

“Dia tak mati ke kalau minum kopi ni?” tanya Zulaikha risau sambil menyambut cawan yang dihulur Qadir.

“Hisy, taklah. Paling teruk pun, dia masuk ICU setahun!” usik Qadir.

“Waa.. kalau macam tu, saya tak naklah bagi kopi ni kat dia.”

Qadir tergelak.

“Saya gurau aje. Awak jangan risau okey? Awak bagi aje kopi ni kat dia. Sekali sekala, kita kena ajar jugak orang yang banyak songel macam dia tu,” ujar Qadir cuba menenangkan Zulaikha.

“Betul tak buat dia masuk ICU?” tanya Zulaikha ingin kepastian.

“Of course my dear, bagi aje kat dia, okey? Saya akan bertanggungjawab apa-apa yang berlaku pada dia akibat dari kopi ni.” Qadir memberi jaminan.

“Kalau macam tu saya minta diri dulu.”

Zulaikha laju melangkah menuju ke bilik Darwish dengan cawan berisi kopi ‘istimewa’ bancuhan Qadir di tangan.

Sempat Qadir mengenyit mata pada Zulaikha sebelum wanita itu melangkah masuk ke dalam bilik sepupunya. Dia tersenyum puas setelah kelibat Zulaikha hilang di sebalik pintu.

Cantik jugak pembantu peribadi Darwsih ni, hati lelakinya berbisik.

Previous: 20
Next: 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.