Home Novel Komedi/Romantik Komedi Beb, I Love You!
Beb, I Love You!
sipencintapena
4/5/2020 08:10:09
18,265
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 7

Izdan berdiri di halaman rumah sambil pandangannya terarah ke arah halaman rumah Adwa. Masih terngiang-ngiang kata-kata Lufia petang tadi.

Siapa agaknya lelaki yang dimaksudkan oleh Lufia?

Izdan mengeluh perlahan.

“Woi! Kau buat apa tercegat kat situ?” soal Adwa yang sudah berada di hadapannya. Izdan terkedu. Berkerut kening Adwa memandang wajah kalut lelaki itu.

“Kau tak tidur lagi?” soal Izdan sambil berdehem perlahan.

“Awal lagi. Aku tengok kau dari tadi tercegat pandang rumah aku. Kenapa? Kau cari aku ke?” soal Adwa masih tidak berpuas hati.

“Aku cari siapa lagi kalau bukan kau. Kau dah makan?” soal Izdan mula tenang. Wajah gadis itu direnung lama. Adwa mengangguk laju.

“Jom, lepak kat halaman rumah aku. Aku penat berdiri kat sini,” balas Adwa sambil mula melangkah menghampiri kerusi kayu yang berada di halaman rumah. Izdan menurut dengan langkah perlahan.

“Aku tahu kau sedih aku nak pindah. Kau jangan lah sedih. Kau masih ada Lufia dan Qish kat sini. Aku yang sepatutnya sedih sebab kat sana nanti aku tak ada kawan,” kata Adwa dengan kening berkerut. Izdan yang baru sahaja duduk di depannya hanya tersenyum hambar.

“Kau akan jumpa kawan baru kat sana. Bila dah ada kawan baru tu jangan pula kau lupa dengan kami kat sini. Yelah, budak kampung. Mana kau nak ingat lagi,” balas Izdan separuh bergurau.

“Kau ni suka sangat nak tuduh aku. Mana boleh aku lupakan kau dan Luf. Kalau ikutkan hati, aku memang tak nak berpisah dengan kau dan Lufia. Tapi aku tak boleh juga pentingkan diri sendiri. Kasihan mama,” balas Adwa dengan nada sayu.

“Aku bergurau aje lah. Kau jangan nak ambil hati pula. Aku dah lama kenal kau. Aku tahu kau macam mana. Memang patut kau ikut cakap aunty Tania. Dia pun bukannya selalu kat sini. Mesti dia risaukan kau. Hati ibu mana yang tak risaukan anak. Apatah lagi kau tu anak tunggal,” kata Izdan separuh menasihati.

“Aku tahu. Kau pula macam mana? Maksud aku, hubungan kau dan abang,” tanya Adwa sambil memandang tepat wajah lelaki itu. Izdan terdiam mendengar soalan gadis itu.

“Tak apa. Nanti aku tanya soalan tu semula,” sambung Adwa sambil tergelak kecil. Izdan ikut tergelak. Dia lega apabila gadis itu memahaminya. Memang buat masa ini dia masih tidak mampu berkongsi apa-apa berkaitan dengan keluarganya pada gadis itu. Terutama mengenai abang sulungnya.

*****

“Petang ni awak nak turun padang?” soal Balqish sambil memandang Lufia yang sedang sibuk membelek majalahnya.

“Tak tahu lagi. Kalau Adwa turun, mungkin aku pun turun juga kot. Kenapa? Kau nak ikut?” soal Lufia kini membalas pandangan gadis itu.

“Tak dapat sebab aku ada perjumpaan dengan kumpulan petang ni,” balas Balqish dengan senyuman. Lufia mengangguk faham.

“Luf, saya nak tanya sikit boleh?” soal Balqish dengan perasaan agak berdebar.

“Banyak pun boleh,” balas Lufia sebelum tergelak kecil. Balqish ikut tergelak.

“Semalam hujan. Adwa tak bawa payung. Kau pula dah pulang dulu. Saya ada bawa payung tapi saiz kecil. Memang tak muat untuk dua orang. So, saya nampak Iz beri payung miliknya pada Adwa. Dia pula sanggup basah kuyup,” beritahu Balqish.

“Ini soalan ke cerita?” soal Lufia separuh bergurau. Balqish tergelak lagi.

“Tak, saya cuma keliru. Betul ke Adwa dan Iz tu cuma kawan? Tak lebih dari tu?” soalnya apabila sudah tenang sedikit. Lufia terdiam mendengar soalan gadis itu.

“Awak jangan marah pula. Saya cuma tanya aje,” sambung Balqish apabila melihat wajah gadis itu yang sudah bertukar serius. Lufia tergelak kecil.

“Tak lah. Mereka tu cuma kawan aje. Orang biasa gelar teman tapi mesra. Macam tu lah. Kau jangan risau. Aku jamin seratus peratus mereka tu kawan baik,” balasnya dengan senyuman.

Sorry Qish.

Bisik hati kecil Lufia. Rasa bersalah pula dengan gadis itu. Memang pada pandangan orang, Izdan dan Adwa itu cuma kelihatan sebagai kawan. Tapi pandangannya lain. Hubungan dua orang rakannya itu sebenarnya lebih dari hubungan sebagai kawan. Cuma kedua-duanya enggan mengakuinya.

“Saya cuma risau. Takut saya mengganggu pula. Saya rasa kurang selesa bila berdua dengan Iz, dia asyik sebut nama Adwa,” balas Balqish dengan senyuman hambar.

“Kami bertiga membesar sama-sama di kampung ni. So, kami memang rapat. Semua cerita kami akan kongsi bersama. Kau jangan terasa ek. Memang Iz ambil berat pasal Adwa dan aku. Mungkin dia tak sedar kadang sikap dia tu dah terlebih,” kata Lufia dengan dada berdebar. Balqish tergelak kecil.

“Saya okay aje. Cuma takut saya ni mengganggu aje,” balasnya.

“Tak lah. Ganggu apa pula. Langsung tak!” kata Lufia dengan nada tegas sebelum tergelak kecil.

“Gembira nampak,” tegur Adwa sambil mengambil tempat di sebelah Lufia.

“Seronok ke kutip sampah?” sindir Lufia separuh bergurau. Adwa hanya menjeling gadis itu tanpa menjawab.

“Sejak akhir-akhir ni kau asyik tak siap kerja Sir Salim tu. Kau buat apa? Sejak bila kau jadi pemalas ni?” soal Lufia bertalu.

“Bukan malas. Cuma tak sempat,” jawab Adwa selamba.

“Eii, ada aje nak jawab,” kata Lufia sambil menggeleng perlahan. Adwa tergelak kecil. Balqish hanya tersenyum memandang telatah kedua-dua gadis itu. Dalam diam dia mengeluh perlahan. Jauh di sudut hatinya dia masih ragu-ragu dengan jawapan Lufia sebentar tadi.

*****

“Kenapa gelojoh sangat makan ni. Perlahan lah. Nanti tercekik tulang ikan tu nanti,” nasihat Maria dengan kening berkerut memandang Adwa yang duduk di hadapannya. Adwa hanya tersengih. Dia menyambung semula suapannya tanpa mempedulikan Izdan yang hanya menggelengkan kepalanya.

“Kenapa? Kau bukannya tak pernah nampak aku makan selama ni,” katanya yang tidak puas hati dengan gelengan lelaki itu. Izdan tergelak kecil.

“Jangan pula kau makan macam tu depan mak mentua nanti,” balasnya separuh mengusik.

“Pandainya nak kena kan aku. Ni yang aku malas bila nenek ajak kau makan kat sini. Asyik nak kena kan aku aje. Nek boleh tak lepas ni jangan ajak mamat ni lagi? Benci lah,” kata Adwa dengan kening berkerut. Izdan sudah tergelak besar.

“Benci ke suka?” soal Maria separuh mengusik.

“Nenek!” panggil Adwa dengan muncung panjang. Maria dan Izdan serentak tergelak.

“Malas nak layan. Asyik Adwa aje yang kena,” sambung Adwa sambil mula meletakkan sudu di tangannya.

“Alamak nek. Dia dah pandai merajuk sekarang,” usik Izdan lagi.

“Nak kena pujuk ke?” balas Maria ikut mengusik. Adwa menunjukkan penumbuknya ke arah Izdan sebelum mencapai semula sudunya. Tangannya laju menyuap makanan tanpa mempedulikan Maria dan Izdan yang masih galak mengusiknya.

*****

“Seronok kena kan aku. Tak apa. Lepas ni kau tak ada peluang lagi nak kena kan aku,” kata Adwa sambil menjeling tajam Izdan yang duduk di sebelahnya. Izdan tergelak kecil.

“Bagi lah aku peluang. Lepas ni aku tak jumpa kau lagi. Nanti kalau terserempak pun mungkin kau tak sudi nak tegur aku. Mana lah tahu,” balasnya dengan senyuman.

“Memang pun. Aku kalau jumpa kau lagi kat mana-mana. Aku buat bodoh aje,” balas Adwa selamba.

“Jahat lah kau ni. Aku pula kalau dah jumpa kau semula, aku akan peluk kau erat-erat. Kalau boleh tak nak lepas lagi,” balas Izdan sambil memandang tepat wajah gadis itu. Adwa terdiam sejenak.

“Gatal. Kau nak penampar dengan suami aku? Mana lah tahu kita jumpa semula bila masing-masing dah kahwin. Tak senonoh pula kau peluk aku macam tu,” balas Adwa dengan riak wajah yang serius. Izdan sudah tergelak besar. Berkerut kening Adwa memandang telatah lelaki itu.

“Kau ni asyik dari tadi gelak aje. Apa yang lucu sangat?” soalnya sambil mendengus perlahan.

“Aku gurau aje lah. Kau pula tunjuk muka serius,” balas Izdan masih lagi dengan sisa tawanya. Adwa menepuk kuat paha lelaki itu.

“Aduh!” Tangan Izdan pantas mengusap pahanya yang terasa pedih.

“Padan muka,” kata Adwa sebelum tergelak besar. Maria yang memerhati dari muka pintu rumah hanya menggeleng. Risau juga dia memikirkan keadaan kedua-duanya apabila berpisah nanti.

*****

“So?” soal Razi sambil memandang sahabatnya yang sedang leka dengan buku di tangannya.

“Apa?” tanya Izdan kembali tanpa memandang wajah lelaki itu.

“Kau dah ready nak kena tinggal?” soal Razi kembali sambil tersenyum nakal.

“Apa yang kau merepek ni. Adwa tu pindah sekolah aje. Bukannya pindah negara,” balas Izdan perlahan. Razi tergelak kecil.

“Aku tahu lah. Aku cuma ambil berat pasal kau. Nanti tak pasal ada orang merajuk kena tinggal,” usiknya.

“Jangan nak mengarut lah,” balas Izdan kini memandang sahabatnya itu.

“Aku gurau aje lah. Sejak Adwa nak pindah, kau pun dah sensitif sangat,” kata Razi sambil tergelak lagi.

“Tak lah. Kau tak rehat ke? Asyik nak berkepit dengan aku aje,” balas Izdan separuh menyindir.

“Nak buat macam mana. Aku tak ada teman wanita. Kau aje lah yang aku ada,” balas Raz sambil mengeyitkan matanya.

“Woi. Geli lah,” celah Adwa yang baru saja melangkah masuk ke dalam kelas Izdan. Lufia yang berada di sisi gadis tu hanya tersengih.

“Kau nak jadi girlfriend aku tak?” soal Razi sambil memandang tepat ke arah Adwa yang baru saja duduk di hadapan mereka.

“Eii! Tak nak!” balas Adwa selamba. Izdan dan Lufia serentak tergelak. Razi hanya menjeling sahabatnya itu.

“Iz, Qish dah lama tunggu kau kat kantin. Kau pula leka lepak dengan mamat ni,” beritahu Adwa dengan kening berkerut. Terdiam Izdan mendengar teguran gadis itu.

“Aku dah cakp tadi. Iz tu aje tak dengar cakap aku,” celah Razi dengan senyuman manis memandang Adwa.

“Mata tu jaga sikit ek,” sampuk Lufia sambil membesarkan matanya memandang lelaki itu yang leka merenung Adwa. Razi hanya tersengih.

“Aku jumpa Qish dulu,” kata Izdan sambil bangun dari kerusinya. Adwa hanya menggeleng melihat langkah laju lelaki itu keluar dari kelas.

“Saya dengar awak nak pindah,” kata Razi sebelum sempat Adwa bangkit dari kerusi.

“Pindah? Siapa? Adwa?” soal Lufia sambil memandang Adwa dan Razi silih berganti. Bulat mata Adwa memandang lelaki itu.

“Alamak. Sorry,” ucap Razi dengan perasaan bersalah. Dia baru teringat pesan Izdan supaya tidak membangkitkan hal itu sekiranya ada Lufia.

“Adwa, apa hal?” soal Lufia dengan kening berkerut memandang gadis itu. Adwa mengeluh perlahan.

*****

“Kau ni memang jahat. Sampai hati tak nak beritahu aku. Apa salah aku?” soal Lufia dengan perasaan sebak.

“Sorry Luf. Aku cuma risau kau meroyan. Tu yang aku halang Iz beritahu kau,” balas Adwa separuh bergurau. Lufia menepuk kuat bahu gadis itu.

“Aucch!” ucap Adwa sambil mengusap bahunya yang terasa sakit.

Boleh tahan minah ni.

“Padan muka. Bila kau nak berambus?” soal Lufia dengan riak wajah masih tidak berpuas hati.

“Halau nampak. Minggu depan,” balas Adwa dengan senyuman. Lufia mendengus perlahan mendengar jawapan gadis itu.

“Kau jangan lah sedih. Iz dan Qish ada kat sini teman kau,” sambung Adwa separuh memujuk.

“Tak sama. Aku nak duduk dengan siapa bila kau tak ada nanti?” soal Lufia dengan riak wajah yang sedih. Adwa memeluk bahu gadis itu.

“Qish boleh ganti tempat aku. Jangan lah sedih. Aku ikut sedih bila kau macam ni. Aku janji kita akan jumpa lagi lepas ni,” pujuk Adwa lagi.

“Jumpa kat mana? Kau kata tak selalu balik kampung sebab nenek kau pun ikut sama kat sana. Kau nak aku turun KL pula?” soal Lufia lagi masih tidak puas hati.

“Kau tak sanggup?” tanya Adwa separuh mengusik.

“Aku boleh aje. Tapi kau tahu lah. Keluarga aku bukannya orang kaya. Aku mana ada duit selalu turun KL,” jawab Lufia dengan jujur.

“Aku gurau aje lah. Dia ni sampai ke situ pula. Maksud aku, kita jumpa kat universiti. Tapi kau mesti mohon universiti yang aku nak pergi. Kalau tak memang peluang nak jumpa tu tipis lah,” kata Adwa sambil tergelak kecil. Lufia mula mengukir senyum.

“Kau memang pandai nak pujuk aku. So, aku terpaksa belajar bersungguh-sungguh supaya dapat jumpa kau semula. Seriously?” soalnya dengan kening berkerut. Adwa tergelak besar.

“Kau jangan gelak. Kau tahu kan aku bukannya budak pandai,” sambung Lufia.

“So, mula saat ini kau kena jadi budak pandai. Kalau tak, kau mungkin kehilangan aku,” balas Adwa separuh bergurau.

“Ishh! Geli lah!” kata Lufia sambil menolak tubuh gadis itu. Adwa tergelak lagi. Lufia hanya memandang gadis itu.

“Aku akan rindukan kau,” katanya dengan nada perlahan.

“Aku pun. Kau jaga diri kat sini,” pesan Adwa dengan senyuman. Lufia mengangguk lambat.

“Kau pun sama. Jangan pula kau lupakan aku,” balasnya dengan nada sayu.

“Tak lah. Aku mana boleh lupakan minah senget macam kau,” gurau Adwa lagi.

“Kau ni macam happy aje nak pindah. Aku tengah sedih kau sempat nak buat lawak,” kata Lufia yang mula menarik muncung. Adwa tergelak kecil sambil tangannya memeluk semula bahu gadis itu.

“Ada nampak mommy happy?” usiknya lagi.

“Adwa!” Lufia menolak tubuh gadis itu semula. Adwa ketawa terbahak. Lufia hanya menggeleng memandang telatah gadis itu.

Aku hempuk juga minah ni.



Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.