Home Novel Komedi/Romantik Komedi Beb, I Love You!
Beb, I Love You!
sipencintapena
4/5/2020 08:10:09
18,251
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 11

Adwa menarik nafas panjang. Dia hanya memandang kosong ke arah lautan yang terbentang luas di hadapannya.

“Tak nak mandi?” soal Diana yang sudah berdiri di sebelahnya. Adwa menggeleng tanpa suara.

“Aku tak sangka yang kau setuju nak datang. Kalau tak silap hari tu kau kata ada hal,” kata Diana sambil memandang sekilas ke arah rakannya itu.

“Iz tu yang paksa aku. Memang aku ada hal hari ni. Tapi aku tangguh dulu,” jawab Adwa perlahan. Dia memandang kumpulan Izdan yang sedang mandi-manda. Diana tergelak kecil.

“Kau memang tak boleh menolak bila Iz dah campur tangan. Kau dan Iz memang kawan baik ke sejak kecil? Luf ada beritahu yang kamu bertiga memang dah rapat sejak kecil. Tapi…,” Diana berhenti sejenak. Riak wajahnya seperti memikirkan sesuatu. Terangkat kening Adwa memandang gadis itu.

“Kalau dengan Luf aku percaya. Tapi, aku rasa susah nak percaya kalau kau dan Iz cuma kawan. Jujur aku kata, memang tak sesuai kalau kamu berdua hanya setakat kawan aje,” sambung Diana dengan riak wajah yang serius.

“Apa yang kau merepek ni,” balas Adwa sambil memandang ke arah laut semula. Diana tersenyum penuh makna.

“Jom mandi. Rugi datang sini tak nak mandi,” ajaknya sambil menarik lembut lengan gadis itu. Adwa mengikut tanpa rela. Sampai di tepi pantai langkah Adwa terhenti.

“Kenapa?” soal Diana hairan.

“Aku nak pergi tandas,” balas Adwa sambil melangkah berlalu.

“Nak aku teman?” soal Diana.

“Tak perlu,” balas Adwa. Diana hanya memandang langkah laju gadis itu.

“Adwa pergi mana?” soal Izdan yang sudah berdiri di sisinya.

“Tandas,” jawabnya pendek sebelum menyertai Lufia dan rakan-rakan lain. Izdan masih memandang kelibat Adwa yang semakin jauh.

“Sayang,” panggil Balqish yang berada di dalam air. Izdan berpaling semula menuju ke arah gadis itu.

*****

Riana memandang Adwa yang sedang menikmati makanannya. Dia mengalihkan pula pandangannya ke arah Izdan dan Balqish.

“Luf, kau percaya tak pada cinta?” soalnya pada Lufia yang duduk di sebelahnya. Lufia membalas pandangan gadis itu.

“Kenapa tiba-tiba tanya soalan tu?” soalnya hairan.

“Jawab aje lah,” kata Riana dengan senyuman.

“Yes,” balas Lufia. Riana mengangguk.

“Tu aje?” soal Lufia geram. Riana tergelak kecil. Dia mendekatkan bibirnya di telinga gadis itu.

“Adwa percaya cinta?” soalnya separuh berbisik. Berkerut kening Lufia memandang gadis itu.

“Kau tanya lah sendiri,” balasnya selamba.

“Mengumpat aku ke?” celah Adwa sambil memandang kedua-dua rakannya itu.

“Bukan aku,” balas Lufia pantas. Riana hanya tersengih.

“Bulan depan kita ada cuti lagi. Aku ada jumpa satu tempat ni sesuai nak hilangkan tekanan,” beritahu Razi yang duduk di sisi Adwa.

“Aku setuju,” balas Izdan.

“Yang lain?” soalnya sambil memandang tepat ke arah Adwa yang membisu sedari tadi. Dia perasan gadis itu kurang bersuara sejak mereka sampai.

“On,” celah Diana.

“Aku okay aje. Adwa?” soal Lufia. Semua mata memandang ke arah gadis itu.

“Okay,” balas Adwa pendek. Riak wajahnya langsung tidak menunjukkan perasaan gembira. Lufia menendang kaki gadis itu yang berada di bawah meja. Berkerut kening Adwa membalas pandangan gadis itu.

“Okay, muktamad semua mesti kena ikut. Jangan risau nanti aku uruskan semuanya,” celah Razi. Mereka hanya mengangguk setuju.

“You okay?” soal Razi. Adwa hanya tersenyum mengangguk. Lidahnya kelu untuk berkata-kata.

*****

“Kau sihat?” tanya Izdan sambil menyentuh dahi gadis itu. Adwa menepis perlahan tangan lelaki itu.

“Aku okay. Kau balik lah,” balasnya sambil keluar dari kereta lelaki itu. Izdan yang tidak berpuas hati turut melangkah keluar dari keretanya.

“Adwa,” panggilnya sambil berjalan menghampiri gadis itu yang berdiri di hadapan pagar utama.

“Aku ada buat silap?” tanyanya dengan perasaan bimbang. Berkerut kening Adwa memandang lelaki itu.

“Tak lah. Kau buat silap ke?” soalnya sengaja mengenakan lelaki itu. Izdan tergelak kecil.

“Aku agak aje. Hari ni kau tak banyak cakap. Biasanya kau yang paling bising. Kenapa? Kau marah aku sebab paksa kau ikut kami?” soal Izdan lagi.

“Tak. Aku masuk dulu. Kau pergi lah balik,” balas Adwa separuh menghalau. Dia melangkah meninggalkan Izdan yang masih setia berdiri memandangnya. Izdan mengeluh perlahan. Dia tidak senang hati selagi Adwa mendiamkan diri. Izdan dapat merasakan ada sesuatu yang menganggu gadis itu.

“Aku perlu tanya Luf,” getus hatinya sambil melangkah ke keretanya semula.

*****

Balqish hanya memerhatikan Izdan yang leka memandang telefonnya.

“Mesej siapa?” tanyanya ingin tahu.

“Adwa,” balas Izdan tanpa memandang wajah gadis itu. Berkerut kening Balqish.

“Adwa? Kenapa? Ada masalah?” soalnya bertalu.

“Dia tak balas mesej saya sejak semalam. Saya call pun dia tak angkat,” jawab Izdan dengan senyuman hambar sambil membalas pandangan Balqish.

“Why?” soalnya apabila melihat wajah tegang gadis itu.

“Awak sayang Adwa?” soal Balqish tanpa menjawab. Izdan terdiam.

“Saya tanya ni. Awak sayang Adwa?” ulang Balqish.

“Awak, saya dan Adwa cuma kawan. Awak pun tahu yang kami memang rapat sejak kecil. Kenapa ni?” tanya Izdan mula menumpukan sepenuh perhatian pada gadis itu. Balqish mengeluh.

“Saya tahu. Cuma saya tak yakin awak tu anggap Adwa hanya sebagai kawan. Saya rasa lebih dari tu,” balasnya dengan riak wajah yang kecewa. Izdan merenung lama wajah gadis itu.

“Awak, jangan lah cakap macam tu. Saya memang sayang Adwa. Tapi kami cuma kawan baik. Sama seperti Lufia. Awak jangan salah faham,” katanya dengan kening berkerut.

“Okay, I’m sorry. Kalau saya bersalah, saya minta maaf,” sambung Izdan sambil menyentuh jemari gadis itu. Balqish tersenyum hambar. Dia mengangguk lambat.

“Saya tak suka awak terlalu rapat dengan Adwa,” katanya dengan riak wajah yang serius. Izdan terkedu mendengar kata-kata gadis itu.

“Permintaan saya keterlaluan ke?” soal Balqish apabila melihat riak wajah terkejut Izdan.

“Okay,” balas Izdan perlahan dengan senyuman nipis.

“Thank you,” ucap Balqish. Dia sebenarnya agak kecewa melihat reaksi Izdan seperti berat hati menunaikan permintaannya. Namun dia sudah lama bersabar dengan sikap lelaki itu yang baginya terlalu mengambil berat pasal Adwa. Malah lelaki itu sering mendahulukan Adwa dalam semua perkara lebih daripadanya. Dia keliru dengan sikap lelaki itu. Balqish mengeluh perlahan.

*****

Adwa hanya memandang Balqish yang berlalu tanpa menegurnya. Dia berpaling memandang Lufia.

“Tak ada mood kot,” kata Lufia seperti tahu apa yang difikirkan oleh gadis itu. Adwa hanya mengangguk.

“Kelmarin aku terserempak dengan abang Izdan. Dia jumpa Iz kat sini. Sumpah, memang handsome,” beritahu Lufia dengan riak wajah yang serius. Adwa tergelak kecil.

“Kenapa? Teringin nak jadi kakak ipar Iz?” soalnya separuh mengusik. Giliran Lufia pula yang tergelak besar.

“Siapa yang tak nak,” balasnya. Adwa hanya menggeleng.

“Kau pula macam mana?” soal Lufia kini dengan riak wajah yang serius.

“Apa?” soal Adwa tanpa memandang sahabatnya itu. Dia sedang sibuk membalas mesej ibunya yang bertanya mahu makan apa malam itu.

“Kau tak nak jadi kakak ipar Iz? Atau nak jadi isteri Iz?” soalnya separuh mengusik.

“Ishh!,” Adwa menampar bahu gadis itu. Kedengaran deheman seseorang. Lufia dan Adwa serentak berpaling.

“Siapa yang nak jadi isteri aku?” soal Izdan dengan senyuman nakal. Lufia tergelak besar. Adwa mendengus perlahan.

“Luf, tak lawak,” katanya dengan riak wajah serius. Izdan mengambil tempat di hadapan gadis itu.

“Luf bergurau aje tu. Kau pun tak ada mood ke hari ni?” soalnya.

“Tak lah. Lufia ni aje gila,” balas Adwa dengan kening berkerut.

“Sampai hati kata aku gila,” kata Lufia sambil mencubit lengan Adwa.

“Sakit lah!” balas Adwa sambil mengusap lengannya. Lufia hanya tergelak sebelum memeluk gadis itu. Izdan hanya tersenyum memandang telatah kedua-duanya.

“Qish okay? Tadi dia diam aje bila lalu kat sini,” soal Lufia kini memandang Izdan.

“Atau korang gaduh?” tanya Lufia lagi tanpa sempat Izdan menjawab. Izdan hanya tersenyum hambar. Bibirnya terkunci untuk mejawab. Adwa memandang buku di tangannya semula. Dia tidak berminat menyertai perbualan kedua-dua rakannya itu.

*****

“Boleh nenek tanya?” soal Maria sambil duduk di sebelah gadis itu. Adwa hanya tersenyum membalas pandangan orang tua itu.

“Sejak bila nenek pandai minta izin nak tanya soalan ni?” soalnya separuh mengusik. Maria tergelak kecil.

“Mesti lah nak minta izin. Nanti orang tu terguris hati susah nak pujuk,” balasnya dalam penuh makna. Giliran Adwa pula yang tergelak.

“Nenek tanya aje. Apa dia?” soalnya.

“Adwa dan Iz dah lama sangat berkawan. Iz dah ada teman. Adwa tu bila nak cari?” tanya Maria dengan senyuman. Adwa menggelengkan kepalanya.

“Adwa tak nak fikir dulu pasal tu nek. Masa ni adalah masa yang terbaik untuk Adwa fokus dengan masa depan,” balasnya dengan senyuman nipis.

“Pasangan tu pun masa depan Adwa. Tak salah kalau Adwa dah mula cari sekarang. Lagipun sampai bila Adwa nak memendam rasa. Orang lain dah bahagia. Adwa seorang yang makan hati,” kata Maria separuh menasihati. Dia sudah lama tahu akan perasaan gadis itu terhadap Izdan. Cuma dia hanya mendiamkan diri. Adwa menarik nafas dalam.

“Adwa lebih suka hidup sendiri nek. Banyak benda lagi nak buat selain fikir benda tu,” balasnya. Maria mengangguk faham.

“Adwa ada jumpa papa?” tanyanya pula ingin tahu. Uqash ada memberitahunya yang dia ada temujanji dengan gadis itu pada minggu lepas.

“Tak jadi. Adwa ada aktiviti dengan kawan-kawan,” jawab Adwa dengan senyuman hambar. Sepanjang dua tahun, seingatnya baru dua kali dia bertemu dengan papanya itu. Dia bukan tidak mahu bertemu dengan papanya itu. Pandangan tajam ibu tirinya setiap kali bertemu dengannya membuat dia hendak menampar wajah wanita yang sering memakai lipstik tebal berwarna merah garang itu. Maria menyentuh lembut bahu gadis itu.

“Nenek tak paksa Adwa jumpa papa. Yang penting Adwa jangan putuskan hubungan dengannya,” nasihatnya lagi. Adwa hanya tersenyum mengangguk.

*****

Izdan hanya merenung Adwa yang leka memandang laptopnya.

“Sepanjang dua tahun ni, kau pernah tak rindukan aku?” soalnya. Adwa hanya memandang sekilas ke arah lelaki itu. Dia mengangkat bahu tanda tidak tahu. Berkerut kening Izdan memandang telatah gadis itu.

“Jahatnya. Sampai hati,” katanya dengan riak wajah yang kecewa.

“Kau dah kenapa tiba-tiba?” soal Adwa pula kini memandang wajah lelaki itu.

“Aku tanya kau pernah tak rindukan aku sepanjang dua tahun ni?” ulang Izdan.

“Penting ke jawapan aku?” soal Adwa lagi sengaja mahu mengenakan lelaki itu. Izdan tersenyum. Matanya masih meneroka wajah milik gadis itu.

“Sangat penting buat aku. Aku…,” Izdan berhenti sejenak. Terangkat kening Adwa menunggu ayat seterusnya.

“Aku sentiasa rindukan kau sepanjang dua tahun ni,” sambung Izdan kini dengan riak wajah yang serius. Adwa terkedu. Berdebar dia membalas pandangan lelaki itu. Tiba-tiba Izdan tergelak kecil. Dia memeluk bahu gadis itu. Berkerut kening Adwa.

“Boleh tak kau jangan jadi gila?” soalnya separuh meminta. Dia menepis lengan lelaki itu.

“Aku gurau aje. Kau tu serius sangat tengok laptop tu,” balas Izdan sambil tergelak lagi. Adwa mendengus geram. Dia memandang semula skrin laptopnya.

“Sekali lagi kau merepek aku ketuk kepala tu,” katanya memberi amaran. Izdan hanya tersenyum merenung gadis itu.

*****

“Seorang?” soal Razi sambil duduk di sisi Lufia.

“Tak dengan hantu,” balas Lufia separuh bergurau. Razi tergelak kecil.

“Adwa mana?” tanyanya semula selepas terdiam sekejap.

“Belum sampai lagi. Kenapa?” soal Lufia sambil meletakkan telefon bimbitnya. Dia membalas pandangan lelaki itu.

“Aku tanya aje,” jawabnya perlahan.

“Kau jangan berharap sangat Zi. Hati Adwa tu dah ada yang punya,” nasihat Lufia yang faham akan perasaan lelaki itu.

“Aku tak cakap apa pun,” balas Razi sambil tersenyum.

“Aku tahu lah yang kau ada hati pada Adwa. Sejak kat sekolah menengah lagi. Tapi kau tak teruskan sebab nak jaga hati Iz. Betul tak?” soal Lufia separuh meneka. Razi hanya tersenyum tidak menafikan. Lufia mengeluh perlahan.

“Aku tak tahu sampai bila Adwa nak mengelak. Yang seorang lagi asyik nak jadi kawan. Nak kata bodoh tak juga,” kutuknya yang kecewa dengan rakan baiknya itu.

“Aku rasa Iz tu nak jaga persahabatan dengan Adwa. Sebenarnya dia sayangkan Adwa lebih dari tu,” kata Razi dengan senyuman hambar. Lufia mengangguk setuju.

“Aku masuk kelas dulu. Jumpa lepas ni,” sambung Razi sambil bangun dari kerusi. Lufia mengangguk lagi. Dia hanya memandang langkah lelaki itu berlalu. Lufia sebenarnya simpati dengan Razi. Sudah lama lelaki itu memendam rasa pada Adwa.



Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.