Home Novel Komedi/Romantik Komedi Beb, I Love You!
Beb, I Love You!
sipencintapena
4/5/2020 08:10:09
18,264
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 6

“Mama tak nak balik kampung?” tanya Adwa sambil merebahkan tubuhnya ke atas sofa.

“Mama sibuk sangat sayang. Adwa lah yang kena jenguk mama kat sini. Dah lama Adwa tak datang lawat mama,” balas Puan Tania.

“Adwa bukannya tak nak pergi sana. Adwa takut aje tak nak balik sini lagi,” kata Adwa separuh bergurau. Puan Tania tergelak kecil.

“Memang mama rancang nak Adwa pindah ke sini. Kalau boleh sebelum tahun depan Adwa dah pindah. Tapi mama kena tengok dulu mana sekolah yang sesuai untuk Adwa. Bulan depan mama memang akan sangat sibuk sebab galeri lukisan mama dah ada cawangan baru. Mama mungkin tak akan sempat balik kampung. So, mama harap Adwa boleh beri kerjasama. Pindah kat sini supaya senang mama nak tengok,” balas Puan Tania separuh mengarah. Adwa terdiam sejenak mendengar kata-kata wanita itu.

“Siapa nak jaga nenek kat sini kalau Adwa pindah sana nanti?” soalnya dengan nada perlahan. Puan Tania tergelak kecil.

“Mesti lah kena bawa nenek sekali. Mama dah beritahu nenek. Nenek tak ada masalah. Cuma Adwa tu macam berat hati aje nak pindah. Kenapa? Ada apa-apa yang mama tak tahu ke?” soalnya separuh mengusik.

“Tak lah ma. Kalau nenek dah setuju, Adwa pun okay aje. Cuma beri Adwa masa sebulan or dua bulan lagi. Please,” jawab Adwa separuh merayu.

“Boleh aje. Tapi jangan lama sangat fikir tu. Bila mama dah jumpa sekolah yang sesuai, mama akan balik sekejap tolong Adwa selesaikan urusan kat sana,” kata Puan Tania.

“Okay ma,” balas Adwa perlahan.

“Okay sayang, mama nak keluar ni. Jumpa nanti. Jaga diri tu. Love you,” ucap Puan Tania sebelum memutuskan talian.

“Love you too,” jawab Adwa. Dia melepaskan keluhan berat.

*****

“Asyik termenung aje dari tadi. Kau pandang apa tu?” soal Lufia sambil memandang ke arah yang dipandang oleh gadis itu. Kelihatan tidak jauh dari mereka Izdan dan Balqish yang sedang leka berbual. Lufia menggeleng perlahan.

“Aku nak tanya kau. Kau cemburu tak bila tengok Iz dan Qish mesra macam tu?” soalnya dengan kening terangkat.

“No. Buat apa aku nak cemburu. Memang aku nak tengok Iz happy macam tu. Kasihan mamat tu. Qish tu cinta pertama dia tau,” balas Adwa tenang.

“Kau yakin ke?” soal Lufia masih tidak berpuas hati.

“Kau ni sejak hari tu lagi tanya aku soalan yang pelik. Aku dan Iz dah lama kawan. Kau jangan fikir yang bukan-bukan pula,” balas Adwa dengan nada tegas. Lufia menggelengkan kepalanya.

“Orang lain kau boleh tipu Ad. Kau nak tipu aku? Aku pun dah lama kenal kau lah,” kata Lufia dengan kening berkerut.

“Sorry aku lupa,” balas Adwa tanpa memandang wajah gadis itu. Lufia menepuk kuat bahu Adwa.

“Sakit lah!” kata Adwa sambil mengusap bahunya. Lufia tergelak besar sebelum bangun dari kerusi.

“Kau akan menyesal Adwa. Menyesal!” katanya separuh menjerit sebelum menjelir lidah ke arah Adwa. Dia berjaya melarikan diri sebelum sempat Adwa melayangkan tangannya. Berkerut kening Adwa memandang sahabatnya itu.

Minah ni memang nak kena!

“Kenapa dengan Lufia?” soal Izdan yang sudah berada di sisinya.

“Tak ada apa lah,” balas Adwa yang geram apabila melihat Balqish turut berdiri di samping Izdan. Adwa mencapai beg sandanganya lantas berlalu tanpa sepatah kata. Berkerut kening Izdan memandang telatah gadis itu.

*****

“Aku tengok kau dan Balqish bukan main rapat lagi. Dah jadi ke?” soal Razi separuh mengusik. Izdan hanya tersenyum membalas pandangan rakannya itu.

“Adwa pula macam mana? Tak jadi?” soal Razi lagi.

“Maksud kau?” soal Izdan dengan kening berkerut.

“Kau dan dia bukan…,” balas Razi sengaja tidak menghabiskan ayatnya. Izdan menggeleng perlahan.

“Aku dan dia cuma kawan. Kau jangan fikir yang bukan-bukan,” jawab Izdan yang mula faham dengan maksud lelaki itu.

“So, aku boleh lah cuba nasib lepas ni. Aku lulus tak kalau dengan Adwa?” soal Razi dengan senyuman lebar.

“Kau tu okay aje aku tengok. Tapi aku takut kau belum masuk jarum Adwa dah tendang kau. Kau bukan tak kenal minah tu. Comel macam tu tapi hati keras macam batu,” balas Izdan sambil tergelak kecil. Razi ikut tergelak.

“Kau tahu tak ciri-ciri lelaki idaman Adwa? Kau dan dia kan rapat. Mana lah tahu kot dia tak sengaja beritahu kau,” tanyanya ingin tahu. Izdan terdiam sejenak mendengar soalan lelaki itu.

“Kalau nak ikut ciri-ciri idamannya. Kau memang tak lulus lah. Dia tu nak yang putih melepak macam kapas. Aku pun tak lulus. Apatah lagi kau,” jawab Izdan separuh bergurau.

“Kau ni sengaja nak kenakan aku. Cakap aje kau yang tak setuju,” balas Razi ikut bergurau. Izdan hanya tergelak. Razi hanya menggeleng melihat telatah sahabatnya itu.

*****

Maria menghampiri Adwa yang sedang leka menghadap bukunya.

“Mama kamu ada call tadi. Dia tanya Adwa dah sedia ke nak pindah? Sebab mama beritahu nenek yang dia dah jumpa sekolah yang sesuai untuk Adwa,” beritahunya. Adwa membuka cermin matanya sambil memadang wajah yang sudah dimamah usia itu.

“Nenek sanggup ke nak tinggalkan kampung? Sanggup nak ikut Adwa tinggal sana?” soal Adwa tanpa menjawab pertanyaan wanita itu.

“Nenek tak ada masalah. Hujung bulan nenek boleh balik lawat rumah dan kebun. Memang awalnya nenek tak nak ikut Adwa. Tapi nenek kasihan Adwa seorang kat rumah besar sana tu. Mama kamu tu bukannya selalu ada kat rumah. Kalau pun ada kat rumah, dia tu memang akan terperap dalam bilik siapkan lukisannya,” balas Maria dengan senyuman. Adwa mengeluh.

“Bukannya Adwa tak nak pindah. Adwa dah suka sekolah yang sekarang ni. Kalau boleh nak pindah bila dah habis form 6,” katanya dengan nada perlahan.

“Nenek faham. Tapi sekolah kat mana pun sama aje. Belajar benda yang sama. Betul tak?” balas Maria separuh menyoal. Adwa mengangguk lambat. Setuju dengan kata-kata orang tua itu.

“So?” soal Maria dengan kening terangkat.

“Bulan depan,” jawab Adwa perlahan. Maria tergelak kecil melihat reaksi gadis itu.

“Jangan risau. Kalau dah jodoh, jauh mana pun Adwa pergi pasti akan bertemu semula,” katanya separuh memujuk. Berkerut kening Adwa memandang wajah Maria.

“Nenek nak ke kedai kejap,” kata Maria sebelum bangun dari sofa. Adwa tidak jadi membuka mulutnya untuk bertanyakan maksud kata-kata wanita itu sebentar tadi. Dia mengeluh lagi.

*****

Berkerut kening Adwa memandang lelaki itu.

“Boleh tak simpan kamera tu? Aku tahu lah tu kamera baru,” tegurnya apabila Izdan sedari tadi asyik mengambil gambarnya dengan menggunakan kamera barunya. Izdan tergelak kecil.

“Aku nak buat album gambar kau ni. Kau orang pertama yang aku ambil dengan kamera baru ni tau,” balasnya sambil membelek kameranya. Adwa hanya tersenyum sinis.

“Yelah tu. Ni aku nak beritahu kau. Bulan depan aku nak pindah,” beritahunya. Izdan membalas pandangan gadis itu dengan kening berkerut.

“Pindah? Maksud kau?” soalnya agak berdebar menunggu jawapan gadis itu.

“My mom nak aku balik KL. Aku akan stay kat sana dengan mama. Nenek pun akan ikut sama,” beritahu Adwa dengan tenang. Izdan terkedu.

“Maksudnya…,”

“Kau ni lembab lah. Maksudnya aku tak ada kat kampung ni dalam tempoh masa yang aku pun tak tahu. Kau jaga diri Iz. Tolong jaga Lufia juga. Aku tak nak beritahu dia. Biar dia tahu lepas aku dah pindah,” pintas Adwa sambil mengeluh perlahan.

“Kalau aku tak nak kau pindah?” soal Izdan dengan riak wajah yang serius. Adwa tergelak kecil. Walhal hatinya sebak. Jauh di sudut hatinya dia tidak mahu berpisah dengan lelaki itu.

“Aku dah buat keputusan. Keputusan tu muktamad. Kau jangan lah sedih. KL tu bukannya jauh sangat,” balasnya cuba mengelak dari bertentang mata dengan lelaki itu.

“Aku tak terfikir yang kau akan tinggalkan aku secepat ni,” kata Izdan dengan nada perlahan. Adwa hanya tersenyum hambar. Izdan mengangkat kameranya semula. Wajah Adwa menjadi sasaran. Jarinya laju menekan punat. Adwa hanya menggeleng melihat tingkah laku lelaki itu. Izdan melihat semula foto yang diambilnya. Berpuluh gambar Adwa dengan reaksi yang sama. Dia tersenyum hambar.

“Aku akan rindukan kau,” katanya sambil mengangkat wajah memandang gadis itu. Adwa hanya tersenyum tanpa membalas. Dia juga ingin mengatakan hal yang sama namun bibirnya berat untuk menuturkannya.

*****

“Aku tengok kau sejak akhir-akhir ni macam tak happy aje. Ada masalah ke? Kau gaduh dengan Qish?” soal Razi sambil memakai kasut sukannya. Izdan yang juga sedang memakai kasutnya hanya memandang sekilas ke arah lelaki itu.

“Atau kau gaduh dengan Adwa?” teka Razi lagi. Izdan mengeluh perlahan.

“Adwa nak pindah sekolah,” beritahunya tanpa memandang Razi.

“Bila? Kenapa tiba-tiba?’ soal Razi yang turut terkejut.

“Bulan depan. Dia nak tinggal dengan mamanya,” jawab Izdan. Razi mengangguk faham. Rupanya itu yang membuat sahabatnya itu tidak bermaya sejak akhir-akhir ini.

“Kau pula macam mana?” soalnya sambil memandang tepat wajah lelaki itu.

“Aku okay. Cuma agak sedih. Aku dan dia dah lama berkawan. Tak pernah berjauh selama ini. Berpisah jauh sekali,” balas Izdan perlahan.

“Tak maksud aku, perasaan kau. Kau tak nak beritahu dia? Aku tahu lah Iz. Kau sayangkan Adwa lebih dari seorang kawan. Cuma kau aje yang tak sedar. Mungkin kau sedar tapi nak nafikan perasaan tu sebab Adwa tu kawan kau. Betul tak?” soalnya separuh meneka. Izdan terdiam mendengar soalan sahabatnya itu.

“Kau jangan merepek lah,” balasnya tanpa memandang wajah Razi.

“Tengok, kau ni degil lah. Suka hati kau lah. Nanti kalau Adwa dah jauh dia akan jumpa ramai orang tau. Masa tu kau dah tak ada peluang lagi. Aku gerak dulu,” kata Razi separuh menasihati sebelum bangun dari kerusi lalu berlari anak ke arah padang. Izdan hanya memandang kelibat sahabatnya itu yang semakin jauh. Dia melepaskan keluhan berat.

*****

Adwa berpaling memandang Lufia yang sudah terlena di sebelahnya. Dia menggeleng perlahan.

Minah ni dalam library pun boleh terlelap.

Adwa memandang pula Izdan yang duduk berdepan dengannya. Lelaki itu leka membaca buku yang berada di depannya. Adwa meletakkan dagu pada tangannya lalu mula meneliti wajah lelaki itu. Perasan diri diperhati, Izdan mengangkat wajah membalas pandangan gadis itu. Adwa masih tenang merenung wajah lelaki itu tanpa berkata apa-apa. Izdan tersenyum. Dia bersandar pada kerusinya dan mula berpeluk tubuh. Kedua-duanya saling berpandangan tanpa sepatah kata.

“Aku baru sedar. Rupanya kau ni ada iras pelakon korea tu. Siapa eh, Chang…, ahh Chang Wook. Tak, Ji Chang Wook,” kata Adwa sambil tergelak kecil. Izdan pantas mengangkat jari menunjukkan isyarat supaya gadis itu tidak membuat bising. Adwa menutup mulutnya sambil memandang sekeliling.

“Kau ni asyik nak samakan aku dengan pelakon-pelakon kesayangan kau tu,” balas Izdan separuh berbisik.

“Lepas ni aku tak dapat buli kau lagi. Bagi lah aku peluang sebelum aku jalan,” kata Adwa dengan senyuman.

“Pergi mana?” soal Lufia yang mula mengangkat kepalanya. Dia memisat matanya sambil memandang Adwa. Adwa terdiam sejenak. Dia memandang Izdan. Lelaki itu hanya menggeleng perlahan.

“Kau tak tidur ke dari tadi?” soal Adwa sambil berdehem perlahan.

“Macam mana aku nak tidur. Kau dan Iz buat bising,” balas Lufia sambil mencapai botol mineral yang berada di depannya.

“Yelah tu. Kau jangan suka sangat tidur kat sini. Nanti lepas ni tak ada siapa nak kejut kau lagi,” balas Adwa tanpa sedar.

“Kenapa? Kejap, tadi aku dengar kau kata nak jalan? Kau nak pergi mana?” soal Lufia dengan kening berkerut.

“Pergi mana pula. Kau tu mimpi kot. Tadi aku kata kat Iz, bila sampai rumah nanti aku nak dia tolong jolok buah mangga untuk aku. Betul tak Iz?” jawab Adwa sambil memandang Izdan dengan senyuman manis. Dia berharap lelaki itu faham akan maksudnya. Izdan hanya mengangguk perlahan. Dia memandang semula buku di depannya. Terangkat kening Lufia memandang telatah lelaki itu. Dia memandang Adwa yang sudah mula mencapai penselnya semula.

“Qish pergi mana?” soal Lufia setelah suasana sepi seketika.

“Aku rasa dia ada meeting dengan persatuannya,” jawab Adwa perlahan tanpa memandang wajah rakannya itu.

“Iz, ni aku nak tanya. Apa pendapat kau dengan Adwa?” soal Lufia dengan senyuman. Izdan mengangkat wajah membalas pandangan gadis itu. Terangkat kening Adwa mendengar soalan Lufia.

“Maksud?” soal Izdan agak keliru.

“Maksud aku, pandangan kau sebagai seorang lelaki. Apa pendapat kau bila pandang si Adwa ni?” soal Lufia lagi.

“Kau nak penampar?” soal Adwa yang mula tidak senang duduk. Lufia tergelak besar.

“Diam lah! Kau nak kena halau?” soal Adwa sambil menutup mulut gadis itu.

“Sorry aku lupa,” kata Lufia sambil memandang sekeliling. Nasib baik tidak ramai yang ada di perpustakaan petang itu.

“Kenapa tiba-tiba tanya soalan macam tu?” soal Izdan dengan riak wajah yang serius.

“Tak ni ada orang nak kenal Adwa. Aku cuma nak tahu apa pandangan lelaki tu bila tengok Adwa ni. Yelah kalau kau yang setiap hari ada dengan minah ni tak sangkut dengan dia. Aku hairan lah kenapa tiba-tiba ada pula budak dari sekolah lain yang tiba-tiba berkenan dengan minah ni,” balas Lufia selamba tanpa mempedulikan wajah Adwa yang sudah mula bertukar merah. Bila-bila sahaja perang dunia ketiga boleh meletus.

“Siapa lelaki tu?” soal Izdan semakin serius.

“Budak…,”
”Aku nak balik,” pintas Adwa sambil tangannya lincah mengemas buku dan pensel. Beg sandang dicapai lantas berlalu tanpa sepatah kata. Lufia memandang Izdan.

“Aku pun nak balik. Jumpa lagi,” katanya sebelum bangun menurut langkah Adwa. Izdan menarik nafas dalam cuba menenangkan dirinya.



Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.