Home Novel Komedi/Romantik Komedi Beb, I Love You!
Beb, I Love You!
sipencintapena
4/5/2020 08:10:09
18,267
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 10

2 Tahun kemudian

Adwa hanya memandang lelaki yang sedang melangkah laju menuju ke arahnya itu. Izdan tersenyum lebar. Sampai saja di hadapan gadis itu, Izdan pantas menarik lembut Adwa ke dalam pelukannya. Adwa terkedu. Lufia yang berdiri di sebelah Adwa turut terlopong memandang drama di depan matanya itu.

“Lepas lah,” Adwa menolak tubuh lelaki itu seiring dengan debaran di dadanya.

“I miss you,” ucap Izdan dengan senyuman lebar. Adwa berdehem perlahan sambil memandang Lufia yang masih lagi menunjukkan riak wajah terkejutnya.

“Kau tipu aku,” sambung Izdan kini dengan kening berkerut.

“Apa?” soal Adwa semula pura-pura tidak faham akan maksud lelaki itu.

“Kau tak beritahu aku pun yang kau pilih tempat yang sama dengan aku,” rungut Izdan. Dia benar-benar terkejut apabila Lufia memberitahunya yang mereka kini satu universiti.

“Aku yang halang Adwa beritahu kau. Saja nak buat kejutan,” sampuk Lufia.

“Hai Luf,” sapa Adam yang hampir terlupa dengan kehadiran gadis itu.

“Kau ni bila jumpa Adwa, gajah depan mata pun tak nampak,” balas Lufia separuh menyindir. Izdan hanya tergelak kecil.

“Korang kat sini rupanya. Puas kami cari kat cafe tadi,” tegur satu suara. Adwa hanya tersenyum membalas pandangan Diana dan Rania yang berdiri tidak jauh dari mereka. Kedua-dua gadis itu merupakan teman barunya dan Lufia. Mereka mengambil kos yang sama.

“Korang dah lunch?” soal Lufia sambil memandang kedua-duanya.

“Sudah,” balas Rania sambil memandang jejaka yang berdiri di hadapan mereka.

“Siapa?” soal Diana sambil memandang Adwa. Belum sempat Adwa bersuara Izdan sudah terlebih dahulu memperkenalkan diri.

“Izdan. Panggil Iz aje,” beritahu Izdan dengan senyuman.

“Saya Diana. Ini Rania,” balas Diana yang agak terkesima memandang senyuman lelaki itu. Rania yang berdiri di sebelah Diana hanya mengangguk tersenyum.

“Aku ada kelas ni. Jumpa lagi,” kata Izdan sambil menyentuh ubun kepala Adwa.

“See you,” katanya separuh berbisik sebelum berlalu.

“Aku tak tahu pula kau dah ada yang punya,” usik Diana.

“Dalam diam rupanya,” sampuk Rania.

“Mana ada. Kawan aje. Tanya Luf kalau tak percaya,” balas Adwa sambil melangkah untuk berlalu. Diana dan Rania memandang Lufia. Gadis itu hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu.

*****

Balqish tersenyum memandang Lufia dan Diana yang sedang leka berdebat mengenai artis kegemaran mereka. Rania pula leka dengan telefonnya. Balqish menoleh pula memandang Adwa yang sedang bersandar tenang pada kerusinya sambil menatap buku di tangannya. Dia sebenarnya tidak menyangka akan belajar di tempat yang sama dengan gadis itu. Kos yang sama pula itu. Adwa mengangkat wajah apabila perasan akan renungan gadis itu.

“What?” soalnya. Balqish tergelak kecil.

“Pandang pun tak boleh?” soal Balqish separuh mengusik. Adwa menggeleng.

“Geli,” balasnya dengan kening berkerut. Balqish tergelak lagi.

“Sorry, tapi selera aku dengan lelaki,” balasnya sambil mengangkat tangan. Giliran Adwa pula yang tergelak.

“So, dah ada ke?” soal Balqish dengan senyuman.

“Apa?” soal Adwa yang keliru dengan soalan gadis itu.

“Teman lelaki,” balas Bella.

“Tak ada. Kau cari lah untuk aku,” balas Adwa separuh bergurau. Rania yang duduk di sebelah Adwa memandang Adwa dan Balqish silih berganti.

“Kau kena beritahu aku ciri-ciri orang tu. Nanti aku boleh minta Iz tolong carikan,” gurau Balqish.

“Aku tak jumpa lagi orang tu. Buat apa kau nak suruh Iz? Mamat tu bukannya boleh diharap,” balas Adwa dengan riak wajah yang serius. Balqish tergelak lagi.

“Izdan tu sebenarnya boyfriend siapa?” soal Rania yang sedari tadi mencuri dengar perbualan kedua-duanya. Adwa menoleh memandang gadis itu sebelum beralih memandang Balqish. Mereka serentak tergelak. Berkerut kening Rania memandang telatah kedua-duanya.

“Aku tolong jawab. Izdan tu teman lelaki Qish. So, Diana kau dah tak ada harapan,” usik Lufia sambil memandang Diana.

“Melepas aku,” balas Diana separuh bergurau. Kedengaran gelak ketawa mereka. Rania menoleh memandang Adwa semula.

“Biar betul,” getus hatinya. Matanya tidak pernah menipu walaupun baru pertama kali menemui Izdan. Dari mata lelaki itu nampak sangat yang dia sayangkan Adwa lebih dari seorang kawan.

“Atau aku silap?” soal hati kecil Rania. Adwa hanya tersenyum membalas pandangan Rania tanpa berkata apa-apa.

*****

Izdan tersenyum memandang gadis itu. Berkerut kening Adwa memandang lelaki itu.

“Kau buat apa kat sini?” soalnya.

“Adwa,” tegur Maria yang sedang menghidangkan minum petang. Adwa berpaling memandang wanita itu.

“Nenek yang jemput,” beritahu Maria selamba. Izdan tergelak kecil menghampiri wanita itu. Dia menghulurkan tangan.

“Nenek sihat?” soalnya.

“Alhamdullillah. Sila duduk. Iz buat lah macam rumah sendiri,” balas Maria dengan senyuman. Adwa mendengus perlahan sebelum menghampiri kedua-duanya. Dia menarik kerusi di hadapan Izdan.

“Kenapa tak ajak Lufia datang sekali?” soalnya sambil memandang lelaki itu.

“Nenek masuk dulu. Korang berbual lah,” sampuk Maria sebelum berlalu masuk ke dalam rumah. Adwa hanya memandang langkah wanita itu sebelum memandang Izdan semula. Izdan tersenyum membalas pandangan gadis itu. Walaupun selalu mendengar suara gadis itu melalui telefon selama ini, namun itu masih tidak mampu meleraikan rasa rindunya.

“Aku tanya ni. Kenapa tak ajak Lufia?” soal Adwa lagi yang agak berdebar dengan renungan lelaki itu.

“Aku sengaja tak ajak Lufia. Aku nak berbual dengan kau aje hari ni,” jawab Izdan. Matanya masih terpaku pada wajah putih gadis itu.

“Nak berbual pasal apa lagi? Kau tu setiap malam tak sah kalau tak call aku,” kata Adwa separuh merungut. Izdan tergelak kecil.

“Kau marahkan aku lagi?” soalnya.

“Sebab?” soal Adwa kembali. Dia memang tidak faham akan maksud lelaki itu.

“Yelah, aku dah lama kat sini tapi baru hari ni aku datang rumah kau,” balas Izdan.

“Tak ada masa lah aku nak marah orang hanya sebab tu. Iz, ni aku nak ingatkan kau. Kau tak boleh selalu melepak dengan aku,” kata Adwa dengan riak wajah yang serius.

“Kenapa pula? Ada orang marah?” soal Izdan bertalu. Dia agak berdebar menunggu jawapan gadis itu.

“Yelah. Nanti Qish kata apa pula bila kau selalu melepak dengan aku,” balas Adwa dengan nada tegas.

“Buat apa nak marah? Kita cuma kawan kan?” soal Izdan dengan riak wajah yang tidak puas hati. Adwa terdiam mendengar soalan lelaki itu.

“Betul kata Iz. Kami cuma kawan. Tapi kenapa dengan aku ni?” getus hatinya. Adwa mengeluh perlahan.

“Jangan risau. Qish tahu kita memang rapat sejak kecil,” kata Izdan seiring dengan senyumannya. Adwa hanya tersenyum hambar. Lidahnya kelu untuk membalas.

*****

“Wa, aku nak tanya ni,” tegur Lufia sambil memandang tepat wajah sahabatnya itu. Adwa yang sedang menyusun buku-bukunya hanya memandang sekilas ke arah gadis itu.

“Apa?” soalnya.

“Aku rasa Iz tu semakin serius,” kata Lufia.

“Tu bukan pertanyaan,” balas Adwa separuh menyindir. Lufia tergelak kecil.

“Aku nampak Iz tu semakin serius dengan Qish. Kau okay ke dengan tu?” soalnya. Adwa terdiam mendengar soalan gadis itu.

“Kau tak nak beritahu Iz?” soal Lufia lagi.

“Beritahu apa?” tanya Adwa kembali. Lufia menggeleng perlahan.

“Kau asyik mengelak bila aku timbulkan isu ni. Dulu aku dah janji tak nak sentuh pasal ni lagi. Tapi aku tak tahan. Aku tak boleh duduk diam bila tahu kau sayangkan Iz. Nak aku tolong beritahu Iz?” soal Lufia separuh menawarkan diri.

“Kau jangan nak cari pasal dengan aku. Luf, tolong lah jangan ungkit lagi pasal ni. Aku tak suka,” balas Adwa dengan riak wajah yang serius. Dia menyandang begnya sebelum bangun dari kerusi.

“Aku nak balik. Kalau kau sentuh lagi pasal ni, aku tak nak jumpa kau lagi,” katanya separuh mengugut sebelum berlalu. Lufia mengeluh perlahan.

“Degil betul minah ni,” getus hatinya. Dia turut bangun dari kerusinya lalu mengikut langkah Adwa.

*****

Adwa bersandar tenang pada kerusi. Fikirannya melayang jauh memikirkan semula pertanyaan Lufia.

“Betul ke aku tak akan menyesal? Aku okay ke kalau tengok Iz dengan orang lain?” soal hatinya sendiri. Soalan itu bukan hanya sekali terlintas di fikirannya. Namun sudah berkali-kali. Walaubagaimanapun dia sendiri tidak ada jawapan untuk soalan tersebut. Kadang kala dia keliru dengan perasaannya sendiri. Benarkah dia sayangkan Izdan hanya sebagai kawan atau sebaliknya? Adwa mengeluh perlahan. Lamunannya terhenti apabila telefon bimbitnya tiba-tiba berdering. Nama Izdan terpampang pada skrin telefonnya. Adwa berbelah bagi untuk menjawab. Perlahan jarinya menekan punat hijau.

“Buat apa?” soal Izdan di talian sebelah. Adwa hanya diam membisu. Lelaki itu benar-benar membuatnya keliru.

“Adwa,” panggil Izdan apabila gadis itu hanya membisu. Adwa masih diam tidak menyahut.

“Sayang,” panggil Izdan lembut. Bulat mata Adwa mendengar panggilan tersebut.

“Mengigau?” soalnya dengan kening berkerut. Izdan tergelak kecil.

“Aku panggil tak menyahut. Buat apa?” soal Izdan ingin tahu.

“Kau kalau sehari tak call aku, tak boleh? Sibuk aje,” balas Adwa sambil mendengus perlahan. Izdan tergelak lagi.

“Ni memang pekerjaan wajib yang perlu aku lakukan setiap hari,” balasnya. Adwa agak berdebar mendengar kata-kata lelaki.

“Kau nak apa?” soalnya yang mula rimas.

“Esok aku nak keluar dengan Qish dan yang lain. Pastikan kau ada. Kalau tak, sampai kat rumah aku cari,” beritahu Izdan separuh mengarah.

“Aku ada hal esok,” balas Adwa.

“Keluar bersama? Dengan Balqish? Jangan harap!” bentak hati kecilnya.

“Batalkan,” arah Izdan.

“Tak boleh. Aku…,”

“Kalau macam tu aku batalkan aje aktiviti esok,” pintas Izdan separuh mengugut.

“Aku malas nak layan,” balas Adwa sebelum menutup telefonnya. Dia melemparkan telefon tersebut ke atas katil.

“Gila! Kau nak aku tambah sakit?!” marahnya.

*****

“Mana Adwa?” soal Maria apabila melihat hanya Tania yang duduk bersarapan.

“Awal lagi dia dah keluar,” beritahu Tania dengan senyuman.

“Awal pula dia hari ni,” balas Maria sambil menarik kerusi.

“Ma, betul ke Iz tu dah ada girlfriend?” soal Tania sambil memandang wajah ibunya.

“Tak tahu. Tapi berdasarkan cerita Adwa, memang Iz tu dah ada teman wanita,” jawab Maria sambil menuangkan kopi panas ke dalam cawannya.

“Tapi kenapa bila Nia tengok cara Iz pandang Adwa tu lain macam aje? Nampak sangat dia sayangkan Adwa,” soal Tania. Ada riak tidak puas hati pada wajahnya.

“Iz memang macam tu. Tapi tak tahu lah. Mama pun tak faham dengan anak muda zaman sekarang ni. Suka tapi tak mengaku,” balas Maria. Tania diam tidak menjawab.

“Adwa pun sama. Tapi Nia faham. Dia tak mampu buat apa-apa kalau Iz tu dah ada teman,” katanya setelah agak lama membisu. Maria mengeluh perlahan mendengar kata-kata wanita itu. Dia yang melihat hubungan Izdan dan Adwa sejak mereka masih kecil lagi juga tidak faham apa sebenarnya yang menghalang mereka untuk bersatu. Kedua-duanya sering menegaskan mereka hanya sebagai kawan.

“Nia pergi dulu,” kata Tania sambil mencium dahi wanita itu sebelum berlalu. Maria hanya tersenyum mengangguk. Dia mencapai sudu. Fikirannya melayang semula memikirkan hubungan Izdan dan Adwa yang tiada kesudahan.

*****

“Kau tak beritahu aku pun yang Adwa ada kat sini,” rungut Razi sambil menarik kerusi di hadapan Izdan.

“Macam mana kau tahu?” soal Izdan sambil memandang teman baiknya itu.

“Tadi aku terserempak dengan Lufia kat library. Dia yang beritahu. Esok Adwa nak ikut ke?” balas Razi separuh menyoal.

“Tak pasti lagi,” balas Izdan perlahan.

“Aku tak sangka kita boleh berkumpul semula kat sini. Aku nak tanya ni. Adwa tu masih single tak?” soal Razi dengan senyuman nakal.

“Aku tak tahu,” jawab Izdan tanpa memandang wajah Razi. Pandangannya tertumpu semula pada skrin laptop yang ada di depannya.

“Mustahil kau tak tahu. Setahu aku, kau adalah orang yang paling rapat dengan Adwa,” kata Razi dengan riak wajah tidak puas hati.

“Tak semua benda dia nak kongsi dengan aku. Kalau kau nak tahu sangat apa kata kau tanya dia sendiri,” balas Izdan separuh mencadangkan. Timbul pula penyesalan atas cadangan yang diutarakan sebentar tadi.

“Kau serius?” soal Razi sengaja ingin menguji lelaki itu. Dia ingin tahu adakah lelaki itu masih punya perasaan pada Adwa atau sebaliknya. Izdan hanya mengangguk tanpa menjawab. Razi tersenyum kecil. Melihat dari riak wajah lelaki itu sudah cukup untuk dia meneka apa yang ada di fikiran Izdan.

“Iz, aku rasa dah tiba masanya kau lepaskan Adwa,” katanya perlahan.

“Apa maksud kau?” soal Izdan dengan kening berkerut.

“Aku ada kelas. Jumpa esok,” balas Razi tanpa menjawab. Dia berlalu meninggalkan Izdan yang masih memandangnya. Izdan bersandar pada kerusinya. Kata-kata Razi masih terngiang di telinga.

“Lepaskan Adwa?” soal hati kecilnya.



Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.