Home Novel Komedi/Romantik Komedi Beb, I Love You!
Beb, I Love You!
sipencintapena
4/5/2020 08:10:09
18,267
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 4

Balqish menghampiri Adwa yang sedang duduk sendirian tanpa Lufia. Biasanya gadis itu berkepit dengan Lufia hampir setiap masa. Namun kali ini kelibat Lufia tidak pula kelihatan.

“Hai Adwa,” sapanya dengan senyuman. Adwa menoleh memandang gadis itu. Dia tersenyum membalas tanpa berkata apa-apa.

“Lufia tak datang ke hari ni?” soal Balqish sambil menarik kerusi di sebelah gadis itu.

“Tak kot. Semalam dia beritahu aku yang dia tak sihat sangat. Kenapa?” soal Adwa.

“Tak ada apa. Biasanya Lufia ada aje,” balas Balqish dengan senyuman.

“Dia tu bukannya boleh percaya sangat. Kata tak sihat. Nanti petang kau nampak lah muka dia kat padang. Kalau tak percaya, kau datang padang petang ni,” kata Adwa sambil menggeleng perlahan. Balqish tergelak kecil.

“Boleh ke saya datang petang ni? Saya tak pernah lagi turun padang waktu petang. Tak ada kawan yang ajak,” balasnya separuh meminta. Adwa tersenyum lebar.

“Datang aje lah. Tak apa, aku dan Lufia ada teman kau,” katanya ikhlas.

“Terima kasih. Saya sebenarnya pindah kat sini sebab mummy dan daddy stay lama kat London. So, dekat KL tak ada kawan. Kat sini saya stay dengan mak saudara saya,” beritahu Balqish tanpa dipinta. Dia memang kekok dengan Adwa. Melihat dari luaran gadis itu nampak agak kasar. Namun sifat cepat mesra gadis itu membuatnya selesa untuk berkongsi. Walaupun ini merupakan kali pertama dia berbual dengan Adwa.

“Oh, tak apa. Mula hari ni kau kena berkepit dengan aku dan Lufia,” balas Adwa dengan senyuman. Dia menghulurkan tangan.

“Adwa Riana. Panggil Adwa aje. Maaf lah aku tak pernah tegur kau dari awal. Segan lah nak kawan dengan orang bandar macam kau,” ucapnya dengan perasaan bersalah. Balqish menyambut huluran gadis itu dengan senyuman lebar.

“Jangan nak merepek lah. Tak ada istimewanya sangat jadi orang bandar. Terima kasih Adwa,” balasnya agak terharu dengan penerimaan gadis itu. Adwa hanya tergelak kecil sambil menganggukkan kepalanya.

*****

“Wa, kau tak tukar stoking ke?” soal Lufia sambil menutup hidungnya. Adwa membuka kasutnya lalu menghulurkan kakinya ke arah Lufia. Lufia pantas bangun menjauh.

“Gila minah ni. Busuk lah! Tak malu dengan Iz yang duduk kat sebelah tu?” soal Lufia dengan kening berkerut. Adwa hanya mengangkat bahu dengan wajah selamba. Izdan menggelengkan kepalanya melihat telatah gadis itu. Dia mengeluarkan stoking miliknya dari dalam beg lalu dihulurkan kepada Adwa.

“Nanti kejap lagi kawan-kawan aku nak datang. Malu lah sikit,” katanya dengan kening berkerut.

“Kalau Remy Ishak yang datang memang aku akan malu. Tapi kalau setakat…,” belum sempat Adwa menghabiskan ayatnya terasa kepalanya diketuk kuat.

“Adoi!” tangannya pantas menyentuh kepalanya sambil memandang Lufia dengan kening berkerut.

“Padan muka,” balas Lufia sebelum berlari ke arah padang.

“Geramnya aku. Kau tunggu kat situ!” balas Adwa sambil bangun. Tanpa memakai kasut langkahnya panjang mengejar Lufia. Kedua-duanya berlari ke arah padang. Izdan hanya tersenyum melihat telatah kedua-dua rakannya itu.

Perangai macam budak-budak.

“Awak.” Sapa satu suara. Izdan berpaling memandang insan yang menegur. Dia terkedu sejenak melihat Balqish yang sedang tersenyum memandangnya.

“Saya Balqish. Awak Izdan kan?” soal Balqish masih dengan senyuman.

“Ya saya,” balas Izdan agak gelabah.

“Yang kat tengah padang tu Adwa dan Lufia ke?” soal Balqish lagi. Izdan hanya mengangguk. Kelu lidahnya untuk membalas kerana masih terkejut. Ini pertama kali dia berdepan dan berbual lebih dekat dengan gadis itu.

“Qish,” panggil Adwa separuh menjerit sambil berlari menghampiri mereka. Balqish melambai dengan senyuman lebar.

“Tengok kaki tu. Kau ni degil lah. Buka stoking tu. Ganti dengan stoking aku ni,” arah Izdan sambil menghulurkan semula stoking yang dipegangnya sedari tadi. Adwa tersengih sambil menyambut huluran lelaki itu.

“Baik lah abah. Qish, ni lah kawan aku yang minat gila kat kau,” beritahu Adwa selamba. Bulat mata Izdan memandang gadis itu. Balqish sekadar tersenyum tanpa memandang Izdan. Lufia yang berdiri di sebelah Adwa pantas menyiku lengan gadis itu.

“Apa?” soal Adwa sambil duduk lalu selamba menukar stokingnya.

“Kawan aku dah sampai. Pergi dulu,” kata Izdan sebelum berlalu dengan pantas. Adwa tergelak besar.

“Malu lah tu,” ejeknya. Lufia menggeleng perlahan melihat telatah gadis itu.

“Dia memang macam ni. Kau jangan ambil hati ek,” beritahunya kepada Balqish.

“Tak lah. Saya okay,” balas Balqish sambil tersenyum.

“Qish, kau kena biasakan diri. Aku memang macam ni. Kasar sikit,” kata Adwa pula sambil tergelak kecil.

“Sikit lah sangat. Iz aje yang tahan dengan kau. Aku awal-awal lagi angkat bendera putih,” celah Lufia. Adwa tergelak besar mendengar komen rakannya itu. Balqish hanya tersenyum memandang kedua-duanya. Terasa lega kerana ada insan yang sudi menerima dirinya sebagai kawan.

*****

“Ibu kamu ada call tadi,” beritahu Maria sambil meletakkan jag yang berisi jus oren di atas meja.

“Ibu kata apa? Ibu sihat tak?” soal Adwa bertalu sambil memandang Maria yng sedang menarik kerusi di hadapannya.

“Kalau nak tahu sangat, kenapa tak call aje?” soal Maria dengan kening terangkat.

“Semalam Adwa ada berbual dengan ibu. Cuma hari ni tak sempat call lagi,” beritahu Adwa sambil tersengih menunjukkan barisan giginya yang tersusun cantik.

“Ibu tu sihat aje. Cuma dia ada beritahu nenek, Adwa tu okay ke kalau ibu bawa pindah kat KL?” balas Maria separuh menyoal.

“Pindah?” soal Adwa dengan riak wajah yang jelas terkejut.

“Ibu kamu tu baru nak tanya. Bukannya esok dah nak pindah,” sindir Maria apabila melihat reaksi gadis itu. Adwa tergelak kecil.

“Adwa tak nak lah. Adwa nak duduk kat sini dengan nenek,” balasnya jelas menolak.

“Atau tak sanggup berpisah dengan Iz?” soal Maria separuh mengusik.

“Mana ada. Tak ada kena mengena lah dengan mamat tu. Kalau Adwa pindah siapa nak teman nenek kat sini?” nafi Adwa separuh menyoal. Maria tergelak kecil.

“Iz ada aje nak tolong nenek. Lagipun nenek bukannya budak kecil lagi,” balasnya masih ingin mengusik gadis itu. Adwa mula menarik muncung panjang.

“Tak nak!” balasnya dengan nada agak tegas. Maria hanya tersenyum melihat telatah gadis itu. Dia juga sebenarnya tidak sanggup berpisah dengan satu-satunya cucu yang dia ada. Namun dia sedar suatu hari nanti dia terpaksa lepaskan Adwa pergi juga. Gadis itu perlu keluar dari kampung ini jika mahu mencapai cita-citanya. Tidak selamanya Adwa akan sentiasa ada di sisinya. Dia kena bersedia dengan kemungkinan itu. Maria mengeluh dalam diam.

*****

“Tu bukan Adwa ke?” soal Razi sambil menunjuk ke arah padang. Izdan berpaling menoleh. Dia menggeleng perlahan melihat gadis itu sedang berjalan perlahan mengelilingi padang sekolah.

“Aku nak jumpa dia kejap,” kata Izdan sambil berlalu meninggalkan Razi.

“Okay,” balas Razi sebelum turut berlalu masuk ke dalam kelas.

***

“Kali ni sebab apa pula?” soal Izdan sambil memandang gadis itu yang sedang tercungap-cungap di hadapannya.

“Aku tak sempat siapkan kerja yang Cikgu Salim beri minggu lepas,” jawab Adwa selamba.

“Minggu lepas? Dah lama tu. Kau buat apa tak siap kerja tu? Tak serik ke asyik kena denda aje?” soalnya dengan kening berkerut.

“Tak sempat. Bukannya selalu. Hari tu aku kena denda sebab kau. Kau tak kejut aku bangun pagi,” balas Adwa sambil mengambil tempat di sebelah lelaki itu. Dia sengaja berkata demikian supaya lelaki itu rasa bersalah.

“Bila? Aku tak pernah lagi…, kejap. Kau pun tahu masa tu aku ada aktiviti…,”

“Aku tahu,” pintas Adwa selamba. Izdan mengetuk dahi gadis itu.

“Sakit lah!” berkerut kening Adwa memandang lelaki itu sambil mengusap dahinya. Izdan tergelak kecil sambil memeluk bahu gadis itu.

“Padan muka. Kena kan aku lagi,” katanya sambil turut mengusap dahi gadis itu.

“Amboi korang. Nasib baik aku yang nampak. Kalau Cikgu Salim macam mana?” soal Lufia sambil berjalan menghampiri kedua-duanya.

“Cikgu Salim dah keluar ke?” soal Adwa sambil memandang temannya itu.

“Sudah. Kau ni biar betul tak siap kerja? Selalu aku yang tak siap. Kau ni sengaja nak pecahkan rekod aku,” balas Lufia separuh mengusik.

“Aku saja nak buat rekod baru,” jawab Adwa selamba.

“Qish mana?” celah Izdan tiba-tiba.

“Ada kat kelas. Pergi lah. Aku nak teman Adwa kat sini dulu,” jawab Lufia dengan senyuman lebar. Izdan tersenyum mengangguk.

“Nak makan tak? Aku belanja,” soalnya sambil memandang Adwa semula. Terangkat kening Lufia melihat telatah kedua-duanya.

“Tak nak lah. Tak lapar,” balas Adwa tanpa senyuman.

“Okay. Nanti lapar jangan nak cari aku pula,” kata Izdan separuh mengingatkan sebelum berlalu meninggalkan kedua-duanya. Lufia menggeleng perlahan melihat Adwa. Dia sudah kenal lama dengan gadis ini.

Tak payah nak menipu lah Adwa.

“Lapar tak?” soalnya. Adwa mengangguk perlahan dengan riak wajah seperti ingin menangis.

“Jom lah,” ajak Lufia sambil menghulurkan tangannya. Dia sebenarnya agak keliru dengan hubungan gadis itu dan Izdan.

Nak kata bercinta macam tak juga. Nak kata tak bercinta, macam bercinta pula.

Lufia menggeleng lagi. Adwa menyambut perlahan huluran gadis itu.

“Terasa nak makan soto ayam lah hari ni,” katanya kini dengan senyuman lebar.

“Tak ada hal lah. Jom,” balas Lufia sambil menarik tangan gadis itu untuk berlari anak.

“Lufia! Aku penat lah!” marah Adwa yang terpaksa ikut berlari. Lufia hanya tergelak besar.



Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.