Home Novel Komedi/Romantik Komedi Beb, I Love You!
Beb, I Love You!
sipencintapena
4/5/2020 08:10:09
18,265
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 3

“Aku nak yang tu, yang ni, dan yang tu,” kata Adwa selamba sambil jari telunjuknya menunjuk ke arah deretan pakaian yang berada di hadapan mereka. Berkerut kening Izdan memandang gadis itu.

“Aku bawa kau datang sini bukan sebab nak beli baju untuk kau,” balasnya dengan kening berkerut.

“Aikk, dah tu kenapa sibuk nak angkut aku ke sini? Kau tau kan petang ni aku nak jumpa Lufia?” soal Adwa dengan mata bulatnya membalas pandangan Izdan.

“Aku…,”

“Stop! Oh, nak cari baju untuk si Balqish? Lah, kenapa tak cakap awal. Boleh aku minta saiz dengan minah tu,” sindir Adwa sambil mendengus perlahan. Izdan tergelak kecil sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Aku tak peduli. Kau kena belikan aku juga baju-baju kat depan tu. Alah, kau nak risau apa. Kau kan anak orang kaya. Apa lah sangat baju yang belas ringgit tu,” sindir Adwa lagi.

“Dia ni kan,” balas Izdan sambil mencubit pipi gadis itu.

“Sakit lah!” marah Adwa sambil menepis tangan lelaki itu. Izdan hanya tergelak sambil memeluk bahu gadis itu.

“Jom sayang. Nak apa? Baju? Beg? Emas?” usiknya sambil tergelak besar. Adwa menyiku pinggang lelaki itu.

“Gila!”

*****

“Kau dah ready?” soal Lufia sambil memandang tepat ke arah gadis itu.

“Nak pergi mana?” soal Adwa dengan kening berkerut.

“Nak pergi mana apa? Ni hadiah ni,” kata Lufia sambil menunjukkan kotak hadiah yang berbalut dengan kertas bercorak bunga.

“Hadiah ni nak bagi Balqish kan?” soal Lufia lagi.

“Pergi lah bagi kat dia. Aku malas nak masuk campur,” balas Adwa selamba sambil memandang semula ke luar tingkap.

“Dia ni. Aku beritahu Iz baru tau. Iz nak kau yang bagi hadiah ni. Bukan aku,” kata Lufia dengan kening berkerut.

“Apa lah bezanya antara kau dan aku. Sama aje lah. Pergi lah. Aku malas,” tolak Adwa sambil mula meletakkan kepalanya ke atas meja. Lufia menggeleng perlahan. Dia bangun dari kerusi lalu menghampiri Balqish yang duduk tidak jauh darinya.

“Qish, ni hadiah untuk kau. Mamat kelas sebelah yang bagi,” beritahu Lufia dengan senyuman sambil menghulurkan kotak hadiah tersebut kepada Balqish. Agak lama Balqish memandang kotak hadiah tersebut sebelum menyambut lambat. Suasana dalam kelas agak bising dengan sorakan dan siulan pelajar yang mengusik Balqish. Dari jauh Adwa hanya tersenyum sinis.

*****

“Hoi!” Hampir terlepas mikrofon yang dipegang oleh Adwa apabila mendengar suara Izdan. Dia berpaling memandang tingkap yang terbuka luas. Kelihatan lelaki itu tersengih memandangnya.

“Kau ni tak reti bagi salam?” soal Adwa sambil mendengus perlahan.

“Dah malam ni wei. Kau boleh tak karaoke tu waktu siang. Bukan tengah malam,” tegur Izdan separuh mengusik.

“Sibuk aje lah. Nenek aku tak bising pun. Yang kau bisingkan aku apahal?” balas Adwa dengan kening berkerut. Jarinya perlahan bergerak menekan punat off pada mikrofon.

“Aku tak lah bising kalau suara tu macam Nabila Razali. Ni dah macam ka…,”

“Nak kena dengan mikrofon ni?” pintas Adwa sambil mengangkat mikrofon tersebut dan berlagak seolah-olah mahu melemparkannya ke arah Izdan.

“Aku gurau aje lah,” kata Izdan sambil tergelak kecil. Dia kenal sangat Adwa Riana. Dia tidak mengelak jika benar-benar mikrofon tersebut sampai pada wajahnya. Sikap gadis itu memang sukar diduga.

“Tahu takut. Kau nak apa?” soal Adwa sambil menurunkan semula tangannya.

“Qish suka tak hadiah tu?” soal Izdan dengan senyuman.

“Adoi. Mana lah aku tahu. Aku bukannya tinggal dengan minah tu,” balas Adwa dengan kening berkerut.

“Tak maksud aku, masa kau beri hadiah tu kat dia,” kata Izdan agak berdebar menunggu jawapan gadis itu.

“Masa beri?” soal Adwa sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

Masalahnya bukan aku yang beri hadiah tu dengan Balqish.

Bisik hati kecil Adwa.

“Okay. Dia happy,” balasnya perlahan dengan perasaan bersalah.

“Dia cakap apa?” soal Izdan lagi agak teruja. Adwa mengeluh perlahan.

“Kau tak borak lagi dengan dia ke? Nak jadi lelaki misteri ke apa. Nanti minah tu terlepas dengan mamat lain baru lah padan dengan muka kau,” balasnya memberi amaran.

“Aku…,”

“Aku nak tidur lah. Kau balik sekarang,” halau Adwa sambil mula menarik selimut. Izdan menggigit bibir memandang telatah Adwa.

“Langsung tak beri aku peluang nak cakap,” rungutnya perlahan namun masih didengari oleh Adwa.

“Jangan lupa tutup tingkap tu,” sempat Adwa mengarah sebelum menutup lampu. Izdan menggeleng perlahan sebelum menutup tingkap dari luar.

Ni aku dah tutup siapa pula nak kunci kat dalam?

Izdan tersenyum sambil menggeleng lagi sebelum berlalu naik ke rumah Adwa. Dia perlu memberitahu Nek Mar yang tingkap bilik Adwa tidak berkunci. Dia agak risau memikirkan penceroboh yang mungkin akan masuk.

*****

“Kenapa lambat?” soal Lufia separuh berbisik apabila Adwa mengambil tempat di sebelahnya.

“Adwa!” Belum sempat Adwa menjawab soalan kedengaran namanya diseru kuat. Suasana kelas sepi seketika. Bulat mata Cikgu Salim memandang ke arah Adwa. Adwa mengeluh perlahan.

“Dah tahu kelas pertama hari ni kelas bahasa Inggeris, kau boleh pula lewat masuk kelas,” komen Lufia separuh berbisik.

“Kat padang tu banyak sampah. Buat apa tercegat lagi kat situ?” soal Cikgu Salim dengan keningnya yang terangkat tinggi.

“Sorry sir,” ucap Adwa perlahan sebelum bangkit dari kerusi dan berlalu keluar dari kelas.

“Kalau suka sangat nak buat kerja amal, kamu semua boleh datang lewat dalam kelas saya,” kata Cikgu Salim dengan senyuman sinis sebelum mencapai bukunya. Lufia hanya menggeleng perlahan memandang kelibat Adwa yang sudah hilang di sebalik pintu.

*****

Adwa mendengus perlahan.

“Kurang ajar punya Iz. Sampai hati tak kejutkan aku. Biasanya tak pernah lupa ketuk tingkap bilik aku,” bebelnya perlahan. Memang Izdan akan mengetuk kuat tingkap biliknya setiap hari. Pada mulanya dia memang geram dengan sikap lelaki itu yang mengganggunya seawal pagi. Tapi bila difikirkan semula ada baiknya juga lelaki itu berbuat demikian. Dia boleh bangun awal pagi dengan lebih cepat.

Tapi kenapa hari ini aku langsung tak nampak kelibat mamat tu?

“Hai, pungut sampah pun sempat nak melamun?” tegur Lufia yang sedang berjalan menghampirinya. Adwa hanya tersenyum memandang sahabatnya itu.

“Kau buat apa kat sini?” soalnya pula.

“Saja teman kau. Aku beritahu Cikgu Salim yang aku nak ke tandas. Aku bosan lah kau tak ada dalam kelas,” rungut Lufia sengaja memuncungkan bibirnya.

“Bosan lah sangat. Kau tu wajib perlukan aku kalau kelas Si cikgu Salim tu. Sebab nak tiru kerja aku kan?” soal Adwa separuh menyindir. Lufia tergelak besar.

“Tahu tak apa,” balasnya masih dengan sisa tawanya.

“Kau ada nampak Iz tak?” soal Adwa dengan kening berkerut.

“Kau tak tahu ke?” soal Lufia pula.

“Kalau aku tahu tak lah aku tanya makcik,” balas Adwa sambil mendengus perlahan. Luffia tergelak lagi.

“Iz terlibat dengan rombongan lawatan sambil belajar kat Sabah. Dalam kelas kita pun ada yang terlibat. Kau tak tahu ek?” soal Lufia dengan kening berkerut. Adwa menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Kenapa aku tak tahu?” soalnya.

“Aku lupa. Kau bukan pengawas. Yang terlibat tu pelajar yang ada jawatan kat Majlis Perwakilan Pelajar aje,” jawab Lufia.

“Kat kelas kita siapa yang terlibat?” soal Adwa lagi. Wajahnya jelas menunjukkan rasa tidak puas hati.

“Adalah beberapa. Termasuk Qish,” jawab Lufia.

“Kau ni. Nama aje berjiran dengan Iz. Iz jalan pun tak tahu. Kau mesti nak belasah dia kan sebab kau ingat dia tinggalkan kau pagi ni?” sambungnya separuh meneka.

“Mana ada,” balas Adwa dengans suara perlahan.

Qish pun pergi?

Adwa mengeluh perlahan.

“Apa?” soal Lufia yang pelik melihat telatah gadis itu.

“Jom lah,” ajak Adwa tanpa membalas. Lufia menggeleng lagi.

Tak faham lah aku dengan minah ni.



Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.