Home Novel Komedi/Romantik Komedi Beb, I Love You!
Beb, I Love You!
sipencintapena
4/5/2020 08:10:09
13,125
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 13

Adwa mengeluh perlahan. Dia memandang telefon bimbit di tangannya.

Aku ni jahat sangat ke?

Adwa kemudian mendail nombor Lufia.

“Luf,” panggilnya dulu.

“Jarang sangat kau yang call aku dulu,” balas Lufia separuh menyindir.

“Kau ada jumpa Iz?” soal Adwa tanpa mempedulikan sindiran gadis itu.

“Bukan kau ke yang jumpa Iz tadi?” soal Lufia kembali.

“Memang lah aku ada jumpa dia. Aku tanya kau. Kau tak ada jumpa dia hari ni?” tanya Adwa lagi. Lufia mengeluh perlahan.

“Kau risaukan Iz?” soalnya tanpa menjawab.

“Boleh tak jawab soalan aku dulu?” pinta Adwa mula naik angin.

“Tak ada. Aku jumpa Qish aje,” akhirnya Lufia mengalah. Adwa terdiam mendengar jawapan gadis itu.

“Kau tak jawab soalan aku,” kata Lufia mengingatkan.

“Aku nak pindah,” balas Adwa tanpa menjawab.

“Pindah? Pindah rumah?” soal Lufia yang jelas terkejut sehingga lupa soalannya yang masih belum berjawab.

“Aku nak pindah universiti,” jawab Adwa dengan nada perlahan.

“What? No! Kenapa? Sebab Iz dan Qish?” soal Lufia bertalu. Dia mula tidak senang duduk. Adwa terdiam mendengar soalan gadis itu.

“Adwa, aku tahu kau tak selesa dan rasa bersalah. Tapi ni bukan salah kau. Jatuh cinta tu bukan satu jenayah. Tolong lah fikirkan semula. Kita dah janji nak belajar kat tempat yang sama. Jangan tinggalkan aku,” sambung Lufia separuh merayu.

“Aku sayangkan Iz. Aku sayangkan Iz lebih daripada seorang kawan. Sejak dari dulu sampai lah saat ni, aku masih sayangkan dia. Mulut aku selalu menafikan. Tapi hati aku tak pernah menipu,” balas Adwa dengan perasaan berbaur. Lufia terkedu.

Aku sedang mimpi ke?

“Kalau aku tak pindah, sampai bila-bila pun aku tak akan mampu lupakan Iz,” sambung Adwa.

“So, selama ni aku cakap benda yang betul? Tapi kau selalu nafikan. Sebab apa? Balqish?” soal Lufia yang jelas tidak puas hati. Jika dari dulu gadis itu jujur dengan perasaannya, mungkin masih sempat untuk dia beritahu Izdan.

Buat apa nak jujur sekarang?

“Aku tak sepatutnya ada perasaan ni pada Iz. Dia kawan aku. Kawan kita,” balas Adwa tanpa menjawab. Lufia tersenyum sinis.

“Kita bertiga bukan saudara. Kau dan Iz tak ada apa-apa pertalian darah. Tak berdosa pun kalau kau dan Iz kahwin,” balasnya masih tidak puas hati.

“Ini rahsia kita berdua aje. Tak ada siapa yang perlu tahu. Terutama Iz,” kata Adwa separuh mengingatkan.

“Aku tak menyesal Luf. Sekurang-kurangnya Iz akan kekal jadi kawan aku. Aku tak akan pernah kehilangan Iz walau apapun terjadi,” sambungnya dengan senyuman hambar.

“Suka hati kau lah. Tapi nak pindah belajar tu aku tak setuju. Sampai bila kau nak larikan diri? Sejauh mana pun kau lari aku pasti Iz pasti akan cari kau. Kau bukan tak kenal Iz,” balas Lufia.

“Dia dah ada Qish. Dia tak mungkin cari aku lagi,” balas Adwa dengan perasaan ragu-ragu. Lufia meraup wajahnya.

“Jumpa esok. Aku nak tidur,” sambung Adwa sebelum menekan punat merah. Lufia mengeluh lagi.

Apa nak jadi dengan dua orang kawan aku ni?

*****

“Masih marahkan saya?” soal Izdan pada Balqish yang sedang duduk di hadapannya. Wajah serius gadis itu agak merisaukannya.

“Marah? Awak dah janji hari tu. Buat apa saya nak marah lagi?” balas Balqish dengan senyuman hambar. Izdan menggelengkan kepalanya.

“Saya dah lama kenal awak. Kalau tak marah, kenapa tak angkat call?” soalnya dengan kening berkerut. Balqish menarik nafas panjang.

“Sorry,” ucapnya dalam nada perlahan. Dia menghulurkan tangannya pada lelaki itu. Izdan tersenyum menyambut. Dia menggenggam erat jemari gadis itu.

“Saya yang patut minta maaf. Maafkan saya dah lukakan hati awak,” ucapnya dengan perasaan bersalah. Dia akui tanpa sedar telah melukakan hati gadis itu. Namun apabila mengingatkan janjinya pada gadis itu, hati Izdan bagai dihiris pisau tajam. Mampukah dia menunaikan janjinya pada gadis itu?

Balqish hanya memandang wajah Izdan yang berkerut seperti memikirkan sesuatu.

“Jom, masuk kelas,” katanya sengaja mahu menghentikan lamunan lelaki itu. Izdan tersenyum mengangguk. Bangun saja dari kerusi pandangannya bertembung dengan Adwa yang sedang melangkah bersama Lufia melepasi mereka. Buat pertama kalinya mereka seperti orang asing. Adwa melepasi Izdan tanpa menegurnya. Begitu juga dengan Izdan. Hanya matanya yang masih setia memandang setiap langkah gadis itu. Baalqish menyentuh lengan Izdan perlahan.

“Jom,” ajaknya dengan senyuman hambar. Izdan mengangguk sebelum mengikut langkah gadis itu. Dalam diam dia mengeluh berat.

*****

“Nak apa?” soal Lufia apabila Izdan menghalang langkah gadis itu.

“Nak lepak tak petang ni?” soal Izdan separuh mengajak. Lufia membetulkan rambut lelaki itu yang tidak terurus. Izdan hanya tersengih.

“Kau rindu aku ke rindu Adwa?” soal Lufia dengan wajah serius. Senyuman Izdan perlahan menghilang.

“Aku cuma rindu lepak dengan korang,” balasnya dengan senyuman hambar.

“Iz, boleh aje kita lepak macam dulu. Tapi dulu tu zaman sekolah. Sekarang ni kita semua dah dewasa. Lepas ni ada keluarga masing-masing. Kita tak mungkin sama macam dulu Iz,” kata Lufia dalam penuh makna. Berkerut kening Izdan membalas pandangan gadis itu.

“Adwa tak nak jumpa aku. Kau pun sama?” soalnya dengan perasaan sebak. Lufia menggigit bibir. Dia simpati melihat wajah sayu lelaki itu.

“Luf, apa salah aku?” tanya Izdan dengan nada perlahan.

“Adwa ada jumpa Qish. Aku pun ada datang jumpa Qish. Iz, kita masih berkawan. Tapi nak rapat macam dulu tu agak susah. Aku tak salahkan Qish yang tak suka kau rapat dengan aku atau Adwa. Aku faham perasaan Qish. Aku pun perempuan juga. Lagipun kau dah janji dengan Qish nak jauhkan diri daripada aku dan Adwa,” balas Lufia dengan perasaan bersalah. Dia sengaja tidak menekankan sangat nama Adwa kerana takut lelaki itu tiba-tiba mengamuk. Dia kenal sangat Izdan. Izdan mengeluh berat.

“So, kita dah tak boleh lepak macam dulu? Maknanya kita tak macam dulu lagi,” kata Izdan tanpa memandang wajah Lufia. Dia seperti bercakap dengan diri sendiri.

“Aku pergi dulu,” sambungnya sebelum melangkah berlalu. Lufia mengeluh perlahan.

Apa aku perlu buat?

*****

Adwa hanya berdiri di sebalik rak sambil memerhati kumpulan Izdan yang sedang melakukan perbincangan tidak jauh dari tempatnya. Wajah tenang Izdan membuatnya lega. Rindunya terlerai saat terpandang senyuman manis lelaki itu.

“Rindu ke?” bisik Lufia di telinganya. Adwa menoleh memandang gadis itu yang tersengih berdiri di sisinya.

“Jom, aku lapar,” balas Adwa tanpa menjawab. Dia melangkah meninggalkan gadis itu.

“Adwa,” panggil satu suara. Langkah Adwa terhenti apabila melihat Razi yang tersenyum di hadapannya.

“Nak pergi lunch?” soal Razi.

“Kenapa?” celah Lufia yang sudah berdiri di sebelah Adwa.

“Jom lah. Saya dan Iz pun dah siap dengan discussion,” ajak Razi dengan senyuman lebar.

“Tak apa. Next time,” balas Adwa sambil berjalan pantas melepasi lelaki itu. Razi memandang Lufia.

Next time,” kata Lufia dengan senyuman hambar. Razi menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Kau tak nak keluar?” soal Izdan yang sedang membetulkan topinya.

“Apa dah jadi?” soal Razi sambil memandang sahabatnya itu.

“Apa?” soal Izdan pura-pura tidak faham akan maksud lelaki itu.

“Kau gaduh…,”

“Aku pergi dulu. Jumpa esok,” pintas Izdan sebelum berlalu. Razi menggelengkan kepalanya.

*****

Mata Izdan tertumpu pada skrin laptop namun fikirannya sudah melayang jauh memikirkan seseorang. Sudah hampir dua minggu dia tidak bertegur sapa dengan Adwa. Walaupun mereka sering terserempak namun gadis itu langsung tidak sudi memandangnya. Apatah lagi mahu tersenyum. Izdan meraup wajahnya.

Kenapa aku rasa hidup aku kosong?

Izdan mengeluh perlahan. Dia memandang fotonya bersama Balqish yang terletak di atas mejanya. Dia mengeluh lagi. Izdan mencapai telefon bimbitnya. Dia mencari nama Balqish. Jarinya pantas menaip sesuatu.

-Buat apa?

Agak lama menunggu akhirnya mesejnya berbalas.

-Baca buku. Awak tak tidur lagi?

-Tak dapat tidur. Awak tidur lah. Dah lewat ni.

-Iz, thank you.

Terangkat kening Izdan memandang mesej gadis itu.

-Sebab apa?

-Sebab dah tunaikan janji awak. Saya tahu susah untuk awak nak lakukan. Tapi sebab sayangkan saya, awak turuti permintaan saya. Thank you. I love you.

Agak lama Izdan memandang mesej gadis itu.

-I love you too. Good night.

Izdan mengeluh berat.

*****

“Iz dah lama tak datang sini. Dia sihat ke?” soal Maria sambil menghidangkan segelas jus oren di hadapan Adwa.

“Sihat nek,” jawab Adwa tanpa memandang Maria. Dia sedang tekun menaip sesuatu di laptopnya.

“Atau Adwa gaduh dengan Iz?” teka Maria masih tidak berpuas hati dengan jawapan gadis itu. Dia kenal sangat dengan Izdan. Kalau dulu memang dia tidak hairan sebab lelaki itu masih berada di kampung. Tapi sekarang kawasan rumah lelaki itu tidak jauh dari kawasan rumah mereka. Namun sudah hampir dua minggu dia tidak melihat kelibat lelaki itu.

“Tak lah nek. Kami pun dah lama tak jumpa sebab masing-masing sibuk,” balas Adwa dengan tenang cuba menyembunyikan perasaan sebenarnya. Maria akhirnya mengangguk perlahan walaupun masih kurang berpuas hati dengan reaksi Adwa. Dia rasa tidak sedap hati.

“Esok jemput lah Iz makan malam dengan kita. Nenek dah lama tak jumpa Iz,” katanya separuh mengarah sebelum berlalu masuk semula ke dalam rumah. Adwa bersandar lemah pada kerusinya.

*****

“Kau gaduh dengan Adwa?” soal Razi dengan kening berkerut memandang rakannya itu. Izdan diam membisu. Dia pura-pura fokus membaca buku di hadapannya.

“Iz, aku tahu kau tu tak pekak,” kata Razi dengan riak wajah yang serius. Izdan mengeluh perlahan.

“Kenapa kau selalu sibuk pasal aku dan Adwa? Kalau aku gaduh dengan dia, kau nak buat apa?” soalnya kini turut membalas pandangan lelaki itu.

“Mesti lah aku nak tahu. Kau dan Adwa tu kawan aku,” balas Razi yang agak kecewa dengan soalan Izdan.

“Aku tak mampu buat apa-apa kalau kau memang gaduh dengan Adwa. Kau kena selesaikan sendiri masalah kau dan dia. Apa yang aku dapat bantu, cuma nasihatkan kau. Tapi aku tak pasti kalau nasihat aku ni masih berkesan atau tak. Kalau dulu kau dengar aku, mungkin masih tak terlambat. Tapi kalau sekarang kau nak dengar aku, aku harap kau tak terlambat lagi. Aku tahu kau faham maksud aku,” sambung Razi sebelum bangun dari kerusinya. Dia melangkah keluar dari kelas meninggalkan Izdan yang hanya mendiamkan diri. Izdan meraup wajahnya perlahan.

*****

Diana menarik lengan Adwa masuk ke dalam kedai bunga.

“Sorry, aku terpaksa culik kau hari ni sebab model aku tak datang. Rania ada hal. Luf pula sibuk dengan perbincangan kumpulannya,” ucap Diana dengan senyuman lebar. Adwa menarik telinga gadis itu. Diana menyeringai kesakitan.

“Ini yang pertama dan terakhir,” katanya dengan nada tegas.

“Baik bos,” jawab Diana sambil tersengih.

“Kau duduk dulu aku nak set up tempat,” sambungnya separuh mengarah. Adwa menurut. Jika bukan dipaksa oleh Diana untuk menjadi modelnya, tidak mahu dia menjejakkan kaki di tempat itu. Adwa memandang sekeliling. Pelbagai jenis bunga hiasan menyapa pandangannya. Dia melepaskan keluhan perlahan. Terimbau kembali kenangan bersama Izdan saat lelaki itu memaksanya masuk ke dalam kedai bunga. Masa itu hatinya turut berbunga. Namun siapa sangka dia yang perasan lebih.

“Buat apa kat sini?” soal Adwa dengan kening berkerut.

“Nak beli bunga lah. Takkan nak beli ikan pula,” jawab Izdan separuh mengusik.

“Aku tahu lah. Kau nak beli bunga untuk siapa? Aku tak suka bunga,” balas Adwa dengan riak wajah yang serius. Izdan sudah tergelak besar.

“Jangan nak perasan. Aku nak beli untuk Qish. Kau tolong pilih untuk aku,” pinta Izdan separuh merayu. Mahu sahaja Adwa berlari keluar dari kedai tersebut namun tangannya yang berada dalam genggaman lelaki itu menghalangnya daripada berbuat demikian. Dia menarik tangannya dengan kasar.

“Tak payah lah nak pegang aku. Aku bukannya nak lari. Kau pilih aje lah mana-mana. Aku bukannya pakar sangat dengan benda alah ni,” balas Adwa tanpa memandang wajah lelaki itu. Izdan memeluk bahu gadis itu.

“Tolong lah aku,” rayunya lagi. Adwa menjeling lelaki itu.

“Adwa! Kau dengar tak?” soal Diana sambil menepuk bahu sahabatnya itu. Lamunan Adwa terhenti. Dia memandang gadis itu.

“Kau okay?” soal Diana agak risau. Adwa mengangguk dengan senyuman hambar.

“Betul ni? Kalau kau tak sihat aku tak paksa,” soal Diana lagi dengan kening berkerut.

“Nak aku balik sekarang?” gurau Adwa. Diana tergelak kecil.

“Jom, aku nak mekap kau. Lepas ni kau pakai baju yang aku dah sediakan,” katanya separuh mengarah. Adwa hanya tersenyum mengangguk. Dia mengikut saja langkah gadis itu.



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.