Home Novel Komedi/Romantik Komedi Beb, I Love You!
Beb, I Love You!
sipencintapena
4/5/2020 08:10:09
18,262
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 2

“Ni semua kau punya pasal. Kalau kau tak lambat bangun tadi, bas tu tak mungkin tinggalkan kita,” marah Adwa dengan riak wajah yang jelas tidak puas hati. Mereka terpaksa berjalan kaki ke sekolah disebabkan ketiadaan bas yang selalu mengambil mereka. Nasib baik jarak sekolah dengan rumah mereka tidak terlalu jauh sangat.

“Sorry,” ucap Izdan tanpa memandang gadis itu. Adwa hanya menjeling lelaki yang sedang berjalan di depannya itu.

“Kau bergayut dengan Balqish kan? Sebab tu kau lewat tidur. Betul tak?” soalnya masih tidak berpuas hati. Izdan berhenti melangkah. Dia mengeluh perlahan sebelum berpaling memandang gadis itu.

“Nak kena tinggal?” soalnya separuh mengugut. Berkerut kening Adwa memandang lelaki itu.

“Kau ingat aku takut ke?” balasnya geram. Namun jauh di sudut hatinya mula timbul perasaan takut.

Macam mana kalau mamat ni betul-betul tinggalkan aku tengah jalan ni?

Adwa memandang sekeliling yang sunyi sepi tanpa kereta. Walaupun jalan kampung sudah bertar, namun tetap sunyi dengan kenderaan. Maklumlah kampung mereka bukannya besar sangat. Izdan tersenyum sinis melihat tingkah laku gadis itu.

“Okay,” balasnya sebelum berpaling dan terus memecut laju meninggalkan Adwa. Tergamam Adwa melihat kelibat Izdan yang semakin jauh.

“Kurang ajar punya budak! Siap kau lepas ni!” jerit Adwa sebelum menyusul langkah Izdan.

Geramnya aku!

*****

Lufia mencuit bahu Adwa yang sedang termenung memandang ke luar tingkap. Adwa berpaling memandang gadis itu. Lufia menunjuk ke arah pintu masuk kelas. Adwa hanya menurut. Dia mendengus perlahan melihat Izdan yang sedang tersengih berdiri memandangnya. Beberapa orang pelajar perempuan mula tidak keruan apabila Izdan melangkah masuk ke dalam kelas.

Yelah, budak popular lah katakan. Nak muntah aku!

Bisik hati kecil Adwa yang masih geram dengan peristiwa pagi tadi. Pandangannya tajam mengikuti setiap langkah Izdan yang sedang berjalan menghampirinya. Lufia berdiri memberi ruang kepada lelaki itu. Izdan menarik kerusi yang berada di sisi Adwa.

“Kau apahal tersengih macam beruk?” soal Adwa dengan jelingan tajam. Izdan tergelak kecil.

“Sorry, pasal pagi tadi,” ucapnya setelah tawanya reda. Adwa tersenyum sinis.

“Kalau apa-apa jadi dengan aku tadi. Siap kau kena dengan nenek. Bak sini tangan tu,” balasnya separuh mengarah.

“Tangan? Tangan aku?” soal Izdan agak keliru dengan arahan gadis itu.

“Kau pekak?” soal Adwa geram. Izdan menghulurkan tangannya. Adwa menyambut huluran tangan lelaki itu. Sepantas kilat mulutnya singgah di jari telunjuk Izdan.

“Adwa!!!” jerit Izdan agak kuat sebelum menarik tangannya dengan pantas. Kelihatan jelas bekas gigitan di jari telunjuknya. Lufia terkedu melihat tindakan gadis itu. Kelas menjadi sepi seketika. Semua mata tertumpu kepada pasangan itu.

“Padan muka!” kata Adwa selamba sebelum berlalu meninggalkan Izdan yang masih menyeringai kesakitan.

*****

“Kau dah gila?” soal Lufia masih kurang perccaya dengan tindakan gadis itu sebentar tadi.

“Aku masih waras lah,” jawab Adwa yang selamba mengunyah kuih karipap yang baru dibelinya.

“Merah tu jari Iz,” komen Lufia yang masih teringat dengan jelas jari telunjuk Izdan bertukar merah kerana gigitan gadis itu.

“Ada aku kisah? Kau tau tak dia dah buat apa kat aku tadi? Dia tinggalkan aku Luf kat tepi jalan. Kau tak rasa macam nak hempuk mamat tu?” soal Adwa yang masih tidak berpuas hati. Lufia menggeleng perlahan. Dia sudah masak dengan perangai dua orang sahabatnya itu. Gaduh sekejap lepas itu berbaik.

Baik aku diam aje. Nanti kalau aku ikut marahkan Iz pun tak guna. Adwa ni sekejap aje marahkan Iz. Tengok lah petang nanti okay lah tu.

Bisik hati kecil Lufia. Dia turut mencapai karipap di depannya tanpa menjawab soalan Adwa.

*****

Berkerut kening Razi memandang jari telunjuk rakannya itu yang kelihatan merah.

“Kenapa jari tu?” soalnya ingin tahu. Izdan membelek jemarinya sambil tersenyum.

“Kerja siapa lagi,” balasnya.

“Adwa?” soal Razi separuh meneka. Izdan hanya tersenyum sebelum mencapai bukunya yang berada di atas meja. Razi menggeleng perlahan.

“Tak sakit ke tu. Nampak merah sangat,” soalnya.

“Memang lah sakit. Salah aku tinggalkan dia kat tepi jalan tadi,” balas Izdan sambil tergelak kecil apabila mengingat semula wajah geram Adwa.

“Kau ada apa-apa ke dengan si Adwa tu?” soal Razi lagi. Terangkat kening Izdan memandang lelaki itu.

“Yelah. Kau dan dia tak pernah berenggang. Si Adwa tu pula terlalu manja dengan kau. Aku tengok kau pula memang suka manjakan dia. Korang ni bercinta ek?” teka Razi dengan mata bulatnya memandang Izdan.

“Mana ada. Kami kawan aje lah,” balas Izdan dengan nada mendatar.

“Kawan?” soal Razi sambil tergelak kecil. Izdan hanya memandang rakannya itu tanpa menjawab.

“Betul ni?” soal Razi lagi inginkan kepastian. Izdan masih diam tidak menjawab.

“Kau ingat tak tahun lepas. Masa tu kita ada rombongan masuk hutan. Kau lemas dekat air terjun. Lepas tu Adwa yang bantu kau buat cpr. Ingat tak?” soal Razi lagi. Izdan berdehem perlahan.

“Mesti lah aku ingat. Adwa dah selamatkan nyawa aku. Kalau tak mungkin aku tak ada kat depan kau sekarang ni,” balas Izdan dengan nada agak kuat. Rimas dia dengan soalan rakannya itu. Razi tergelak besar.

“Kau tak rasa apa-apa?” soalnya masih dengan sisa gelaknya. Izdan menggeleng perlahan memandang telatah rakannya itu. Dia tahu yang lelaki itu sengaja mahu mengenakannya.

“Kau nak aku bagi sebiji,” soalnya agak geram.

“Jangan lah marah. Aku tanya aje kot. Mustahil kau tak rasa apa-apa. Yelah, Adwa tu dah lah lawa, manja, pandai pula tu. Mustahil kau tak terjatuh hati dengan dia,” kata Razi separuh mengusik.

“Adwa tu kawan aku. Kau jangan nak fikir bukan-bukan pula. Dah lah malas aku nak layan kau,” kata Izdan sambil bangun dari kerusinya lantas berlalu keluar dari kelas. Razi hanya tersenyum melihat telatah rakannya itu.

*****

“Sakit ke?” soal Adwa sambil menyentuh jemari lelaki itu. Dia meniup perlahan jari telunjuk lelaki itu yang masih lagi kelihatan merah.

Kali ni kuat sangat agaknya aku gigit.

Bisik hati kecil Adwa dengan perasaan bersalah. Izdan menarik lembut tangannya.

“Tak lah. Sedap,” balasnya separuh mengusik. Berkerut kening Adwa memandang lelaki itu.

“Ni aku nak tanya. Balqish datang sekolah ke hari ni?” soal Izdan dengan senyuman lebar.

“Tak. Aku dengar dia tak sihat,” balas Adwa sambil bersandar pada kerusinya. Dia mendongak memandang langit malam.

“Tak sihat? Dah pergi hospital ke?” soal Izdan yang jelas risau. Adwa menoleh memandang lelaki itu semula.

“Kau ingat aku ni bodyguard dia? Pergi lah tanya sendiri,” balasnya geram. Izdan tergelak kecil.

“Aku tanya aje kot. Tu pun nak marah,” katanya dengan senyuman. Adwa mendengus perlahan.

“Kau boleh balik tak. Asyik nak melepak kat rumah aku,” halaunya.

“Jahatnya minah ni. Nanti aku tak datang pandai pula nak cari,” balas Izdan sambil bangun dari kerusinya. Adwa hanya tergelak kecil mendengar kata-kata lelaki itu.

“Aku balik dulu. Tingkap bilik tu jangan lupa tutup pula. Kau tu suka sangat buka tingkap waktu malam. Nanti kalau ada hantu masuk padan muka tu,” sambung Izdan sebelum berlalu perlahan.

“Aku tahu lah. Tak bosan ke asyik pesan benda yang sama. Setiap malam pula tu,” rungut Adwa. Izdan yang sempat mendengar rungutan gadis itu hanya tersenyum.



Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.