Home Novel Komedi/Romantik Komedi Beb, I Love You!
Bab 6


“Mama tak nak balik kampung?” tanya Adwa sambil merebahkan tubuhnya ke atas sofa.

“Mama sibuk sangat. Adwa jenguk lah mama kat sini. Dah lama Adwa tak datang sini,” balas Tania.

“Adwa bukannya tak nak pergi sana. Adwa takut aje tak nak balik sini lagi,” kata Adwa separuh bergurau. Tania tergelak kecil.

“Memang mama rancang nak Adwa pindah ke sini. Kalau boleh sebelum tahun depan Adwa dah pindah. Tapi mama kena tengok dulu mana sekolah yang sesuai untuk Adwa. Bulan depan mama memang akan sangat sibuk sebab galeri lukisan mama dah ada cawangan baru. Mama mungkin tak akan sempat balik kampung. So, mama harap Adwa boleh beri kerjasama. Pindah kat sini supaya senang mama nak tengok,” balas Tania separuh mengarah. Adwa terdiam sejenak mendengar kata-kata wanita itu.

“Siapa nak jaga nenek kat sini kalau Adwa pindah sana nanti?” soalnya dengan nada perlahan. Tania tergelak kecil.

“Kita ajak nenek sekali. Mama dah beritahu nenek. Nenek tak ada masalah. Cuma Adwa tu macam berat hati aje nak pindah. Kenapa? Ada apa-apa yang mama tak tahu ke?” soalnya separuh mengusik.

“Mana ada. Kalau nenek dah setuju, Adwa pun okay aje. Cuma beri Adwa masa sebulan lagi. Please mama,” jawab Adwa separuh merayu.

“Boleh aje. Tapi jangan lama sangat fikir tu. Bila mama dah jumpa sekolah yang sesuai, mama akan balik sekejap tolong Adwa selesaikan urusan kat sana,” balas Tania.

“Baik mama,” jawab Adwa perlahan.

Okay sayang, mama nak keluar ni. Jumpa nanti. Jaga diri tu. Love you,” ucap Tania sebelum memutuskan talian.

Love you too,” jawab Adwa. Dia melepaskan keluhan berat.

                                  *****

“Asyik termenung aje dari tadi. Kau pandang apa tu?” soal Lufia sambil memandang ke arah yang dipandang oleh gadis itu. Kelihatan dari jauh Izdan dan Balqish yang sedang leka berbual. Lufia menggeleng.

“Aku nak sambung semula. Kau cemburu tak bila tengok Iz dan Qish mesra macam tu?” soalnya dengan kening terangkat.

“Tak. Memang aku nak tengok Iz happy macam tu. Kasihan mamat tu. Qish tu cinta pertamanya,” balas Adwa tenang.

“Kau yakin ke?” soal Lufia masih tidak berpuas hati.

“Kau ni sejak hari tu lagi asyik nak tanya aku soalan yang pelik. Aku dan Iz dah lama berkawan. Kau jangan fikir yang bukan-bukan Luf,” balas Adwa dengan nada tegas. Lufia tergelak kecil.

“Orang lain kau boleh tipu Adwa. Kau nak tipu aku? Aku pun dah lama kenal kau,” kata Lufia dengan senyuman sinis.

Sorry aku lupa,” balas Adwa tanpa memandang wajah gadis itu. Lufia menepuk kuat bahu Adwa.

“Sakit lah!” kata Adwa sambil mengusap bahunya. Lufia tergelak lagi sambil bangun dari kerusi.

“Kau akan menyesal Adwa. Menyesal!” katanya separuh menjerit sebelum menjelir lidah ke arah Adwa. Dia berjaya melarikan diri sebelum sempat Adwa melayangkan tangannya. Berkerut kening Adwa memandang sahabatnya itu.

Minah ni memang nak kena!

“Kenapa dengan Luf?” soal Izdan yang sudah berada di sisinya. Adwa agak terkejut dengan kehadiran lelaki itu.

“Tak tahu,” balasnya kasar. Adwa agak geram apabila melihat Balqish turut berdiri di samping Izdan. Dia mencapai beg sandang lantas berlalu tanpa sepatah kata. Berkerut kening Izdan memandang telatah gadis itu.

                                   *****

“Aku tengok kau dan Balqish bukan main rapat lagi. Dah jadi ke?” soal Razi separuh mengusik. Izdan hanya tersenyum membalas pandangan rakannya itu.

“Adwa pula macam mana? Tak jadi?” soal Razi lagi.

“Maksud kau?” soal Izdan dengan kening berkerut.

“Kau dan dia bukan…,” balas Razi sengaja tidak menghabiskan ayatnya. Izdan menggeleng.

“Aku dan dia cuma kawan. Kau jangan fikir yang bukan-bukan,” jawab Izdan yang mula faham dengan maksud lelaki itu.

So, aku boleh lah cuba nasib lepas ni. Okay tak?” soal Razi dengan senyuman lebar.

“Okay aje. Tapi aku risau kau belum sempat masuk jarum, Adwa dah tendang kau. Kau bukan tak kenal Adwa. Comel macam tu tapi hati keras macam batu,” balas Izdan dengan senyuman. Razi tergelak kecil.

“Kau tahu tak ciri-ciri lelaki idaman Adwa? Kau dan dia kan rapat. Mana lah tahu kot dia tak sengaja beritahu kau,” tanyanya ingin tahu. Izdan terdiam sejenak mendengar soalan lelaki itu.

“Kalau nak ikut ciri-ciri lelaki idamannya, kau memang tak lulus. Dia tu nak yang putih melepak macam kapas,” jawab Izdan separuh bergurau.

“Kau ni sengaja nak kenakan aku. Cakap aje kau yang tak setuju,” balas Razi ikut bergurau. Izdan hanya tergelak. Razi menggeleng melihat telatah sahabatnya itu.

                                    *****

Maria menghampiri Adwa yang sedang leka menghadap bukunya.

“Mama kamu ada call tadi. Dia tanya Adwa dah sedia ke nak pindah? Sebab mama beritahu nenek yang dia dah jumpa sekolah yang sesuai untuk Adwa,” beritahunya. Adwa membuka cermin matanya sambil memadang wajah yang sudah dimamah usia itu.

“Nenek sanggup ke nak tinggalkan kampung? Sanggup nak ikut Adwa tinggal sana?” soal Adwa tanpa menjawab pertanyaan Maria.

“Nenek tak ada masalah. Hujung bulan nenek boleh balik lawat rumah dan kebun. Memang awalnya nenek tak nak ikut. Tapi nenek kasihan nanti Adwa seorang kat rumah besar tu. Mama Adwa tu bukannya selalu ada kat rumah. Kalau pun ada kat rumah, Nia memang akan terperap dalam bilik sibuk siapkan lukisannya,” balas Maria dengan senyuman. Adwa mengeluh.

“Adwa bukannya tak nak pindah. Adwa dah suka sekolah yang sekarang ni,” katanya dengan nada perlahan.

“Nenek faham. Tapi sekolah kat mana pun sama aje. Belajar benda yang sama. Betul tak?” balas Maria separuh menyoal. Adwa mengangguk lambat.

So?” soal Maria dengan kening terangkat.

“Bulan depan,” jawab Adwa perlahan. Maria tergelak kecil melihat reaksi gadis itu.

“Jangan risau. Kalau dah jodoh, jauh mana pun Adwa pergi pasti akan bertemu semula,” katanya separuh memujuk. Berkerut kening Adwa memandang wajah Maria.

“Nenek nak pergi kedai kejap,” kata Maria sebelum bangun dari sofa. Adwa tidak jadi membuka mulutnya untuk bertanyakan maksud kata-kata Maria sebentar tadi. Dia hanya mengangguk.

                                  *****

Berkerut kening Adwa memandang lelaki itu.

“Boleh tak simpan kamera tu? Aku tahu lah tu kamera baru,” tegurnya apabila Izdan sedari tadi asyik mengambil gambarnya dengan menggunakan kamera barunya. Izdan tergelak kecil.

“Aku nak buat album gambar kau ni. Kau orang pertama yang aku ambil gambar dengan kamera ni tau,” balasnya sambil membelek kameranya. Adwa tersenyum sinis.

“Aku nak beritahu kau. Bulan depan aku nak pindah,” beritahunya. Izdan membalas pandangan gadis itu.

“Pindah? Maksud kau?” soalnya agak berdebar menunggu jawapan gadis itu.

My mom nak aku balik KL. Aku akan stay kat sana dengan mama. Nenek pun akan ikut sama,” beritahu Adwa dengan tenang. Izdan terkedu.

“Maksudnya…,”

“Kau ni memang lembab. Maksudnya aku akan tinggalkan kampung ni. Kau jaga diri Iz. Tolong jaga Lufia juga. Aku tak nak beritahu dia. Biar dia tahu lepas aku dah pindah,” pintas Adwa dengan senyuman hambar. Mungkin ada hikmah juga dia akan berpindah. Adwa tidak tahu sampai bila dia boleh bertahan jika asyik melihat Izdan dan Balqish.

“Kalau aku tak nak kau pindah?” soal Izdan dengan riak wajah yang serius.

“Aku dah buat keputusan. Keputusan tu muktamad Iz. Kau jangan lah sedih sangat. KL tu bukannya jauh. Ada masa nanti kau dan Luf datang jenguk aku,” balas Adwa sambil mengelak daripada bertentang mata dengan lelaki itu.

“Aku tak terfikir yang kau akan tinggalkan aku secepat ni,” kata Izdan dengan nada perlahan. Adwa terdiam mendengar kata-kata lelaki itu. Izdan mengangkat kameranya semula. Wajah Adwa menjadi sasaran. Jarinya laju menekan punat. Adwa hanya menggeleng. Izdan melihat semula foto yang ditangkapnya. Berpuluh gambar Adwa dengan reaksi yang sama.

“Aku akan rindukan kau,” katanya dengan perasaan sebak. Adwa hanya tersenyum tanpa membalas. Dia juga ingin mengatakan hal yang sama namun bibirnya berat untuk menuturkannya.

                                 *****

“Aku tengok kau sejak akhir-akhir ni macam tak happy aje. Ada masalah? Kau gaduh dengan Qish?” soal Razi sambil memakai kasut sukannya. Izdan yang juga sedang memakai kasutnya hanya memandang sekilas ke arah lelaki itu.

“Atau kau gaduh dengan Adwa?” teka Razi lagi. Izdan mengeluh perlahan.

“Adwa nak pindah sekolah,” beritahunya tanpa memandang Razi.

“Bila? Kenapa tiba-tiba?’ soal Razi yang turut terkejut.

“Bulan depan. Dia nak tinggal dengan mamanya,” jawab Izdan. Razi mengangguk faham. Rupanya itu yang membuat sahabatnya itu tidak bermaya sejak akhir-akhir ini.

“Kau pula macam mana?” soalnya sambil memandang tepat wajah lelaki itu.

“Aku okay. Cuma sedih. Aku dan dia dah lama berkawan. Kami tak pernah berpisah sebelum ni,” balas Izdan perlahan.

“Maksud aku, perasaan kau. Kau tak nak beritahu dia? Aku tahu Iz. Kau sayangkan Adwa lebih daripada seorang kawan. Cuma kau aje yang tak sedar. Mungkin kau sedar tapi kau nafikan perasaan tu sebab Adwa tu kawan kau. Betul tak?” soal Razi separuh meneka. Izdan terdiam mendengar soalan sahabatnya itu.

“Kami cuma kawan,” balasnya tanpa memandang wajah Razi.

“Tengok, kau ni degil. Suka hati kau lah. Nanti kalau Adwa dah duduk jauh dia akan jumpa ramai orang. Masa tu kau dah tak ada peluang lagi. Aku gerak dulu,” kata Razi separuh menasihati sebelum bangun dari kerusi lantas berlari anak ke arah padang. Izdan hanya memandang kelibat sahabatnya itu yang semakin jauh. Dia melepaskan keluhan berat.

                                 *****

Adwa berpaling memandang Lufia yang sudah terlena di sebelahnya. Dia menggeleng perlahan.

Minah ni dalam library pun boleh terlelap.

Adwa memandang Izdan yang duduk berdepan dengannya. Lelaki itu dilihatnya leka membaca buku. Adwa meletakkan dagu pada tangannya lalu mula meneliti wajah lelaki itu. Perasan diri diperhati, Izdan membalas pandangan gadis itu. Adwa masih tenang merenung wajah Izdan tanpa berkata apa-apa. Izdan pula mula bersandar pada kerusinya sambil berpeluk tubuh. Kedua-duanya saling berpandangan tanpa sepatah kata.

“Kau tak marah aku kan?” soal Adwa dengan senyuman.

“Kau satu-satunya orang yang aku tak boleh marah,” balas Izdan dengan tenang. Adwa tersenyum lebar. Hatinya berbunga sekejap saat mendengar kata-kata lelaki itu.

“Lepas ni aku tak dapat buli kau lagi,” katanya separuh bergurau.

“Kau nak pergi mana?” soal Lufia. Dia memisat matanya sambil memandang Adwa. Adwa terdiam sejenak. Dia memandang Izdan. Lelaki itu hanya menggeleng.

“Kau tak tidur?” soal Adwa sambil berdehem perlahan.

“Macam mana aku nak tidur. Korang berdua bising,” balas Lufia sambil mencapai botol mineral yang berada di depannya.

“Kau jangan suka sangat tidur kat sini. Nanti lepas ni tak ada siapa nak kejut kau lagi,” balas Adwa tanpa sedar.

“Kenapa? Wait, kau nak pergi mana?” soal Lufia dengan kening berkerut.

“Aku tak pergi mana pun. Kau tu mimpi kot. Tadi aku kata kat Iz, bila sampai rumah nanti aku nak dia tolong jolok buah mangga untuk aku. Betul tak Iz?” jawab Adwa sambil memandang Izdan dengan senyuman manis. Dia berharap lelaki itu faham akan maksudnya. Izdan hanya mengangguk perlahan. Dia menyambung semula bacaannya. Terangkat kening Lufia memandang telatah lelaki itu.

“Qish pergi mana?” soal Lufia setelah suasana sepi seketika.

“Aku rasa dia ada meeting dengan persatuan,” jawab Adwa tanpa memandang wajah rakannya itu.

“Iz, ni aku nak tanya. Apa pendapat kau dengan Adwa?” soal Lufia dengan senyuman. Izdan membalas pandangan gadis itu. Terangkat kening Adwa mendengar soalan Lufia.

“Maksud?” soal Izdan agak keliru.

“Maksud aku, pandangan kau sebagai seorang lelaki. Apa pendapat kau bila pandang si Adwa ni?” soal Lufia lagi.

“Kau ni tak sedar lagi ni. Nak aku tolong kejut?” soal Adwa yang mula tidak senang duduk. Lufia tergelak besar.

“Diam lah! Kau nak kena halau?” soal Adwa sambil menutup mulut gadis itu.

Sorry aku lupa,” balas Lufia sambil memandang sekeliling. Nasib baik tidak ramai yang ada di perpustakaan petang itu.

“Kenapa tiba-tiba tanya soalan macam tu?” soal Izdan dengan riak wajah yang serius.

“Ada orang berminat nak kenal Adwa. Aku cuma nak tahu apa pandangan lelaki tu bila tengok Adwa. Kau yang setiap hari ada dengan minah ni tak sangkut pun dengan dia. Aku hairan lah kenapa tiba-tiba ada pula budak dari sekolah lain yang berkenan dengan minah ni,” balas Lufia selamba tanpa mempedulikan wajah Adwa yang sudah mula bertukar merah. Bila-bila sahaja perang dunia ketiga boleh meletus.

“Siapa lelaki tu?” soal Izdan semakin serius.

“Budak…,”
”Aku nak balik,” pintas Adwa sambil tangannya lincah mengemas buku dan pensel. Beg sandang dicapai lantas berlalu tanpa sepatah kata. Lufia memandang Izdan.

“Aku pun nak balik. Jumpa lagi,” katanya sebelum bangun menurut langkah Adwa. Izdan menarik nafas dalam cuba menenangkan dirinya.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.