Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU JATUH CINTA
AKU JATUH CINTA
anna nabila
7/7/2014 23:38:05
128,596
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 24

Bab 24


     Lima minit sebelum kelas berakhir, Aina telah berjaya menghabiskan sukatan pelajaran untuk hari itu. Apabila disoal, mereka lebih cergas menjawab berbanding hari biasa. Sekurang-kurangnya ada respons yang diberikan, walaupun 90% jawapan yang diberikan salah, manakala 10% lagi keluar topik terus. Tak mengapa, sekurang-kurangnya dah ada usaha nak menjawab. Aina tidak menyangka akhirnya taktiknya berjaya juga mencuri perhatian pelajar kelas 6 Delta.

‘Nampak gayanya, teruklah aku kena buat kek hari-hari lepas ni,’ Aina mengeluh sendiri, namun dalam masa yang sama dia juga berasa gembira dan bangga kerana dapat mendekati mereka. Sekiranya hanya itu pengorbanan yang diperlukan, dia dengan rela hati akan melakukannya.

‘Tak sangka kek aku ada kuasa untuk memujuk orang,’ hatinya berbicara lagi.

Lantas ingatan Aina hinggap kepada Haqym. Ketara benar Haqym terasa hati dengan kata-katanya yang kasar tadi. Mujur ada sebuah lagi bekas kecil berisi kek yang sengaja ditinggalkan di dalam laci mejanya. Sebenarnya, kek itu dijadikan bekalan kalau-kalau gastriknya menyerang pula. Namun, mengingatkan rajuk Haqym menjadikan dia serba salah.

Aina merangka-rangka dalam kepala untuk memberikan kek itu kepada Haqym sebagai permintaan maaf atas ketelanjuran kata-katanya. Memang dia yang salah tadi, emosi tak tentu pasal. Sumpah Aina tidak terniat untuk menyakiti hati Haqym, satu-satunya sahabat yang Aina miliki di SM Harapan ini. Sahabat baru yang menyambut kehadirannya dengan mesra dan tidak pernah gagal membuat dia ketawa.

Loceng berbunyi menggesa Aina segera keluar dari kelas. Sebaik sahaja Aina melangkah bendul pintu, Danial bertindak pantas menerpa ke arah Suzana. Dengan selamba dia merampas bekas itu dari Suzana yang hanya mampu tergamam melihatnya. Nak pasang jurus silat dah tak sempat.

Danial melangkah keluar bersama bekas itu menuju ke bawah pohon semarak api di tepi padang. Sememangnya Danial selalu melepak di situ ketika waktu rehat. Nak kata dia lone ranger pun dia tak kisah. Memang dia lebih suka bersendiri. Tak sudi nak bersesak-sesak di kantin bersama-sama dengan budak-budak tak cukup umur yang lain, dia orang selalu buat perangai tak senonoh yang memalukan, contohnya Mazlan yang pelahap tu.

Suzana sempat memaki Danial sebelum bayang-bayangnya menghilang. “Lanun!!! Aku sumpah kau jadi cendawan!”

Kepala Danial menjengah kembali di muka pintu. “Bahagian akulah, aku mana makan lagi.”

“Melampau, bolot semua!” Suzana membidas semula.

Cam turut mencelah. “Tadi jual mahal, sekarang dengan bekas sekali kau kebas!”

Danial tersengih dan meneruskan niatnya tanpa mempedulikan kutukan mereka. Boleh saja kalau dia nak tunjuk taring, tentu mencicit lari dua ekor makhluk kecil yang berani sangat mengata dia tadi. Itu berani hanya dari jarak 200 meter. Kalau ada di sebelah, diam macam tikus mondok basah dek hujan.

Tapi hari ini Danial tiada mood hendak marah-marah. Yang ada di kepalanya hanya mahu segera menikmati kek yang dibuat oleh Aina. Sengaja dia tidak menunjukkan minat mahu berebut di dalam kelas tadi. Dia tidak mahu Aina menyaksikan betapa terujanya dia. Mana boleh bagi Aina berasa menang kerana berjaya menundukkannya, seperti hampir keseluruhan ahli kelas lain yang nampaknya seperti sudah berlembut hati dengan Aina.

Bukan semudah itu untuk menjinakkan Danial. Danial tidak akan mudah mengalah dengan Aina, tapi demi kek ini, mengalah senyap-senyap tak apa kot, bukannya Aina tahu pun. Rezeki jangan ditolak, rugi besar kalau melepas!

SEMENTARA itu, Haqym sedang tekun memeriksa buku latihan pelajarnya ketika Aina tiba di bilik guru. Aina teragak-agak untuk menyapa memandangkan Haqym seperti tidak mengendahkan kehadirannya.

Selalunya kalau Haqym ternampak saja kelibatnya, dari jauh sepuluh batu lagi Haqym dah menjerit sakan menegur Aina. Pasti Haqym masih berkecil hati dengannya. Aina harus beralah kali ini. Dengan sukarelanya Aina menyapa Haqym terlebih dahulu.

“Hai!”

“Hai.” Haqym menjawab sepatah tanpa mengangkat kepalanya.

Begitu saja jawapannya? Memang sah Haqym masih marahkan dia. Itupun dah cukup bagus Haqym sudi menjawab.

Aina yang mula rasa terkilan cuba memujuk hatinya dengan berpura-pura membuka laci mencari sesuatu. Kala itu matanya menangkap bekas berisi kek yang terletak di dalam laci. Aina tersenyum. Inilah modalnya untuk memujuk Haqym. Biarpun bekal makan tengah harinya terpaksa dikorbankan. Aina menulis di atas kertas memo merah jambu. 


I am sorry for every bad things I said... :(

Janganlah merajuk lama-lama, buruk juga rupanya ya bila orang lelaki merajuk?


Aina menolak bekas itu ke meja Haqym sebelum berlalu keluar dari bilik itu. Dia tidak berani menunggu reaksi Haqym. Aina tak sanggup menerima sebarang penolakan yang hanya akan menambahkan saja pedih di hatinya.

Haqym agak terkejut pada mulanya melihat bekas yang disua tiba-tiba ke hadapannya. Nota merah jambu itu Haqym baca, dan akhirnya dia tersenyum senang. Haqym tidak menduga Aina akan bersungguh-sungguh memujuknya. Seronok pula ada yang sanggup memujuk. Nanti bolehlah merajuk kerap lagi. Haqym sebenarnya tidaklah terlalu marahkan Aina, hanya terasa hati sedikit. Sengaja dia mengacah Aina dengan berpura-pura terkilan, saja nak melihat reaksi Aina.

Haqym membuka bekas itu dan merasa kek lapis sedikit. Wah, sedap! Haqym tersengih girang. Berdesup-desup kek lapis itu disumbat ke dalam mulut. Sekejap saja sudah hampir licin semuanya. Inilah masalah Haqym, kalau soal makanan saja, memang cepat lupa diri.

Ketika Aina kembali ke tempat duduk, Haqym pura-pura tidak mengendahkannya. Mata Aina menangkap notanya tadi kini melekat di atas mejanya. Dia hampa seketika, pasti Haqym memulangkan ia kerana tidak sudimenerima permintaan maafnya. Tapi bekas keknya tidak pula dikembalikan! Dalam merajuk pun sempat lagi nak bersikap tamak. Aina hanya menjeling hampa akan memo itu. Seketika kemudian barulah Aina menyedari ada tambahan di atas kertas tersebut.


Acah aje, tahu pun takut. Padan muka awak. Hehe.

I am sorry too, selalu buatkan awak terkejut walaupun dah tahu awak tak suka, janji tak buat dah! :)


Aina tergelak. Haqym mengangkat muka dan tersenyum kembali kepada Aina.

“Pandai berlakon!” Suara Aina kedengaran lebih ceria.

“Mestilah, kalau tak, mana dapat kek ni,” kata Haqym sambil menyuap tiga ketul kek sekali gus ke mulut.

“Tamak haloba!”

Ketawa Aina pecah. Cikgu Hasnah yang baru sahaja duduk di kerusi bersebelahan Haqym pantas menumpukan perhatian pada mereka. Beberapa orang guru lain turut singgah sebentar.

“Amboi, Cikgu Aina bawa kek untuk Cikgu Haqym ke? Dekat kami tak bagi pun,” suara Cikgu Hasnah kedengaran seperti menyindir.

Well, well... There is definitely something fishy here.” Cikgu Maimon, guru Bahasa Inggeris itu pula menambah.

Usikan itu disambung pula oleh Cikgu Rozaida, “Biasalah, orang muda, tak lama lagi makan nasi minyaklah kita.”

Aina yang mula berasa tidak senang dengan gosip itu segera menyangkal. “Eh, mana ada. Kami kawan aje, mana ada apa-apa pun.”

Cikgu Hasnah memerli kembali.“Yalah tu, apa orang kata, teman tapi mesra?”

Haqym yang pada awalnya tersengih seronok dengan usikan-usikan itu menjadi serba salah apabila menyedari reaksi Aina yang kelihatan kurang senang. Mahu tidak mahu, Haqym terpaksa menawarkan kek di tangannya kepada guru-guru yang singgah di meja mereka untuk menutup mulut para kaki gosip itu.

“Ala, kecil hati pulak puan-puan semua. Memang Aina bawakan untuk kita pun.”

Aina mengangguk bersetuju, nasib baik Haqym cepat terfikirkan idea itu. Aina menambah, “Haah, tapi sikit aje, kelas saya dah pulun yang lain.”

“Baik sangat cikgu dengan anak murid.” Cikgu Rozaida bersuara, kemudian disampuk oleh Cikgu Hasnah.

“Budak-budak tu bukan boleh dimanjakan sangat, kena bertegas sikit dengan dia orang.Makin baik kita melayan, makin pijak kepalalah nanti.”

“Saya tak setuju.Saya rasa bila kita skema sangat, puak-puak yang nakal tu lagilah melawan. Semakin susahlah kita nak menyampaikan ilmu. Tapi kalau kita gunakan pendekatan secara baik, mereka akan dapat menerima kita sebagai salah seorang dari kalangan mereka. Dia orang takkan tergamak nak pulaukan kita semasa kita mengajar atau kecewakan kita dengan pencapaian yang kurang elok. Itu teori sayalah, lain orang lain caranya, kan?”

Cikgu Hasnah mencebik mendengarkan jawapan Aina. Baginya Aina adalah guru muda yang baru sahaja setahun jagung, apalah sangat yang Aina tahu. Boleh dihitung baru berapa hari saja Aina mengajar, sudah tunjuk pandai mahu berhujah dengan teorinya.

“Ikut pandai Cikgu Aina lah. Tapi ikutkan pengalaman kami, memang kena gunakan cara tegas terhadap pelajar. Kalau ikutkan pengalaman kamilah.”

Sengaja perkataan ‘pengalaman’ itu ditekankannya. Mahu mengingatkan tahap pengalaman Aina yang jauh ketinggalan berbanding mereka mungkin. Cikgu Maimon turut mengangguk sebelum beredar bersama Cikgu Hasnah.Ke kantin mungkin. Dua orang rakan karib ni memang, kalau tak bergosip, makan. Itu sajalah aktiviti mereka. Betapa tak produktif!

Haqym menggeleng. Matanya memandang tepat ke wajah Aina.

“Patutnya awak iyakan aje cakap Cikgu Hasnah tu.Nanti dia anti dengan awak pulak sebab awak bantah cakap dia.Dia tu memang pantang mengaku kalah, walaupun dah terang-terangan dia yang silap. Syok sendirilah katakan.”

“Saya ada pendapat sendiri, takkanlah nak terima semua yang Cikgu Hasnah cakap kalau saya tak setuju dengan dia? Itu hipokrit namanya, dan saya tak mahu jadi orang yang hipokrit,” tukas Aina.

“Saya faham. Secara peribadinya saya sangat-sangat bersetuju dengan awak. Tapi awak tak kenal lagi Cikgu Hasnah tu, nanti susah awak dibuatnya. Dia tu sama taraf dengan mami jarum. Apa pun, yang sudah tu sudahlah. Cuma kalau awak nak dengar nasihat saya, lain kali bagi aje dia menang.”

Aina mendengus. Tidak puas hati.

Nampaknya awal-awal lagi perang dah diisytiharkan. Ah, pedulikanlah Cikgu Hasnah tu. Dia cakap apa yang dia fikirkan betul. Lagipun, sekarang Aina sudah ada kawan baik yang setia jadi penyokong. Silap-silap Haqym akan tubuhkan fans club untuk Aina. Haqym memang penyokong yang boleh diharap. Percuma pula tu, tak payah bayar. Kena rajin belanja makan sajalah kot. Itu saja yang Haqym kisahkan. Makan, makan, dan makan.

Aina mengulas senyuman manis untuk Haqym. Kalau ikutkan hati yang girang kerana sudah berdamai semula dengan rakannya itu, mata pun Aina hendak kelip-kelipkan macam tweety bird. Haqym sekadar menjongketkan bahu lalu meneruskan semula kerjanya yang terbengkalai tadi.

Nak senyum-senyum pulak awek ni, tahulah senyuman awak tu manis. Nanti jatuh cinta balik macam mana. Kalau nak kira betul-betul, belum habis merajuk lagi ni sebenarnya.Err, agak-agak dapat kek lagi tak?


Bersambung...

*Novel AKU JATUH CINTA terbitan ALAF 21 akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:

FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90

Terima kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.