Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU JATUH CINTA
AKU JATUH CINTA
anna nabila
7/7/2014 23:38:05
128,556
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 12

Bab 12


Hari Selasa, masa pertama dan kedua, Ekonomi, Kelas 6 Delta. Aina mengamati jadual mengajarnya yang baru berulang kali. Manalah tahu kalau ada berubah. Betapa sadisnya jika dia tersilap masuk kelas atau salah mengajar subjek.

Aina tidak akan sesekali melupakan kenangan memalukan semasa dia praktikal dulu. Kerana silap kelas, teruk dia diketawakan oleh pelajar. Manakan tidak, Aina masuk ke kelas Sains untuk mengajar subjek Ekonomi, dengan tahap keyakinan sepuluh per sepuluh pula tu. Semuanya akibat terlalu teruja menyebabkan dia tersilap pandang jadual. Cukuplah sekali, dia tidak sanggup jika peristiwa memalukan itu berulang kembali.

Sekurang-kurangnya dulu, ada juga pelajar yang bersungguh-sungguh cuba memahami subjek itu. Tidak pula pelajar kelas Sains itu terasa pelik kerana diajar subjek Ekonomi. Pasang muka suci saja semuanya, dah habis dua masa Aina bersyarah hingga berpeluh-peluh barulah ada yang memberitahu kesilapannya itu. Sudahnya, teruklah Aina menjadi stok bahan lawak selama sebulan.

Aina tergelak mengenangkan memori lucu itu. Tanpa disedari, dia sudah sampai ke kelas yang dituju. Hingar suara para pelajar bersembang hanya berkurangan sedikit apabila Aina menapak masuk. Aina cepat-cepat memberikan salam terlebih dahulu sebelum pelajar kelas itu menyapanya. Dia ingin mengotakan apa yang dijanjikan, di samping berharap agar para pelajarnya kelak akan dapat memahami rasional dia berbuat demikian.Aina sebenarnya ingin menerapkan adab sopan dan menghormati orang lain dalam kalangan pelajarnya. Bagi Aina, jika hendakkan orang menghormati kita, kita perlulah menunjukkan rasa hormat terhadap orang lain terlebih dahulu.

Setelah Aina meletakkan buku-buku yang dibawanya, dia memberi arahan agar para pelajarnya duduk semula. Yang sediakala duduk kekal duduk. Aina hanya mampu menggeleng, namun dia tidak mahu merosakkan mood di awal pagi itu. Aina menyambung kembali sesi memperkenalkan diri yang belum selesai kelmarin. Pelajar-pelajar itu hampir kesemuanya loyar buruk dan sengaja ingin mengusiknya. Ada yang bertukar-tukar identiti dan hanya berjaya dikenal pasti oleh Aina selepas ketawa mereka sekelas pecah. Agaknya muka Aina ni senang dipermain-mainkan, asyik jadi mangsa saja. Sakit betul hati Aina!

Dalam rakan-rakannya galak mengusik, jejaka misteri itu sedikitpun tidak tersenyum. Mahalnya senyuman, sakit agaknya mulut tu jika hendak senyum. Danial santai duduk bersandar di kerusi, namun sepasang matanya tidak lepas dari memerhatikan Aina.

Aina pura-pura tidak sedar akan pandangan Danial, dia tidak mengerti mengapa Danial harus meniliknya sebegitu sekali. Ada yang salahkah padapakaian Aina, atau mungkin hidung Aina sudah hilang? Rasanya semua serba normal, tiada yang luar biasa. Habis tu yang mata Danial tajam macam helang lapar merenung Aina kenapa? Sajalah tu strategi hendak melemahkan keyakinan Aina, sengaja agaknya membuatkan Aina jadi kekok dan resah. Manakan tidak, bukan hanya Danial yang memandangnya, malah ada 44 pasang mata yang lain sedang menumpukan perhatian pada setiap butir bicara serta raut wajah Aina.

Tapi, pandangan Danial lain dari yang lain. Kalau suruh bomoh tolong tilikkan pun belum tentu dapat mentafsirkan makna pandangan itu. Apa yang pelik, ada getar aneh yang berlumba-lumba dengan kuasa enjin turbo di dada Aina setiap kali matanya bertembung dengan mata jejaka itu. Tidak mungkin Aina gentar dengan Danial. Atau tercabarkah Aina?

Entahlah, Aina sendiri tidak mengerti mengapa renungan Danial menghantar rasa yang begitu lain ke hatinya, mungkin lelaki ini punya kuasa telekinesis! Dengan melalui kuasa pandangan saja, tali jantung Aina bergetar macam tali ukulele sedang dipetik, tiba-tiba berkumandang lagu Dilwale Dulhania Le Jayenge di dalam hati.

“Baiklah, oleh kerana kamu tak berlaku jujur beritahu saya identiti kamu yang sebenar, saya mintak ketua kelas tolong tuliskan nama rakan-rakan kamu mengikut tempat duduk mereka sekarang. Saya jugak nak kamu kekalkan tempat duduk. Saya ingatkan, saya cekap mengingat wajah orang dan saya tahu kamu duduk di mana. Tak payah berangan-angan nak permainkan saya lagi.Senarai nama ini akan membantu saya untuk ingat nama kamu dalam masa tidak lebih dari 36 jam. Itu rekod saya sebelum ini.”

Bukan main lagi Aina cakap besar, sengaja hendak menggertak pelajar itu sebenarnya. Letihlah Aina hendak menghafaz nama-nama mereka di rumah nanti. Tak tidur tiga hari tiga malam dibuatnya. Mungkin kena tampal nama-nama itu di siling tempat tidur, biar Izraf pun ikut hafal sekali. Itulah tadi yakin sangat mencanang tiga hari dah boleh hafal nama 45 orang pelajar di kelas itu.

Kedengaran keluh-kesah dan rungutan pelajar yang tidak berpuas hati. Pasti mereka tidak menyangka sama sekali Aina yang kelihatan lembut itu tiba-tiba bertindak tegas. Aina mengukir senyuman kemenangan sebelum senyumnya mati apabila ekor matanya menangkap sekilas senyum nakal yang tersungging di sudut bibir Danial.

‘Ah, pasti dia sedang merancang sesuatu untuk kenakan aku,’ getus hati Aina. Firasatnya jarang benar salah. Dia ada sixth sense yang kuat! Kalau Aina teringat hendak telefon seseorang, sebelum sempat didail, orang tu dah telefon terlebih dahulu. Kalau Aina rasa macam akan terjumpa dengan orang itu, tiba-tiba orang itu sudah muncul depan mata. Jadi kalau Danial ada kuasa telekinesis, Aina apa kurangnya, dia ada kuasa telepati. Aina yakin Danial akan berbuat sesuatu.

Aina menepis rasa gelisahnya jauh-jauh. Kalau takut berhadapan dengan pelajar, baik dia tak payah jadi guru. Jadi tukang kebun lebih baik, berhadapan dengan rumput dan pokok bunga, itukan sejenis terapi minda juga. Mungkin ia lebih sesuai untuk orang berjiwa serabut macam Aina, terlampau banyak berfikir dan bimbangkan persepsi orang lain.

Aina bertekad untuk menunjukkan sikap yang lebih tegas, atau tough bak kata Izraf. Mungkin sekadar sikap tough tak cukup, Aina kena bina badan sasa seperti Dwayne Johnson pula selepas ini. Jika tidak, pasti dia akan dibuli lebih teruk.

Sudah mula nampak karakter nakal di kelas itu. Senang saja nak bezakan, yang kucing tersipu-sipu mengiau, yang harimau sudah mula menunjukkan belang masing-masing. Ah lantaklah kucing ke, harimau ke, Aina tidak sesekali akan mengalah seperti yang berlaku pada guru-guru sebelumnya. Dia keturunan pahlawan, biar bergolok berkeris daripada mengaku kalah. Ada juga pelajar yang mengalami trauma nanti seandainya Aina betul-betul muncul ke kelas dengan keris. Itu barulah berfikir di luar kotak dan berinovasi, sekadar bawa rotan, pelajar kan buat tak hairan saja.

Aina meneruskan semula agendanya yang tergendala tadi. “Clare, jawapan untuk pertanyaan kamu kelmarin dan yang lain jugak, pejabat telah pun mengesahkan sayalah yang akan menjadi guru kelas dan akan jaga kamu sehingga akhir tahun ini. Jadi kamu akan jumpa saya tiap-tiap hari, biar kamu bosan sampai nak muntah tengok muka saya. Yang mana ada masalah berat badan pun boleh kurus tanpa mengambil produk, nampak saya aje terus hilang selera makan. Apa pun, saya tak peduli, jadual ini sudah pun muktamad, sebarang bantahan mahupun tunjuk perasaan tidak akan dilayan.” Sengaja Aina berpura-pura tegas. Sempat lagi menyelitkan unsur hiperbola pada ucapannya.

“Eh Cik Aina, tak mungkinlah kami akan bosan nak pandang wajah Cik Aina yang comel, kalau Cik Aina conquer kelas kami dari pagi hingga waktu balik setiap hari pun kami lagi suka,” usik pelajar perempuan berperwatakan agak kelelakian itu.

“Setuju! Kami lagi suka tengok Cik Aina berbanding Cikgu Din Misai atau Cikgu Saloma Mimau, dah sakit mata ni tengok belang-belang, letih nak tonyoh dengan ubat penyegar mata selalu.” Seorang pelajar lelaki yang duduk di sebelah Danial pula menyampuk. Kalau tak silap, namanya Razali. Hafalan memori Aina sudah loading ke 20%.

Aina menekup mulutnya menahan tawa mengenangkan raut wajah Cikgu Din yang merupakan guru disiplin sekolah itu. Misai melintangnya sememangnya telah menjadi trade mark. Begitu terkenal sehingga kalah misai kontot Hitler dari segi populariti. Sehinggakan di sekolah-sekolah lain pun tiada sesiapa yang tidak mengenali Cikgu Din Misai, malahan pengawal keselamatan berbangsa Bangladesh pun tahu nak sebut namanya, selain dua perkataan lain, iaitu Malaysia dan Negaraku. Macam tu tak popular lagi?

Bahu Aina terhinggut-hinggut menahan ketawa apabila mengingatkan Cikgu Saloma yang digelar ‘mimau’ oleh para pelajar kerana tabiatnya yang suka memakai pelbagai aksesori berbelang oren dan hitam, memang mirip dengan harimau bintang. Nak kata terkenan pun tidak juga, entah-entah ada menuntut silat harimau tetapi tak sempat habis, itu yang sampai sekarang terpalit badi. Boleh dikatakan hampir setiap hari corak pakaiannya sama, fesyen saja yang berbeza. Entah-entah dibelinya terus sepapan kain yang sama.

“Wah, bukan main lagi kamu melabel guru-guru kat belakang ya, entah saya ni apalah agaknya yang awak cop Razali? Cikgu ketot?” Aina memandang Razali yang tersengih lebar sebelum mengalihkan perhatian kepada pelajar tomboi itu pula.

“Awak Sophie Camilia, kan? Yang asyik puji saya tak lain tak bukan, nak membodek sayalah tu.” Yang seorang ni nakalnya boleh tahan, memang Aina dah mark semenjak hari pertama lagi.

Cik Aina, I’m surprised that you do remember my name. However, it will be my pleasure if you can call me Cam.” Usikan Cam itu disambut meriah dengan siulan dan gelak tawa mereka sekelas. Wajah Aina sudah merah padam mendengar kata-kata Cam itu.

Danial yang sudah tidak dapat menahan rasa lucunya melihat reaksi Aina ikut ketawa. Aina hanya memerhati geram. Tapi, kacak pula si mafia ni bila ketawa begitu, giginya putih tersusun rapi, macam iklan ubat gigi Kodomo Lion pun ada!

“Cik Aina, nampaknya Cam dah memulakan langkah pertama dengan begitu gentleman sekali. Now, what say you?” Danial sengaja menambah dengan selamba menyebabkan kelas itu semakin bingit dengan sorakan dan gelak ketawa.

“Sudah, sudah! Nanti guru kelas sebelah kata saya tak boleh kawal kelas pulak. Baik, saya bagi kamu menang kali ini. Suka hati kamulah nak panggil saya apa pun. Tutup buku tentang itu. Sekarang saya nak kita mulakan sesi P&P. Memandangkan belum tahu lagi tahap kamu, saya nak tanya beberapa soalan terlebih dahulu untuk menguji sejauh mana kefahaman kamu tentang subjek yang akan saya ajar ini.”

Para pelajar mula berkeluh-kesah, belajar pun belum, dah hendak tanya soalan. Aduh, bukannya ada cip komputer dalam kepala, kalau ada, bolehlah simpan koleksi soalan dan sampel jawapan sekali dalam pangkalan data.

Aina tidak menunggu lama untuk menyambung ayatnya, kalau lambat sikit, silap-silap pemberontakan akan berlaku. Bukan boleh bagi muka sangat pada pelajar. Mahu yang mudah saja, mahu makan bersuap, mahu tidur disuakan bantal. Ingat dia pengasuh? Excuse me! Aina kena ajar mereka supaya lebih berdikari dan sentiasa membuat persediaan sebelum masuk kelas. Barulah ada usahasama dari kedua-dua belah pihak, guru dan juga pelajar. Kalau tak menggembleng usaha, macam mana nak menghasilkan buah yang manis? Walaupun ciku tu buahnya manis dan senang pula tumbuh walau sekadar dicampak oleh kera, tapi dalam kes ini siapa yang hendak mainkan peranan sebagai kera untuk membantunya? Hah tengok tu dah melalut sampai ke buah ciku ceritanya.

“Jangan risau, saya bukan nak tanya benda yang kamu tak belajar lagi. Saya akan tanya soalan-soalan yang asas aje, konsep yang telah kamu pelajari semasa di lower six lagi. Saya nak mulakan dengan soalan yang paling mudah. Mereka yang saya sebutkan namanya, berikan saya salah satu dari faktor-faktor pengeluaran dalam ekonomi.”

Aina merujuk senarai nama yang berada dalam tangannya. “Marliana?”

“Tanah, Cik Aina.”

Good, Khairul?”

“Err... buruh kot?”

“Perlu ke kot tu? Memang dah betul jawapan kamu, cubalah yakin sikit. Seterusnya, Cam?”

Entrepreneur!

“Amboi kamu, siap jawab dalam bahasa Inggeris lagi. Hah, betullah tu, dalam erti kata lain, usahawan. Okey, apa kata bagi peluang pada Danial pulak. Danial, lengkapkan ayat saya untuk selesaikan soalan tersebut. Faktor pengeluaran terdiri daripada empat perkara iaitu tanah, buruh, usahawan dan?”

“Dan sebagainya...” Danial menjawab dengan selamba menyebabkan seisi kelas terbahak-bahak ketawa. Ada yang sudah menepuk-nepuk lantai. Kelakar sangatlah agaknya tu?

‘Kurang asam! Memang dah agak dia dah rancang nak kenakan aku! Pandai pulak dia sambung macam itu, jawapan nak selamatlah tu. Hendak kata salah pun tidak juga, memang ada ‘dan sebagainya’ selain jawapan-jawapan tadi tu. Tapi mana boleh pakai standard jawapan macam tu dalam ekonomi. Aduh, sakit otak, sakit otak!’

“Danial Iskandar! Awak ni memanglah. Saya tanya dengan serius, awak boleh melawak pulak! Sedap saja awak sambung ‘dan sebagainya’! Itu mesti strategi awak supaya tak payah penat-penat memerah otak untuk fikir jawapan, kan? Kalau kamu dah sebutkan sekurangnya beberapa perkara, barulah kamu boleh sambung dengan perkataan ‘dan sebagainya’. Ini kamu tak bagi jawapan apa pun, tanpa semena-mena keluar ‘dan sebagainya’! Mana aci!”

Kan tak pasal-pasal diberi tazkirah percuma, pantang betul Aina bila orang menyalahgunakan bahasa sesuka hati mereka.Dia memang pembela sejati Bahasa Melayu yang suatu ketika dulu pernah menjadi lingua franca, kalau asyik merosakkan bahasa, macam mana hendak memartabatkannya semula? Sia-sia Aina dapat A1 dalam Bahasa Melayu SPM kalau dia tidak mampu mentarbiah murid-muridnya ini. Nak jadi guru Bahasa Melayu tak tercapai. Bolehlah, selit-selit ketika mengajar ekonomi.

Sorry Cik Aina, saya tak mahir Bahasa Melayu jadi saya tak tahu pulak tentang itu. Saya ingatkan ini kelas ekonomi, bukan linguistik. Lain kali saya akan rujuk kamus dewan edisi terbaru sebelum beri jawapan.” Pecah lagi ketawa mereka sekelas.

Aina mengetap bibirnya geram. “Oh, kamu nak main-mainkan saya, ya? Baiklah, memandangkan kamu tak bekerjasama dan saya pun tak dapat menentukan tahap kefahaman kamu sekarang, saya akan bagi ujian bertulis, baru padan muka kamu kena penat-penat menulis pulak. Saya dah cuba mudahkan, kamu hanya perlu buka mulut aje. Tapi nampaknya kamu lebih suka menulis, jadi sila buka buku teks kamu dari muka surat 22 hingga 28, jawab sehingga habis semuanya sebelum waktu berakhir, saya nak kutip hari ini jugak!”

Enam muka surat dia suruh habiskan dalam masa yang hanya tinggal setengah jam? Ini boleh dikira penderaan mental! Kenapa tak suruh habiskan saja semua soalan dalam buku itu?

Danial naik geram. Guru baru ini memang berani menentangnya. Dah dikenakan begitu pun masih berani membalas balik. Kalau Cikgu Laura mesti dah lari keluar sambil menangis. Makin penasaran pula Danial terhadap guru baru ini. Tak padan dengan saiz mini, berani lebih ya?

Pelajar-pelajar itu mengeluh dan kelihatan bermalas-malasan mengeluarkan alat tulis. Dari ekor mata, Aina dapat melihat Cam masih bercakap dan bergelak ketawa dengan Danial dan kumpulannya.Aina hanya membiarkan mereka dan meneruskan sesi ujian itu sehingga tamat masa. Kalau dilayan sangat, alamatnya cepatlah dia mendapat 36 penyakit kritikal. Boleh lingkup syarikat insurans.

Bersambung...


*Novel AKU JATUH CINTA akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:

FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90

Terima kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.