Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU JATUH CINTA
AKU JATUH CINTA
anna nabila
7/7/2014 23:38:05
128,514
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 4

Bab 4


Sudah hampir sejam Aina menunggu teksi, namun kelibat kenderaan itu masih belum kelihatan. Semua pelajar sudah beransur pulang, sama ada dijemput, atau menaiki bas. Boleh tahan ramai juga pelajar yang memandu kenderaan sendiri. Bukan itu sahaja, sekumpulan pelajar lelaki yang menaiki motosikal berkelakuan ala mat rempit sempat melambai dan bersiul-siul padanya sewaktu lalu di hadapan perhentian bas itu.

Berani sungguh! Kalau ada rotan di tangan, mahu saja dihambatnya mereka semua. Baru tahu, kecil-kecil cili api, jangan ingat dia kecil tak menyengat. Eh, apa kaitan cili dengan tebuan? Aduh salah konteks lagi, gagal peribahasa. Menyesal dulu dia tak betul-betul mendalami subjek Bahasa Melayu.

Sebuah kereta Toyota Vios berhenti di pinggir jalan. Pemiliknya segera menurunkan cermin gelap keretanya apabila melihatnya dia berusaha mengenal pasti gerangansi pemandu. Ini yang nak lapor pada JPJ ni, penggunaan cermin gelap melebihi had yang dibenarkan. Kalau pemandu ni culik Aina kan susah nanti, bukan ada siapa yang nampak bila cermin gelap macam tu sekali. Susah-susah nak tinted, alang-alang baik cat hitam terus cermin tu, habis cerita.

Cermin kereta diturunkan. Kedengaran bunyi muzik berdentam-dentum menyakitkan telinga, ingatkan pasang lagu hard rock, bila dengar betul-betul, rupanya lagu Hari Raya! Hai silap genre kot mamat ni, raya lama lagi bang, dah ambik mood siap-siap ke?

“Hai cikgu baru, balik mana? Jom Ihantarkan?” pelawa Farami sambil menjulurkan kepalanya ke luar cermin kereta. Lagu sudah bertukar ke irama dangdut. Ulat bulu mula tergedik-gedik naik daun.

Aina teragak-agak. Teksi yang ditunggu belum kunjung tiba, tapi hendak menumpang kereta Farami rasa tak gamak pula apabila melihatkan tingkah lakunya yang agak ‘kebuayaan’ itu. Menyesal pula rasanya jual mahal dengan Haqym tadi. Ketika ini andai kata Haqym muncul biarpun dengan menaiki Toyota Corolla tahun 80-an, sanggup rasanya Aina tumpang berbanding disambar buaya di depannya itu.

“Hmm, panggil Aina aje.Tak apalah, I tunggu orang ni. Thanks,” jawab Aina sekadar berbasa-basi.

Sengaja dia berdusta kononnya menunggu seseorang agar alasan yang diberikan lebih kukuh. Kalau agak goyah, nanti tidak pasal-pasal dirayu pula. Tapi, kalau dibayangkan ulat bulu yang gemuk berjus sambil menggenggam tangan dan mata pula dikelip-kelipkan, macam comel juga tu. Masalahnya Farami ni versi ulat bulu pencen, eii geli... geli...kalau tengok kali kedua, macam patung pembunuh ‘Chuck’ pun ada.

Farami sekadar mengangkat kening sambil tersenyum, kemudian meneruskan perjalanannya. Selamat. Tak payah dia keluarkan jeritan ‘Mayday! Mayday!’ yang telah dipraktiskan di dalam hati tadi.

Hampir setengah jam kemudian barulah teksi tiba.Setibanya di rumah, Aina terus ke arah tujuan, sofa! Langkah Aina pun sudah seperti zombi, mata dah separuh tertutup. Hebat dia, dalam keadaan separa sedar pun masih tak missed sasaran.

Sepanjang perjalanan pulang tadi Aina telah terbayang-bayang betapa leganya berbaring di atas sofa empuk itu merehatkan segala urat saraf yang dah tersimpul macam riben. Kini bila sudah tiba di tempat tujuan, bukan sekadar berbaring lagi, tapi terbongkang terus. Buruk sungguh rupanya, kalaulah Emir Izraf ternampak gaya tidur Aina sebelum berkahwin dulu, silap-silap pengantin lelaki cabut lari di hari perkahwinan, gara-gara tak sudi beristerikan jelmaan King Kong. Ini semua sebab keletihan. Kalau tidak, Aina tidur bagaikan Sleeping Beauty, siap mengenakan losen dan pelembap bibir lagi sebelum tidur. Boleh tahan juga penangan keletihan bekerja di hari pertama.

Mungkin disebabkan stamina yang menurun kerana sebelum mula bekerja, Aina hanya duduk di rumah dan menghabiskan masanya dengan berehat. Kononnya hendak kumpul tenaga cukup-cukup sebelum bekerja, sudahnya stamina pula merosot. Esok kena mulakan semula senaman, lari naik turun tangga di rumah itu seribu kali cukuplah agaknya. Fuh. Persediaan macam nak mendaki Everest. Ingat senang jadi cikgu?

Kroh... kroh...

LEWAT petang barulah Aina terjaga dari lena. Kelam-kabut dia menyediakan makan malam. Nasib baik Izraf pulang ke rumah agak lewat hari itu, iaitu sejurus sebelum maghrib. Selepas solat berjemaah bersama, barulah Aina dan Izraf menikmati makan malam berdua.

“Macam mana hari pertama?” Izraf mula membuka topik perbualan.Setelah seharian tidak ketemu, terasa berat rindunya kepada isterinya itu. Namun, nada suara Izraf tenang sahaja. Pandai control.

“Penat!” Sepatah jawapan Aina.

“Mula-mula memang macam tu, lama-lama nanti biasalah. Alah bisa tegal biasa,” balas Izraf.

Tanpa disengajakan, Aina mengadu dengan nada yang agak manja, “Pelajar nakal-nakal. Aina kena ajar satu subjek aje, Ekonomi, tapi kena jadi guru kelas untuk kelas yang sama. Susah hati Aina, tak tahulah macam mana nak ajar dia orang. Dia orang tu dahlah kelas upper six, dah besar-besar semua, kalau ikutkan saiz pun dia orang tu besar dua kali ganda dari Aina tau, lagilah dia orang berani nak buli Aina. Tak tahulah budak-budak tu terlebih makan kacang panjang ke apa, tinggi melangit,” cerita Aina.

Izraf ketawa kecil sebelum menasihati lembut, “Hmm, cabaran besar jugak tu.Tapi, dapat satu kelas aje bermakna lagi banyak masa Aina dapat ditumpukan pada dia orang.Sedangkan belakang parang pun kalau diasah boleh menjadi tajam.”

“Ala, abang ni banyak sangat stok peribahasa, hari-hari ada aje peribahasa baru abang, dah macam Karam Singh Walia pulak Aina tengok. Nasib baik tak terkenan dengan gaya tangan tu sekali. Hmm, Aina nak pergi basuh pingganlah, nak tidur awal sebab esok kena bangun awal,” ujar Aina seraya bangun dan mengangkat pinggannya. Izraf hanya ketawa kecil, tidak mengambil hati dengan omelan Aina sebaliknya ikut ke dapur dengan membawa pinggannya.

“Abang basuh dengan sabun, Aina bilas okey?” kata Izraf.

Izraf pantas mencelup tangannya ke dalam air sabun sebelum Aina sempat membantah.

“Eh abang, tak payahlah tolong. Biar Aina buat, abang kan dah penat kerja seharian, dengan mesyuarat lagi.Abang pergilah solat isyak dulu. Nanti Aina solat sendiri.”

“Kita buat sama-sama. Aina pun penat jugak kerja. Dah tu dibuli pelajar yang besar-besar macam gorila pulak tu. Lagi kasihan dari abang. Abang paling-paling pun dibuli dek papa aje kat pejabat tu. Dah, jom buat sama-sama, nanti kalau siap cepat, cepatlah kita boleh solat bersama. Aina tahukan, solat berjemaah tu lebih banyak pahalanya?”

Aina tersenyum mendengarkan ceramah Izraf. Sekejap jadi Karam Singh Walia, sekejap bertukar jadi Ustaz Azhar Idrus. Sejenis masalah personaliti ni, multiple personality disorder. Aina tersengih lucu.

Sebenarnya, Aina merasakan dirinya amat bertuah kerana mendapat suami yang bertimbang rasa dan mementingkan kebajikan isteri. Aina tidak pernah bercinta malah tidak pernah pun menetapkan sebarang kriteria untuk jejaka idamannya. Namun, jejaka yang dinikahinya atas keputusan keluarga ternyata melayannya dengan begitu baik sekali. Hanya cinta buat Izraf belum terlintas di hatinya.

Dia juga tahu Izraf tidak mencintainya. Jika tidak, masakan Izraf tidak pernah meminta haknya sebagai seorang suami. Malah Izraf tidak pernah sekalipun melafazkan cinta terhadapnya. Ah, Aina tahu, Izraf mengahwininya hanya kerana amanat ibunya. Mungkin hati Izraf telah dimiliki orang lain sebelum terpaksa menikahinya. Bukankah Izraf sendiri tidak pernah menyangkalnya? Fikiran Aina lantas terbang melayari ruang kenangan yang masih segar.


Bersambung...


*Novel AKU JATUH CINTA akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:

FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90


Terima kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.