Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU JATUH CINTA
AKU JATUH CINTA
anna nabila
7/7/2014 23:38:05
128,964
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 9

Bab 9


Bunyi burung bersiul gembira mengejutkan Aina dari tidurnya. Aina terpisat-pisat membuka mata. Langsir putih tipis itu tidak dapat menghalang sinar suria pagi dari menerjah masuk ke dalam bilik.

‘Aduh, kalau terang-benderang macam ni alamatnya dah terlepaslah solat subuh. Penat sangat sampai terlajak tidur. Tak laratnya nak bangun. Pinggang dan kaki ni pun rasa kejang macam ditindih benda berat, agak-agak kena ke hospital kot kejang otot.’

Aina menggeliat malas sambil membuang selimutnya ke tepi. Aik, rupa-rupanya ada sesuatu yang menindih kaki Aina. Tapi kenapa nampak rupa bentuk tu macam kaki orang aje? Hah, kaki orang?

Tanpa disedari, Aina melompat terjun dari katil dengan sekali harung sahaja. Dia hampir terjelepok, buku lalinya menunjukkan simptom terseliuh. Terkejutmelihat ada kaki lain yang menindih kakinya. Terlupa seketika kaki itu milik Izraf, lelaki yang telah sah menjadi suaminya.

Izraf yang terkejut dengan tindakan refleks Aina bertindak pantas mendapatkan Aina. Apakah ada gempa bumi? Kenapa dia tak merasakan sebarang gegaran pun melainkan ketika Aina terjelepok macam nangka busuk tadi?

“Kenapa ni, Aina? Ada apa?Kat mana?” Izraf yang masih mamai riuh bertanya. Kepalanya membelingas mencari gerangan yang mungkin mengganggu Aina sehingga menakutkan dia begitu sekali.

Hasrat Izraf yang baru berkira-kira mahu menyentuh Aina terbantut apabila menyedari Aina yang duduk bersimpuh sedang mengurut dadanya. Jatuh pun sempat lagi control ayu, siap bersimpuh macam tunggu pinangan. Rasa kasihan pula melihat wajah Aina yang tadi takut bercampur keliru, kini bertukar lemah.

“Aina, tarik nafas, kemudian lepas perlahan-lahan. Jangan tak lepas pulak, nanti biru muka habis oksigen. Calm down, okay honey?”

Nada Izraf yang jelas mengambil berat membuatkan satu perasaan aneh tiba-tiba terjun ke relung kalbu Aina. Apatah lagi panggilan honey yang diungkapkan Izraf tadi, serta-merta ada efek rama-rama berjimnastik di dalam perut.

Telinga Aina hampir tidak mampu mencernanya, mahal benar nilai perkataan itu kerana inilah kali pertama Izraf memanggil Aina dengan nama timangan manja seperti itu. Rasanya kena rekodkan dalam diari dengan kadar segera. Hari ini dalam sejarah.

‘Ah, mungkin dia tersasul. Entah tadi dia tengah mimpikan buah hati.’ Aina cuba menyedarkan diri sebelum perasaannya terbuai oleh panggilan Izraf itu. Bahaya. Nanti buai laju-laju sampai cucur atap, sakit tu kalau jatuh.

Perlahan-lahan Aina menghela nafas sambil mengurut dada, menepuk-nepuk jantungnya memujuk dia bertenang. Teringat kembali tahap terkejutnya tadi menyebabkan Aina tidak dapat mengawal ketawanya dari pecah.

Izraf kelihatan terpinga-pinga tidak mengerti. Tadi Aina kelihatan begitu terkejut, kini ketawa beria-ia pula. Ah, tak kisahlah, comel pula tengok Aina ketawa tertahan-tahan sambil menutup mulut dengan kedua-dua belah telapak tangannya yang kecil itu. Macam tikus mondok.

‘Tikus? Isk, zalimnya aku, melenting agaknya Aina kalau dia tahu apa yang aku fikirkan. Ala, comel apa tikus macam stuart little tu. Tahap putih gebu tu kan dah nak sama,’ desis Izraf tersengih lucu.

Setelah Izraf pasti Aina kini lebih tenang dan santai, dia menghulurkan tangan untuk membantu Aina berdiri. Aina yang masih ketawa dengan malu-malu menyambut huluran tangannya. Mereka sama-sama duduk di birai katil menghadap jendela.

Izraf bangun untuk mengikat langsir yang ditiup angin, nakal sangat langsir ni asyik hinggap membelai wajah Aina, Izraf hendak menatap Aina pun tak senang. Kalau ikutkan hati, ada juga langsir yang dibakar Izraf kejap lagi.

Izraf kembali duduk di sisi Aina, kali ini bersila sambil memasang raut wajah tidak sabar menanti cerita Aina. Terpaksa buat rupa macam tu, Aina ni buat lambat pula, saspens betul. Betapa dramatisnya kalau tiba-tiba ada sound effect. Kasihan melihat Izraf ternanti-nanti, Aina pun membuka cerita dengan derai tawa yang masih bersisa.

“Sebenarnya tak ada apa pun. Aina bangun tadi masih mamai-mamai lagi. Lepas tu Aina rasa kaki dengan pinggang Aina berat sangat. Tengok-tengok ada kaki orang atas kaki Aina dengan tangan sekali kat pinggang. Aina pun terkejutlah, Aina pun melompat dengan automatiknya. Ingatkan orang minyak mana tadi. Lupa pulak kat sebelah Aina ada abang. Tak ingat yang Aina dah nikah. Selama ni kan Aina tidur seorang.”

Izraf ketawa lucu mendengar penjelasan Aina, apatah lagi melihat cara Aina yang menerangkan keadaan itu dengan begitu bersungguh-sungguh. Semakin comel Aina di mata Izraf, rasa geram bagai mahu dicium-cium pipi gebu itu. Namun, semua itu hanya dipendam di dalam hati, mana mungkin dia berani melakukannya, takut Aina menuduhnya mengambil kesempatan pula nanti.

Izraf sedar Aina masih belum bersedia, dan dia seharusnya bertolak-ansur dengan memberikan Aina masa dan ruang yang secukupnya. Malah Izraf sentiasa mengingatkan dirinya supaya bersikap dewasa dan matang. Izraf tidak mahu Aina hilang keyakinan terhadap kelayakannya sebagai suami yang mampu memimpin dan menjaga Aina.

“Amboi, ngeri sangatlah tu abang peluk dia? Sorry, abang tak ada niat pun, mungkin masa dah lena tu abang ingat Aina ni bantal peluk abang,” kata Izraf, tersenyum. Tipulah tak ada niat, terpaksa bohong sunat. Kalau tak, nanti ada pula yang dah trauma nak masuk bilik tidur.

‘Tak apalah kalau sengaja pun. Aina bukan tak sudi, cuma terkejut. Tapi Aina rela dan redha, Aina kan isteri abang, kepunyaan abang.’ Sayangnya Aina tidak mampu menyuarakan kata hatinya yang sebenar. Sebaliknya menjawab dengan gurauan bersahaja, mengikut rentak Izraf.

“Adakah patut Aina yang wangi ni abang samakan dengan bantal busuk abang tu. Abang simpan lagi ya bolster abang dari kecik-kecik dulu tu? Euww!”

Izraf lantas tertawa dengan usikan Aina. Duduk berdua sekadar berbual begitu pun sudah cukup membuatkan dia hanyut dengan rasa bahagia.

“Eh nakal ya, nak kenakan abang pulak! Walaupun bantal masih sama, tapi abang tukar cadar tiap minggu okey, mana ada busuk. Meh abang bagi cium bantal ni.” Sengaja Izraf mengacah Aina dengan bantal busuknya. Aina terkekeh-kekeh mengelak. Eii... tak sudi, entah-entah kutu dah beranak-pinak dalam bantal antik tu!

“Mahu tak mahu, Aina kena biasakan diri. Kalau tiap pagi macam ni caranya Aina kejutkan abang, cepatlah abang dapat sakit jantung. Nanti kalau abang mati awal, Aina jugak yang untung. Aina boleh kahwin lagi sebab Aina kan masih muda,” kata Izraf, pura-pura mengeluh, mengharap pujukan daripada Aina.

“Hisy abang ni, ke situ pulak. Kalau abang mati pun Aina tak terliur nak kahwin lagilah, lagi senang hidup seorang.”

Izraf terkedu mendengar jawapan Aina. Hingga begitu sekali rupanya Aina tidak merelakan perkahwinan mereka. Jelas sekali Aina masih ingin menikmati hidup solo. Bukan salah Aina. Berkahwin dengan Izraf bukan pilihan Aina, yang salah adalah dirinya sendiri kerana meletakkan Aina dalam keadaan terpaksa untuk menerima lamarannya.

Melihat Izraf terdiam sambil meneguk liur, Aina menyedari dia sudah tersalah cakap. Pantas sangat jawapannya itu, dia tidak terfikir untuk memikirkan terlebih dahulu ayatnya. Ah, pasti Izraf sudah tersalah tafsir. Aina cuma ingin Izraf tahu yang dia tidak ingin berkahwin lagi walaupun Izraf sudah tiada kelak.

Aina sedar, jauh di lubuk hatinya ada perasaan halus yang mula terbit untuk Izraf. Tidaklah sukar sangat untuk dia menerima Izraf. Izraf yang kacak, baik dan memahami. Jika Aina tahu perasaannya akan menjadi lembut semudah ini, tidak usahlah Aina beria-ia mogok dan tunjuk perasaan membantah perkahwinan mereka dahulu. Benarlah kata orang, hati perempuan lembut macam kerak nasi. Tapi kenapa macam kerak nasi, tak ada kelas langsung. Cakaplah macampuding karamel ke, kan lembut tu.

Namun, Aina sendiri bingung. Dia sebenarnya tidak pasti apakah perasaan itu sekadar rasa sayang dan hormat kepada Izraf seperti sewaktu mereka masih hingusan dahulu, ataupun ada cinta yang sudah mula mengetuk pintu hati. Macam mana hendak tahu, Aina sendiri tidak pernah bercinta mahupun mengenal cinta. Senangnya kalau ada mesin MRI yang boleh mengesan perasaan seseorang itu hanya dengan mengimbas keadaan luarannya. Eh, kena cipta segera ni sementara ada idea bagus macam ni. Einstein pun surrender kalau dengar.

Aina menyambung katanya untuk memujuk Izraf secara bersahaja, dia tidak mahu Izraf terasa lagi. Namun, Aina malu hendak memberitahu perasaannya yang sebenar. Cara selamba badak adalah yang paling mudah. “Hmm, macam nilah, nanti Aina lekat sijil nikah kita kat katil, taklah tiap pagi Aina terkejut bila bangun tengok ada lelaki kat sebelah. Ya?”

Izraf kembali tersenyum mendengar gurauan Aina itu. “Apa-apalah Aina, jangan mengigau sepak abang, sudah.Esok kita kena bangun subuh tahu, nanti kita pergi beli jam loceng.Tidur mati jugak rupanya Aina ni.”

“Bukan tidur matilah, hidup lagi ni. Aina biasanya tak ada masalah bangun awal, pagi tadi tu terlajak sebab semalam penat sangat kot.”

“Abang faham. Abang pun sama jugak. Tak apalah, kita beli aje takut jadi benda yang sama lagi. Syok sangat tidur peluk bolster baru.” Izraf tersengih seketika, sempat lagi mengusik, seronok sangatlah tu tengok muka Aina merah padam. Izraf menyambung, “Aina nak pergi honeymoon kat mana ni? Paris, New Zealand, atau Old Zealand?”

“Abang ni mengarutlah. Mana ada Old Zealand. Itu bermakna dua pilihan yang ada, Paris atauNew Zealand, kan? Saja nak main-mainkan Aina, tak ikhlas langsung!”

Izraf ketawa apabila Aina yang berjaya mengesanhelahnya. “Pandai pun abang, saja nak uji Aina tengok mamai lagi tak.Abang gurau aje, Aina pilihlah nak ke mana, nak roundEurope ke, abang okey je.”

“Aina ingat tak nak pergi mana-manalah, sebab tinggal dua minggu saja lagi Aina dah kena masuk mengajar. Kalau nak pergi pun kita postpone ke masa cuti sekolah nanti. Nasib abanglah dapat isteri cikgu, ingat senang nak suka-suka cuti ke sana ke mari? Lainlah abang kerja dengan company papa sendiri. Hmm, masa yang ada ni, lebih baik siapkan dekorasi rumah baru, cepatlah kita boleh pindah masuk ke rumah tu nanti.”

“Betul ni? Aina tak kisah tak dapat pergi honeymoon? Kalau susah nak cuti, jom kerja dengan abang. Ataupun duduk rumah aje jadi isteri mithali sepenuh masa, bila abang balik boleh buat massage, manicure dan pedicure untuk abang. Atau nak abang beli sekolah tu supaya Aina boleh cuti anytime?” Sengaja Izraf mengusik.

Aina menampar bahu Izraf. Boleh pula Izraf buat lawak macam tu, tahulah kaya-raya. Tu siap downgrade lagi nak suruh jadi spa theraphist, jambulah Izraf nanti kalau hari-hari dapat rawatan spa di rumah.

Anyway, kenapa Aina bergegas sangat nak pindah? Aina tak selesa ya duduk dengan famili abang?”

“Bukan tak selesa, famili abang pun famili Aina jugak. Cuma Aina rasa lebih baik kita duduk berdua, apa-apa hal dalam rumah tangga kita nanti, kita sendiri yang putuskan. Aina dah jemu asyik ikut telunjuk orang.”

Izraf sekali lagi terkedu. Terasa seperti Aina sengaja mengingatkan yang dia dipaksa mengikut kehendak orang lain walaupun dalam soal perkahwinan.

“Kalau macam tu kata Aina, tak apalah, hari ni jugak kita ke IKEA, pilih sofa dan dekorasi lain yang Aina suka. Rasanya dalam seminggu boleh selesai.Abang upah interior designer dari company papa jugak, jadi bolehlah runding nak mintak cepat. Aina... abang mintak maaf sebab tak dapat tolong selamatkan Aina daripada dipaksa kahwin dengan abang.”

Aina cepat tersedar, Izraf sudah tersalah anggap dengan kata-katanya. “Bukan macam tu abang, Aina cuma ingin mencorak hidup sendiri. Dah tiba masa kita mulakan keluarga kita sendiri, takkan nak menumpang kat rumah keluarga sampai ke tua.Aina nak pindah cepat-cepat sebelum Aina mula mengajar.Nanti Aina kerja, dah susah nak cari masa. Tentang honeymoon tu Aina tak kisah. Kalau nak pergi, kita pergi hujung tahun ni, kalau tak nak pergi pun tak apa. Aina tahu, Aina pelik sikit. I’m not crazy about travelling, for me it’s exhausting.

“Kalau macam tu kata Aina tak apalah, esok kita cari barang rumah,” jawab Izraf ringkas. Memujuk sendiri hatinya yang semakin menangis. Luaran nampak macam The Rock, tapi hatinya lembut macam tauhu. Biarlah. Izraf tidak mahu merumitkan lagi situasi antara mereka.

Aina mengangguk dan cuba mengukir senyuman ikhlas. Cukup sudah lelaki itu terluka akan kata-katanya. Siap kau mulut, lepas ini akan digam selama seminggu. Derhaka pada tuan, asyik cakap benda yang tak kena aje! Esok wajib kena daftar kursus etika dan protokol!


Bersambung...


*Novel AKU JATUH CINTA akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:

FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90

Terima kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.