Bab 22
“Hey!”
Haqym menyergah Aina yang sedang sibuk
menyelongkar laci. Aina terkejut sehingga terjerit kecil. Kedua-dua tangannya
cepat-cepat menekup mulutnya.
Beberapa orang guru memandangnya sepintas
dengan riak wajah tidak senang, mungkin kemesraannya dan Haqym menyakitkan mata
mereka, atau mungkin mereka menganggap Aina gedik, terjerit-jerit di bilik guru
begitu. Ah, Haqym yang salah! Sengaja mengusik dia walaupun sudah tahu dirinya
agak lemah semangat. Mahu dia cepat jadi arwah agaknya.
Sudahlah
semenjak dua menjak ini Aina perasan yang guru-guru lain seakan tidak begitu
menyenanginya. Hairan betul. Entah apa salah dia pada mereka. Sekali-sekala
tertangkap juga di pandangannya akan mulut-mulut yang mencebik dan muka
menyampah yang dipasang oleh beberapa orang guru perempuan. Tapi kalau guru
lelaki,bukan
main baik lagi dengan Aina, pijak semut pun tak mati kalau di depannya. Sekadar
dibelanja dengan macam-macam makanan dan tolong itu ini sudah jadi perkara
biasa.
Bukannya dia yang
mengada-ngada meminta, tidak pernah sama sekali. Bukan sifatnya meminta-minta,
apatah lagi nak menggedik. Tetapi ada sahaja yang tiba-tiba menjadi
sukarelawan. Aina pun kenalah menjaga air muka mereka, takkan nak menolak pula
orang dah susah-payah cuba berbuat baik. Mungkin guru-guru lain meluat melihat
jejaka-jejaka itu berebut-rebut berbuat baik dengannya, atau mungkin mereka
menganggap dia yang cuba menarik perhatian lelaki. Sumpah tidak pernah
terlintas di hatinya niat begitu. Dia pun ada harga diri, tambah-tambah lagi
statusnya isteri orang.
Kenapalah perkara begini
selalu saja terjadi padanya, ini bukanlah kali pertama dia tiba-tiba dibenci
oleh kaum wanita tanpa sebab. Semasa belajar dulu pun begitu juga. Ingatkan
boleh mendapat ramai kawan, tapi dapat lawan pula.
Sedih betul! Yang nampak
ikhlas baik dengan Aina hanya Haqym ni, itu pun tak habis-habis memberi kejutan
kepada jantungnya. Kalau Aina lapar, sudah lama dia telan mamat yang dah nampak
kecil sangat di matanya ketika ini.
“Wow, wow, relaks. Ini Haqym yang kacaklah,
bukan optimus prime. Kaki latah betul rupanya cik mek molek yang seorang
ni,” seloroh Haqym mati apabila melihat Aina menyeka tubir matanya.
Aina menangis! Hanya kerana gurauannya? Haqym
serta-merta rasa bersalah. Mungkin Aina benar-benar terkejut, agaknya gurauan
Haqym dah keterlaluan kali ini. Perlahan-lahan Haqym menarik kerusi dan duduk
di sebelah Aina.
“Awak, saya mintak maaf sangat-sangat. Saya
gurau aje, tak sangka awak sedih macam ini sekali. Forgive me? Come on now,
big girl don’t cry. Awak janganlah cengeng.”
Sudahlah buat dia menangis, sekarang mengata
Aina cengeng pula? Ini sudah lebih!
“Saya menangis bukan kerana sedih, saya
terperanjatlah! Semangat saya terbang entah ke mana, tahu tak? Kan saya dah
kata jangan mengusik macam tu lagi. Bodoh sangat ke tak faham-faham!”
Aina menyemburkan kemarahannya tanpa
memikirkan perkataan yang ingin diucapkannya terlebih dahulu. Kepalanya
sebenarnya sebu memikirkan nasib dirinya, sudahnya Haqym yang terkena tempias.
Biarkan, mungkin ini yang guru-guru lain hendak tengok. Merekakan nampak tak
senang dia baik dengan Haqym, bergaduh begini mungkin mereka lebih suka. Satu
dua orang mula perasan akan ketegangan antara Aina dan Haqym. Baguslah,
bolehlah menonton siaran langsung sandiwara semasa, versi tak ada cut!
“Yes, it was a bad joke, I agreed. Tapi sampai hati awak
kata saya bodoh. Hmm, tapi tak apalah, memang saya bodoh pun tak habis-habis
mengganggu awak.” Haqym bersuara rendah sambil bangkit dari kerusinya.
Jelas nadanya berjauh hati. Aina yang masih
panas hati terhadap Haqym bertambah marah. Mengapa pula Haqym yang hendak
terasa, sedangkan Aina yang menjadi mangsa dan sepatutnya berang.
“I hate you!”
Hanya perkataan itu yang
terlintas di otaknya untuk menumpahkan segala kemarahannya terhadap Haqym. Aina segera bangun dan berlari ke tandas dengan muka
merah padam. Apabila Aina kembali ke tempat duduknya, Haqym sudah tiada.
Mungkin dia telah ke kelas. Menyedari yang dirinya juga sudah agak terlewat,
Aina mengambil beg kertas berisi kek yang ingin dibawanya ke kelas berserta
buku-bukunya.
Bersambung...
*Novel
AKU JATUH CINTA terbitan ALAF 21 akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh
tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata.
Penulis boleh dihubungi di:
FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90
Terima
kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.