Bab 23
Sebaik sahaja meletakkan buku-buku dan beg kertas yang dibawanya, Aina
memulakan sesi itu dengan mood yang tidak seceria awal pagi tadi.
Semuanya gara-gara Haqym. Kini Aina menjadi ragu-ragu terhadap penerimaan
kelasnya akan hadiah yang dibawa untuk mereka. Terlanjur telah membawanya
bersama, Aina bertekad untuk meneruskan juga niatnya itu.
Alang-alang menyeluk pekasam, mahu tak mahu
belakang kira. Tambahan pula, beberapa orang pelajar yang duduk di baris
hadapan masing-masing berusaha memanjangkan leher macam burung unta,
terjengah-jengah mahu mengintip isi kandungan beg itu. Mungkin kalau beg itu
terletak betul-betul di hadapan mereka, dah masuk agaknya kepala ke dalam beg
itu.
Rakus! Aina memegang beg kertas
itu dengan kedua-dua belah tangannya tanpa mengeluarkan isinya lalu berjalan ke
hadapan papan tulis.
“Kelas, saya tak
serik-serik lagi hendak berbaik dengan kamu. Hari ini saya bawakan kek untuk
kamu, saya buat sendiri malam-malam buta tau? Kesian saya, tengah demam-demam
pun gigih jugak buat untuk kamu. Jadi, saya harap kamu boleh terima pemberian
saya dengan baik kali ini. Tak sanggup saya nak tengok kalau-kalau ada yang
mendarat dalam tong sampah. Jangan takut, saya buat sendiri bukannya nak
guna-gunakan kamu. Saya belum hafal mantera lagi. Ini cuma usaha saya supaya
hubungan kita sekelas akan lebih baik dari sekarang. Baik sikit pun dah kira
okey.” Biarlah kalau dah sampai tahap meminta simpati.
Aina mengeluarkan bekas
kek yang lutsinar sehingga menampakkan kek lapis yang berwarna-warni di
dalamnya.
“Jadi macam mana, ada
sesiapa tak yang sudi mencubanya?”
Suzana yang paling awal
sekali bangkit menyahut seruan. Mana tahan, kek lapis itu nampak menggiurkan!
Razali yang sememangnya gemar mengusik Suzana tidak melepaskan peluang itu
untuk mengenakan Suzana.
“Amboi, kalau bab makan,
dia mesti jadi yang first. Tak kira sempit mana pun ruang antara meja,
dapat saja dia menyelit.” Berderai ketawa para pelajar kelas itu.
Wajah
Suzana berubah muram. Tiada riak marah, namun jelas sekali dia cukup malu dan
berasa rendah diri dengan usikan itu. Aina tidak mampu ketawa, hatinya jatuh
simpati terhadap Suzana. Suzana yang ketika itu sudah berada di hadapan Aina
tidak jadi mengambil kek itu. Aina menjadi marah terhadap Razali yang bergurau
secara keterlaluan itu. Tidak pasal-pasal satu-satunya orang yang sudi menjamah
kek itu membatalkan niatnya.
“Razali, kalau nak
bergurau pun kenalah bertempat, ada batasnya setiap perlakuan kita. Tak baik
awak ejek Suzana macam tu. Cuba letakkan
diri awak dalam keadaan dia. Apa agaknya perasaan awak kalau awak yang jadi
mangsa? Pesanan ni bukan untuk Razali seorang
ya, tapi seisi kelas ini. Saya tak rasa gurauan seperti ini kelakar. Nak
bergurau biar berpada-pada,” kata Aina sambil memerhati wajah
pelajar-pelajarnya seorang demi seorang. Semuanya terdiam dan kelihatan serba
salah. Aina tidak mahu memanjangkan lagi suasana kekok itu.
“Razali, saya tahu sebenarnya awak yang
teringinkan kek ni, sebab tu awak dengki Suzana datang dulu, kan?” Aina
mengusik kembali untuk menceriakan suasana.
“Oleh itu, saya akan amanahkan kek ini pada
Suzana, siapa yang berminat sila tuntut bahagian kamu dengan dia. Kalau tak
mahu, biar semua sekali Suzana yang ambil.” Wajah Suzana dah macam lampu lip-lap terang-benderang, terlalu
gembira menerima bekas kek itu. Belum pun sempat Suzana mengambil tempat duduk,
ahli kelas yang lain telah mengerumuninya.
“Sakitlah, woi!” Kedengaran jeritan kecil Cam
apabila bahunya ditumbuk oleh Shafiq.
“Shafiq, kenapa awak tumbuk Cam?Awak
tu lelaki, mana boleh pukul perempuan.” Aina segera masuk campur. Bahaya dibiar
lama-lama, nanti ada yang bertomoi dalam kelas.
“Perempuan apa macam ni, Cik Aina? Dia ambil
kek tu penuh genggam, Cik Aina potong kecil-kecil pun tak faham-faham lagi. Melantak
tak ingat dunia, habis tu orang lain makan Tupperware ajelah nanti,” tukas
Shafiq tidak puas hati. Cam tergelak lalu melarikan diri kembali ke tempat
duduk bersama hasil yang berjaya dirembatnya. Aina turut tergelak, terhibur
melihat telatah mereka.
“Kamu semua ni tak matang langsung, tahu tak?
Macam tak percaya aje kamu dah 19 tahun bila tengok perangai kamu. Cuba bawa
bertenang, jangan panik. Banyak lagi tu, buat apa nak berebut.”
Aina mengomel walaupun dia sendiri masih
ketawa. Puas hatinya melihat mereka memberi sambutan hangat terhadap
pemberiannya. Rasa begitu dihargai sekali. Hanya Danial yang tidak menunjukkan
sebarang minat. Sesekali dia memandang Aina, apabila matanya bertentangan
dengan mata Aina, Danial cepat-cepat membuang pandangannya ke luar jendela.
Renungannya jauh ke padang rumput yang subur
menghijau itu. Seperti ada masalah lagaknya. Apa agaknya masalah dia, hari tu
bukankah Danial cuba berbaik dengan Aina? Sekarang dah macam ais batu semula,
sukar difahami betul! Tumpuan Aina terhadap Danial terganggu apabila mendengar
namanya dipanggil oleh Hawa.
“Eh... ehCik Aina, betul ke Cik Aina
buat sendiri kek ni?Tengok warna pun bukan main meriah lagi.”
“Betullah, resipi turun-menurun keluarga tu.Tak
berani makan ke tengok warna tu? Atau tak sedap?”
“Eh, sedap Cik Aina! Nanti buatkan lagi tau?
Kalau hari-hari lagi bagus. Boleh jimat kos, tak payah ke kantin lepas ni.”
Mazlan terlebih dahulu menjawab soalan Aina dengan mulut yang sebu. Aina ketawa
gembira. Macamlah boleh kenyang makan kek tu saja, tapi kalau tengok gaya
Mazlan membaham, ada kemungkinan juga boleh kenyang.
Danial mengerling tidak percaya melihat
kelakuan Mazlan.
“Hei, kau ni Lan, macam dah lapan tahun tak
jumpa makanan! Buat malu betul!” sergahnya sambil menyiku tulang rusuk Mazlan.
Mazlan terkekeh-kekeh mengelak. Jelas dia tidak ambil hati dengan teguran
Danial.
“Memang sedap, Cik Aina. Mintak resipi
boleh?” tanya Marliana pula.
“Lebih-lebih nampak? Sekarang ni kelas
Ekonomi, bukan Ekonomi Rumah Tangga, jangan tersilap pulak. Nasib baik kamu tak
ajak saya main masak-masak dalam kelas. Saya tak mahu tulis resipi kat papan
tulis ni, nanti tak pasal-pasal jadi isu, silap subjek. Apa kata saya tuliskan
cantik-cantik kat atas kertas, nanti dalam kelas akan datang baru saya bagi
kamu? Hah, berapa orang yang nak?”
Hampir separuh isi kelas mengangkat tangan.
Yang lelaki pun ikut-ikutan hendak juga.
‘Mampus! Yang aku gatal mulut nak offer
tadi
kenapa? Boleh patah jari nak tulis lebih kurang 20 salinan,’ Aina rasa
seperti hendak ketuk kepala sendiri.
“Aidil, awak jangan nak mengada.Takkan
awak pun nak buat kek jugak? Orang lain angkat tangan, awak pun ikut
jugak. Pantang menolaklah kamu semua ni. Okey,kalau yang semua
betul-betul nak, saya tulis satu saja lepas tu kamu fotokopi sendiri.Tak
larat saya nak tulis dengan tangan satu-satu. Nanti saya bagi ya.”
Aidil tersengih bagai kerang busuk. Yang lain
tersenyum girang.
“Aku nak yang original, nak bingkaikan kat
bilik tidur!” Cam menyampuk seperti biasa dengan kenakalannya. Danial mengerling
Cam dengan geram. Cam bersandar santai sambil menggoyang-goyangkan kerusinya
seperti kerusi malas. Silap goyang sikit boleh terjerembab budak ni. Cam
sengaja mengangkat keningnya ketika berpandangan dengan Danial, tanda ingin
mencabar. Danial mengetap giginya rapat-rapat, nafsu T-Rex untuk makan orang
ketika ini harus dikawal di hadapan Aina.
“Amboi, resipi saya awak
nak buat khazanah muzium pulak ya Cam? Memang saya dah agak, tak adanya awak tu
betul-betul nak buat kek. Buang tabiat kot. Suzana, simpan kek tu. Lepas kelas
ni kan waktu rehat, nanti baru kamu sambung semula. Dah, masa makan-makan dah
tamat, jomkita
sambung topik yang lepas. Dah makan, dah bertenaga, sekarang tengok saya ajar
betul-betul. Jangan bazirkan tenaga yang saya bekalkan tu dengan bersembang
atau buat kerja lain yang tak relevan.” Aina berleter seraya menuju ke arah
papan tulis.
Fuh, kuat berleter juga si cantik manis ni
rupanya. Kena belajar rajin tadah telinga lepas ni.
Bersambung...
*Novel
AKU JATUH CINTA terbitan ALAF 21 akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh
tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata.
Penulis boleh dihubungi di:FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90
Terima
kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.