Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU JATUH CINTA
AKU JATUH CINTA
anna nabila
7/7/2014 23:38:05
128,767
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 7

Bab 7


Bunyi kompang bergema meriah menambahkan gundah-gulana di hati Aina. Sanak-saudara dan rakan taulan riuh-rendah, berebut-rebut mahu melihat rombongan pengantin lelaki dari jendela rumah.

“Kak Aina, rombongan Abang Izraf dan sampai. Kak Aina dah ready?” Suara Ilhami menerpa telinga Aina membuatkan dia semakin resah.

Sudah dua jam mak andam selesai mendandan Aina. Namun masa dua jam itu dirasakan Aina bagaikan dua tahun lamanya. Kenapalah lemah-gemalai sangat rombongan pengantin lelaki ni nak bergerak, kura-kura pun dah lama berehat sambil menghirup air oren, rombongan lelaki masih control ayu lagi.

Gemuruh punya pasal, setiap selang dua minit Aina terasa seperti mahu ke tandas, nak kata terlebih minum air pun tidak juga. Kalau rombongan tak sampai-sampai lagi, silap-silap rombongan perempuan yang ke hospital menghantar Aina yang kekurangan air dalam badan. Mahu taknya, minum tidak, tapi jadi pengunjung setia tandas. Aduh, cepatlah Emir Izraf, tamatkan gementar di hati, kalau nak undur diri pun silalah maklumkan awal-awal. Penantian itu suatu bentuk penderaan, mental dan fizikal, okey!

“Kak, jomlah! Pengantin lelaki dah tunggu kat luar tu. Yang akak nak berlama-lama buat apa, habis cair mekap kang!” sergah Ilhami. Geram melihatkan tingkah Aina, seperti kucing hendak beranak lagaknya. Kucing hendak beranak pun lebih senonoh berbanding Aina,jengkel rasa hati Ilhami, allergic tengok tingkah Aina.

Lor... ye ke? Habis yang dibiarkan menunggu sampai dua jam tadi kenapa? Ini sabotaj! Tak berhati perut punya adik. Hitler!

“Kenapa tak panggil akak dari tadi, ni dah dua jam tunggu, mekap pun dah sememeh. Rasa macam patung lilin tengah mencair, panas tahu tak?” marah Aina.

“Mana ada dua jam, baru 20 minit mak andam keluar, Ami saja bagi akak tempoh bertenang,” usik Ilhami.

Banyaklah dia punya tempoh bertenang, nak kena serangan panik adalah.

“Betul baru 20 minit? Rasa macam dah dua jam. Ami salah tengok jam kot.”

“Tahulah dah tak sabar nak nikah, jangan gelojoh sangat kak. Kawal sikit perasaan tu,” balas Ilhami.

Kepuk!

Hah, kan dah kena sedas kat kepala tu. Sempat lagi mencurah minyak ke api. Sudah, kalau diteruskan berbalah dengan Ami, silap-silap biul budak ni nanti asyik kena tenyeh kepala. Gegaran otak tahap 7.8 skala richter.

“Mana mak? Kak tak mahu keluar kalau mak tak ada. Pergi cari mak, cepat Ami!” Suara Aina kedengaran begitu cemas sekali.

“Hisy, banyak songehlah akak ni.Ami mana tahu mak kat mana. Ramai betul umat manusia kat luar tu.” Ilhami merungut-rungut tidak puas hati dengan tingkah manja Aina.

“Ala, telefon kan ada, Ami telefonlah! Pergilah cepat!”

Ilhami dengan mulutnya masih berleter keluar juga pergi mencari Hajah Aishah. Tidak lama kemudian, Ilhami muncul di muka pintu bersama Hajah Aishah yang juga kelihatan cemas. Ini bukan nak membantu meredakan gemuruh, silap-silap sama-sama kena serangan panik.

“Aina tunggu apa lagi ni, jom kita keluar.Tok Kadi dah tiga kali bertanyakan pengantin perempuannya mana. Aina, Aina tak berubah fikiran, kan?”

“Isk tak adalah mak, Aina dah redha pun. Cuma nak tanya mak, okey tak mekap Aina ni? Macam overdoneaje. Aina pun sampai dah tak kenal muka sendiri,” kata Aina, kecoh membetul-betulkan tudung krim bertaburkan batu swarovski yang dipakainya, senada dengan baju kurung moden berona sama yang juga ditaburi batu permata itu.

Dah lip-lap, lip-lap macam pokok krismas rasanya. Pening tok kadi tengok nanti, entah-entah terus lupa skrip. Ini semua salah Datin Hanim yang beria-ia hendak menyediakan sendiri pakaian pengantin perempuan, patutnya Aina sudah dapat mengagak keterujaan Datin Hanim hendak menyambut menantu, mungkin habis satu kedai diborongnya batu permata itu. Nak pakai pun rasa berat sepuluh tan. Rimas.

Demi kerana ingin menjaga hati bakal mentua yang sudah bersusah-payah untuknya, mahu tidak mahu Aina gagahkan juga menyarung persalinan itu. Jangan disalahkan dia jika tiba-tiba baju itu tertanggal di hadapan khalayak nanti, berat sangat hendak ditampung oleh badan Aina yang mini!

“Okey sangat tu, cantik macam bidadari dah anak mak ni,” gurau Hajah Aishah yang sengaja mengusik Aina. Huh, macamlah mak pernah tengok bidadari secara live. Agak-agaklah kalau nak memujuk pun, modal biar nampak kukuh.

“Alamak, Aina nak pergi toilet pulak ni mak. Macam mana ni?”

“Macam-macamlah akak ni, dah, tahan aje dulu!” Ilhami mendorong tubuh Aina keluar. Ibunya pula bekerjasama menarik tangan Aina. Kalau dibiarkan, sampai ke sudah Aina tak akan muncul dari tempat mengeramnya itu. Ini main paksa-paksa sangat, kalau Aina terkucil masa nak akad nanti, tak ke haru jadinya?

Sebaik sahaja keluar di muka pintu, riuh kedengaran bisik-bisik orang ramai memuji kejelitaan pengantin. Izraf yang sedang duduk bersila cepat mengangkat wajah memandang Aina. Matanya terpaku, bagaikan tidak percaya melihat kecantikan Aina. Aina memang sediakala cantik tanpa sebarang solekan, wajahnya yang polos sudah cukup menggetarkan. Ditambah pula dengan solekan pengantin yang menyerlahkan lagi seri wajahnya, benar-benar membuatkan setiap mata kagum memandang. Yang lelaki jatuh cinta, yang wanita cemburu buta.

Benarlah kata orang, jika seseorang wanita itu tidak pernah bersolek, dia akan kelihatan cantik yang luar biasa pada hari perkahwinannya kerana orang lain belum pernah melihat wajahnya dihias indah. Kalau yang sudah biasa bersolek, pakailah alat mekap sepuluh inci tebal pun, tetap nampak lemau juga.

Masa berlalu begitu pantas. Upacara akad nikah berlangsung lancar. Hanya dengan sekali lafaz, Aina sah menjadi isteri kepada Izraf. Aina curi-curi menyapu air mata yang bertakung di tubir matanya ketika bacaan doa kesyukuran. Haru dan sebak terasa. Namun, semuanya dirasakan Aina berbaloi saat melihat Datin Hanim yang turut hadir kelihatan lebih sihat, malah wajahnya berseri-seri dek terlalu gembira.

HajahAishah pula menitiskan air mata. Mak ni memang ratu air mata. Gembira sangat agaknya kerana anak gadisnya sudah ada yang melindungi, juga berbaur sedih kerana terpaksa melepaskan Aina yang kini telah menjadi milik orang.

Sedar-sedar, Izraf sudah melutut di hadapan Aina untuk bersalam. Sejuk tangan Izraf ketika Aina mencium tangannya. Tapi boleh tahan hangat pula kucupan ringkas yang dihadiahkan Izraf ke dahi Aina. Ada masalah mengawal suhu badan lelaki ini, tangan sejuk, mulut panas. Peredaran darah tidak berjalan lancar.

Rasa hangat itu cepat menjalar dan menyusup hingga ke dalam relung kalbu Aina. Para hadirin sempat meminta Izraf ulang tayang mencium Aina kerana tidak sempat menangkap gambar. Gamat gelak ketawa tetamu yang hadir memeriahkan lagi suasana, usikan jangan cakap, sampaikan Izraf yang macho pun tersipu-sipu dibuatnya.

Majlis tamat lewat, sudah lebih dari pukul 10.00 malam. Walau tiada persandingan, majlis itu tetap meriah dengan kehadiran tetamu yang membanjiri halaman rumah Haji Hafizuddin. Sengaja Aina menolak tawaran Datin Hanim untuk bersanding, tidak manis rasanya kerana bersanding hanyalah adat semata, tak nampak pun sebarang manfaatnya. Izraf seperti biasa, tidak banyak songeh, akur sahaja dengan kehendak Aina. Apa yang penting, Aina Humaira sudah bergelar isteri kepada Emir Izraf.

USAI majlis, masih tinggal segelintir sanak-saudara yang sedang sibuk mengemas rumah dan khemah kenduri. Aina sudah masuk ke bilik, berkira-kira mahu mandi dan solat isyak.

Belum sempat Aina menanggalkan mekap, Izraf tiba-tiba menyelinap masuk ke bilik pengantin. Sebenarnya Aina terkejut dengan kehadiran Izraf, namun dia berpura-pura tidak kisah untuk menutup kegelisahan di hatinya. Jantung ni pun tiba-tiba buat hal, tadi normal saja, sekarang berdegup tak menentu. Ada gangguan ritma berlaku.

“Assalamualaikum, Aina... tengah buat apa tu? Dah solat?” sapa Izraf.

“Waalaikumussalam. Tak buat apa pun, saja duduk-duduk. Letih! Aina baru nak mandi, nanti Aina solatlah,” jawab Aina berlagak selamba, walhal hatinya sudah tidak keruan, risau jika Izraf meminta haknya sebagai suami.

Orang ramai pun belum surut di luar rumah, tak manis rasanya jika mereka sudah berkurung di dalam bilik. Apa yang Aina takutkan adalah apabila bagaimana hendak bereaksi seandainya Izraf menyentuhnya dengan sentuhan seorang suami. Sedangkan sekadar bersalaman tadi pun Aina sudah cukup resah gelisah.

“Hmm... tak apalah. Nanti Aina solat sendiri ya?Abang ingat abang nak balik dululah. Aina penat kan, dan abang tahu Aina pun masih segan dengan abang. Sejak perjumpaan kita kat resorthari tu, kita tak jumpa pun sehinggalah hari ni. Abang ingat nak bagi masa pada Aina, biarlah Aina biasakan diri dulu dengan status baru Aina. Abang pulang ya, Aina izinkan tak?”

Serta-merta sebak menyerbu dada Aina. Sungguh dia tidak menyangka Izraf akan memahami keadaannya, malah bertolak-ansur sehingga begitu sekali. Izraf rela melepaskan haknya yang ada di depan mata, demi keselesaan hati Aina.

Aina hanya mampu mengangguk, sedaya-upaya cuba menahan air mata yang bakal runtuh empangannya bila-bila masa sahaja. Izraf menghulurkan tangan tanda mahu bersalam. Aina cepat menyambut salamnya disertai ciuman di tangan Izraf. Kali ini dia ikhlas. Betul. Izraf tunduk dan mengucup dahi Aina sekilas sebelum melangkah meninggalkan Aina.

Namun, apabila tiba di muka pintu, langkahnya terhenti dan setelah kelihatan seperti berfikir seketika, Izraf kemudian berbalik semula ke arah Aina. Izraf terpaku berdiri di hadapan Aina, kelihatan teragak-agak mahu bersuara. Ainamengadahkan wajahnya, menatap Izraf hairan.

“Err... Aina, err, kalau nak peluk sikit Aina bagi tak?” Izraf yang teragak-agak meminta nampak begitu comel menyebabkan Aina tidak dapat lagi menyembunyikan senyumannya. Hmm, nak test perasaan menjadi seorang suamilah tu.

Aina menimbangkan seketika, tidak sampai hati pula hendak menolak permintaan Izraf yang kedengaran begitu polos sekali. Izraf tak minta lebih pun dah cukup baik. Aina mengangguk kemudian mendepakan tangannya. Pada mulanya Aina dan Izraf masing-masing kekok, namun sebaik sahaja tubuh kecil Aina tenggelam di dalam pelukan Izraf, dunia bagaikan terhenti seketika. Kedua-duanya terkesima tidak mengerti. Lama dan syahdu pelukan Izraf, kemudian dia mencium kepala Aina, juga lama. Akhirnya Izraf lepaskan pelukan dan melangkah pergi dengan senyuman kelat.

Meruntun-runtun rasa bersalah menyerang hati Aina. Terasa betapa khilafnya dia kerana tidak menyediakan dirinya buat Izraf.Masih terasa selesanya pelukan Izraf. Rasa selamat yang terlalu sukar untuk ditafsirkan. Macam itu ke rasanya bila dah kahwin?


Bersambung...


*Novel AKU JATUH CINTA akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:

FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90

Terima kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.