Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU JATUH CINTA
AKU JATUH CINTA
anna nabila
7/7/2014 23:38:05
128,602
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 14

Bab 14



     Selesai sarapan, Aina kembali ke bilik guru. Aina sempat menyapa beberapa orang guru lain sepanjang perjalanan ke situ. Sekadar bertegur ala kadar, mereka pun nampaknya kurang berminat untuk berkenal-kenalan dengan lebih mesra. Hmm, tak apa, cuba berfikiran positif, mungkin mereka sedang bergegas ke kelas. Aina cuba menenangkan diri sendiri.

Aina merapikan mejanya sebelum mula memeriksa kertas ujian yang diedarkannya di dalam kelas sebentar tadi. Tidak sampai sejam, semuanya telah habis disemak. Manakan tidak, banyak soalan yang hanya dibiarkan kosong tidak berjawab. Jika dijawab pun kebanyakannya hanya jawapan merapu. Terbuntang mata Aina melihat ada yang menulis lirik lagu di ruangan jawapan, kerja siapa lagi kalau bukan kerja Shafiq.

Aina benar-benar sakit hati. Jika jawapan yang diberikan itu salah, namun dari segi jawapan mereka telah mencuba sedaya-upaya, Aina tidak akan terkilan. Tetapi sebaliknya, mereka seperti sengaja mempermainkan Aina. Ketara sungguh tidak ada sebarang usaha pun ditunjukkan oleh pelajar-pelajar itu. Hanya Marliana, Norul dan Clare sahaja yang lulus, itu pun sekadar mendapat gred C. Yang lain gagal.

Hati Aina semakin membara apabila melihatkan kertas soalan Mazlan dan Danial langsung tidak dijawab. Kertas tersebut masih rapi seperti baru keluar dari kilang, langsung tidak diusik! Sophie Camilia pun sama, boleh pula dia menjawab hanya sebahagian soalan, berselang-seli mengikut nombor soalan pula tu! Apa dia lempar dadu dahulu sebelum buat keputusan soalan mana hendak dijawab?

‘Dia ingat suka-suka dia saja nak jawab yang mana, boleh pula main pilih-pilih. Dalam arahan dah terang lagi bersuluh kena jawab semua soalan, ini sesedap rasa dia sahaja hendak jawab ikut suka hati. Suzana pula apa masalahnya, jawab dua soalan saja. Kalau tengok rupa nampak macam budak baik, selalu duduk diam saja di dalam kelas.’ Hati Aina panas berbahang.

Aina yang masih membelek-belek kertas ujian tersebut tidak menyedari Haqym sudah berdiri di belakangnya sambil menjengukkan kepala untuk melihat kertas tersebut.

“Amboi, hari kedua dah bagi ujian kat budak-budak. Ni yang kagum tahap maksima, dedikasi betul!” seloroh Haqym.

Suara Haqym yang begitu dekat di telinganya membuatkan Aina terkejut sehingga hampir terjatuh dari kerusi. Mujur Haqym sempat memegang belakang kerusi itu. Apa lagi, bagai menjolok sarang tebuanlah, bergurau tak kena masa.

Aina yang sememangnya tengah bengang tidak semena-mena terus menyembur Haqym kerana membuatkan dia terperanjat sebentar tadi.“Apa ni, Haqym! Janganlah datang senyap-senyap macam tu, tiba-tiba dah berdiri kat belakang orang. Saya terkejut, tahu tak! Kalau ada sakit jantung, darah tinggi, kencing manis ke, tak pasal-pasal saya dah jadi arwah!”

Haqym tergelak besar mendengarkan bebelan Aina. “Ei muda-muda dah kuat membebel. Saya dah lama berdiri kat situ, awak yang tak perasan. Itulah, khusyuk sangat menghadap kertas ujian tu. Lagi satu yang saya musykil, kenapa kencing manis ada kena-mengenapulak dalam kes ni? Orang diabetes kalau terkejut boleh mati ke? Ingatkan orang lemah jantung aje tak boleh terkejut. Hmm, pengetahuan baru ni. Eh, mintak dijauhkan penyakit-penyakit itu dari awak. Kesian muda-muda macam ni dah kena penyakit.”

“Awak yang buatkan saya terkejut, ada hati nak kritik saya pulak! Suka hati sayalah nak keluarkan teori apa sekali pun. Awak tu bercakap pandai, macamlah awak tu doktor.”

“Memang saya doktor pun, doktor hati. Kalau sakit hati, datanglah jumpa saya, insya-ALLAH saya boleh rawat. Kaedah rawatan menggunakan senda gurau, pujukan saya, malah sekadar menatap wajah kacak saya ni pun dah cukup untuk menyembuhkan tau?”

Aina semakin geram dengan tingkah Haqym yang tidak habis-habis bergurau. Aina tidak membalas gurauan itu, sebaliknya menunjukkan muncungnya yang panjang sedepa membuatkan ketawa Haqym pecah lagi. Kelakuan Aina benar-benar menghibur hatinya. Sungguh gadis ini tidak menyedari, betapa mudahnya dia menarik hati jejaka walau dalam keadaan dan reaksi bagaimana sekali pun. Kalau dah tengah marah pun nampak comel, apatah lagi di kala dia tengah berceloteh ataupun ketawa. Lagilah jatuh cinta berkali-kali rasanya.

Haqym mengalah, tidak betah dia melihat wajah itu terseksa membuat mimik sedemikian lama-lama. Lagi pula kalau tiba-tiba Aina ditakdirkan mendapat kancing gigi di saat itu, mahu kekal mulutnya menjuih begitu. Sadis!

“Okeylah, saya mintak maaf. I’m the one who was wrong and always will be, sincere apology from your humble servant, tuan puteri.”

Masih tiada reaksi daripada Aina. Darjah muncungnya masih sama. Mungkin sedang menimbang-nimbang keikhlasan permohonan maaf Haqym.

“Sudahlah ya, awak janganlah marah lagi, tak sanggup saya tengok muncung awak tu. Menawan sangat! Kalau marah jugak, terpaksalah saya mengembara cari hati nyamuk dan hati kuman serba tujuh dulang untuk awak. Mana nak cari di zaman moden ni, kesian saya. Kalau hati ayam tak apalah jugak, kena gigih ke pasar pagi-pagi buta aje, tentu ada dijual.”

Aina akhirnya tergelak. Kalah dia dengan pujukan Haqym yang terlalu kelakar pada pendengarannya. Mamat ni memang sentiasa ceria, seperti tidak pernah ada masalah sahaja. Ada sense of humour yang bagus.

“Dah, tak payah nak mengembara bertapa bagai. Appology is accepted. Iam sorry too, marah-marah awak sebab hal kecil macam ini.Sebenarnya saya tengah stres tengok kertas ujian budak-budak ni,” suara Aina berubah lembut seperti biasa. Ada senyuman kecil di bibirnya. Tiada tanda-tanda bakal berubah menjadi Hulk. Keadaan selamat.

“Awalnya dah bagi ujian? Ala biasalah, budak kelas hujung, memang nakal macam tu. Kena banyak bersabar dan mendekati dia orang secara perlahan-lahan. Awak kena cari formula untuk menjinakkan hati mereka. Jangan menuntut ilmu jampi serapah sudahlah. Dan jangan pulak awak mengalah macam Cikgu Laura, dia awal-awal dah surrender sebab dibuli mereka, mana boleh mengalah sebelum berjuang, kan?”

Hah! Kan dah kata! Mesti ada sebab pemergian Cikgu Laura yang misteri nusantara sangat tu. Patutlah mereka semua cuba merahsiakan cerita itu, bila tanya jawapan yang dia dapat; Classified. Mungkin mereka takut Aina juga akan angkat kaki sampai tak sempat pakai kasut.

“Ujian ni saya sengaja buat untuk tengok tahapdia orang. Tapi apa yang dapat saya rumuskan,dia orang ni memang tak ada kesungguhan dan minat nak belajar langsung, kecuali seorang dua. Itulah susah jugak kalau mak bapak kaya-raya, anak-anak pun langsung tak minat nak belajar. Apa nak susah-susah, tamat sekolah esok-esok title jutawan muda dah menunggu.Tak ada sebab untuk mereka perlu bekerja keras.”

“Bukan semua macam tu, ada jugak yang baik. Dan bukan semua tu anak orang kaya. Ada jugak ibu bapa yang kena berjimat sakan dan buat dua tiga kerja sampingan semata-mata nak hantar anak belajar kat sekolah swasta. Husnuzhon tu penting, berbaik sangkalah. Tak apa, awak berbaik-baik dengandia orangdulu, nanti mudah sikit dia orang nak terima awak dan akan lebih menghormati awak. Awak mesti boleh!” Haqym memberikan semangat baru buat Aina. Aina hanya tersenyum dan mengangguk. Insaf seketika. Dapat ceramah percumadaripada Ustaz Haqym. Syukur, Tuhan utuskan sahabat yang membawa ke jalan yang benar.

Anyway, tak nampak awak seharian ni rindu pulak rasanya. Baru jumpa sekejap, dah sampai masa balik pulak.” Sempat lagi Haqym mengusik Aina, membuatkan muncung Aina kembali memanjang.

Tengoklah tu, baru saja nak puji ada aura ustaz, dah bertukar jadi romeo. Nasib baik loceng berbunyi dan mematikan rajuknya sebelum sempat muncungnya semakin panjang.



Bersambung...


*Novel AKU JATUH CINTA akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:

FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90

Terima kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.


Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.