Semalaman Aina tidak
dapat tidur lena kerana sakit hati mengenangkan tingkah pelajarnya. Izraf pun
tidak pasal-pasal turut tidak tidur lena kerana Aina asyik berkalih ke kiri dan
kanan katil sepanjang malam. Tidur yang gundah-gulana. Lepas ini kena belajar
cara berhibernat senyap-senyap macam beruang kutub.
Hari ini tak kira apa pun yang berlaku, Aina
sudah bertekad, dia akan memberi ceramah percuma kepada pelajar Kelas 6 Delta.
Biar mereka merasakan pengalaman dibasuh cukup-cukup macam masuk mesin basuh
kereta automatik. Yang ini, servis percuma!
Aina melangkah penuh tenaga ke kelas itu.
Tenaga yang datang dari hati yang berbahang. Rasa macam seladang di gelanggang matador.
Seperti biasa, kelas itu tidak mengalu-alukan
kedatangannya dengan hormat. Nak harapkan sambutan karpet merah dan bunga
manggar, jauh sekali. Aina tidak membawa sebarang buku, hanya mendakap kertas
ujian mereka di dadanya. Dia sudah berazam untuk menghabiskan masa satu jam dua
puluh minit itu untuk aktiviti berleter.
Pelbagai nasihat dan
motivasi sudah dihafalnya sepanjang malam. Lagi larut malam, lagi produktif
otaknya berfikir sampai tak boleh berhenti. Sehingga ke alam mimpi pun dalam
sedar tak sedar Aina masih terbawa-bawa dengan skrip leterannya. Memang luar
biasa kemampuan otaknya, tapi masa nak menghafal untuk peperiksaan dulu, tak
begitu produktif pula. Hairan!
Sesudah memberi salam, Aina mengagihkan
semula kertas ujian yang sudah ditanda dan diberi markah itu. Hatinya semakin
jengkel apabila melihatkan kelakuan mereka yang saling membandingkan markah
masing-masing sambil bergelak ketawa. Tiada sedikit pun perasaan kesal terlintas
di wajah mereka, malah mereka kelihatan seperti berbangga pula dengan
pencapaian tersebut. Apalah nak jadi dengan budak-budak zaman sekarang. Kalau
zaman Aina belajar dulu, menangis-nangis bila dapat markah tak elok, malu
hendak tunjuk dekat mak ayah, padahal baru sekolah rendah. Ini yang dah besar
panjang pun masih tak ada kesedaran. Teruklah Aina kalau macam inilah gayanya.
Hanya tinggal beberapa kertas sahaja yang
masih berada di dalam tangan Aina, sengaja dia menyimpannya sehingga ke akhir
kerana baginya markah tersebut adalah antara yang paling teruk pencapaiannya.
“Untuk pengetahuan kamu
semua, hanya tiga orang yang lulus dalam ujian yang saya beri kelmarin, tahniah
kepada Marliana, Norul dan Clare. Yang lain semuanyagagal dengan markah yang
sangat-sangat teruk. Yang lulus, kamu jangan bangga dan berpuas hati pulak,
masih banyak ruang yang boleh kamu perbaiki.” Aina bersuara tegas tanpa seulas
senyuman pun di wajahnya. Marliana, Norul dan Clare mengangguk faham.
“Suzana, ambil kertas awak. Saya tak faham
kenapa awak jawab dua soalan aje. Kalau awak ada masalah, saya mahu awak jumpa
saya selepas kelas ini. Kalau awak tak mahu berkongsi dengan saya, tak apa.
Tapi, saya tak mahu awak buat seperti ini di masa akan datang. Saya akan adakan
ujian setiap bulan untuk memantau perkembangan kamu semua.”
Beberapa orang pelajar ketawa apabila Suzana yang bertubuh agak gempal
itu bersusah-payah bangkit untuk mengambil kertasnya.
“Kamu, Shafiq dan Razali, jangan nak gelakkan
dia pulak. Sekurang-kurangnya Suzana cuba menjawab dengan usaha sendiri. Kamu
berdua jangan ingat saya tak tahu kamu meniru ya, jawapan yang kamu beri 100%
sama sampaikan letak tanda koma pun sama, kalau betul tu tak apalah jugak, tapi
jawapan yang kamu beri memang menyimpang jauh. Buat pengetahuan kamu, saya
paling anti aktiviti tiru-meniru ni. Saya tak kisah walau sekecil kuman pun
kalau saya dapati kamu meniru, saya akan kosongkan terus markah kamu. Biar ibu
bapa kamu datang berjumpa saya, dan saya akan beritahu anak mereka mendapat markah
kosong kerana meniru.” Nak mengugut biar hati kering, kena ada gaya mafia
sikit.
Razali segera menyangkal, “Tapi Cik Aina,
bukan saya yang meniru. Shafiq yang tiru saya, tak adillah saya dapat kosong
jugak, penat saya jawab.”
“Saya tak peduli siapa
bagi tiru atau siapa yang meniru, hukumannya sama aje. Tak adil bagi kawan kamu
yang jawab dengan usaha sendiri. Kalau kamu tak mahu dihukum, maka jangan
sesekali bagi tiru. Saya amat tak suka perkaramacam ni, sebab kamu
seolah-olah anggap saya bodoh dan mudah dipermainkan.Jika di dalam kelas
semasa menjawab latihan, saya tak kisahlah kamu meniru kalau tak tahu. Tapi
kamu kena tanya kawan kamu yang tahu, macam mana dia dapat jawapan itu dan kamu
kena faham sebelum kamu menyalin
jawapan kawan kamu. Itu akan membantu kamu memahami cara menjawab yang betul. Namun dalam
ujian, saya takkan izinkan kegiatan ini sama sekali. Tujuan ujian dan
peperiksaan dijalankan adalah untuk menilai kamu.” Aina menjawab panjang lebar
dengan nada tegas.
Ramai yang menundukkan kepala, manakan tidak,
aura singa lapar dah mula terasa. Hanya Danial dan kumpulannya yang masih
kelihatan relaks, sedikit pun tidak menunjukkan tanda risau atau takut. Apatah
lagi rasa bersalah. Hampeh!
“Cam, ambil kertas awak. Saya tahu awak
pandai, semua yang awak jawab betul, tapi awak nakal sangat. Arahan suruh jawab
semua soalan, awak pilih soalan untuk dijawab berselang-seli. Awak nak bergurau
atau awak nak cabar saya?” Soalan Aina menyebabkan ketawa mereka sekelas pecah
berderai mendengar kenakalan Cam. Budak ni memang kreatif dengan macam-macam
idea kelakar.
Cam yang masih selamba
badak datang ke hadapan untuk mengambil kertasnya dengan perasaan bangga.
Mungkin kerana Aina memujinya pandai tadi. Hanya bahagian ‘pandai’ saja yang
berjaya menembusi telinga Cam agaknya. Aina mengetap bibir, geram macam hendak
dipulas-pulasnya telinga Cam.
“Mazlan, Rezal dan
Danial, ambil kertas kamu sekarang. Kamu langsung tak jawab apa pun tapi masih
boleh gelakkan kawan-kawan kamu. Kamu benar-benar menghampakan saya, saya tak
sangka kamu menolak untuk belajar sehingga ke tahap begini.”
Mazlan dan Rezal maju ke hadapan mengambil
kertas mereka, ada sedikit rasa bersalah terpalit pada wajah mereka, namun
Danial tidak mengambil kertasnya. Darah Aina semakin mendidih.
“Danial, awak tak mahu ambil kertas awak?
Atau awak nak suruh saya frame pada dinding kelas ini untuk buat
kenang-kenangan?”
Danial masih menjawab dengan santai, “Boleh
jugak kalau Cik Aina teringin nak buat. Tapi Cik Aina yang mini ni dapat ke nak
capai atas board tu untuk pakukan frame? Kalau agak-agak tak
sampai nak panjat, bagi kepada Rezal pun boleh juga, dia tu PAsaya.” Pecah lagi
ketawa pelajar kelas itu. Darah Aina menggelegak di paras seratus darjah
celsius.
“Diam semua! Saya tengah marah dan kecewa
dengan keputusan kamu, kamu boleh gelak lagi macam tengok filem Mr. Bean? Macam
mana saya nak bagi kesedaran kepada kamu? You are now in upper six,
STPM is just around the corner .Boleh pulak kamu buat sambil lewa dengan
peperiksaan yang akan menentukan hala tuju kamu kelak. Kamu tak sedar lagi ke
yang kamu sedang menghancurkan masa depan kamu? Sedih saya
dengan sikap kamu!”
Yang lain terdiam. Alamak singa dah
menunjukkan taringnya. Aina mengalihkan semula pandangannya ke arah Danial.
Yang seorang inilah Aina kena tarbiah cukup-cukup, yang lain hanya ikutkan dia
saja.
“Awak Danial, jangan nak loyar buruk sangat,
belum apa-apa dah ada Personal Assistant! Sekarang bukan masanya untuk
bergurau. Awak tu dah tiga tahun mengulang, umur pun dah 21 tahun, dah dewasa
sangat, jangan buat perangai macam budak hingusan. Sedarlah sikit! Saya tahu
awak anak orang kaya, dari fail awak yang saya baca, awak anak tunggal. Sudah
pasti awak anak kesayangan yang akan mewarisi segala harta. Tak perlu belajar
pun tak apa kerana harta untuk awak dah lebih dari cukup, sampai tujuh generasi
tak habis makan. Tapi ingat, itu bukan harta awak, itu harta ibu bapa awak yang
dicari dengan titik peluh
mereka.Awak hanya status menumpang pada kekayaan orang tua awak!
Tapi ingat kelas,
sekurang-kurangnya Danial takkan merempat mintak sedekah esok-esok. Kamu yang
datang dari keluarga biasa-biasa, bagaimana? Hanya dengan adanya ilmu dan
dengan izin ALLAH barulah kamu akan dapat mengubah nasib keluarga kamu. Tak ada
benda berharga yang akan datang bergolek, setiap satunya perlukan usaha.”
Seisi kelas terdiam setelah dijerkah Aina
dengan kata-katanya yang agak kasar, 90% daripada luahan kemarahan itu
ditujukan kepada Danial. Namun, di sebalik ceramah panjang itu, mereka akui ada
benarnya setiap butir kata yang keluar dari mulut Aina. Aina sudah tidak peduli
untuk cakap berlapik, yang penting mesejnya sampai. Lantaklah jika ada yang
terasa. Tadi macam gengster sangat, kan?
Danial bingkas bangun dengan wajah merah
padam lantas meninggalkan kelas tanpa meminta izin. Sempat ditolaknya kasar
kerusi yang menghalang laluan sehinggakan kerusi itu terpelanting ke sudut
kelas. Mungkin Danial sendiri tidak menyedari kekasarannya lantaran terlalu
marah. Dia tidak mengerling sekilas pun pada Aina.
Aina terkedu dengan
tindakan Danial. Berani sungguh dia buat begitu! Guru dalam kelas dibuatnya
macam tunggul sahaja, keluar ikut sesedap rasa dia, langsung tak hormat! Namun,
Aina tidak mampu membuka mulut untuk menghalang tindakan Danial. Akhirnya Aina
terduduk di kerusinya. Aina tidak menyangka begitu sekali cabarannya mengajar
kelas ini.
Kelas 6 Delta diam menikus menonton siaran
langsung perang yang baru dilancarkan dengan rasminya antara Aina dan Danial.
Kecut perut. Bukan mereka tak tahu perangai Danial kalau dah marah, pengetua
pun boleh ketar lutut dibuatnya. Nasib baik hanya setakat itu kelakuan Danial
tadi, itu pun mungkin Danial sudah menahan diri sehabis daya.
Danial ke tempat meletakkan basikal dan motor
dan terus menunggang motosikal MV Agusta F4CC miliknya keluar dari pekarangan
sekolah. Dia tidak perlu menunggu di kelas itu mendengar bebelan Aina.
Beraninya mulut kecil itu dengan lantang
memberi komen berkenaan
hidupnya? Apa yang Aina tahu tentang keluarganya, tentang ibu dan ayahnya?
Ah, Aina tidak tahu apa pun, dan dia tidak
akan pernah memahami apa yang ditanggungnya selama ini! Tiada siapa pun yang
mengerti!
MV Agusta bagaikan si kuda hitam yang gagah
meluncur laju membelah jalan raya pada kelajuan 200KMj. Deras dipacu rasa marah
yang meluap-luap.
Bersambung...
*Novel AKU JATUH CINTA terbitan ALAF 21 akan berada di
pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan
autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:
FB:
https://www.facebook.com/anna.nabila.90
Terima
kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.