Bab 25
“Baik kelas, setakat ini sahaja untuk hari ini. Untuk minggu ini, kita
sudah pun belajar tentang tajuk keanjalan permintaan, serta tajuk teori
permintaan dan perlakuan pengguna. Saya harap kamu akan ingat perbezaan
keluk-keluk tersebut berdasarkan perbezaan kes.”
Mendengar suara Aina menamatkan kelas, baru
nampak beberapa orang pelajar terpisat-pisat bangun dari mimpi di siang hari.
Eh kelas dah nak habis ke?
‘Apa pula yang Cik Aina sebut
keanjalan-keanjalan tu, rasanya kulit mereka semua memang masih anjal-anjal
belaka, belum perlu pakai produk apa-apa untuk meningkatkan keanjalan kulit.’
‘Err, perbezaan kes apa? Ini kelas Ekonomi ke
kelas Pengajian Am, yang ada sebut kes-kes ni kenapa? Tapi nak kata kelas
Pengajian Am, kenapa Cik Aina yang mengajar?’
Melihat reaksi Cam dan
Shafiq yang terpinga-pinga kebingungan, nampak benar mereka tengah sedap tidur
tadi. Geram betul! Orang mengajar di hadapan sampai nak pengsan,
sekurang-kurangnya bolehlah faham serba sedikit, ini bila tengok muka-muka blur
itu, rasa macam nak menangis saja. Macam mencurah air ke daun keladi,
memang muka-muka tu pun dah nampak macam daun keladi. Teringin Aina hendak
lumat-lumatkan. Nak kena cari lesung batu dulu. Tak ada rotan, akar pun berguna.
Tak ada lesung batu, blender pun boleh! Blender memang dah ada
kat rumah, tiga biji pula tu, hadiah yang Aina terima daripada tetamu masa
kenduri dulu.
“Baiklah, sebelum saya mengakhiri kelas, ada
sesiapa nak ajukan sebarang soalan?”
Nak habis kelas dah? Yihaa!!!
Amboi, bukan main
semangat lagi, muka yang tadi layu tiba-tiba semangat, yang lain pula sudah
mula mengemas buku. Macam dah tak sabar nak suruh Aina angkat kaki segera.
Mengecewakan!
“Tak ada sesiapa nak tanya ke? Apa-apa soalan
atau permasalahan?”
Danial mengangkat
tangan. Danial? Yang asyik termenung kosong sepanjang masa? Dari tadi Aina tak
dapat pastikan, sama ada Danial merenung dirinya atau papan tulis di
belakangnya. Mata tu dreamy sangat, tak lain tak bukan tengah bermimpi
di siang harilah tu. Ada orang memang ada kebolehan tidur dengan mata terbuka,
itu tak dinafikan.
Eh, tapi sekarang ni Danial yang nak bertanya
soalan? Bila masa Danial mengikuti apa yang diajarkan? Amat tak disangka. Tapi
ini sudah cukup bagus, maknanya Danial menunjukkan minat juga pada subjek yang
diajarnya. Mana tahu suatu hari nanti Danial akan jadi pakar ekonomi.
Angan-angan Aina makin berkepul-kepul naik ke langit.
“Ya Danial?”
“Apa soalan Cik Aina tadi?”
Eh ingatkan angkat tangan tu ada benda nak
cakap, rupanya baru nak bertanya. Nak kena ulang pula benda yang Aina dah
cakapkan. Buang karan layan budak ni.
“Saya tanya, kalau ada sebarang masalah?”
“Oh masalah. Haa ada! Masalahnya, saya dah
jatuh cinta dengan Cik Aina. Bila boleh masuk meminang?” Itu dia! Straight
to the point. Danial
hampir nak menampar mulut sendiri. Mulut ni memang tak boleh diharap,
lain hendak ditanya, lain yang keluar.
Nampaknya sangkaan Aina terpesong, Danial
bukannya menunjukkan minat pada subjek yang diajarnya, tapi minat kepada Aina
pula. Ini mesti dia sengaja nak mendera perasaan Aina, kalau Aina malu,
cepatlah dia dapat menghalau Aina dari kelas mereka. Dah boleh agak dah
strategi Danial.
Aina memang dah tak boleh berpura-pura
tenang. Merah padam muka Aina. Kering otaknya mahu mengeluarkan idea untuk
menangkis gurauan Danial. Lain kali nak masuk kelas ni kena pakai full gear,
paling senang pakaian scuba diving dengan kaki katak tu sekali.
Sejak akhir-akhir ini memang Aina selalu rasa
kekurangan oksigen bila berada di dalam kelas itu, nanti mudahlah, nak bernafas
pakai saja tong oksigen yang ada. Kalau ada yang cuba-cuba buat lawak mendera
perasaan, terjun saja dari kelas di tingkat dua itu, terus menyelam dalam kolam
ikan yang menanti di bawah. Hmm, memang budak ni sengaja nak dera mental dia,
patutlah Cikgu Laura sampai berhenti dari SM Harapan.
Kringg!
Wahh, nasib baik loceng menyelamatkan
keadaan. Boleh angkat kaki cepat-cepat, menyampah Aina tengok sengihan Danial
yang semakin lebar menunggu respons darinya.
“Oh, loceng dah bunyi, sekian sahaja untuk
hari ini. Kita berjumpa lagi di kelas akan datang.”
Zupp! Aina terus pecut 100 meter meninggalkan
kelas itu. Nasib baik loceng bertuah itu membantu. Selalunya tak berfungsi,
hari ini elok pula dia.
Lari Aina, jangan pandang belakang! Tak
sia-sia Aina pernah berbakti kepada sekolah menjadi atlit balapan 100 meter
semasa zaman kegemilangannya dulu.
Danial terpinga-pinga. Lajunya dah cabut!
Err... kenapa rasa macam lamarannya baru ditolak?
Bersambung...
*Novel
AKU JATUH CINTA terbitan ALAF 21 akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh
tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata.
Penulis boleh dihubungi di:FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90
Terima
kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.