Bab 16
Hari Jumaat. Dua hari selepas perang dunia dilancarkan antara Aina dan
Danial.
Aina datang ke kelas
seperti biasa walaupun ada debar kerisauan di hatinya mengenangkan peristiwa
Danial keluar dari kelas begitu sahaja tempoh hari, malah terus ponteng sekolah
pada hari berkenaan.
Buku
kedatangan pelajar yang dihantar ke tangannya juga merekodkan Danial tidak
hadir kelmarin. Masih marahkah Danial kepadanya? Akan hadirkah dia ke sekolah
hari ini? Aina sedar kata-katanya tempoh hari agak keterlaluan. Aina tidak
sepatutnya berkasar begitu, apatah lagi sehingga memandai-mandai menyebut tentang
soal keluarga. Rasanya dia sudah melebihi batas. Aina terlalu terikut-ikut
dengan perasaan marahnya sehingga tidak mampu mengawal tutur katanya. Itulah
kata orang, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata tak ada gear reverse.
Letih
juga Izraf menenangkan perasaan Aina apabila dia menceritakan kejadian itu
kepada Izraf. Puas Izraf menasihatinya supaya berlembut, tetapi tak pasal-pasal
dengan Izraf pun Aina lancarkan mogok. Nak bersembang bukan main payah, pasang
muka zombi sepanjang masa. Siapa suruh, orang tengah marah bagilah sokongan
moraldulu, ini tidak, masa itu jugalah dia nak kasiceramah,
mahu tak terkena tempias api yang tersembur-sembur dari hidung naganya.
Mahu tidak mahu,
terpaksalah Izraf membawa Aina ke 7 Eleven tengah-tengah malam untuk mencari
coklat Ferrero Rocher. Setelah dapat makan coklat setengah kotak barulah reda
rajuk Aina. Punyalah mentekederah. Keupayaan Aina makan memang tak sepadan dengan badan. Macam bela
saka!
Coklat memang ada kuasa
magik dalam upacara pujuk-memujuk. Kalau berkesan pada Aina, pada
murid-muridnya juga mungkin akan berkesan. Biarlah dikatakan recycle
idea Izraf, yang penting Aina menyuntik elemen inovasi ke dalam idea itu, buat
coklat sendiri!
Dengan
susah payah Aina membeli-belah bahan-bahan membuat coklat pada malam buta.
Hampir-hampir chocolate fountain pun diangkutnya sekali. Tapi takkanlah
nak bawa chocolate fountain ke kelas, dah jadi macam kelas memasak pula
nanti. Sudahnya semalaman Aina bersengkang mata menyiapkan coklat-coklat
pelbagai bentuk dan rupa itu, besar kecil besar kecil saja rupanya, mata pun
dah tak boleh nak fokus. Cukup sekotak besar barulah Aina tidur. Itu kalau tak
dapat pujuk lagi, tak tahulah. Penuh keikhlasan dan kasih sayang dah tu.
Lagipun, mana boleh ambil hati lama-lama dengan guru, nanti ilmu tak berkat
baru tahu. Ah, mengugut
pun mengugutlah!
Masuk sahaja ke dalam kelas itu, mata Aina
pantas mengesan kelibat Danial yang duduk di tepi tingkap bahagian belakang.
Aina berpura-pura tidak kisah, tapi hatinya meloncat girang Danial tidak
berpanjangan meneruskan mogoknya. Lebih senang usahanya untuk memujuk. Tak
payahlah nak lari mengejar keliling sekolah.
Aina mengeluarkan kotak
coklat yang dibawanya di dalam beg anyaman tangan. Sanggup diusung beg itu
macam mak cik-mak cik demi untuk pastikan coklat yang dibawanya tidak
bertaburan. Ini masanya untuk Aina ambil hati mereka
semula setelah memarahi mereka kelmarin. Marah mana boleh bertahun. Lagipun,
Aina mahu pelajarnya faham bahawa marahnya bersebab, bukan kerana mahu memusuhi
mereka.
“Assalamualaikum, selamat pagi. Kelas, hari ini saya bawa coklat untuk
kamu semua. Saya nak bekalkan gula yang cukup supaya kamu alert dan tak
ada yang tidur kejap lagi. Tapi seorang dapat seketul saja, nanti terlebih gula
kamu jadi hiperaktif pulak. Juga merangkap permintaan maaf saya sekiranya ada
yang tersinggung dengan saya kelmarin. Mungkin ada kata-kata saya yang
menyakiti hati kamu. Saya
tak menyesal dengan apa yang saya katakan, memang saya nak kamu ada kesedaran
dalam diri, cuma saya ingin menarik balik kata-kata tertentu yang mungkin
keterlaluan pada kamu. Saya mintak maaf ya. Hah Cam, silalah ambil dulu. Saya
tahu awak dah tak sabar-sabar, dari tadi saya nampak awak kecur liur.”
Aina bermukadimah sambil matanya melirik Danial berulang kali.
Sememangnya Aina sengaja menujukan kata-kata
itu kepada Danial. Dia sedar, pasti ada sesuatu yang terlalu menyinggung
perasaan pada leterannya kelmarin sehingga membuatkan Danial begitu marah
sekali. Danial berpura-pura tidak faham dengan niat Aina. Cam segera bersuara
dengan mulut lasernya.
“Cik Aina, saya tak makan coklat,nanti
rosak gigi yang saya jaga dengan sepenuh kasih sayang semenjak kecil ni.”
‘Ah, masih merajuk rupanya mereka,’ bisik
hati Aina kesal.
“Danial?” Aina masih cuba memujuk walaupun
hatinya sudah tergores dengan penolakan Cam.
“Macamlah kita ni budak tadika, nak rasuah
dengan coklat. Aku dah 21 tahun kan, dah dewasa, bukan begitu Shafiq?Dah
beli coklat tu, kenapa tak beli lolipop sekali? Cara nak berdamai macam budak
hingusan! What a joke!”
Danial tidak mengendahkan pelawaan Aina
sebaliknya bercakap dengan Shafiq sambil ketawa sinis. Shafiq turut ketawa.
Kalau tak buat-buat ketawa, nanti kena luku oleh big bossnya itu. Namun,
suara Danial yang kuat sudah cukup menunjukkan Danial sengaja hendak Aina
mendengar sindiran itu. Ayatnya tempoh hari sebiji Danial pulangkan semula.
Patutlah dikatakan memulangkan paku buah keras, sakit rupanya bila kena pada
sasaran.
Dengan tidak semena-mena, air mata Aina yang
sudah bertakung di tubir mata semenjak tadi jatuh berjuraian. Aina sanggup
mengambil langkah pertama untuk berdamai sudah cukup menjatuhkan maruahnya,
inikan pula dibuat endah tak endah begitu. Mudah benar air mata Aina jatuh,
entah mengapa Aina menjadi begitu sensitif. Apa yang dia tahu, dia sudah
kehabisan modal mahu berbaik dengan mereka. Aina sedar mereka masih remaja,
kerana itu Aina cuba memujuk walaupun dengan cara yang mungkin kebudak-budakan.
Niat Aina, apabila menjadi easy going
maka mereka akan merasakan Aina seperti sebahagian daripada mereka, nanti lebih
mudah untuk mereka menerima Aina. Tapi sebaliknya yang berlaku, jangankan
hendak menghargai usahanya untuk berbaik, dapat perlian secukup rasa adalah.
Aina tidak dapat menahan sebak, lalu meninggalkan kotak coklat itu kepada
Marliana sebelum meninggalkan kelas.
“Mar, awak bagi kepada yang sudi. Kalau semua
tak sudi, awak buang aje. Saya tak nak simpan, sebab saya buat dengan tangan
sendiri dan memang
niat nak bagi pada kamu.” Sempat Aina berpesan sebelum berlari menuju ke
tandas.
Tandas pun tandaslah, dia lebih sanggup
menahan bau pencuci lantai bersembunyi di tempat itu berbanding membiarkan
orang lain ternampak dia menangis. Dia malu. Kerana menangis bererti dia kalah.
Tak sepatutnya dia tewas dengan semudah itu.
Seisi kelas tergamam
dengan reaksi Aina, lebih-lebih lagi Danial. Dia tidak menyangka sedikit kata
yang diucapkan mampu mendera hati Aina begitu sekali. Dia hanya ingin
memulangkan paku buah keras. Seingatnya Aina tabah dan kuat menghadapi mereka.
Dia juga kelihatan lincah, bukan jenis yang terlalu lembut dan mudah dibuli
macam Cikgu Laura.
Clare sepantas kilat terus menyalahkan Cam.
Cubaan nak mengkambing-hitamkan. “Tengok apa kau dah buat Cam, semua tu kau
punya pasal! Mulut tak ada insurans! Kau pergi pujuk Cik Aina sekarang! Aku rasa setakat ini, Cik Aina
satu-satunya guru yang sudi nak berbaik-baik dengan kita. Kau orang janganlah
zalim sangat!”
“Apasal aku pulak? Masa aku cakap dia tak
blah lagi, lepas Danial cakap baru Cik Aina nangis. Kau pergilah cakap dengan
Danial!” balas Cam, tidak mahu mengaku salah.
“Aku pulak yang kena cakap, kau orang
bincanglah sendiri. Aku tak nak terlibat! Bukan dengan aku yang Cik Aina
terasa,” kata Clare kesal.
Cam baru hendak membuka mulut melawan, tetapi
Danial sudah terlebih dahulu bersuara.
“Dah, dah! Jangan bising-bising. Sakit kepala
aku tahu tak! Fine, biar aku yang pujuk dia.”Sebelum kemarahannya
bangkit, baik dia hentikan tuduh-menuduh antara mereka.
Danial mengambil kotak
coklat itu daripada Marliana kemudian mengagihkannya kepada seisi kelas
sehingga hampir habis. Tiada siapa berani menolak apabila Danial yang
mengagihkan. Yang tak makan coklat pun tiba-tibamengunyah dengan rela
bila ditenung oleh Danial.
Semua tahu siapa Danial,
ketua gengster. Dia ada kumpulan pengikutnya sendiri. Namun, mereka tidak
pernah bergaduh di kawasan sekolah, menyebabkan Danial sentiasa terlepas dari
hukuman. Lagipun, keluarga Danial merupakan penyumbang terbesar Sekolah SM
Harapan, malah keluarganya adalah pengasas sekolah itu.
SM Harapan boleh dikatakan warisan keluarga
sepertimana Bukit Harapan yang merupakan harta keluarga Danial. Pengetua pun
tidak berani mengusik Danial walaupun Danial sentiasa menjadi agenda utama yang
dibincangkan dalam mesyuarat PIBG. Walaupun sudah tiga tahun mengulang STPM,
sekolah masih tidak berani mengeluarkan apa-apa amaran kepada Danial. Danial
nampaknya seperti tidak berminat untuk meluluskan dirinya, sengaja
menangguh-nangguhkan untuk tamat belajar. Seronok sangat agaknya jadi pelajar
paling senior dan berkuasa di sekolah itu.
Kotak yang sudah hampir kosong itu disimpan
Danial. Hanya tinggal tiga biji coklat di dalamnya, kebetulan yang berbaki itu
ketiga-tiganya berbentuk hati. Sudah terang lagi bersuluh, ini satu petanda!
Bukan begitu?
Danial tersengih senang. Yang lain
terpinga-pinga, kenapa tiba-tiba Danial begitu murah hati tersenyum mesra?
Selalu wajahnya serius saja, kalau tidak muka masam. Ini tersenyum kambing
memanjang pula. Buang tabiat!
Pada waktu rehat, Danial ke koperasi untuk
membeli sebatang lolipop berwarna merah jambu dan menyimpannya di dalam bekas
yang hampir kosong itu. Baki tiga biji coklat yang tinggal itu disimpan dalam
tisu. Harap-harap tak cair.Balik nanti dia akan bekukan cepat-cepat dalam peti
sejuk.
Tidak sampai hati Danial nak makan, kata Aina
tadi dia buat sendiri, kena simpanlah jadi kenang-kenangan. Harapnya coklat itu
tak berubah bentuk jadi bebola leper, hilang petanda cintanya nanti! Dalam
marah-marah pun, hatinya masih membisikkan nama Aina. Hei hati, kenapalah degil
sangat!
Selepas waktu rehat, Danial seperti penyiasat
pula mengintai bilik guru. Nasib baik matanya terang, tak perlu bawa teropong.
Setelah memastikan Aina tiada di dalam bilik itu, senyap-senyap Danial
meletakkan bekas itu di atas meja Aina. Hanya itu cara yang dia fikirkan untuk
memujuk hati Aina. Tadi Danial mencemuh cara Aina memujuk mereka, kali ini dia
pula yang berikan Aina lolipop, bermaksud dia menarik balik sindirannya kepada
Aina yang mengatakan cara Aina itu kebudak-budakan.
Biarlah kali ini Syed Danial Iskandar buat
perangai budak-budak atau tak matang. Silakan label apa saja, yang penting hati
Aina harus dipujuk. Dibuatnya Aina pun angkat kaki, tak sanggup dia hendak
berganti guru lagi, belum tentu guru baru nanti secomel Aina.
Kalau terbayang Cikgu Din Misai, makin
menjadi-jadi rasa tak sanggup itu dan semakin kuat keinginannya mahu memujuk
Aina. Rasa bersalah pula melihat air mata Aina tadi gugur. Sejahat-jahat
Danial, setakat karate jejaka-jejaka jongos tiada masalah, tapi belum pernah
dia buat anak gadis orang menangis. Pantang tujuh keturunan untuk dia
membuatkan air mata seorang perempuan jatuh kerananya. Sekurang-kurangnya,
tidak di hadapannya.
Danial, Danial... Tak pernah-pernah dia
menjilat ludah sendiri. Ini kali pertama. Kerana seorang gadis bernama Aina.
Bersambung...
*Novel
AKU JATUH CINTA terbitan ALAF 21 akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh
tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata.
Penulis boleh dihubungi di:
FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90
Terima
kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.