Home Novel Komedi/Romantik Komedi HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
Asmah Hashim
6/4/2015 14:50:01
107,792
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 17

“Apa? Belajar memasak? Nak buka gerai di KL?” kata Hanum terkejut. Biar betul? Anaknya mana ada pengalaman memasak dan berniaga. Masak untuk diri sendiri, bolehlah. Aduhai, satu lagi pekerjaan yang di luar kemampuan anak gadisnya itu. Belum pernah memasak lauk-pauk yang berat-berat. Setakat goreng telur dan goreng sayur itu, adalah.

“Yalah, makkan pandai memasak. Ajarlah Rose. Tak sanggup lagi mak, asyik kena hina saja. Biarlah Rose berniaga, asalkan dapat rezeki yang halal.”

“Bukan mudah nak berniaga ni Rose, mampu ke?” soal Hanum, kurang yakin. Mana nak datangnya keyakinan. Anak gadisnya memang tidak pandai berniaga. Waktu di sekolah rendah, dia pernah suruh Rose bawa nasi lemak dan kuih ke sekolah untuk dijual. Kuih dan nasi lemak habis, duit tiada. Dia bagi percuma kepada kawan-kawannya lantaran tidak sabar menunggu kawan-kawannya datang membeli. Kalau begitu yang berlaku, hanya dua minggu sahajalah anaknya boleh berniaga.

“Ala… mak, masa ada orang nak naik ke bulan pun ramai yang tidak yakin. Malaysia nak merdeka pun ramai yang kurang yakin dan tidak percaya. Setakat nak memasak menu yang mudah dan simple, tak ada susahnya. Yang penting nak berusaha dan mak sudi menjadi ‘guru’ Rose,” ujar Rose panjang lebar. Dia yakin, dia mampu lakukan. Bukan main-main. Hanya bidang perniagaan makanan yang mudah, jika nak dibandingkan dengan bidang lain.

“Baiklah, nak mula bila?” tanya Hanum, dalam hati masih ada rasa ragu-ragu.

“Bermula hari inilah mak. Rose ada masa dua bulan saja. Bolehlah mak?” rayu Rose Seboleh mungkin dia memaksa emaknya membantu dan mempercayai dirinya.

Bolehkah Rose melakukannya? Nak buka restoran pula? Mahu dilarang, dia tengok, anaknya itu beria-ia dan yakin dengan keputusannya. Tidak mahulah mematahkan semangat yang sedang meninggi itu. Kalau dibuatnya Rose langsung tidak mahu bekerja, baharulah haru-biru jadinya.

Hari yang penuh semangat, hembusan angin yang mengalunkan bahasa yang lemah gemalai, tersusun rapi sehingga mampu membuatkan sesiapa sahaja jatuh hati. Barangan yang diperlukan untuk memulakan misi sudah tersusun kemas di atas meja. Memasak bermula daripada pemilihan barang yang segar dan bermutu sehinggalah menghidangkannya. Hari ini misi pertama mereka adalah memasak nasi lemak. Tidak susah, tidak juga senang. Itulah yang dirasakan ketika itu jauh di sudut hati Rose. Dua pot susu beras sudah pun dicuci oleh emaknya tadi. Masak nasi, dia sudah biasa. Cuma nak masak nasi lemak dia belum biasa.

Hari ini maknya tunjukkan cara masak nasi lemak asli, hanya memerlukan santan, daun, pandan, hirisan halia dan garam. Rose pula menjadi pemerhati, jangan pandai-pandai mencuba terus. Kena perhatikan langkah demi langkah. Dia pula sibuklah mencatat apa yang perlu. Ini baharu teori, belum lagi praktikal. Perhati sehingga tidak berkelip, takut tersilap pandang lain pula jadi nasi lemak itu nanti. Nampak mudah, mungkin dia boleh buat nanti. Bukan dia tidak tahu tetapi tidak pernah memasaknya. Hanya menjadi pembantu chef di dapur emaknya selama ini.

Pelajaran kedua, adalah memasak sambal. Ini yang paling perlu diperhatikan dengan baik-baik. Tips masak sambal tumis yang sedap, kena tulis terang dan jelas. Bawang kena banyak, tidak boleh kedekut kalau memasak ini. Nanti berkira sangat, tidak sampai sebulan boleh tutup kedai. Biar untung sedikit, jangan rugi terus gara-gara menghasilkan makanan yang langsung tidak kena dengan selera pelanggan.

“Memasak ni Rose, kena ikut selera kita, ikhlas dan dengan penuh kasih sayang. Kalau sedap di mulut kita, sedaplah di mulut pelanggan. Kita tahu nak makan sedap, tapi bila kita berniaga, buat cincai sahaja. Kalau orang tak beli mulalah nak marah. Sedangkan kesalahan itu terletak pada diri kita sendiri. Masak dengan hati, penuh dengan kasih dan sayang, pasti masakan kita mampu menarik hati para pelanggan yang datang,” nasihat Hanum. Dia tidak suka berniaga. Pengalaman pun tiada. Bila Rose ingin membuka restoran buat hatinya cuak juga. Masih ada di dalam hati perasaan was-was namun diturunkan juga pada anak gadisnya itu.

Rose hanya mengangguk perlahan, faham atau tidak, dia akan cuba nanti. Kalau setakat catat dan tidak mencuba, tidak juga akan menjadi nanti. Kenalah cuba dahulu, baharu tahu hasilnya. Ketekunan dan keyakinan perlu ada. Yakinkah dia? Tekunkah dia? Keazaman penguat rasa. Semoga impiannya akan berjaya.

Hari berlalu bagaikan tidak terasa, siang dan malam bersilih ganti, hujan, panas memberi warna pada bumi. Begitu juga dengan dirinya, seminggu berlalu dengan ilmu penuh di dada. Minggu kedua, tiba masa untuk mempraktikkan apa yang telah dipelajarinya. Tekun emaknya mengajar. Entah berapa kali tangannya diketuk kerana salah memotong bawang dan memerah kelapa. Emak mengajarnya menyukat semua barang yang digunakan. Biar sama, tidaklah hari ini lain, esok pula berasa lain. Biar saksama sepanjang masa, baharulah pelanggan suka. Bak kata orang ada SOPnya.

Seman memerhatikan sahaja anak dan isterinya menyepahkan dapur. Entah berapa banyak modal dikeluarkan hanya untuk belajar sahaja. Perut dia dan anak-anak menjadi mangsa masakan mereka yang sekejap menjadi, sekejap tidak itu. Nak dimarah takut disembur pula oleh isterinya bagaikan naga kemarahan mengeluarkan api dari mulut. Tidak pasal-pasal kulit yang sedia sawo matang terus gelap gelita akibat semburan api itu tadi, baharulah sesuai jadi ayah Rose. Biarlah dia menjadi pemerhati terhormat.

“Rose dah bersedia ke nak buat sendiri hari ini?” tanya Hanum dengan mata yang terbuka, ceria. Berharap ilmu yang diturunkan olehnya mampu diterima oleh anak gadisnya itu. Ala, memasak sahaja pun, bukannya susah mana pun.

“Sudah mak!Ilmu kepahlawanan sudah dipenuhi, senjata yang utuh sudah siap siaga. Hanya tunggu untuk turun menyerang saja!” kata Rose dengan penuh semangat.

“Kena belajar sampai pandai. Buat sampai jadi! Kalau hanya gitu-gitu saja, mak takut dua hari kau berniaga terus tutup kedai,” jelas Hanum. Dia tidak mahu anak gadisnya itu gagal lagi. Biarlah kali ini nasib menyebelahi dirinya.

“Baik mak!” jawab Rose dengan penuh azam yang tinggi, kalau Gunung Everest itu tinggi, tinggi lagi harapan di hati. Dia ingin buktikan bahawa dia mampu berjaya. Bukan cakap kosong atau hanya pandai bercakap. Dia punya cita-cita dan impian.

Hari ini masak nasi lemak, Hanum hanya menjadi pemerhati. Sukatan yang diberi, disukat dengan sebaik mungkin. Beras dibasuh beberapa kali. Bawang besar, halia dan bawang putih sudah siap dipotong dan dibersihkan. Dimasukkan ke dalam mesin pengisar. Sekilo beras hanya memerlukan beberapa ulas bawang putih, dua inci halia dan dua labu sedang bawang besar dikisar sehingga halus. Sedikit minyak telah pun dimasukkan ke dalam kuali, daun pandan sudah siap siaga untuk masuk ke dalam takungan minyak di dalam kuali. Panas sahaja minyak terus bahan kisar itu melompat masuk. Gembira tidak terkata, bergaul dengan minyak dengan kepanasan yang secukupnya. Kemudian dimasukkan santan pekat yang sudah siap disukat, dibiarkan mendidih seketika, garam dicampak secukupnya, jangan terlalu masin kerana lauk pauk yang ada juga bergaram. Kemudian masukkan beras dan dikacau sehingga bergaul sebati dan kering. Periuk kukus yang sudah dipanaskan sedia berkhidmat meneruskan tugasan memasak nasi lemak kukus. Bau wangi daun pandan menyapa hidung. Kempas kempis hidungnya.

Dalam hati tidak henti-henti dia berdoa agar nasi lemak kukus itu menjadi. Kenalah bersabar, biar nasi masak elok. Hatinya berdebar-debar menanti. Seperti orang masuk meminanglah pula, menunggu waktu cincin disarungkan ke jari manisnya. Angan-angan seorang gadis muda seperti dirinya yang semakin menginjak usia. Janganlah sampai menjadi andartu terlajak sudahlah. Kalau terlajak laris bertuahlah juga. Sempat pula bermain dengan perasaan sendiri.

Tiba giliran buat sambal tumis, buat hatinya semakin kuat berdegup. Bahan-bahan untuk buat sambal tumis ikan bilis sudah siap sedia. Cili kering yang telah dibuang bijinya dan direbus, belacan secukupnya, jangan terlalu banyak. Bawang perlu banyak baharu ada rasa manis dan menyedapkan sambal. Asam jawa jangan lupa. Ikan bilis digoreng separuh masak diletakkan ke tepi dahulu. Sehelai daun pandan dimasukkan ke dalam kuali bekas goreng ikan bilis tadi. Kemudian dia masukkan cili yang sudah siap dikisar tadi. Dibiarkan masak sehingga pecah minyak. Masukkan air asam jawa, ikan bilis dan masak sehingga cilinya benar-benar garing, masukkan garam, gula dan sedikit serbuk perasa, tidak perlu banyak. Hanya untuk menambah perisa sahaja. Rose menunggu dengan sabar cili itu masak, habis dapur terkena percikan sambal yang sedang mendidih. Bau harum sambal tumis itu menyinggah hidungnya. Emak membantu apa yang patut, tersimpul senyuman di bibir emaknya ketika melihat nasi di dalam periuk kukus.

“Macam mana mak?” tanya Rose dengan wajah penuh harapan. Janganlah usahanya itu sia-sia. Tidak pasal-pasal ayah dan adik-adiknya terpaksa makan nasi lemak selama seminggu ini.

“Alhamdulillah, anak emak seorang yang cepat belajar dan pintar. Nasi lemak kukus masak elok. Sambal pula terasa sedapnya,” puji Hanum. Nasi lemak kukus itu elok lembutnya. Terasa lemak dan garamnya. Sambal tumis juga begitu.

“Kalau dah sedap, jual dahulu di depan rumah ni, tengok reaksi orang kampung,” cadang Seman yang sedang menikmati kopi panas bersama cucur jagung. Dia hanya memerhati sahaja anak gadisnya memasak tadi. Cekap juga. Matanya bertembung dengan mata isterinya. Dia mengangkat kening.

“Jual depan rumah? Boleh ke mak?” tanya Rose. Peluh masih bersisa di wajahnya. Bukan mudah kerja di dapur. Berpeluh seluruh tubuh. Fuh! Bau masam ketiak usah ceritalah. Kalau ada sesiapa yang lalu dekat, boleh pengsang. Busuknya bau tubuh sendiri. Selama ini bergelumang dengan minyak wangi, duduk di bilik berhawa dingin, mana sempat berpeluh. Turun sahaja dari pejabat terus ke tempat letak kereta. Tidak sempat menitik pun peluh setitik. Rose tersenyum sendiri memikirkan keadaan dirinya dahulu. Selepas ini terpaksalah dia bermain dengan peluh sendiri.

“Boleh saja kita cuba. Rose rasa macam mana? Mak ikut saja.” Hanum setuju dengan cadangan suaminya itu. Skil sudah ada, ilmu sudah ditimba, hanya menunggu untuk diketengahkah sahaja. Tidak salah mencuba di tempat sendiri. Jika orang kampung suka, bermakna orang lain juga akan turut suka. Lagipun tidak ramai yang menjual nasi lemak di kawasan kampungnya itu.

Previous: BAB 16
Next: BAB 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.