Home Novel Komedi/Romantik Komedi HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
Asmah Hashim
6/4/2015 14:50:01
107,789
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 23

Biar berbakul leteran ayahnya pagi tadi sewaktu dia membawa keluar beg pakaian ala-ala pelajar Akademi Fantasia kena halau selepas dikeluarkan. Dia buat pekak badak sahaja. Hanya menghulurkan tangan bersalaman dan melangkah laju masuk ke dalam kereta. Emaknya hanya memandang dengan hati yang sayu, sepatah tidak bercakap. Pasti marah di dalam hati. Dia tidak mahu lagi menyusahkan mereka. Sepatutnya dia membantu mereka, meringankan beban orang tuanya. Menyambung menyekolahkan adik-adiknya pula. Ini tidak, sudah besar pun menyusahkan lagi.

  Dia sampai di rumah sewanya selepas zohor. Sempat dia makan tengahari di jalan. Dia membuka pintu bilik dan terus merebahkan diri. Penat memandu beberapa jam. Biarlah dia tidur sebentar. Tadi sempat juga bersolat jamak siap-siap. Kalau terlajak tidur pun tidak berasa bersalah, kerana urusannya dengan ALLAH SWT telah tertunai. Rose terus terlena sehingga tidak sedar hari menganjak senja.

“Kenapa pintu tak berkunci? Kejap, kejap… bukan ke aku kunci pintu sebelum keluar pagi tadi?Alamak! Ada pencuri ke?” Zaiton seriau. Kalau pencuri macam mana? Dia menelan air liur sendiri. Nak beritahu pengawal keselamatankah? Kalau pencuri itu masih ada di dalam bagaimana? Hish, dia seorang diri pula itu. Berbagai cerita yang didengarinya mengenai kejadian rompakan atau kecurian membuatkan hatinya berbelah bahagi dengan masuk ke dalam rumah. Matanya memandang kiri dan kanan. Aduhai, waktu begini pulalah otaknya kosong. Faktor kepenatan sehingga tidak mampu berfikir dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang sedang dihadapinya itu.

“Mungkin pencuri dah keluar kut?” kata Zaiton seorang diri. Tidak boleh jadi, dia harus meminta tolong orang lain. Tidak mahu menjadi mangsa kekejaman pencuri dan perompak zaman ini. Dia terus ke pondok pengawal. Setelah memberitahu apa yang berlaku, seorang pengawal keselamatan mengikutnya ke rumah.

“Akak pasti ke, ada orang pecah masuk? Tak nampak kesan pintu kena kopak pun?” kata pengawal keselamatan yang bernama Amir. Pemuda itu sudah setahun bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Pencuri dan perompak zaman sekarang hebat Amir,” kata Zaiton sambil menyengih.

Amir menolak pintu rumah, dia melangkah masuk dahulu, matanya memerhati sekeliling rumah. Tiada kesan diceroboh atau diselongkar.

“Tak ada apa pun kak?” Amir mengeluh.

“Ala… sabarlah. Mungkin pencuri tu sempat keluar atau sempat kemas balik rumah akak ni,” ujar Zaiton dengan muka cuak. Cuak dengan kata-kata sendiri. Baik sungguh pencuri itulah.

“Hish, akak ni… mana ada pencuri nak mengemas rumah, kak!” Amir menggeleng. Merapu tidak kena tempat.

“Erk… tak ada ya? Manalah akak tahu, akak mana pernah ada pengalaman rumah kena rompak atau dimasukkan pencuri,” terang Zaiton sambil terhendap-hendap memasuki biliknya. Bersih tiada kesan diselongkar.

“Kawan akak yang sorang lagi tu, bila nak balik?” Sempat lagi Amir bertanya. Dia sendiri pun terhendap-hendap mencari pencuri yang dikatakan oleh Zaiton tadi. Tidak kelihatan sesiapa pun.

“Kawan?” Zaiton berhenti melangkah. Dia menapak laju menuju ke bilik Rose. Daun pintu bilik yang tidak berkunci membuatkan dia terus membukanya. Hish… nak balik tidak bagi tahu! Bisik hati kecil Zaiton. Dia menutup semula pintu bilik Rose.

“Amir… maaflah menyusahkan kau ya dik, kawan akak yang balik.” Zaiton mempamer muka manis, berasa bersalah pula menyusahkan pemuda itu.

“Ala, tak apalah kak. Memang sudah tanggungjawab saya. Kawan akaklah yang balik tu ya?” Amir mengangguk faham.

“Kalau macam tu, saya keluar dululah. Rasanya semua baik-baik saja,” kata Amir dengan wajah manis manjanya.

“Yalah, terima kasih ya Amir,” ucap Zaiton masih tersenyum tetapi tidaklah sampai buat muka manja. Sekadar menyedekahkan senyuman kepada pemuda itu, dapat jugalah dia pahala.

Daun pintu ditutup rapat. Apalah punya kawan. Kalau nak tidur pun tutuplah pintu rapat-rapat. Kalau dibuatnya rumah itu dimasuki pencuri, kan ke haru jadinya. Tidak memikirkan keselamatan diri sendiri. Zaiton mengeluh. Dia menuju ke biliknya. Azan maghrib pun sudah berkumandang di masjid berhampiran.

Rose terpisat-pisat bangun. Zaiton sudah balikkah? Rasanya dia dengar suara orang tadi. Azan maghrib mengejutkannya daripada tidur. Dia segera bangun. Tidak boleh melewat-lewatkan waktu solat. Berdosa besar. Usai mandi dan solat dia melangkah keluar. Bayang Zaiton tidak kelihatan. Perutnya pula sudah berkeroncong. Lama tidak dengar lagu keroncong. Sesekali menjadi halwa telinga bagus juga, detik hati kecilnya. Keroncong dalam perut tidak boleh didengari, kena hilangkan dengan memasukkan makanan.

Rose melangkah ke dapur. Apalah yang ada untuk mengisi kekosongan di dalam perutnya. Jangan sampai menyanyi lagu rock pula. Dia membuka peti sejuk dua tingkat itu. Mencari sesuatu. Ada telur dan ayam sahaja. Bolehlah. Dia mengeluarkan ayam dan dua biji telur. Cukuplah untuk dia dan Zaiton. Ayam buat masak kicap bersama kentang. Telur goreng dadar sahajalah. Sedap sangat kalau letak banyak bawang dan cili padi. Pedas menyengat sehingga ke perut. Goreng sayur kobis. Cukup sempurna untuk mengisi perutnya yang lapar.

“Hoi!” sergah Zaiton.

“Apa?” Rose yang sedang menggoreng ayam terkejut.

“Balik tak bagi tahu, kau tak tutup pintu rumah. Kalau orang jahat masuk, habis kau tau,” kata Zaiton. Dia duduk di meja makan sambil memandang Rose yang sedang memasak. Rajin pula sahabatnya itu.

“Balik tergesa-gesa, mana sempat bagitahu,” jelas Rose. Dia menumis pula bahan-bahan untuk buat masak kicap. Masak yang sedang-sedang sahaja, bolehlah.

“Tergesa-gesa? Kau kena halau ke?” tanya Zaiton sambil menyicip sedikit ayam goreng ke dalam mulutnya.

“Mana pula kena halau? Pasal apa pula orang tua aku nak halau?” Rose menghidangkan pula telur dadar yang telah siap digoreng. Dia mengambil dua biji pinggan. Nasi sudah siap dimasak awal-awal lagi tadi. Dia menyenduk nasi dan menghidangkannya kepada Zaiton yang sudah siap sedia menunggu.

“Habis tu?” Zaiton ingin tahu.

“Malas nak cerita. Aku nak cari kerja di sini sajalah. Duduk kampung, ramai sangat musuh aku,” terang Rose. Dia menyuap nasi ke dalam mulut usai membaca doa makan.

“Kerja? Nak kerja apa?” Zaiton sudah mula menyuap. Kebetulan perutnya memang sedang lapar.

“Kerjalah apa pun, jadi pembantu rumah ini pun boleh juga. Aku jadi tukang masak, tukang basuh baju kau dan tukang kemas rumah. Cukup bulan kau bayar sajalah gaji kat aku. Tak perlu mahal-mahal. Kau pun tak perlulah dapatkan khidmat pembantu rumah hujung minggu untuk mengemas rumah ni,” cadang Rose.

“Hah? Tak naklah. Takkanlah kau nak jadi pembantu rumah? Carilah kerja lain. Elok-elok kau buat kerja percuma, apa kes aku nak kena bayar?” leter Zaiton.

Rose ketawa.

“Serius ni, kenapa tiba-tiba balik?” Zaiton berhenti menjamah nasi di pinggan. Wajah tenang sahabatnya ditenung seketika.

Rose memandang wajah Zaiton. Dia mengeluh, memulakan cerita dari A sehingga Z, menerangkan apa yang telah berlaku. Baharulah Zaiton faham duduk perkara. Tidak mahu ulang cerita, nanti bosan pula para pembaca. Rose menghabiskan suapan nasi ke dalam mulutnya; Sudah tenang melodi di dalam perutnya. Tidak lagi menyanyikan lagu keroncong. Sudah senyap sunyi, mungkin sudah tidur agaknya kerana kekenyangan. Mata belum tertutup, perut sudah tidur dahulu. Rose tersenyum sendiri. Merapu untuk menenangkan hati dan perasaan sendiri. Berapa lama dia harus mengganggur. Lama-lama habis duit simpanannya. Kalau sudah hari-hari gali, punya Gunung Kinabalu pun akan runtuh juga.

“Aku nak cari kerja esok, kerja apa pun aku dah tak kisah, hatta basuh pinggan,” luah Rose bagaikan orang kecewa.

“Takkan kut?” Zaiton tidak setuju. Bukan sahabatnya tidak ada kelulusan. Gara-gara majikan terlalu memilih rupa paras, inilah jadinya. Orang yang berkelayakan selalu terpinggir hanya kerana kekurangan diri yang sepatutnya tidak dijadikan sandaran untuk sesuatu pekerjaan.

Rose hanya tersenyum. Biarlah takdir menentukan jalan hidupnya.

Previous: BAB 22
Next: BAB 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.