Home Novel Komedi/Romantik Komedi HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
Asmah Hashim
6/4/2015 14:50:01
107,789
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 5


Semakin kuat raungan Roseyatimah setelah mendengar rakaman percakapan orang besar Syarikat Milinium. Terasa begitu kecil dirinya di mata semua orang. Dia menyeka air matanya dengan kasar. Rasa hendak ditumbuk muka CEO muda itu. Geram bercambah di hati. Mana punya manusia agaknya? Memilih rupa daripada mutu kerja. Roseyatimah mengetap bibir. Wajah Zaiton dipandang dengan mata berkaca. Dia meletakkan lengannya dekat dengan lengan Zaiton.

“Hitam sangat ke aku ni, Ton? Buruk sangat ke wajah aku?” tanya Roseyatimah perlahan. Dia membelek sekali lagi lengan dan kulit wajahnya. Tidaklah hitam sangat. Kedua orang tuanya tidaklah gelap, sawo matang sahaja kulitnya. Dia sendiri tidak tahu kenapa kulitnya hitam legam, macam kulit orang Afrika. Kadang-kadang terfikir juga, yang dia bukan anak orang tuanya. Mungkin dia dihanyutkan air laut dari Afrika sana, dijumpai oleh ayahnya yang memang suka memancing di laut dalam. Manalah tahu. Roseyatimah mencebik

“Taklah hitam sangat, tapi hitamlah.” Jawab Zaiton. Tidak tahu harus bercakap apa? Hendak menerangkannya pun dia tidak tahu. Sudah nasib sahabatnya itu mendapat kulit segelap itu. Tapi giginya putih bersih. Kalau senyum boleh kalah Erra Fazira.

“Aku sedar diri aku Ton. Aku cuma nak buktikan kepada orang kampung, gadis hodoh seperti aku pun mampu bekerja di syarikat yang besar dan berjaya dalam bidang kerjaya. Itu sebab aku pilih bidang kesetiausahan. Kalau aku pilih bekerja sebagai pramugari, aku rasa pengsang mereka yang menemuduga aku, terkejut melihat kulit aku mengalahkan perempuan Afrika. Tetapi orang Afrika hidung mereka mancung Aku pula Afrika@ Melayu, hidung penyek!” Roseyatimah ketawa. Mentertawakan dirinya sendiri. Berdekah-dekah dia ketawa.

Zaiton mengerut dahi. Sudah buang tabiat agaknya sahabatnya itu. Baharu sebentar tadi menangis, kini ketawa pula. Memang sudah teruklah jadinya.

“Kau jangan macam ni Rose, takut aku. Cuba bawa bertenang. Jangan pandang hina dengan diri sendiri. Kau pilihlah bidang lain. Masih banyak lagi yang boleh kau lakukan,” pujuk Zaiton.

“Aku sengaja mencabar diri aku sendiri, Ton. Aku sudah buktikan, aku mampu lakukan!” kata Roseyatimah bersemangat.

“Yalah Rose. Apa kata kau pakai krim pemutih? Manalah tahu, betul-betul boleh putih? Macam iklan dalam televisyen tu… kan banyak krim pemutih sekarang. Cubalah!” suruh Zaiton. Melambak krim pemutih di pasaran. Pilih sahaja yang sesuai. Ada juga artis di negara itu memakai krim tersebut. Tidak pastilah sama ada mujarab atau tidak. Ada yang kata menjadi, ada pula yang menafikannya.

“Tak mahulah aku! Kalau putih tak apa? Kalau jadi sebaliknya macam mana? Cuba kau fikir sekejap Ton. Kalaulah krim pemutih yang ada terjual di negara ini, bagus dan benar-benar boleh memutihkan. Aku rasa ramai bangsa India dan Afrika adalah pengguna tegar krim tersebut. Terutama orang seperti aku ni, pasti tercari-cari krim tersebut. Cuba kau fikir, cuba kau fikir.” Roseyatimah mengangkat kening.

“Ya tak ya jugakan? Kalau jual krim pemutih ini di India dan Afrika, aku rasa memang jadi jutawanlah penjual produk pemutih.” Bernas juga kata-kata Roseyatimah. Tidak berani memandai-mandai, tidak pasal-pasal kena saman dengan penjual produk pemutih yang sedang laku keras di pasaran. Terpulang kepada diri masing-masing. Kalau percaya, tidak salah mencuba. Tetapi jika berlaku apa-apa, jangan pula menuding jari ke tangan syarikat terbabit.

“Terima kasih kerana membantu aku, Ton. Aku ingat nak balik kampung sekejap. Kalau terbuka pintu hati aku nak balik ke sini, aku mesej kau ya. Kau jangan bagi sesiapa sewa bilik aku tu pula? Aku masih ada duit simpanan, nanti akau bayarlah duit sewa tu. Manalah tahu aku dapat kerja semula. Kalau aku tak balik ke sini pun, aku akan beritahu kau terlebih dahulu,” kata Roseyatimah. Dia bercadang hendak pulang ke kampung menenangkan fikiran. Biarpun dia tahu, pasti banyak soalan yang terpaksa dijawabnya nanti daripada wartawan-wartawan tidak bertauliah di kampung halamannya itu. Terpaksalah dia menelannya. Fikirannay benar-benar kacau, galau dan risau. Entah apa yang akan difikirkan oleh kedua orang tuanya nanti. Bersabarlah hati, bisiknya sendiri.

“Takkan merajuk sampai nak balik kampung?” tanya Zaiton. Bertambah sedih hatinya kerana tidak mampu membantu sahabatnya itu.

“Bumi ALLAH masih luas, Ton. Nanti aku usahalah apa yang patut. Sebenarnya takut juga aku nak balik kampung. Kau bukan tak tahu perangai berlagak aku ni.” Roseyatimah mengeluh sendiri.

“Itulah! Berlagak sangat. Kau lupa, yang kau tu cuma pekerja kontrak! Yang kau pergi canang satu kampung tu, siapa suruh?” tempelak Zaiton. Rasa hendak diluku kepala Roseyatimah. Usai tamat belajar terus dapat kerja setiausaha kontrak sahaja, dia sudah cerita satu kampung, orang buruk sepertinya pun boleh dapat kerja sebagai setiausaha. Kali ini, tahulah nasib diri diketawakan oleh orang kampung.

“Berlagak sangat ke aku?” tanya Roseyatimah.

“Berlagak sangat tu tak adalah, tapi perasan bagus tu, adalah,” gurau Zaiton. Dia menyengih.

“Yalah, aku sedar siapa diriku.” Menundukkan kepala memandang kaki sendiri.

“Tak payah buat muka sedih! Tak cantik langsung!” sindir Zaiton.

“Ada yang kena sembelih buat lauk malam ni!” jerkah Roseyatimah.

“Ala… gurau pun tak boleh. Sebut pasal balik kampung. Kau nak balik berapa lama?” tanya Zaiton lagi sekali.

“Tengok keadaan,” jawab Roseyatimah. Dia sendiri tidak pasti berapa hari dia hendak pulang ke kampung halamannya. Dalam fikiran sedang merangka jalan cerita yang paling menarik jika ada jiran tetangga keluargnya bertanya kenapa dia balik kampung. Balik salah, tak balik pun salah. Alahai, mulut orang.

“Jangan lama sangat, nanti sunyi aku. Tak ada orang aku nak sakat,” usik Zaiton, buat muka sedih.

“Tak payah nak melodramalah sangat. Kau tu pun sebenarnya suka kalau aku tak ada.” Roseyatimah mencebik.

“Cis! Tak baik cakap macam itu kat aku, apalah punya kawan!” Zaiton menolak dahi Roseyatimah. Mereka mula melawan tolak menolak. Pecah gelak mereka. Seperti budak sekolah rendah, bergurau kasar. Kalau orang tengok pasti menyangka mereka sedang berkelahi.

“Okeylah… kau dah boleh terima hakikat yang kau takkan bekerja di Syarikat Milinium tu?” Wajah Roseyatimah menjadi renungan matanya.

“Bolehlah kut!” jawab Roseyatimah selamba. Dalam hati masih terdapat saki baki kekecewaan. Siapa yang tidak kecewa jika kehilangan kerja apatah lagi pekerjaan itu amatlah disukainya.

“Alhamdulillah, lega hati aku mendengarnya. Rose, aku tak nak tengok kau bersedih lagi. Kau cari kerja lain. Kau bina hidup baharu di tempat dan suasana yang baharu,” pujuk Zaiton. Itu sahaja yang mampu dia lakukan untuk menceriakan sahabatnya itu. Tiada rezeki Roseyatimah di Syarikat Milinium. Mungkin rezeki Roseyatimah di tempat lain pula.

“Yalah Ton. Terima kasihlah kerana bersusah payah sebabkan aku. Kaulah sahabat aku dunia dan akhirat.” Roseyatimah memeluk bahu Zaiton. Mereka saling tersenyum. Bergurau dan bergaduh-gaduh sayang sudah sebati dengan diri mereka. Sejak saling mengenali mereka tidak mahu berpura-pura hanya menjadi sahabat ketika berjumpa, di belakang mengata bagaikan tidak mengenali kawan yang kita kata itu. Semoga hubungan mereka sampai ke syurga.

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.