Home Novel Komedi/Romantik Komedi HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
Asmah Hashim
6/4/2015 14:50:01
107,794
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 9

Air mata yang mengalir bagaikan teman setia tidak mahu berhenti. Kenapa hatinya sakit sangat? Kenapa hatinya sedih sangat? Terasa diri tinggal sendiri. Tiada teman tempat mengadu. Parah terlupa, hangus terbakar. Dipadamkan dengan air telaga tujuh pun belum pasti dapat dipadamkan. Remuk redam hatinya. Hancur lulur perasaannya. Jiwanya berkecai, jadi debu, berterbangan pergi ketika ditiup angin yang lalu.

Roseyatimah duduk di tepi sungai berhampiran rumahnya. Melihat lompatan ikan kecil di dalam sungai itu menyejukkan seketika hatinya yang galau. Menghilangkan rasa sakit hati yang membukit. Haikal tidak datang memujuknya. Hari ini adalah hari bersejarah buat pemuda itu. Tanpa kehadirannya sebagai seorang sahabat sejati. Selera makannya juga menghilang pergi. Teruk betul keadaannya kali ini. Sudah seperti mati suami, sedankan belum kahwin lagi. Rasa sedih bertimpa-timpa, itu yang teruk remuk dan hancur jadinya. Kehilangan pekerjaan dan kehilangan orang yang tersayang.

“Rose, tak nak ikut mak ke rumah Haikal ke? Haikal tak ajak pergi meminang Aina?” tanya Hanum tanpa mensyaki apa-apa. Dia tahu hubungan Haikal dan anak gadisnya itu memang rapat. Ingatkan mereka bercinta. Jauh pangang dari api, mana mungkin pemuda sekacak Haikal akan memilih anaknya itu. Siapapun yang sudi mengambil anaknya menjadi isteri, pasti lelaki itu mulia hatinya.

“Tak kut mak… rasa nak demam pula,” jawab Roseyatimah tanpa memandang wajah emaknya.

“Nak demam?” Hanum merasa dahi Roseyatimah. Memang sedikit panas.

“Nak pergi klinik ke?” tanya Hanum lagi.

“Tak payahlah mak… nanti makan panadol, legalah demam ni.” Roseyatimah menolak dengan baik. Dia tidak mahu emaknya mengesan hatinya yang sedang sedih.

“Betul tak nak pergi?” tanya Seman yang sudah bertengek di atas motosikalnya.

“Betul ayah, terima kasih ya.” Pandangan matanya mengerling ayahnya. Rasa sayang subur di hati terhadap kedua orang tuanya itu.

“Adik-adik kau, emak tak bawa, tolong tengok-tengokkan. Mereka sedang buat kerja sekolah,” suruh Hanum sebelum melangkah naik membonceng motosikal suaminya.

“Yalah mak…” jawab Roseyatimah. Terasa mulutnya ringan sahaja hendak menjerit dan meraung sekuat hati, melepaskan rasa marah yang bersarang di jiwanya. Seperti hendak dilontar hatinya yang telah menahar itu jauh dari sini. Biar tiada siapa yang tahu hatinya sedang terluka. Rasa panas di tubuh datangnya dari hatinya yang sedang parah itu.

Roseyatimah kembali ke rumah. Kepanasan terik mentari tidak mampu dilawan lagi. Dia melangkah masuk ke dalam rumah. Adik-adiknya seramai tiga orang sedang tekun menyiapkan kerja rumah. Emak dan ayah mengajar mereka disiplin. Selagi tidak siapkan kerja sekolah, selagi itulah tidak boleh menonton televisyen. Bagus juga larangan emaknya itu. Kalau hampir dengan peperiksaan, televisyen diharamkan. Setakat ini adik-adiknya tidak membantah. Pelajaran mereka juga amat memuaskan.

“Kak long… kenapa monyok saja?” tanya Syaida yang akan ambil PT3 tahun ini.

Jarak usianya dengan adik keduanya itu terlalu jauh. Bagaimana dan sebab apa dia tidak pernah bertanya. Jarak yang kedua dengan ketiga dan bongsur hanya beberapa tahun.

“Sakit kepala, sakit hati dan sakit otak!” jawabnya dengan wajah selamba.

“Pelik betullah sakit orang dewasa, usu tak nak jadi dewasalah, nanti semua sakit. Taklah sakit macam along, sakit kepala, sakit hati dan sakit otak! Bahayanya?” kata Halida yang baharu berusia lapan tahun.

“Memang sakit orang dewasa ke?” tanya Harun, satu-satunya anak lelaki dalam keluarga itu. Berusia enam tahun tetapi petah berkata-kata.

“Jangan nak merapu, buat kerja sekolah tu!” Dia menjeling. Tubuhnya terasa sakit. Agaknya, hati sedang galau membuatkan sistem tubuh turut terasa sengalnya. Dia terus menutup daun pintu dan masuk ke dalam bilik.

“Jangan buka pintu, kalau ada orang ketuk, panggil kak long,” pesannya. Sekarang macam-macam kejadian berlaku, penipuan ada di mana-mana. Keselamatan adik-adiknya perlu di jaga. Dia ingin berehat seketika di dalam bilik. Perutnya masih belum terasa lapar. Mungkin adik-adiknya sudah menjamah makan tengahari mereka. Dia ke dapur untuk mengisi tekaknya yang kehausan.

Di atas meja terdapat sebekas adunan yang sudah dibulat-bulatkan. Apa ke bendanya ini? Kelihatan seperti tepung roti canai? Emaknya nak buat roti canai bila? Malam ini ke? Mungkin untuk makan malam mereka. Emaknya memang pandai memasak. Itu sebab ayahnya jarang menjamah makanan di kedai. Kalau ada teman sekampung atau kenalan yang hendak belanja baharulah ayahnya pergi. Kalau tidak di rumahlah tempat ayahnya mengisi perut. Lagipun jimat belanja. Kedua orang tuanya memang pandai berjimat cermat. Dia juga jadi terikut-ikut dengan perangai mereka. Sejak di bangku sekolah dia dan adik-adiknya sudah diajar berjimat cermat. Duit belanja sekolah yang diberi akan disimpan sedikit untuk menabung. Kata emak, sedikit demi sedikit, lama-lama jadi bukit. Buktinya, duit simpanannya ada berbelas ribu ringgit. Kedua orang tuanya tidak pernah mengacau duit simpanan mereka adik-beradik. Untuk masa hadapan, kata ayah. Sakit demam tidak tahu bila akan berlaku, jadi beringatlah sebelum berlaku apa-apa.

Usai meneguk dua belas air kosong, Roseyatimah melangkah masuk ke dalam biliknya. Dia merebahkan tubuh di katil. Cuba untuk melelapkan mata. Fikirannya yang sedang kacau membuatkan dia sukar melelapkan mata. Wajah ceria Haikal dan Aina bermain di mata. Sakit pula hatinya. Menyucuk-yucuk di hati. Rasa geram dan marah sudah bercampur baur. Mahu sahaja dia mengambil senapang patah dan menembak kedua pasangan itu. Biar bertabutan serpihan tubuh mereka. Eee…! Tidak suka perasaan ini! Buat dia tidak tenang dan tenteram. Kenapa ada sakit di hati? Kenapa ada perasaan yang tidak tenang di jiwa? Kenapalah dia balik kampung? Akhirnya dia menangis juga. Terasa dia ditinggalkan keseorangan. Sepi dan sunyi. Inikah agaknya nasib orang buruk sepertinya? Kalaulah dia pendek akal sudah pasti dia hilang pedoman. Ya ALLAH, Kau berilah aku kekuatan, doanya dalam hati. Cuba membina kekuatan untuk diri sendiri.

Roseyatimah mengelap air mata yang membasahi pipinya. Dia mencari kekuatan untuk membina kembali kehidupannya. Dia tidak boleh kalah dengan ujian. Keburukan rupa paras bukan penyebab untuk dia mengalah. Masih ada ruang untuk orang sepertinya. Apa yang penting harus berani dan yakin dengan diri sendiri. Ramai lagi yang lebih buruk paras rupa mereka jika hendak dibandingkan dirinya. Sepatutnya dia bersyukur kerana masih dilahirkan dengan sifat fizikal yang sempurna, tiada cacat cela. Bagaimana dengan mereka yang tidak dapat melihat, mendengar dan berjalan. Dia cukup semuanya. Masalah dirinya adalah kulitnya yang gelap. Itu sahaja. Kenapa dia perlu menangisi orang yang tidak menghargai dirinya? Bukankah dia ada ALLAH yang menyayangi dirinya? Jangan jadi bodoh, Roseyatimah! Bisik hati kecilnya.

Kau perlu kuat! Kau perlu bangun! Jeritnya dalam hati. Membina kekuatan untuk diri sendiri. Kalau bukan diri sendiri, siapa lagi yang boleh membantunya? Tidak ada orang lain yang mampu mengubah kehidupannya! Hanya dirinya sendiri. Roseyatimah menarik nafas panjang. Dia perlu mengubah hidupnya. Tidak mahu lagi ditindas dan dihina. ALLAH SWT tidak akan menjadikan dirinya sia-sia. Pasti ada hikmah kenapa dia dilahirkan dengan kulit seperti ini. Dia tidak boleh menyalahkan takdir. Dia perlu kuat menghadapi takdir hidupnya.

Menangis air mata darah sekalipun, kulitnya tidak akan putih. Meraung dan merayu kepada kedua orang tuanya pun mereka tidak mampu mengubah dirinya. Buruk sangatkah dia? Tidak? Ramai lagi manusia yang berkulit gelap di luar sana. Dari Afrika, India, Sudan di mana lagi? Carilah! Kenapa dia dihina? Kenapa dia dianggap tidak cantik? Tidak sesuai jadi seorang setiausaha hanya kerana kulitnya. Kenapa mereka tidak menilai mutu kerjanya? Kenapa mereka pandang sebelah mata sahaja? Persoalan yang tidak mampu dijawab oleh dirinya sendiri. Makan atau pakai produk yang jual di luar sana? Tidak berani. Apa kata ketika dia sedang memakannya, terjadi sesuatu, produk tersebut tidak sesuai dengannya. Pasti keadaan menjadi lebih teruk lagi. Manalah tahu jadi kanser kulitkah? Oh, tidak sanggup! Kerana hendak cantik untuk mendapat pujian orang lain, diri sendiri menjadi mangsa. Memanglah kecantikan itu penting untuk keyakinan diri. Tetapi kalau ALLAH jadikan diri seseorang itu sebegitu, pasti ada sebab. Tidak mungkin kejadian itu satu yang sia-sia. Roseyatimah tersenyum. Dia perlu kuat dan yakin dengan dirinya sendiri.

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.