Home Novel Komedi/Romantik Komedi HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
Asmah Hashim
6/4/2015 14:50:01
107,802
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 16


“Balik kampung? Kau tak nak cari kerja lagi ke?” Tanya Zaiton dengan muka mencuka.

“Takkan aku nak duduk sini tanpa ada kerja? Siapa nak tanggung aku? Kau?” Rose mengeluh. Bukan dia sengaja buat keputusan ini. Sudah banyak syarikat dia pergi temuduga, tiada satu pun yang sudi mengambilnya bekerja. Buat penat kaki berjalan dan mulut berkata-kata menjawab soalan daripada penemuduga.

“Ala… sunyilah aku!” rungut Zaiton.

“Aku balik sebulan dua saja, kau jangan sewakan bilik kau tu pada orang lain pula?”

“Sebulan dua? Kau nak buat apa oi?”

“Aku balik nak mendalami ilmu masakan! Aku nak belajar buat roti canai dan nasi lemak mak aku yang power itu!” Kata Rose sambil mengangkat kening.

“Belajar memasak? Boleh ke kau? Kau nak buat apa?” Soal Zaiton bertalu-talu. Memanglah sahabatnya itu boleh memasak, tapi masakan yang biasa-biasa sahaja. Masakan rumah. Kalau nak buka kedai makan pula kenalah hebat masakannya. Kena luar biasa.

“Aku nak jadi bos! Kalau orang lain tak sudi ambil aku kerja, baik aku jadi bos sendiri, kuli sendiri!” Rose mengangkat tangan bagaikan orang berikhtiar. Bosan dengan pandangan orang terhadap dirinya. Dia akan buktikan yang dirinya boleh berjaya. Dia tidak mahu hidup dalam kekecewaan lagi, rasa terhina dan sering dihina. Rasanya orang Afrika lebih hitam daripada dirinya, kenapa ramai pula wanita Melayu dan lelaki Melayu tergila-gilakan mereka? Apa kurang dirinya? Mungkin kerana dia Melayu? Rose mengeluh sendiri.

“Muktamad ke keputusan kau Rose? Jangan hangat-hangat tahi ayam sudahlah!” Tempelak Zaiton. Dia sendiri tidak suka melihat sahabatnya itu gagal. Apa yang berlaku juga amat mengecewakannya. Kasihan dan simpati mengusik hatinya. Biar terpamer wajah ceria, namun dia tahu, dalam hati Rose menangis sendiri. Hanya dorongan dan semangat yang mampu diberi. Apalah dayanya untuk membantu.

“Muktamad! Aku dah letih Ton! Sahabat aku sendiri perlekehkan kebolehanku, malah terasa hina untuk dekati aku seperti dulu. Mungkin zaman sekolah dengan dewasa jauh berbeza agaknya. Mungkin dia malu nak dekat dengan aku lagi.” Rasa hiba menyucuk hati. Sikap Haikal dan perbuatannya membuatkan hatinya sakit benar. Kalau orang lain memandangnya sebelah mata dia tidak pernah ambil kisah, tetapi orang yang dianggap sahabat, memandangnya dengan penuh rasa jijik di mata. Apalah nasib dirinya.

“Aku doakan kau berjaya. Jangan lupa telefon aku ya! Nanti rindu pula aku nak dengar suara bebel kau tu.” Zaiton benar-benar kecewa dengan keputusan Rose, tetapi apakan dayanya untuk menghalang. Mungkin ini terbaik buat sahabatnya itu bagi meneruskan kerjayanya.

“Terima kasih Ton, kaulah sahaja sahabat aku yang setia dan baik.” Lantas dia memeluk erat Zaiton ke dalam pelukannya.

Biarlah dia dihina dan dicaci oleh orang kampung, dia sudah tidak peduli. Kalau asyik memikirkan orang bercakap, sampai mati pun tidak selesai. Mereka ada mulut, biarlah mereka bercakap selagi daya. Dia perlu fikirkan dirinya terlebih dahulu. Beranikan diri berhadapan dengan kedua orang tuanya. Dia yang salah. Dia sepatutnya tidak memilih bidang yang tidak sesuai dengan dirinya. Kini, terimalah akibatnya. Kalaulah dia ambil jurusan lain tentu nasibnya tidak jadi seperti hari ini. Menyesal pun tiada gunanya. Kalau dia nak menyambng pelajarannya pun hanya membuang masa sahaja. Dia tidak mahu menyusahkan kedua orang tuanya. Mereka perlu memikirkan adik-adiknya pula. Dia tidak boleh terlalu mementingkan diri sendiri.

Nun jauh dari Kuala Lumpur…

Seman tidak terkata apa-apa. Rasa panas akibat berjemur di bawah terik mentari tidak terasa panas mendengar cerita anak sulongnya yang baharu sahaja pulang dari Kuala Lumpur. Wajah tenang isterinya, Hanum menambah sakit di hati. Orang perempuan selalunya kecoh sekampung, kenapa hari ini tenang sahaja? Dia sendiri berasa pelik.

Rose duduk mengadap kedua orang tuanya. Bagaikan pesalah menunggu keputusan untuk dihukum. Tabah dan bersabarlah hati, detik hati kecilnya.

“Buat malu keluarga saja! Ayah dah terasa pelik waktu kau pulang bulan lepas, rupanya ada cerita di sebalik cerita ya?” leter Seman. Kenapalah degil sangat? Disuruh jangan pilih kursus kesetiausaha, tapi tetap pilih juga, akhirnya… siapa yang rugi? Akhirnya jadi penggangur. Buat malu sahaja. Kalau orang kampung tahu, di mana dia nak letak muka? Bukan boleh tukar ganti wajah dia yang sedia ada. Sengaja nak menyusahkan diri sendiri. Bahananya ahli keluarga juga yang terkena tempiasnya.

“Apa abang cakap ni? Nak malukan apanya? Bukan anak kita buat jahat! Kena berhenti kerja saja. Takkan itu pun nak malu sangat!” kata Hanum kurang senang. Eee… tidak kena rasanya dengan ayat yang dilontarkan. Malu! Malu untuk apa. Pelik betullah.

“Yalah! Siapa tak malu? Kita suruh belajar bidang lain, dia pilih kesetiausaan, kononnya nak buktikan orang tak cantik macam dia, boleh jadi setiausaha yang baik! Sekarang, awak tengok sendiri!” lenting Seman lagi. Siapalah tidak hangat hati. Teruk-teruk belajar tiga empat tahun, akhirnya duduk kampung juga. Bidang yang dipilih langsung tidak mencabar. Kalau rupa itu cantik seperti bidadari tidak mengapa, ini umpama bulan mengambang di waktu malam. Erk.. memanglah bulan mengambang di waktu malam. Kalau siang bukan bulan tetapi gerhana. Bukan memperkecilkan anak sendiri, tetapi ingin dia sedar diri, tengok diri itu sebelum buat sesuatu yang mencabar dan melawan arus. Akibatnya diri sendiri. Keputusan punyalah bagus dalam STPM, alih-alih pilih bidang yang layak budak lepasan SPM ambil. Apa kes? Leter Seman dalam hati. Kalau dia membebel lebih-lebih, tidak pasal-pasal peguam bela anaknya buka fail saman nanti. Berleter sikit-sikit sudahlah. Dia mengeluh berat. Apa yang nak dibuat di kampungnya itu? Nak ke sawah? Habis mati pokok padi itu nanti. Nak bercucuk tanam, silap haribulan cangkul tu makan kaki. Alahai, anak…

“Tak apa Rose, berehat dan tenangkan diri. Nanti kita fikir apa yang harus kita buat nanti. Jangan susah hati ya,” pujuk Hanum. Dia tidak mahu mendesak. Dalam keadaan sekarang sudah pasti anak gadisnya dalam hidup penuh dengan kekecewaan. Pekerjaan yang amat diminatinya sejak di bangku sekolah, walaupun dapat keputusan cemerlang dan melayakkan dia memilih bidang yang lebih mencabar, Rose tetap memilih bidang kesetiausahaan.

“Terima kasih mak.” Dia berasa bersemangat semula. Bukanlah dia tidak suka dengan kata-kata ayahnya, tetapi amat menjatuhkan semangatnya. Memanglah dia bersalah, tetapi itukan takdir. Mungkin ada hikmahnya. Kalau dia memilih bidang lain, belum tentu kehidupannya jadi lebih baik dari sekarang.

“Pergilah berehat. Nanti kita makan bersama,” suruh Hanum sambil matanya mengerling ke arah suaminya yang memandang tajam anak gadis mereka.

“Hish, apa kata orang kampung nanti?” kata Seman setelah Rose menghilang ke dalam biliknya.

“Mereka ada mulut bang. Biarlah!” Hanum malas nak memikirkan perasaan orang lain. Sudah tidak peduli apa pandangan mereka. Rose anak kandungnya. Kalau orang lain tidak boleh menyenangkan hati anak gadisnya itu, biarlah dia sahaja yang menjadi pembakar semangat untuk anaknya berjaya. Tidak kiralah apa pun bidang yang diceburi.

“Awak cakap ikut sedap mulut awak saja. Yang malunya saya! Di kedai Pak Harun nanti pasti ramai yang mengata!”

“Kalau tak nak malu, tak payah berlonggok kat kedai Pak Harun tu. Duduk saja di rumah, layan saya dan anak-anak!” leter Hanum. Bukan dia melarang suaminya berkumpul dengan jiran sekampung mereka, tetapi biarlah bercakap perkara yang bermanfaat, tidak perlulah kutuk sesiapa. Kalau sudah berkumpul, asyik tambah dosa sahaja. Mulut itu pantang terbuka, ada sahaja yang tidak kena.

“Hish, ke situ pula awak ni!”

“Tak betul saya cakap? Awak rasa malu dengan kawan-kawan awak tu, kan? Rose tu anak kita, kalau orang bercakap, kenalah tegur atau marah. Buat apa mereka sibuk hal kita? Bukan kita minta makan kat mereka pun?” leter Hanum geram.

“Ya, ya awak tu saja yang betul. Saya ni semuanya salah!” Seman menjeling.

“Ikut suka awaklah!” Hanum mengatur langkah ke dapur. Malas nak bertegang urat lagi. Tiada guna bergaduh, tidak menyelesaikan masalah mereka pun. Terutama masalah Rose.

Previous: BAB 15
Next: BAB 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.