Home Novel Komedi/Romantik Komedi HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
Asmah Hashim
6/4/2015 14:50:01
107,796
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 11

Tubuhnya dihempaskan di atas sofa. Terasa lenguh seluruh tubuh memandu seorang diri melawan kesesakan lalu lintas. Siapa suruh balik waktu orang ramai pulang dari tempat kerja. Salah dirinya sendiri. Bekal nasi lemak dan lauk sambal sotong kering sudah diletakkan di atas meja makan. Kejap lagilah dia akan panaskan. Zaiton pun masih belum pulang dari kerja. Baiklah dia berehat dan bersantai-santai seorang diri di dalam rumah yang hampir seminggu juga ditinggalkan. Terasa rindu dengan tilam dan bantal sendiri.

Kerja apa yang dia akan lakukan? Sambung belajar? Ada juga manfaatnya. Kalaulah dia mendengar nasihat emak dan ayahnya dahulu memilih bidang perubatan, sudah tentu nasibnya tidak jadi seperti hari ini. Jadi doktor tidak perlu cantik atau lawa. Inilah akibatnya ikut nafsu dan otak sendiri. Puas berangan dan berfikir, akhirnya dia terlelap juga.

“Amboi, sedapnya dia tidur senja-senja ni? Tak tahu ke waktu begini syaitan dan iblis sedang merayap!” bebel Zaiton sendiri. Dia mendekati Roseyatimah yang sedang enak dibuai mimpi. Tubuh sahabatnya digoyangkan. Terjerit-jerit dia memanggil Roseyatimah. Memang tidur mampus, detik hati kecil Zaiton. Dia terus ke dapur. Secawan air sejuk dibawa ke ruang tamu. Dia menyengih. Inilah caranya mengejutkan orang yang susah bangun tidur.

“Hujan! Hujan!” jerit Roseyatimah, terkapai-kapai dia bangun dari tidur. Terpisat-pisat dia memandang sesusuk tubuh berdiri di hadapannya.

“Banyak kau punya hujan dalam rumah ni?” Zaiton mencekak pinggang.

“Kau ni Ton!” Roseyatimah mendengus. Sedap-sedap sedang bermain hujan dengan Shah Rukh Khan, muncul pula gergasi yang tidak diundang. Dia mencebik.

“Kenapa tidur di waktu senja ni? Pergi mandi, nanti kita solat sama-sama. Lepas tu keluar makan.” Zaiton menyengih.

“Aku letihlah. Aku sedang syok main hujan dengan Shah Rukh Khan, tiba-tiba kau muncul.” Roseyatimah mengenyeh matanya.

“Shah Rukh Khan? Kasihan kau tengok pelakon tu. Tentu dia alami mimpi buruk bersama kau!” sindir Zaiton.

“Apalah punya teruk kawan aku sorang ni, sampai hati kau hina aku, Ton?”

“Dah jangan nak berangan. Bai jual roti kalau suka kat kau pun dah kira bagus. Ini Shah Rukh Khan… banyak tinggi punya angan-angan hah?” gurau Zaiton.

“Kau memang! Kalau tak usik aku tak sah!” Roseyatimah bingkas bangun dan mula menggeletek Zaiton. Berderai gurau senda mereka berdua. Kalau orang tengok cara mereka bercakap, sudah pasti ramai yang menyangka mereka bergaduh

Usai solat maghrib berjemaah, mereka sama-sama makan malam nasi lemak yang dibekalkan oleh Hanum tadi. Sambal tumis dan nasi lemak di panaskan di dalam microwave.

“Sedapnya sambal sotong yang mak kau masak ni, terbaiklah,” puji Zaiton. Berkali-kali dia bertambah sehingga habis sambal tumis sotong kering itu dimakannya. Siap meratah lagi.

“Makanlah, memang mak aku ingat nak bagi kat kau makan.” Roseyatimah tersenyum puas melihat Zaiton berselera menjamah masakan emaknya. Bangga juga jika ada orang yang memuji masakan emaknya itu. Memang air tangan adalah terbaik, tiada siapa yang akan menafikannya.

“Kau balik kampung, mak kau tak tanya ke?” Zaiton menyuap nasi ke dalam mulut, matanya tertumpu ke arah Roseyatimah yang makan pun bagaikan tidak sudi. Mungkin sudah kenyang atau masih memikirkan nasib dirinya.

“Mahu tak tanya! Rasa berdosa pula aku menipu mereka.” Roseyatimah mengeluh. Bukan ada niat untuk berbohong, tetapi dia tidak mahu orang tuanya susah hati.

“Habis? Kau bohong merekalah?” Zaiton berhenti mengunyah.

“Terpaksa,” kata Roseyatimah lirih.

“Terpaksa? Baiklah kau berterus-terang. Tak baik menipu orang tua, berdosa!” Zaiton tidak bersetuju dengan perbuatan Roseyatimah. Tindakannya itu akan mengundang masalah nanti. Apa salahnya berterus-terang, sekurang-kurangnya kedua orang tua sahabatnya itu ada idea apa yang harus dilakukan.

“Tak gamak aku nak cakap dengan mereka, aku dibuang kerja. Tentu kecewa hati mereka.” wajah sugulnya muncul semula. Roseyatimah mengeluh. Nasi lemak yang sedap itu bagaika kurang enak di tekaknya.

“Yalah… aku faham. Kalau aku di tempat kau pun, sudah tentu aku bertindak seperti kau juga.” Terbayangkan wajah mereka saja sudah buat hatiku terluka. Zaiton menghabiskan nasi di dalam pinggan. Sudah dua kali dia menambah. Kalau tiap-tiap hari ada makanan seenak ini, pasti berat badannya naik semula. Sebagai setiausaha kenalah dia menjaga penampilan diri.

“Apa aku nak buat Ton?” Roseyatimah mengangkat pinggan ke singki. Dia membasuh dan meletakkannya di rak pinggan-mangkuk yang sedia ada. Menapak kembali ke meja makan.

“Cari sajalah kerja di mana-mana. Tidak kisahlah kerja apapun, asalkan halal,” nasihat Zaiton.

“Tengoklah…” Berat hatinya hendak mencari kerja. Melihat dirinya sahaja, pasti ramai yang menolak. Memang tidak adil dunia ini, benarkah ada pilih kasih? Hanya mereka yang cantik sahaja diberi peluang? Dia mendengus kasar. Mungkin ada majikan yang baik hati di luar sana. Mungkin juga belum bertemu jodoh dengan majikan yang baik dan mahu menerima dia seadanya.

“Kenyang betullah perut aku ni, rasa hendak pecah saja,” kata Zaiton sambil mengusap perutnya yang kekenyangan.

“Hah! Dah jangan nak jadi ular sawa, lepas tidur membungkang! Jom jalan-jalan ringankan tubuh kat taman kanak-kanak di bawah,” ajak Roseyatimah. Dia suka bersantai di taman permainan yang terdapat di tingkat bawah apartment itu. Kadangkala ada juga kanak-kanak dan jiran tetangga yang duduk ambil angin setelah makan malam. Naik buaian yang disediakan membuatkan hatinya tenang pula. Macam budak kecil. Kalau siang pasti dia kena halau. Roseyatimah tersenyum sendiri.

“Ala… malaslah!” Zaiton malas hendak keluar. Kalau boleh dia ingin melepak sahaja di depan kaca televisyen sambil melelapkan mata. Sesekali beri televisyen tengok dia pula. Selama ini hanya dia sahaja yang melihat peti televisyen itu. Zaiton tersenyum sendiri. Entah apalah dia merapu. Apa yang dia tahu matanya sudah mengantuk. Apalah pula kawan, malam-malam ajak pergi taman permainan?

“Banyak kau punya malas! Mari teman aku…” paksa Roseyatimah.

“Kau ni memang suka main paksa, kan?” Zaiton mencebik. Kalau Roseyatimahlah, tiada siapa mampu berbuat apa-apa. Entah-entah bukan pasal kulitnya hitam legam itu dia dibuang kerja tetapi perangainya yang suka memaksa itu. Manalah tahu dia memaksa bosnya buat sesuatu yang tidak disukai. Itu sebab bosnya tidak suka dengannya. Nasib baiklah dia sudah lama mengenali Roseyatimah dan sudah masak benar dengan perangai gadis itu. Tetapi dia tahu, Roseyatimah seorang yang baik, jujur dan bertanggungjawab. Cuma… hmmm. Tiada perkataan yang mengalir keluar dari mulutnya. Mahu atau tidak terpaksalah dia mengikut kehendak Roseyatimah, kalau ditolak ajakkannya nanti, menangis pula? Susahlah, siapa nak pujuk? Zaiton mencebik. Kawan punya pasal, ikutkan sahaja.

Usai mengemas meja makan, mereka melangkah keluar. Daun pintu ditutup rapat. Roseyatimah tersenyum riang. Dia tahu Zaiton tidak akan menghampakannya.

Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.