Home Novel Komedi/Romantik Komedi HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
Asmah Hashim
6/4/2015 14:50:01
107,794
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 10

Mulut emak dan ayahnya bercerita tentang betapa cantiknya Aina sewaktu di majlis pertunangan musuhnya itu membuatkan hatinya bernanah kembali. Baharu hendak baik luka di hati sudah disimbah dengan garam, diperah dengan asam limau. Emaknya tidak tahukah, yang dia dan Aina adalah musuh tradisi di waktu zaman sekolah malah sehingga kini. Sampai hati emaknya memuji kecantikan Aina, dia sedarlah keadaan dirinya. Telinganya pula seperti terbakar mendengar kata-kata mereka. Ah, sakitnya jiwa!

“Rugi Rose tak ikut tadi. Ramai kawan-kawan sekolah Rose datang. Mereka bertanyakan Rose, mak kata ada di rumah, tak sihat,” cerita Hanum riang.

“Baguslah. Mereka nak ke jumpa Rose?” Dia mencebik. Ramai tidak suka berkawan dengannya waktu zaman sekolah dahulu, semuanya kerana Aina yang sering menabur fitnah terhadapnya. Mereka semua melarikan diri, hanya Haikal yang sudi berkawan dengannya, melindunginya. Kini, Haikal akan jadi milik musuhnya, siapa yang akan melindunginya daripada perempuan gedik itu?

“Kenapa pula tak nak jumpa? Merekakan kawan Rose. Aina pun tanyakan Rose tadi. Sedih dia sebab Rose tak datang.” Hanum terus bercerita.

Sedih? Perempuan itu? Terasa meloya tekaknya. Pandai sungguh dia berpura-pura! Sakitnya hati. Emak mana tahu dia selalu bergaduh dengan Aina di sekolah. Emak mana tahu, gadis itu selalu mengejeknya. Tiada maknanya perempuan itu sedih kerana dia tidak datang. Malah melonjak suka adalah. Apatah lagi perempuan gedik itu sudah merampas satu-satunya kawan yang dia ada. Ah! Semakin parah hatinya.

“Tak nak ke rumah Haikal ke? Esok Haikal dah nak balik ke Kuala Lumpur,” tanya Hanum.

“Malaslah mak. Nanti tunang dia marah pula. Biarlah!” Roseyatimah langsung tidak berminat. Kalau Haikal hendak bertemu dengannya, bukan tidak boleh datang ke sini. Bukannya tidak tahu rumahnya. Dasar lelaki.

“Jom tolong mak buat roti canai untuk makan malam. Ayah mengidam pula.” Hanum mengeluarkan adunan roti canai yang telah dibancuh sebelum ke rumah Aina tengahari tadi.

“Roti canai? Tinggi kolesterol tu mak,” terang Roseyatimah. Makanan yang perlu dielakkan oleh mereka yang berpenyakit darah tinggi dan kencing manis. Tetapi rata-rata rakyat Malaysia memang suka makan roti canai, baik siang atau malam. Boleh dibeli di kedai-kedai mamak. Kari dan kuah dhalnya kenalah sedap, babaru tersentuh hati waktu menjamahnya.

“Tinggi, tinggi pun, tetap menjadi makanan paling popular selepas nasi lemak!’ ujar Hanum. Dia tersenyum.

Betullah itu. Orang Malaysia, tinggi seleranya. Hendak yang enak dan sedap sahaja. Tetapi memang betul, pekena roti canai banjir, fuh! Terangkat. Roseyatimah menelan air liur sendiri. Terbayangkan keenakan roti canai yang disirami dengan kuah dhal dan sambal tumis.

Pantas tangan Hanum menguli lagi sekali doh roti canai. Dia mula menebar di atas talam yang besar, menekan-nekan bagi membentuk bulatan, kemudian membanting doh tersebut yang telah dileperkan. Menebar berkali-kali, menariknya, membentuk satu garisan panjang dan kemudian melipat-lipat doh itu jadi seperti bunga ros sahaja bentuknya. Kemudian diketepikan. Buat lagi dengan doh yang lain sehingga habis.

Roseyatimah terlopong melihatnya. Bukan tidak pernah melihat emaknya menebar roti canai tetapi tidak pernah ambil kisah pun. Apa yang penting sudah terhidang di atas meja untuk menjadi santapannya.

“Wah, pandai mak menebar roti canai! Kalau di Kuala Lumpur mak buat macam ni, beratur orang nak beli roti canai mak,” puji Roseyatimah.

“Yalah tu. Buat makan sendiri bolehlah Rose.” Hanum menyengih. Dia menghidupkan api dapur, kuali bulat leper dipanaskan. Minyak sapi dan planta sudah sedia untuk disapu di atas kuali dan roti nanti.

“Tolong mak masak roti tu,” pinta Hanum.

Roseyatimah akur. Dia berdiri menghadap dapur. Sekeping demi sekeping roti yang ditebar oleh emaknya dimasak satu persatu. Seorang dua keping, mereka semua lima orang. Jadi sepuluh keping roti canai siap di masak. Kalau setakat sepuluh keping, baik beli sahaja. Buat apalah emaknya bersusah payah berdiang di dapur. Roseyatimah sendiri tidak faham. Emaknya terlebih rajin atau ayahnya terlebih cerewet, hanya hendak menjamah masakan air tangan emaknya. Penatnya jadi orang perempuan, keluhnya dalam hati.

Kuah dhal dan sambal tumis ikan bilis sudah terhidang di atas meja. Roti canai yang masih panas disimpan dalam pelas nasi kecil bagi memastikan roti itu panas ketika hendak memakannya nanti. Ayahnya ke masjid, usai solat isyak baharu sampai rumah. Selalunya adik-adik dan emaknya akan tunggu sehingga ayahnya balik baharu mereka menjamah makan malam bersama. Dari sarapan pagi sehinggalah makan malam, jika waktu cuti selalunya mereka akan makan bersama. Emak akan selalu makan bersama ayah.

“Haikal tanyakan Rose tadi, kenapa tak datang ke majlis dia?” Seman mula menjamah roti canai buatan isterinya dengan penuh selera. Kuah dhal dan sambal tumis ikan bilis di isi ke dalam mangkuk. Dia mula mencicah secubit demi secubit.

“Ala… pura-pura bertanya. Haikal mana ada jemput Rose pun? Yang jemput Rose Mak Limah mulut CNN tu,” kata Rose perlahan tetapi dalam maknanya. Biar orang tuanya tahu, Haikal cuma ajak-ajak ayam sahaja. Bukan bersungguh-sungguh pun ingin dia hadir bersama.

“Takkan kut? Kaliankan berkawan baik?” Hanum mengerut dahi.

“Kawan baik waktu zaman sekolah saja, mak…” Roseyatimah mencebik. Roti canai yang disirami kuah dhal dan sambal tumis ikan bilis habis sekeping masuk ke dalam mulutnya.

“Fuh! Sedapnya mak, kalau mak buka kedai roti canai di KL, Rose yakin… orang akan beratur panjang,” puji Roseyatimah. Bukan cakap kosong atau hanya ingin mengambil hati emaknya, tetapi memang sedap. Kalah kedai mamak. Kalau ada kari ikan semalam, lagi sedap.

“Jangan nak puji lebih-lebih!” Hanum tersenyum.

“Kenapa mak buat dua keping saja, kalau tak nak juga Rose makan lebih.” Sekeping lagi dituang kuah dhal dan sambal. Kali ini dia memang membanjirkan roti canai itu dengan kuah.

“Cukuplah dua keping, untuk malam saja. Bagi tangan larat nak tarik selimut,” kata Seman. Perutnya juga sudah kenyang. Air tangan isterinya tidak pernah menghampakan. Ini yang buat dia bertambah sayang kepada wanita yang telah dikahwini berpuluh tahun itu.

“Yalah…” Roseyatimah sendawa kekenyangan. Puas makan roti canai yang dibuat sendiri. Ditambah dengan kuah dhal yang cukup asam garamnya. Pekat dan terasa dhalnya. Sambal ikan bilis pula memang super. Tiada tandingannya. Orang kampung itu pun tahu. Kalau suruh buat nasi lemak untuk majlis di masjid. Sambal tumis emaknya akan jadi pilihan.

Usai makan malam, Roseyatimah membantu emaknya mengemas meja makan dan membersihkan dapur. Emak tidak pernah membiarkan dapur bersepah. Hendak mengelak serangga perosak dan binatang yang suka merayap waktu malam. Segala sampah sarap terus diletakkan di hadapan laman rumah. Satu tong sampah bertutup sudah disediakan oleh pihak perbandaran, bagi memudahkan sampah sarap itu diangkut.

Roseyatimah duduk di bangku kayu yang terdapat di bawah pokok mempelam setelah membuang sampah. Dia memandang bintang di langit. Bunyi cengkerik berlagu riang membuatkan suasana malam begitu cantik dan indah dengan caranya tersendiri. Dia memerhatikan kulitnya di dalam kegelapan malam.

Dia mengeluh. Matanya dipejamkan seketika. Hari ini dia benar-benar terasa sunyi. Haikal sudah pun menjadi tunangan Aina. Sebak dadanya memikirkan hal itu. Dia kehilangan seorang kawan yang satu-satunya amat memahami dirinya. Air mata mengalir juga. Dia benar-benar terasa kehilangan. Mahu sahaja dia memberitahu ala mini, hatinya sedang disakiti. Ingin sahaja dia memberitahu semua makhluk ALLAH yang hatinya sedang kesepian. Di mana-mana dia tidak disukai, dia tidak disenangi. Hanya kerana kulitnya yang gelap gelita itu.

“Rose!” Hanum duduk di sebelah anak gadisnya yang sedang menangis sendirian. Dia tahu anak gadisnya tidak ceria. Ada masalah yang bersarang di dada. Dia seorang ibu, dia kenal anak gadisnya sendiri. Riak air muka anaknya itu dia sudah tahu ada yang tidak kena. Cuma, dia tidak tahu apakah ia.

“Mak,” Roseyatimah menyeka air mata yang mengalir di pipinya.

“Rose menangis?” Hanum memeluk bahu anak gadisnya erat. Melahirkan rasa kasih yang tidak terhingga di hati seorang ibu.

“Kenapa nasib Rose tidak sebaik orang lain? Sudahlah kulit macam orang Afrika. Tiada siapa sudi berkawan dengan Rose. Malah sahabat Rose sendiri dah tinggalkan Rose, mak.” Roseyatimah memeluk erat pinggang Hanum.

“Jangan cakap macam tu. Mesti ada sebab kenapa ALLAH jadikan Rose seperti ini. Mungkin kalau kulit Rose seperti orang lain, Rose akan jadi seorang yang sombong, kerana anak mak ni pandai dalam pelajaran. Cuma tersalah pilih jurusan. Tentang Haikal, biarlah. Nanti Rose pasti akan dapat juga bertemu dengan sahabat yang sejati, menerima diri Rose seadanya,” nasihat Hanum.

“Ada ke orang nak kahwin dengan Rose mak? Takkan sampai ke tua Rose akan hidup sendiri?” Takut juga memikirkan tentang hal itu. Dia tidak mahuu hidup sendiri. Dia ingin ada suami dan anak-anak. Melihat keadaan fizikal dirinya, entah siapalah yang berkenan. Kalau ada pemuda yang suka kepadanya, adakah keluarga pemuda itu juga akan suka kepadanya? Persoalan yang membuatkan dirinya sendiri takut memikirkannya.

“Setiap manusia di dalam dunia ini dijadikan berpasangan. Kalau tidak ada juga jodoh, sudah tentu jodohnya ada di akhirat nanti. Kenapa perlu bimbang? Jodoh pertemuan itukan ketentuan ILAHI? Bukan di tangan kita. Kita hanya mampu merancang, ALLAH juga bagus percaturannya.” Hanya itu yang mampu dia lakukan,menasihati dan memberi pesan. Bukan kehendaknya anak sulongnya dilahirkan gelap begitu. Dia dan suaminya sendiri terkejut melihat Rose waktu pertama kali. Pada mulanya dia menyangkakan pihak hospital tertukar bayinya. Suaminya pula mula mensyaki yang bukan-bukan. Atas nasihat doktor akhirnya ujian DNA dilakukan. Benarlah bayi yang gelap itu adalah anak mereka sendiri. Mereka terima ketentuan ILAHI dengan hati yang terbuka. Menurut arwah emaknya, moyang mereka berasal dari India. Mungkin sebab itu Roseyatimah dilahirkan kulitnya agak gelap. Berbeza sungguh dia dengan adik-adiknya yang berkulit sawo matang.

Roseyatimah memeluk Hanum semakin erat. Esok dia bercadang untuk pulang ke Kuala Lumpur. Dia perlu meneruskan kehidupannya dan merancang masa depan. Tiada guna dia menangis siang malam. Tidak mampu mengubah apa-apa. Dia tidak mahu bersedih lagi, tetapi tidak berjanji untuk takkan menangis lagi. Air matakan teman paling akhrab kaum Hawa sepertinya.

Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.