Home Novel Komedi/Romantik Komedi HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
Asmah Hashim
6/4/2015 14:50:01
107,781
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 22

Haikal hanya mampu menggelengkan kepala perlahan sahajalah, kalau ikutkan mahu sahaja laju gelenggannya, takut tercabut pula lehernya yang jinjang itu. Bukan kerana cantik macam leher  perempuan tetapi sebab kurus maka, lehernya pun menjadi panjanglah, dalam bahasa yang indah disebut jinjang. Dia tersenyum dalam hati, melayan tunangannya yang sedang meroyan itu membuatkan dadanya semput. Umur sudah 20-an tetapi perangai macam budak baharu lepas UPSR. Benda kecil pun nak digaduhkan.

“Awak langsung tak membantu saya kan? Awak biar saja saya dibuli oleh minah Afrika tu!” bebel Ain dengan wajah kelat, lebih kelat dari asam keping yang baharu dipotong dan menunggu waktu untuk dijemur.

“Nak bantu apanya? Awak sengaja cari pasal, kenapa?” balas Haikal. Penat melayan kerenah orang perempuan ini. Hanya tahu mengikut kata perasaan sendiri, tidak kira jika perkara itu salah atau betul. Apa yang penting mereka puas hati.

“Awak salahkan saya?” lengking Ain. Dia mengetap bibir. Lengan Haikal menjadi cubitan jari-jemarinya yang runcing dan lembut itu. Lembut kerana tidak pernah membuat kerja-kerja rumah. Semuanya dilakukan oleh emaknya sendiri. Dia mana suka menguruskan rumah tangga. Kalau dia sudah berkahwin nanti, pandai-pandailah Haikal carikan pembantu rumah.

“Jangan nak cubit-cubit pula! Awak ingat badan saya ni tempat awak melepaskan geram?” ujar Haikal, matanya membuntang memandang wajah Ain.

“Sudahlah Ain, antara awak dan dia, tiada apa yang awak ingin lumbakan? Awak tu Ferrari, Rose tu kancil, mana boleh kejar awak? Kalau dia pecut pun, saya takut terbalik terus,” pujuk Haikal. Hati sudah jatuh sayang, mahu tak mahu kenalah pujuk juga, walaupun hati rasa meloya, hanya tunggu nak muntah sahaja. Eee… tidak kuasalah pujuk memujuk ini. Dia paling tidak suka perempuan yang kuat merajuk. Dahulu Ain tidaklah kuat merajuk seperti sekarang, itu sebab dia memilih Ain sebagai teman hidupnya. Sejak bertunang ini pula, berubah tingkahlaku.

“Awak memang tak ada perasaan!” tempelak Ain dengan muka masam, bibirnya muncung panjang sedepa.

“Kalau saya tak ada perasaan, saya tak jatuh hati pada awaklah,” ujar Haikal. Dia menyandar di kereta. Ain yang sedang duduk di pangkin di bawah pokok mangga yang sedang berbunga lebat ditatap seketika. Nasib baik cantik, biarpun muka kelat. Haikal tersenyum dalam hati.

“Saya nak ingatkan awak sekali lagi, awak jangan rapat atau tegur si hitam tu. Saya tak suka!” arah Ain. Wajah Rose yang menyakitkan matanya itu membuatkan hatinya terbakar panas.

“Kenapa pula? Kitakan rakan sekampung, jiran pula tu, malah satu sekolah,” bantah Haikal. Walaupun dia tidak lagi rapat dengan Rose, tetapi tidaklah sampai nak memutuskan silaturahim antara mereka.

“Saya tak sukalah! Takkan awak tak faham?” tengking Ain.

“Awak tak simpati ke dengan Rose tu? Sudahlah dia dilahirkan tidak cantik. Malah susah nak dapat kerja. Sepatutnya awak jadi kawan baik dialah. Bukan musuh dia,” nasihat Haikal.

“Kirim salam!” Ain menolak.

“Degil betullah awak ni?” Haikal mengeluh kesal.

“Cubalah awak beralah Ain. Rose awak benci sejak zaman sekolah lagi. Sekarang kita sudah dewasa, masing-masing ada arah tuju hidup sendiri. Kenapa masih lagi nak bermusuh? Awak tengok keadaan dia dibandingkan dengan awak?” kata Haikal. Semoga kata-katanya mampu melembutkan hati Ain.

“Hati saya sakitlah! Tak boleh saya nak berbaik dengan perempuan hitam tu! Dia pernah sakitkan hati saya, saya takkan lupa!”

“Apa yang dia dah buat dengan awak, sampai begitu sekali dendam awak padanya?” tanya Haikal ingin tahu. Apa yang teruk sangat Rose lakukan terhadap Ain sehingga api dendam tidak pernah padam.

“Dia pernah buat saya digantung sekolah!’ cerita Ain.

“Bila pula jadi macam tu?” soal Haikal lagi. Masih memikirkan kejadian yang dikatakan oleh Ain.

“Waktu saya curi kertas jawapan BM dia ketika peperiksaan akhir tahun,” luah Ain perlahan.

“Bukan dia salah, awaklah yang salah!” tempelak Haikal.

“Kalau saya salah sekalipun, takkan sampai kena gantung sekolah?” Ain tidak mahu kalah.

“Saya ingat kejadian itu. Sejak itu saya terpaksa menjaga dia kerana awak asyik buli dia. Kalau dia cakap awak perempuan gila pun saya tak hairan. Memang tindakan awak tu kerja gila!” marah Haikal.

“Sejak itu saya semakin membenci dia sebab awak baik dengan dia. Awak tak tahu atau pura-pura tak tahu, waktu itu saya dah suka kat awak?” Ain menjegilkan mata.

“Itu cerita lama, saya tak suka awak membuli orang Ain, terutama Rose. Dia rakan sekelas kita, malah sekampung dengan kita. Tidak boleh ke awak bertolak ansur sikit. Kecil punya hal, dendam awak tu macam dia dah bunuh awak sepuluh kali.”

“Saya ni, kalau dah benci, sampai bila pun saya benci! Faham tak!” Ain menumbuk lengan Haikal. Asyik nak membela perempuan hitam legam itu. Dia mengatur langkah menuju ke pintu rumah. Malas nak berlawan cakap dengan Haikal. Tidak akan menang pun. Malah menambah sakit di hati dan rasa benci terhadap Rose.

“Hah, dah balik? Dah selesai ke masalah Ain dengan anak Mak Hanum tu?” tanya Mak Limah yang tiba-tiba muncul di hadapan pintu rumah.

“Mak ni! Bagilah salam ke? Terkejut Ain tau.” Ain mengeluh berat. Memang dia terkejut. Entah dari mana emaknya datang, tiba-tiba terpacul sahaja.

“Berangan lagilah tu.” Mak Limah mencebik.

“Berangan apanya? Sakit hati lagi adalah!” Ain mendengus kasar.

“Kenapa tak ajak Haikal masuk?” tanya Mak Limah lalu matanya melekat pada Haikal yang masih berdiri menyandar di keretanya. Dia melambai ke arah bakal menantunya.

“Biarlah Haikal balik mak! Ain nak rehat, sakit muka, sakit badan dan sakit hati!” kata Ain kasar dan berlalu masuk ke dalam rumah. Wajah Rose yang bengis sambil memegang parang tadi, memang gerun dibuatnya. Dia mengetap bibir, kenapalah dia tidak berfikir nak bawa parang panjang juga. Biar berantakan semuanya.

“Hish, budak ni… kan tunang kau tu,” kata Mak Limah.

“Mak sajalah layan bakal menantu mak tu, Ain nak rehat.” Ain menghilangkan diri ke dalam biliknya.

“Haikal…masuk dulu!” laung Mak Limah dari kejauhan.

Haikal mendekati Mak Limah, dia menghulurkan tangan untuk bersalaman.

“Tak apalah Mak Limah. Saya balik dulu. Esok pagi saya datang ambil Ain. Kami balik ke Kuala Lumpur sama-sama. Dia tak boleh memandu lagi tu, masih sakit kaki katanya.”

“Yalah, tak nak masuk dululah ni?”

“Tak apa. Saya balik dulu ya Mak Limah.” Sekali lagi tangan dihulur.

Haikal memandu keretanya keluar dari kawasan rumah tunangannya. Biarlah hati Ain sejuk semula. Selepas ini dia tidak mahu lagi mencampuri urusan mereka berdua. Biarlah mereka selesaikan sendiri. Dia sendiri pening memikirkan hal tersebut. Seorang degil dan seorang lagi keras kepala. Padanlah. Keluhan berat dilepaskan. Semakin jauhlah dia dengan Rose. Nampak jelas rasa kebencian di hati Rose terhadap dirinya. Dia bagaikan kaku, tidak tahu bagaimana nak memulakan segalanya. Memperbaiki hubungan mereka semula. Berkawan seperti dahulu, bersahabat, mendengar luahan rasa Rose. Tentu sekarang ini dia bersendirian, melakar cerita walang yang menimpa. Haikal mengeluh lagi.

Wajah kecewa Rose jelas terpancar di ruang mata. Bagai mengharapkan simpatinya. Kenapalah dengan dirinya? Kenapa dia tidak suka berkawan dengan Rose seperti dahulu? Kenapa dia menjauhkan diri daripada perempuan itu? Jawapannya ada pada dirinya sendiri. Dia malu, malu ada teman seperti Rose, tidak cantik dan hitam. Hanya sebab itu. Dahulu dia tidak kisah, kerana masih tidak memahami keadaan di luar sana. Mereka hanya bergaul dengan rakan-rakan sekolah yang sudah mengenali Rose dan jika mereka tidak suka pun, mereka hanya akan menyindir. Bila sudah penat, akhirnya mereka mendiamkan diri. Berbeza di luar sana. Ramai yang tidak kenal Rose. Nanti apapula kata mereka. Bukan semua orang berfikiran terbuka. Itu sebab dia menjauhkan diri daripada Rose. Jahatkah dia? Haikal meraup wajah dengan kedua belah tangannya. Melepaskan rasa kesal di hati. Kalau dia berjumpa dengan Rose, takut pula Ain semakin kuat rajuknya. Masalah juga itu. Lainlah jika Ain sudah berbaik-baik dengan Rose. Dia melepaskan lelahan di jiwa.

Previous: BAB 21
Next: BAB 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.